Buta terhadap himpunan bukti yang semakin bertambah mengenai kekejaman (China) terhadap Uyghur, negara-negara Islam bukan setakat terus menutup mata terhadap penderitaan saudara seagama mereka tetapi juga memuji penganiaya mereka dengan pujian yang melimpah-ruah.
Taliban mengambil alih dan Afghanistan serta ketundukannya kepada China, bukan sahaja kerana kekayaan khazanah bawah tanahnya tetapi juga atas nasib ratusan Uyghur di buminya, hal yang sekali lagi memberi tumpuan kepada dunia Islam dan kebisuannya terhadap kekejaman di Xinjiang.
Buta kepada himpunan bukti[1] yang semakin bertambah mengenai kekejaman terhadap Uyghur, jenayah yang dinilai oleh banyak negara demokrasi Barat sebagai genosid, negara-negara Islam bukan setakat terus menutup mata terhadap penderitaan saudara seagama mereka tetapi juga memuji penganiaya mereka dengan pujian yang melimpah-ruah.
Memberi keterangan kepada Tribunal Genosid Uyghur[2] baru-baru ini di London, seorang Muslim Uyghur, Abdul Hakim Idris, suami kepada Rushan Abbas Pengarah Eksekutif Campaign For Uyghurs, menuduh China menggunakan kekuatan ekonominya untuk membeli kebisuan negara-negara Islam, dan negara-negara ini menyerah (kepada kemahuan China) dengan mudah.
Enggan mengkritik Beijing atas pemenjaraan besar-besaran yang dilakukannya (terhadap orang Uyghur), kehilangan (paksa) dan serangannya terhadap agama dan budaya yang disiarkannya secara meluas, para pemimpin Islam bersekongkol dengan ilusi Parti Komunis China (PKC) bahawa tindakan keras terhadap Uyghur merupakan perang melawan ekstremisme. Menunggang nama ‘keganasan’ adalah mudah, kata Idris, kerana pemimpin-pemimpin ini mengelak daripada menidakkan ‘dermawan’ (yakni China) yang kaya dan berkuasa serta pihak yang menjadi sandaran mereka.
“Para pemimpin Islam bersekongkol dengan ilusi Parti Komunis China (PKC) bahawa tindakan keras terhadap Uyghur merupakan perang melawan ekstremisme”
Pengarang buku Menace, sebuah rujukan mengenai “penjajahan China ke atas dunia Islam”, Idris mengatakan bahawa taktik yang digunakan oleh PKC untuk memikat dunia Islam ialah termasuk menggunakan Persatuan Islam China (CIA – Chinese Islamic Association) untuk melakukan kerja kotornya.
Dipimpin oleh para imam yang sentiasa berhati-hati dalam soal politik dan tidak berani bercakap menentang kerajaan mereka sendiri, CIA mengadakan sidang akhbar dan seminar di negara-negara Islam dan menggunakan jemaah Haji mereka untuk menutup masalah di tanah air mereka. Para pegawai daripada negara luar dan pemimpin masyarakat sivil diraikan di Xinjiang, menikmati lawatan masjid yang disandiwarakan, dan mendengar testimoni daripada graduan “sekolah latihan vokasional” yang dibebaskan, kononnya kehidupan mereka telah diubah oleh pengalaman (kem konsentrasi) itu.
Menurutnya, pemberian bantuan dari Beijing telah menutup mulut negara-negara dunia Islam. Pinjaman yang melumpuhkan dan projek infrastruktur yang berwawasan tinggi telah memastikan bahawa negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Arab Saudi, Mesir, Pakistan, UAE, Qatar dan Algeria, sekurang-kurangnya di atas kertas, untuk menerima justifikasi penahanan China terhadap sehingga tiga juta orang Islam Turk (Uyghur), penculikan sekurang-kurangnya setengah juta bayi dan kanak-kanaknya, pemusnahan masjid dan tapak keagamaan, penciptaan penjara terbuka di seluruh wilayah Barat Laut (yakni Turkistan) dan penguatkuasaan projek pemandulan paksa terhadap wanitanya.
Negara-negara ini, menurut Idris, telah bersekongkol dengan China untuk mengabaikan kekejaman itu sebagai “perkara dalaman” dan terletak di luar perkara yang boleh dikritik. Media di seluruh dunia Islam berdiam diri mengenai tragedi itu, katanya, memetik akhbar Al-Akhbar Mesir yang telah menjual satu halaman penuh kepada Beijing untuk menyiarkan berita dunia versi China secara harian, di mana isu Uyghur dielakkan atau diputarbelitkan. “Berbanding daripada melakukan bantahan terhadap genosid, situasi sebaliknya pula berlaku, dan kebisuan ini memekakkan telinga,” kata Idris.
OIC menjadi semakin tutup mulut sejak 2019 apabila kekejaman (China) ini terbongkar sepenuhnya, kata Omer Kanat, pengarah eksekutif Uyghur Human Rights Project (UHRP). Beliau menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin Islam selaku tindakbalas kepada krisis ini sebagai “tidak masuk akal.”
“China mempunyai hak untuk mengambil langkah anti-keganasan dan nyah-ekstremisme demi menjaga keselamatan negara,” katanya, memetik Putera Mahkota Saudi Mohammad bin Salman, pada Februari 2019.
“Terus terang, saya tidak tahu banyak tentang itu,” jawab Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, pada Mac 2019 ketika ditanya di depan rumahnya tentang penahanan beramai-ramai (Uyghur). Takut untuk menjejaskan fasa kedua Perjanjian Perdagangan Bebas China-Pakistan yang ditandatangani pada Januari 2020, beliau mengulangi penafian laporan itu pada Jun 2021, apabila beliau berkata, “Dalam perbincangan kami dengan pihak Cina, hal sebenarnya bukanlah seperti yang dinyatakan ini. China telah menjadi salah satu kawan terbaik kita dalam waktu-waktu yang paling sukar. China datang untuk menyelamatkan kita ketika ekonomi kita berdepan krisis.”
“Berbanding daripada melakukan bantahan terhadap genosid, situasi sebaliknya pula berlaku, dan kebisuan ini memekakkan telinga”
Presiden Indonesia Joko Widodo, dipetik pada Mac 2019 sebagai menafikan sebarang pengetahuan tentang kekejaman itu. “Saya tidak tahu fakta sebenar kejadian di sana, jadi saya tidak mahu mengulas,” katanya.
Para pemimpin di negara majoriti Islam lain, seperti Bahrain, Mesir, Iran, Morocco, Palestin, dan Emiriate Arab Bersatu, telah memberikan sokongan mereka kepada dasar-dasar China terhadap Uyghur di PBB.
Nasib seorang Uyghur, Idris Hasan, yang kini ditahan oleh pihak berkuasa Morocco berikutan tuntutan Beijing supaya dia diserahkan, bergantung tanpa tali.
Berpuluh-puluh pelajar Uyghur berdepan nasib yang tidak menentu oleh Universiti Al-Azhar Mesir berikutan desakan Beijing[3] pada 2017 dan ramai orang Uyghur telah diserahkan kepada China oleh Tajikistan, Uzbekistan dan Kirghistan.
Penjara rahsia[4] Dubai untuk Uyghur sementara menunggu ekstradisi mereka juga baru-baru ini terbongkar.
Kes pertama yang didokumenkan mengenai penghantaran orang Uyghur secara paksa yang dianggap sebagai pengganas oleh Beijing, adalah pada 1997 apabila 14 orang Uyghur dipulangkan oleh Pakistan[5] dan dihukum bunuh selepas menyeberangi sempadan. Kes ini dan sejumlah 1,546 kes di 28 buah negara – berlakunya penahanan dan pengusiran antara 1997 hingga Mac 2021, telah disusun oleh Oxus Society for Central Asian Affairs dan UHRP dalam laporan baharu No Space Left to Run[6] diluncurkan pada Jun tahun ini.
Kesimpulannya menunjukkan bagaimana pemerintahan-pemerintahan negara yang kebanyakannya Islam “telah bekerjasama dengan Beijing[7] untuk mengawasi, menahan, dan menghantar pulang orang Uyghur dan minoriti Islam lain dari China yang telah melarikan diri dari Xinjiang.”
Bradley Jardine, pengarah penyelidikan di Oxus Society for Central Asia Affairs dan pengarang utama laporan itu, memberitahu RFE/RL, “Pangkalan data ini menunjukkan bahawa ia bukan semata-mata kemunafikan daripada dunia Islam, ia hakikatnya adalah sebuah kerjasama aktif dengan China.”
Idris berasa risau dengan sikap talam dua muka negara-negara Islam. Dengan satu nafas, mereka bersumpah setia kepada saudara Islam mereka, dakwanya, sementara pada masa yang sama mereka masih berpuas hati menerima pemberian besar daripada China.
Semasa lawatan ke Kashgar di tanah air Uyghur, semasa beliau (Khamenei) masih menjadi presiden, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menyatakan cinta yang mendalam kepada bandar itu. “Dia tahu benar tentang apa yang berlaku di Xinjiang,” kata Idris, “Tetapi meskipun demikian, Iran dengan gembiranya memeterai perjanjian 400 bilion dolar dengan China tahun ini, untuk membina jalan mereka, infrastruktur mereka, dan memasang rangkaian 5G Huawei.”
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad bin Salman, menerima perjanjian pelaburan 93 bilion dolar daripada China sambil menyokong usaha anti-keganasan China dengan penuh semangat. Menurut Idris, sokongan Saudi untuk kekejaman di TV nasional China telah menguatkan perang propaganda Beijing apabila ia diberi masa siaran maksimum di seluruh wilayah itu.
“Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad bin Salman, menerima perjanjian pelaburan 93 bilion dolar dari China sambil menyokong usaha anti-keganasan China dengan penuh semangat”
Daripada institut-institut Confucius UAE yang membuka kelas bahasa Mandarin, ke portfolio pelaburan 150 bilion dolar Pakistan, ke kerjasama dengan Mesir dalam membina modal baharunya, tekanan ke atas Turki untuk meratifikasi perjanjian ekstradisi sebagai pertukaran untuk vaksin Covid, dan yang terakhir menawarkan untuk membantu kerajaan Taliban yang jahat (yang dengannya ia telah menikmati hubungan baik sejak 1998) membina semula negara itu sebagai pertukaran untuk litium dan orang Uyghur; cengkaman Beijing terhadap dunia Islam semakin ketat, dakwa Idris.
Penubuhan Pertubuhan Kerjasama Shanghai pada tahun 2001 untuk memastikan keselamatan dan kestabilan di seluruh rantau Eurasia yang luas, telah menjadikan China bertambah kuat, menurut Idris, dan seterusnya semakin memusuhi Uyghur. Terdiri daripada China, India, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Pakistan, Rusia, Tajikistan, Uzbekistan, dan terkini Iran, perjanjian ekstradisi tidak diperlukan antara negara anggota, dan tuntutan oleh China untuk menyerahkan orang Uyghur dipatuhi sebarang penolakan. Tawaran China untuk membina firewall internet di setiap negara ini akan mengubah mereka menjadi negara penindas dan orwellian seperti yang berlaku di Xinjiang.
Meski dengan pengkhianatan dan aturjanji ganda ini, Omer Kanat telah menyedari permulaan lonjakan sokongan terhadap Uyghur daripada umat Islam di lapangan, yang bersedia untuk bangkit dan menentang pemimpin mereka. Bercakap kepada agensi berita Malaysia, Malaysiakini, beliau berkata bahawa pada Disember 2020, 150 pertubuhan Islam daripada 15 negara menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam supaya mematuhi piagamnya[8], untuk “memelihara dan mempromosikan nilai-nilai Islam yang luhur iaitu keamanan, belas kasihan, toleransi, kesaksamaan, keadilan, dan maruah manusia” dan mengutuk jenayah kejam yang dilakukan terhadap orang Uyghur.
“NGO daripada sembilan negara majoriti Islam, termasuk Malaysia dan Indonesia, telah menyokong seruan global untuk bertindak meminta syarikat-syarikat berhenti mengaut keuntungan daripada hasil buah tangan buruh paksa Uyghur yang diatur oleh pemerintahan (China),” katanya, berasa bersemangat melihat masyarakat sivil Islam di media sosial, dengan kumpulan seperti “Malaysia4Uyghur”, “Free Uyghur Now” dan “Indonesia Save Uyghur” menyeru kepada tindakan segera (memboikot ini).
Beliau berasa terharu melihat kepada penzahiran rasa tidak puas hati masyarakat sivil di seluruh dunia yang semakin meragui pengaruh politik dan ekonomi China di negara mereka. “Ketika naratif China tentang modal bebas syarat, bebas hutang, dan modal mampan terbongkar,” katanya, “protes di Argentina, Hungary, Kazakhstan, Kenya, Kyrgyzstan, Myanmar, Sri Lanka, dan Vietnam, antara lain, seharusnya membuat para pemimpin negara Islam berhenti sejenak untuk berfikir: adakah berbaloi untuk mematuhi wawasan dunia Beijing sebagai pertukaran untuk bantuan, perdagangan, dan pelaburan apabila rakyat semakin mempersoalkan dasar ini?” soalnya.
Tetapi untuk protes-protes ini mendapat daya tarikan yang mencukupi untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh pemimpin mereka di PBB, ketakutan terhadap tindakan balas ekonomi (China) adalah halangan yang ketara (kepada tekanan ini). Merujuk kepada keupayaan Beijing untuk menghalang penentangan terhadap dasar-dasarnya di seluruh dunia, dan pencabulannya yang berterusan terhadap kebebasan bersuara, beliau memberi amaran, “Ketakutan ini telah menggadaikan orang Uyghur. Tetapi jika diam menjadi kebiasaan, siapa yang akan menjadi seterusnya akan digadaikan?”
Pengarang menulis menggunakan nama samaran untuk melindungi identitinya
Sumber: The New Arab
https://english.alaraby.co.uk/features/uyghur-silence-beijings-grip-muslim-world-tightens
[1] https://www.malaysiakini.com/columns/580235
[2] https://uyghurtribunal.com/
[3] https://www.reuters.com/article/us-egypt-china-uighur-idUSKBN19S2IB
[4] https://www.aljazeera.com/news/2021/8/16/detainee-says-china-has-secret-jail-in-dubai-holds-uighurs
[5] https://web.archive.org/web/20060430122421/http:/web.amnesty.org/library/Index/ENGASA330142002?open&of=ENG-325
[6] https://uhrp.org/wp-content/uploads/2021/06/Transnational-Repression_FINAL_2021-06-24-1.pdf)
[7] https://www.rferl.org/a/islamic-world-china-uyghurs/31324045.html
[8] https://www.malaysiakini.com/columns/580235
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara