• Washington DC
Ikut kami:

Menghapuskan Warisan: Pemusnahan Rumah Tradisional Uyghur oleh Parti Komunis China

Oleh Memet Tohti Atawulla*

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa China di Turkistan Timur telah memusnahkan sebahagian besar warisan budaya orang Uyghur. Kempen pemusnahan ini telah berjalan seiring dengan penahanan secara beramai-ramai warga Turkistan TImur, kawalan kelahiran secara paksa, sistem buruh paksa, pemisahan antara ahli keluarga, penindasan agama, menghapuskan sepenuhnya bahasa Uyghur daripada sistem pendidikan dan serangan berat terhadap aspek-aspek identiti budaya Uyghur yang lain. Salah satu aspek yang amat menyedihkan dalam kempen pemusnahan ini ialah pemusnahan yang disengajakan terhadap rumah tradisional Uyghur, warisan seni bina yang mencerminkan kekayaan sejarah dan identiti budaya komuniti unik ini.

Rumah tradisional Uyghur bukan sekadar binaan; ia adalah repositori sejarah, seni ketukangan, dan identiti budaya Uyghur. Rumah-rumah ini, yang sering dicirikan oleh kerja kayu yang kompleks, warna-warna cerah, dan reka bentuk yang tersendiri, adalah bukti wujudnya hubungan orang Uyghur dengan tanah dan tradisi mereka. Gaya rumah berhalaman, khususnya, telah menjadi sebahagian daripada seni bina Uyghur selama berabad-abad, melambangkan komuniti, keluarga, dan cara hidup yang berakar umbi di kawasan ini.

Laporan-laporan daripada pelbagai sumber, termasuklah imej satelit dan testimoni barisan pakar menunjukkan bahawa Parti Komunis China (PKC) telah merobohkan rumah tradisional Uyghur secara sistematik atas nama pembangunan bandar, “projek pengindahan kawasan”, “kemajuan ekonomi”, dan “pembasmian kemiskinan”. Kempen ini mengakibatkan pemusnahan seluruh kawasan kejiranan, memindahkan keluarga Uyghur daripada rumah mereka dan menghapuskan ‘memori fizikal’ tentang warisan budaya mereka.

Motivasi di sebalik projek pemusnahan ini sangat jelas. PKC mahu menghapuskan identiti Uyghur dengan menghapuskan warisan budaya mereka yang ketara (tangible heritage). Tambahan pula, tumpuan pihak berkuasa untuk memodenkan kawasan bandar juga menyumbang kepada penghapusan seni bina tradisional, meminggirkan landskap budaya Uyghur.

Pemusnahan rumah tradisional Uyghur adalah lebih daripada kehilangan struktur fizikal; ia adalah satu serangan terhadap identiti dan memori kolektif orang Uyghur. Rumah-rumah ini berfungsi sebagai penghubung antara generasi, menghimpunkan kisah serta pelbagai cerita, tradisi, dan rasa kekitaan dalam kalangan Uyghur. Pemusnahan rumah tradisional Uyghur mengakibatkan kepada asimilasi budaya yang lebih besar, kerana PKC berusaha untuk membentuk semula wilayah Turkistan itu dalam imej gaya Han-nya.

Perpindahan paksa akibat daripada kemusnahan rumah-rumah ini mengganggu komuniti Uyghur, menyumbang kepada pemecahan ikatan sosial dan menghakis fabrik budaya yang padu. Dengan cara ini, lebih mudah bagi rejim penjajah China untuk mengasimilasikan orang Uyghur ke dalam komuniti Cina Han. Kanak-kanak Uyghur yang membesar dalam persekitaran baru Cina akan kehilangan hubungan dengan sejarah mereka dan tanah air mereka. Inilah yang diharapkan oleh PKC daripada kempen pemusnahan di Turkistan Timur ini.

Pemusnahan rumah tradisional Uyghur oleh PKC adalah manifestasi berbahaya dari kempen yang lebih luas untuk melunaskan cita-cita bersejarah Cina untuk menghapuskan sepenuhnya orang Uyghur dari tanah ini. Ia bukan sahaja menjejaskan landskap fizikal masyarakat Uyghur tetapi juga mengancam intipati identiti Uyghur.

Memandangkan kepada implikasi buruk daripada tindakan ini, ada tanggungjawab kolektif untuk semua umat Manusia untuk menyokong pemeliharaan warisan budaya Uyghur, mengutuk penghapusan budaya Uyghur, dan berdiri dalam solidariti dengan orang Uyghur dalam usaha mereka untuk menjaga warisan unik dan tidak ternilai mereka. Sekiranya tidak, manusia akan kehilangan kekayaan budaya yang amat besar.

*Memet Tohti Atawulla ialah Pegawai Kanan Program di Pusat Kajian Uyghur
Artikel ini dalam bahasa Inggeris: Sini.

Diterjemahkan untuk Pusat Kajian Uyghur 2024.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.