• Washington DC
Ikut kami:

Kenapa Uyghur -mangsa genosid- sering ditinggalkan?

Oleh Abdulhakim Idris.

Sejak 1949, Turkistan Timur berada di bawah pemerintahan Komunis China, ditandai dengan kempen tanpa henti yang bertujuan untuk menghapuskan Muslim Uyghur, Kazakh, Kyrgyz, dan kumpulan minoriti lain. Kemunculan kem tahanan di Turkistan Timur, pertama kali dibawa ke perhatian global pada 2017, menjadi bukti genosid rejim komunis China terhadap penduduk Uyghur. Malangnya, hanya 15 negara, semuanya negara-negara Barat pula, secara rasmi mengiktiraf Genosid Uyghur, tanpa ada sebuahpun negara Islam di kalangan mereka. Adalah menarik untuk disentuh di sini bahawa negara Barat dan negara Islam sebahagian besarnya kekal acuh tak acuh atau memilih pendirian yang sejajar dengan pendirian China. Artikel ini bertujuan untuk meneroka sebab-sebab di sebalik pengabaian masyarakat antarabangsa terhadap nasib orang Uyghur.

Sebelum menyiasat sebab-sebab di sebalik sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa mengenai Genosid Uyghur, adalah penting untuk dua aspek utama ini ditekankan. Pertama, memahami kedudukan Turkistan Timur adalah satu perkara yang penting. Kedua, kita mesti memahami betapa seriusnya genosid yang dilakukan oleh China di kawasan ini.

Signifikasi terpenting Turkistan Timur terletak pada lokasi geostrategiknya. Selaku persimpangan penting antara China dan Barat, ia berfungsi sebagai titik penting untuk pertembungan rejim komunis China dengan negara-negara Barat. Menjangkau satu perenam daripada kawasan daratan China, Turkistan Timur berkongsi sempadan dengan negara-negara Asia Tengah dan berfungsi sebagai perhubungan bagi laluan perdagangan yang meluas ke Lautan Hindi melalui Pakistan. Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), yang dimulakan pada 2013, menjadi dasar kepada projek-projek peluasan China di Asia Tengah, di mana negara seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Turkmenistan menjadi rakan kongsi yang penting. Kepentingan China dalam usaha niaga ini bertujuan untuk membentuk semula landskap ekonomi Asia Tengah dan memupuk kebergantungan melalui pembangunan infrastruktur. Inti kepada strategi ini ialah projek-projek yang merentasi Turkistan Timur, dengan menjadikan kawasan ini menjadi tuan rumah kepada tiga daripada enam koridor ekonomi yang digariskan dalam rangka kerja BRI. Selain itu, Turkistan Timur berfungsi sebagai laluan strategik untuk enam landasan kereta api dalam Koridor Eurasia yang memudahkan perhubungan antara China dan Eropah.

Dengan sumber tenaga yang banyak dan kedudukan yang strategik di barat laut China, Turkistan Timur bertindak sebagai zon penampan yang penting untuk mengekalkan keseimbangan geopolitik China. Tambahan pula, sebagai nod penting di sepanjang laluan darat Jalan Sutera baharu, kestabilan serantau mempengaruhi aspirasi ekonomi China yang lebih luas. Oleh itu, kedudukan Turkistan Timur melebihi kepentingan serantau, di mana ia secara jelas menyumbang kepada pencapaian cita-cita global China, khususnya dalam rangka Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), memperkukuhkan signifikasi geostrategik kawasan ini.

Turkistan Timur mempunyai kepentingan yang besar bagi China kerana sumber aslinya yang banyak dan lokasi yang strategik. Rantau ini mempunyai simpanan arang batu yang luas yang terletak di kaki bukit Pergunungan Hitam dan Altai, serta di sekitar bandar utama seperti Urumchi, Kashgar, Khoten, Kuchar dan Karasheher. Selain itu, kawasan seperti Turfan, Aksu, dan Ili mempunyai rizab emas dan lombong tembaga yang penting. Terutamanya, taburan deposit uranium di lima kawasan berbeza, bersama mineral lain seperti timah, ammonia, merkuri, dan plumbum yang terdapat di pelbagai tempat.

Gurun Taklamakan yang luas, meliputi sebahagian besar Turkistan Timur, menyimpan rizab minyak yang kaya. Anggaran mendapati jumlah rizab minyak dalam Lembangan Taklamakan, Turfan, dan Dzungaria melebihi 160 bilion meter padu. Tambahan pula, kawasan pertanian Turkistan Timur yang luas merupakan aset yang jelas. China, yang terkenal sebagai pengeksport kapas terbesar di dunia, sangat bergantung kepada buruh Uyghur untuk penanaman kapas. Yang mengejutkan, pelbagai laporan menunjukkan bahawa 84 peratus daripada eksport kapas China dihasilkan melalui perhambaan dan buruh paksa Uyghur di dalam tanah air mereka.

Dengan mengambil kira gambaran ringkas yang diberikan di atas, jelas sekali bahawa Rejim Komunis China, didorong oleh dasar peluasan (expansionism) ekonomi dan aspirasi dominasi global, berterusan dalam kempen genosid kejam di Turkistan Timur. Sejak 1949, pemerintahan komunis di China telah mempunyai pengaruh yang mendalam ke atas Turkistan Timur melalui beberapa siri polisi dan tindakan yang menindas. Islam telah menjadi sasaran mereka, dan serangan terhadap identiti masyarakat Uyghur berterusan tidak henti-henti. Kekayaan wilayah itu telah dirompak, melumpuhkan kekuatan ekonomi penduduk Uyghur. Pada masa yang sama, usaha untuk mengubah komposisi demografi telah menyaksikan kemasukan penjajah Cina Han, mengurangkan bahagian penduduk aslinya. Turkistan Timur telah dijadikan sebagai tempat ujian untuk eksperimen nuklear, mengakibatkan bencana alam sekitar dan kesihatan yang teruk. “Revolusi Kebudayaan” menyaksikan pembunuhan bersasar terhadap beribu-ribu intelektual Uyghur dan lebih banyak lagi dipenjarakan. Sekatan ke atas pendidikan Islam telah dipergiatkan, manakala dasar “Perancangan Keluarga” sejak 1980-an telah berusaha untuk mengekang pertambahan bilangan penduduk Uyghur. Sekatan dahsyat terhadap kebebasan pergerakan orang Uyghur, ditambah pula dengan proses pemerolehan pasport yang sukar, menekankan lagi cengkaman rejim yang menindas di kawasan itu.

Sejak 2017, pihak berkuasa China telah melancarkan satu siri langkah kejam di bawah samaran kempen “Strike Hard“, membina kem tahanan khusus menyasarkan penduduk Uyghur dan menahan berjuta-juta orang Uyghur dan orang Turk yang lain. Menggunakan teknologi canggih, rejim telah mengenakan pengawasan menyeluruh, mirip kepada distopia Orwell. Pelbagai laporan telah muncul yang memperincikan kekejaman yang mengerikan di dalamnya termasuklah pengguguran paksa, pemandulan paksa, penderaan seksual sistematik, dan pengasingan paksa kanak-kanak daripada keluarga mereka. Tambahan pula, kebimbangan besar telah dibangkitkan mengenai dakwaan genosid terhadap Uyghur, di mana ia merangkumi kerja paksa, perhambaan zaman moden, pengambilan organ secara paksa, dan pengoperasian krematorium yang menyangsikan.

Menurut laporan-laporan daripada organisasi-organisasi antarabangsa, layanan pihak berkuasa China terhadap penduduk Uyghur adalah bertujuan untuk memusnahkan warisan, keturunan dan hubungan masyarakat mereka secara sistematik. Kewujudan kem tahanan telahpun disahkan, dimanifestasikan sebagai fasiliti buruh yang dikelilingi oleh menara pengawas, kawat berduri, pagar yang tertutup ketat, dan pengawal bersenjata berat.

Menurut testimoni daripada para bekas tahanan, kehidupan di dalam kem tersebut ditandai dengan indoktrinasi politik yang teruk, pengabaian identiti agama dan etnik secara paksa, dan siksaan fizikal dan psikologi yang kejam yang membawa kepada maut. Testimoni mendedahkan cara sistematik rogol beramai-ramai, dipaksa mengambil bahan yang tidak diketahui, kekurangan makanan dan tidur, dehidrasi, dan keadaan hidup yang tidak bersih dan bersesak. Keadaan yang mengerikan ini telah mendapat kecaman meluas daripada masyarakat antarabangsa kerana ia adalah pencabulan hak asasi manusia yang jelas.

Rejim Komunis China juga telah melancarkan kempen menentang Islam, mengiktirafnya (agama Islam itu) sebagai dasar utama yang memupuk perpaduan Uyghur. Antagonisme ini dicerminkan dalam pelbagai dokumen dan dasar-dasar rasmi, di mana Islam telah dihina sebagai “penyakit mental”, institusi budaya dan bangunan bersejarah Uyghur telah dibongkar atau dimodifikasi sebagai tempat hiburan. Banyak artifak agama dan budaya, termasuk salinan Al-Quran dan buku tentang sejarah Uyghur, telah dikumpulkan dan dimusnahkan secara sistematik. Semasa lawatan ke Turkistan Timur pada Julai 2022, Xi Jinping menekankan keperluan Islam untuk dibentuk sejajar dengan nilai dan sosialisme China. Dasar Parti Komunis China (PKC) untuk “Mencinakan Islam” menetapkan bahawa prinsip Islam mesti mematuhi ideologi komunis, dengan amalan agama yang melayani kepentingan parti secara eksklusif. Pakaian tradisional wanita Uyghur, yang dianggap “pakaian Islami yang haram” oleh pegawai kerajaan, telah ditanggalkan secara paksa di depan khalayak awam.

Artikel-artikel dan bahan keagamaan yang berkaitan dengan pendidikan Islam telah dilarang, dan masjid secara sistematik dirobohkan. Anggaran para pakar menunjukkan bahawa kira-kira 16,000 masjid telah dimusnahkan sejak 2017, dengan 8,500 musnah sepenuhnya, 65% daripada masjid di Turkistan Timur. Lebih-lebih lagi, masjid-masjid di wilayah yang kebanyakannya Islam seperti Ningxia dan Gansu telah sama ada telah ditutup, dirobohkan, atau digunakan semula untuk kegunaan alternatif. Laporan oleh Human Rights Watch bertarikh 22 November 2023, mendedahkan bahawa 1,300 masjid di Ningxia telah ditutup atau digunakan semula sejak 2020, membentuk satu pertiga daripada jumlah masjid di rantau ini. Pihak berkuasa China telah cuba untuk menafsirkan semula upacara dan amalan agama Islam sebagai penghormatan kepada Parti Komunis China (PKC) dan Xi Jinping, mengubah azan, penggunaan tasbih, dan pelaksanaan solat itu sendiri. Langkah-langkah ini dianggap sebagai sebahagian daripada usaha “Pencinaan” yang lebih luas bertujuan untuk memastikan bahawa Islam di China beroperasi semata-mata sejajar dengan kepentingan PKC.

Walaupun banyak artikel berita yang diterbitkan, akaun langsung daripada mangsa yang terselamat, laporan-laporan oleh pertubuhan antarabangsa bebas, dan usaha advokasi oleh banyak NGO, genosid Muslim Uyghur berterusan dan sebahagian besarnya tidak dikawal. Anehnya, selain daripada negara Barat terpilih seperti Amerika Syarikat, masyarakat antarabangsa dan negara-negara majoriti Islam telah gagal mengambil tindakan tegas terhadap penganiayaan berterusan China terhadap minoriti Uyghur. Kenapa? Jawapannya terletak pada rangkaian hubungan diplomatik dan ekonomi yang rumit yang dikekalkan oleh negara Barat dan negara Islam dengan China.

Pandangan pragmatiklah yang kekal, di mana kepentingan ekonomi dan diplomatik sering mengatasi situasi hak asasi manusia yang membimbangkan. Malangnya, propaganda rejim Komunis China, tanpa asas fakta dan yang bertujuan untuk memutihkan tindakannya, mendapat penerimaan di pentas global. Tambahan pula, pengaruh Realpolitik, doktrin yang terkenal diperjuangkan oleh mendiang Henry Kissinger, bekas penasihat keselamatan Amerika Syarikat, kelihatan semakin membesar. Sokongan Kissinger terhadap rejim autoritarian PKC pasca-Mao, yang membantu meningkatkan kedudukan China di pentas global, menggariskan keutamaan pertimbangan ekonomi dan diplomatik dalam hubungan antarabangsa. Penyepaduan China ke dalam rangka kerja kapitalis pada 1980-an membuka saluran pelaburan yang lumayan untuk syarikat-syarikat Barat, walaupun pencabulan hak asasi manusia berterusan di wilayah seperti Turkistan Timur dan Tibet.

Malah, status Kissinger yang dinaikkan sama seperti seorang ketua negara semasa lawatannya ke China sebelum kematiannya melambangkan penghargaan Beijing atas peranannya dalam memudahkan hubungan diplomatiknya. Akhirnya, keengganan negara-negara untuk menghadapi kekejaman China terhadap Uyghur menggariskan interaksi yang rumit antara kepentingan geopolitik, insentif ekonomi, dan pertimbangan hak asasi manusia dalam hal ehwal global.

Selain itu, tarikan untuk menyertai projek Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) merupakan faktor lain yang menyumbang kepada diamnya negara-negara ini mengenai Genosid Uyghur. Walaupun terdapat perbalahan ekonomi dan sosial yang dikaitkan dengan inisiatif itu, BRI berdiri sebagai salah satu usaha infrastruktur terbesar dalam sejarah, bersedia untuk memberi kesan kepada kira-kira 65 peratus daripada populasi global dan satu pertiga daripada KDNK dunia. Merangkumi pelbagai jenis usaha yang terdiri daripada lebuh raya dan kereta api kepada rangkaian komunikasi, saluran paip tenaga dan pelabuhan, inisiatif ini mempunyai kepentingan yang monumental.

Anggaran awal mencadangkan bahawa jumlah pelaburan yang diperlukan untuk pembangunan infrastruktur di bawah BRI boleh berjumlah kira-kira enam trilion dolar AS. Menurut Pusat Penyelidikan Pembangunan Majlis Negara China, untuk memenuhi keperluan infrastruktur negara-negara yang terlibat BRI mungkin memerlukan lebih 10.6 trilion dolar AS. Janji peluang ekonomi dan pembangunan infrastruktur yang wujud dalam BRI memberikan insentif yang menarik bagi negara-negara ini untuk menutup mata terhadap Genosid Uyghur, menggariskan interaksi kompleks antara kepentingan ekonomi dan pertimbangan hak asasi manusia di peringkat global.

Bercakap mengenai diam, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mempunyai tanggungjawab besar untuk menghalang amalan tidak berperikemanusiaan di Turkistan Timur. Bagaimanapun, OIC telah gagal melaksanakan tanggungjawab ini malah telah menyokong kempen penyebaran maklumat palsu PKC dari semasa ke semasa. Pada mesyuarat OIC yang diadakan di Abu Dhabi pada 2019, dakwaan genosid Uyghur tidak diendahkan dan dasar-dasar China dibahaskan dalam bahasa yang positif; Hanya Menteri Luar Turki ketika itu Mevlüt Çavuşoğlu tidak menghadiri mesyuarat ini dan mengambil pendirian yang berbeza. Pada tahun yang sama, perlu diperhatikan bahawa antara negara yang menandatangani surat kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk menyokong China, di antaranya juga ialah negara-negara Islam yang menganggotai OIC.

Pada tahun-tahun berikutnya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara anggotanya telah memilih untuk mengekalkan sokongan mereka kepada China, walaupun mendapat kritikan daripada masyarakat diaspora Uyghur dan pertubuhan hak asasi manusia. Pendirian tidak berbelah bahagi ini dibuktikan dengan jemputan yang disampaikan kepada Menteri Luar China Wang Yi sebagai tetamu kehormat pada mesyuarat Menteri Luar OIC 2022 yang diadakan di Pakistan. Kegagalan mengutarakan genosid Uyghur semasa perhimpunan itu menekankan lagi pendirian organisasi berkenaan perkara itu.

Kebisuan negara-negara anggota OIC juga telah menjelma di arena antarabangsa. Dalam permohonan yang dibuat kepada PBB pada 2019, walaupun usaha untuk menarik perhatian kepada pencabulan hak asasi manusia di Turkistan Timur diketuai oleh negara-negara Barat, sebuah surat balas diterbitkan yang ditandatangani oleh negara-negara Islam yang menyokong China. Pada Oktober 2022, negara-negara majoriti Islam mengundi sama ada menentang atau berkecuali daripada usul yang dikemukakan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk membincangkan situasi hak asasi manusia Uyghur, telah menimbulkan kekecewaan bagi Uyghur. Langkah terbaru OIC, yang mengukuhkan lagi hubungannya dengan China, adalah lawatan ke Turkistan Timur yang memuji dasar-dasar dan polisi China. Sikap OIC dan negara anggotanya ini dilihat hasil daripada hubungan ekonomi, politik dan diplomatik yang ingin dikekalkan dengan China. Negara-negara ini telah menghadapi sekatan antarabangsa kerana pencabulan hak asasi manusia mereka sendiri dan telah bergantung kepada sokongan China dalam masa genting ini. Di samping itu, China telah menjadi kuasa yang berpengaruh dalam pasaran tenaga dan telah menarik dunia Islam ke lingkungan pengaruhnya dengan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI).

Apabila kita meneliti wilayah Arab dan Timur Tengah, di mana majoriti negara Islam berada, pengaruh Inisiatif Jalur dan Jalan(BRI), di samping kepentingan minyak, menjadi semakin jelas. Hubungan strategik China dengan dunia Arab memiliki kepentingan ekonomi dan diplomatik yang sangat besar, memainkan peranan penting dalam melindungi kerajaan China daripada penelitian terhadap pelanggaran hak asasi manusia di Turkistan Timur. Dari segi ekonomi, China sangat bergantung pada negara-negara Arab untuk memenuhi sebahagian besar keperluan minyaknya, hal yang penting untuk mengekalkan kapasiti pengeluaran globalnya. Arab Saudi, Iraq, UAE, Oman dan Kuwait secara kolektif membekalkan 52% daripada keperluan minyak China, menjadikan mereka sebagai rakan kongsi strategik.

Negara-negara ini telah menjalin hubungan perkongsian penting dengan China, dengan banyak perjanjian ditandatangani di bawah BRI sejak penubuhannya pada 2013. Mesir, misalnya, mendapat perhatian utama juga kerana lokasinya yang strategik di sepanjang Terusan Suez. Sementara itu, perjanjian-perjanjian penting seperti perjanjian 25 tahun, $400 bilion dengan Iran mendasari hubungan China yang semakin erat dengan rantau itu. Perusahaan-perusahaan yang disokong kerajaan China menerajui projek utama dan pembangunan infrastruktur di seluruh negara Arab.

Walau bagaimanapun, berbanding daripada memupuk pertumbuhan ekonomi tempatan, pelaburan China sering mengakibatkan pemindahan peluang kepada syarikat-syarikat China, dengan sumber terutamanya diperoleh daripada China sendiri. Akibatnya, dunia Arab semakin bergantung dari segi ekonomi kepada China, dinamik yang diburukkan lagi dengan pinjaman-pinjaman yang dibuat daripada institusi-institusi China. Kebergantungan ekonomi ini mengukuhkan lagi pengaruh China di rantau ini, menggarisbawahi interaksi kompleks antara kepentingan ekonomi dan hubungan diplomatik di dunia Arab.

Dalam bidang diplomatik, pergantungan ekonomi ini mengekalkan dunia Arab di dalam orbit China. China yang mempunyai hak veto dalam Majlis Keselamatan PBB menggunakan kelebihan ini untuk mengarahkan dunia Arab agar sejajar dengan kepentingan politiknya sendiri. Negara-negara Arab tanpa ragu-ragu menyokong kedudukan China di arena antarabangsa dan bertindak sejajar dengan kepentingan China dalam hubungan mereka dengan Amerika dan negara-negara Barat. Keadaan ini merupakan salah satu contoh yang paling konkrit dan dramatik bagi pepatah Turki “si peminjam menjadi pak turut”.

Satu faktor penyumbang kepada tiadanya perhatian yang diberikan kepada genosid Turkistan Timur dalam dunia Islam, dan akibat daripada pengasingan orang Uyghur, adalah penjajaran beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan cendekiawan Islam dengan China. Rejim Komunis China secara strategik menjemput para wakil pimpinan, cendekiawan, dan pemimpin dari negara-negara Islam sebagai sebahagian daripada usaha propagandanya sendiri, bertujuan untuk menghalalkan dasar penindasannya dengan bertopengkan antiterorisme.

Sebagai contoh, awal tahun 2023, delegasi yang terdiri daripada ketua World Council of Muslim Communities dan ulama dari pelbagai negara melawat Turkistan Timur. Delegasi ini membuat kenyataan yang menyokong apa yang dipanggil “langkah menentang keganasan” China dan menafikan Genosid Uyghur. Tindakan sedemikian bukan sahaja menguatkan naratif China tetapi juga menjejaskan usaha untuk menangani pencabulan hak asasi manusia yang serius dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan terhadap Uyghur.

Menurut laporan dari Pusat Kajian Uyghur, sejak 2019, ramai diplomat, cendekiawan dan wartawan telah melawat Turkistan Timur kononnya untuk menyokong dasar China, namun telah mengelak daripada menyeru untuk menamatkan genosid daripada berterusan. Tambahan pula, saluran media di negara-negara Arab, yang dipengaruhi oleh China, mengelak daripada menyebarkan berita negatif tentang China dan bertindak pula sebagai saluran untuk usaha propaganda China.

Pusat Komunikasi Antara Benua China bekerjasama dengan rangkaian media di seluruh Timur Tengah untuk menyebarkan kandungan berpusatkan China yang disesuaikan untuk rantau ini. Saluran media China, termasuk Xinhua, telah memeterai perjanjian kandungan dengan media Timur Tengah, memudahkan penerbitan kandungan yang menggambarkan China dalam cahaya yang baik. Pengaturan ini mengekalkan naratif yang sejajar dengan kepentingan China sambil mengaburkan realiti pahit pelanggaran hak asasi manusia di Turkistan Timur.

Walau bagaimanapun, China telah secara aktif mengatur usaha untuk mempengaruhi pendapat umum di negara-negara Arab, memastikan bahawa suara-suara yang menentang pembunuhan beramai-ramai di Turkistan Timur ditindas sambil menyediakan liputan yang mencukupi untuk pegawai China yang mempertahankan dasar mereka. Sebagai contoh, pegawai berpangkat tinggi seperti Konsul Jeneral China di Arab Saudi dan Menteri Luar China telah diberi platform dalam akhbar untuk menyatakan justifikasi mereka untuk tindakan di Turkistan Timur.

Di Mesir, akhbar-akhbar utama telah tunduk kepada tekanan daripada pihak berkuasa China, membuka halaman mereka untuk menyebarkan maklumat mengelirukan tentang situasi di Turkistan Timur. Yang mengejutkan, editor Al-Ahram menyifatkan kem tahanan di Turkistan Timur sebagai fasiliti pendidikan, dengan berkesan memutihkan kekejaman yang telah dilakukan. Penerbitan tajaan kerajaan di negara-negara Arab lain, termasuk Qatar dan Jordan, juga telah mengulangi penafian China terhadap Genosid Uyghur, merangka perbincangan mengenai topik itu sebagai sebahagian daripada kempen Barat terhadap China.

Usaha bersepadu ini bukan sahaja telah mengaburkan penganiayaan umat Islam Uyghur daripada masyarakat antarabangsa tetapi juga telah menyebarkan naratif palsu, bahawa China adalah satu-satunya kuasa memerangi keganasan. Manipulasi liputan media yang disengajakan ini bertujuan untuk mengaburkan kebenaran dan mengekalkan cengkaman China terhadap naratif yang mengelilingi tindakannya di Turkistan Timur.

Kesimpulannya, adalah jelas bahawa walaupun pembunuhan beramai-ramai Uyghur secara terang-terangan dan berterusan dilakukan oleh rejim Komunis China, ia secara paradoks mendapat sokongan besar daripada dunia Islam. China telah berjaya memupuk pakatan dengan negara-negara Islam dan Arab merentasi pelbagai sektor, daripada perdagangan minyak hingga penyertaan dalam Inisiatif Jalur dan Jalan, sambil tidak mengendahkan gesaan daripada organisasi hak asasi manusia untuk menghentikan genosid ini.

Malangnya, usaha berani diaspora Uyghur untuk meningkatkan kesedaran dan menentang pembunuhan beramai-ramai di Turkistan Timur kadangkala disalahtafsirkan sebagai muslihat Barat semata-mata atau cubaan untuk menghalang kebangkitan China. Realiti yang nyata ini menggariskan dinamik geopolitik kompleks yang sedang dimainkan dan menyerlahkan keperluan mendesak untuk tindakan antarabangsa bersepadu untuk mengutarakan genosid yang berterusan di Turkistan Timur.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.