Oleh Memet Tohti Atawulla*
Di Turkistan Timur, wilayah yang kaya dengan warisan budaya purbakala, Parti Komunis China (PKC) telah lama terlibat dalam kempen menghapuskan kehadiran Uyghur. Pemusnahan sistematik ini termasuk perobohan bersasar terhadap Mazar (makam-makam suci) Uyghur -simbol yang signifikan pada rohani dan sejarah yang dihormati- mencetuskan kebimbangan bukan sahaja mengenai kehilangan kebebasan beragama tetapi juga pemusnahan warisan sejarah yang berharga.
Mazar Uyghur, yang unik dengan seni bina yang menakjubkan, hasil rekaan jubin yang rumit, dan laman yang tenang, telah berfungsi sebagai komponen penting dalam kehidupan budaya dan keagamaan Uyghur berabad lamanya. Ruang suci ini bukan sahaja memudahkan ibadah tetapi juga berfungsi sebagai repositori sejarah, menyimpan intipati rohani, budaya dan sosial orang Uyghur. Pemusnahan mazar ini merupakan serangan terhadap naratif sejarah yang sangat berakar di sini.
Terdapat pelbagai laporan, termasuk imej satelit dan testimoni secara langsung, menggambarkan realiti suram serangan PKC terhadap Mazar Uyghur. Tapak-tapak suci ini sama ada dihancurkan atau digunakan semula, dan PKC merasionalkan tindakannya dengan berselindung di balik topeng ‘memerangi ekstremisme agama’ dan ‘menggalakkan pembangunan ekonomi’. Sejak 2017, dianggarkan lebih 30% mazar dan tanah perkuburan bersejarah yang penting telah dirobohkan.
Kemusnahan ini bukanlah fenomena baru-baru ini tetapi lebih kepada kemuncak sejarah kolonial China di rantau ini. Pihak berkuasa China secara sistematik menyasarkan tapak bersejarah seperti mazar dan tanah perkuburan di Turkistan Timur semenjak penjajahan mereka. Dengan pelbagai alasan, mereka telah berusaha untuk memadamkan identiti Islam dan sejarah orang Uyghur, mengakibatkan kemusnahan banyak tanah perkuburan bersejarah dan mazar suci tokoh-tokoh yang dihormati.
Pembongkaran Mazar Uyghur menandakan lebih daripada sekadar kehilangan fizikal; ia turut bererti pemadaman sejarah dan identiti budaya Uyghur. Tapak suci ini sering menempatkan artifak, manuskrip dan gaya seni bina berabad-abad lamanya yang menceritakan perjalanan rohani dan evolusi budaya orang Uyghur. Kemusnahan Mazar sama dengan memadamkan sejarah Uyghur dan menjejaskan warisan budaya Turkistan Timur yang beraneka.
Serangan PKC ke atas Mazar Uyghur merupakan pencabulan langsung terhadap kebebasan beragama. Umat Islam Uyghur telah menghadapi sekatan yang semakin meningkat untuk mengamalkan kepercayaan mereka, termasuk batasan pakaian keagamaan, sekatan daripada berpuasa Ramadan, dan sekatan penyampaian ajaran Islam kepada generasi muda. Pemusnahan mazar seterusnya menghalang keupayaan Uyghur untuk mengamalkan agama mereka secara bebas dan menambah lagi kebimbangan mengenai penghakisan hak agama dan budaya orang Uyghur.
Pembongkaran Mazar Uyghur oleh PKC mewakili satu babak yang menyedihkan dalam genosid yang berterusan di Turkistan Timur. Di sebalik pemusnahan fizikal ruang suci, pemusnahan Mazar Uyghur merupakan serangan terhadap sejarah, warisan, dan intipati kaum ini.
Sebagai tindak balas kepada krisis budaya ini, masyarakat antarabangsa mesti mengutuk amalan pemusnahan ini dan menuntut pertanggungjawaban daripada PKC. Pertubuhan hak asasi manusia, para pemimpin agama, dan kerajaan di seluruh dunia mesti menggesa PKC menghentikan pemusnahan Mazar Uyghur dan menghormati hak agama dan budaya orang Uyghur.
*Memet Tohti Atawulla ialah Pegawai Kanan Program di Pusat Kajian Uyghur
Artikel dalam bahasa inggeris: sini.
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara