• Washington DC
Ikut kami:

Semuanya bermula pada satu hari di bulan Ramadan.

Oleh: Abdullah Oguz.

Masjid Id Gah, Kashgar.

Perarakan paling suci dalam sejarah manusia bermula dengan risalah yang dikirimkan kepada Nabi kita -SAW- pada malam ke-27 Ramadan.

Sejak itu, bulan Ramadan telah dianggap sebagai simbol rahmat, limpah nikmat, kebangkitan, dan pembaharuan diri yang sangat didambakan oleh umat Islam. Umat Islam menunggu Ramadan dengan penuh cinta, semangat, dan kegembiraan.

Seperti yang dinyatakan oleh tuan Sezai Karakoç secara ringkas dalam puisi berikut, Ramadan adalah salah satu sumber kehidupan rohani kita yang paling penting. “Puasa membangkitkan jiwa, sedang ia juga membangkitkan seluruh kekuatannya. Jika masyarakat Islam belum mati sepenuhnya pada zaman-zaman terakhir ini ketika ia sedang berlari menuju kematian, dan ia masih hidup; ia berhutang ini sebahagian besarnya kepada Ramadan, yang datang dan membangkitkannya. Dan jika ia akan dibangkitkan suatu hari nanti, ia akan bermula semula pada Ramadan, ia akan bermula dengan Ramadan.”

Jika China dengan mentaliti penjajahnya masih belum dapat memusnahkan umat Islam di Turkistan Timur meskipun sudah mengambil masa selama 250 tahun lamanya, salah satu sebabnya ialah umat Islam Turki Uyghur menggarap semangat Ramadan yang bangkit dalam setiap peluang yang mereka mampukan. Umat Islam yang hidup di pelbagai kawasan di muka bumi hari ini, tidak kira dalam apa keadaan sekalipun; sama ada peperangan, penjajahan, tekanan politik atau ekonomi … mereka boleh menikmati dan mengamalkan Ramadan. Tidak ada diktator memusuhi Islam dan kemanusiaan yang mampu menghalang umat Islam daripada menjalani bulan Ramadan.

Satu-satunya pengecualian hanyalah untuk rejim merah yang mengamalkan keganasan dan genosid, yang melihat Islam sebagai penyakit mental dan secara terbuka mengisytiharkan bahawa ia akan mencinakannya, dan mempraktikkan semua jenis tindakan tidak berperikemanusiaan untuk menghapuskan Islam secara keseluruhan: aspek materinya dan rohaninya. Malah, umat Islam dari Turkistan Timur menantikan Ramadan seolah-olah menunggu anak lelaki mereka yang sudah setahun tidak berjumpa. Namun pada hari ini, mereka tidak dapat bertemu (dengan Ramadan), tidak dapat menunaikan solat, malah meneruskan hidup tanpa menyedari Ramadhan telahpun tiba.

Umat Islam yang hidup di bawah genosid rejim penjajah Cina telah dihalang daripada hak kebebasan berpuasa, beribadat, melaksanakan perintah asas Islam, menzahirkan kepercayaan mereka, dan menyatakan kepercayaan mereka kepada Allah dan Hari Akhirat. Satu-satunya cara untuk bertahan di Turkistan Timur adalah menjadi hamba kepada negara pengganas merah. Saudara-saudara anda yang tinggal di tanah asal bangsa Turk di Turkistan Timur telah dihalang daripada kesemua hak asasi mereka. Mereka mati dalam genosid yang dilakukan oleh mereka yang tidak melihat orang selain mereka sebagai manusia penuh, dan tidak mempunyai belas kasihan kepada mana-mana makhluk hidup.

Umat Islam di Turkistan Timur di bawah genosid pemerintahan Cina Komunis – sebuah genosid yang menjadi-jadi dek kebisuan dunia Turk dan dunia Islam;

  • Mereka dilucutkan daripada hak asasi manusia seperti hak keselamatan nyawa dan harta benda, hak kebebasan, hak privasi isi rumah; perlindungan undang-undang seperti anggapan ketakbersalahan (presumption of innocence), selamat daripada penahanan sewenang-wenangnya dan di luar bidang kehakiman (extrajudicial), hak untuk perbicaraan yang adil, hak mempertahankan diri, hak kemanusiaan ketika dituduh dalam jenayah; kebebasan untuk mengamalkan identiti kebangsaan dan agama mereka, kebebasan untuk menggunakan bahasa mereka, serta hak melindungi dan memelihara aset budaya mereka.
  • Mereka diperlakukan dengan cara pembunuhan di luar bidang mahkamah yang paling teruk, pelbagai penyeksaan, layanan buruk, kerja paksa, penahanan atau pengusiran dari tempat kediaman mereka; diskriminasi, perkahwinan paksa, dan rampasan aset mereka.
  • Mereka diseksa secara berasingan di kem konsentrasi mirip seperti yang pernah dibangunkan Hitler, Stalin, dan Mao; Di bawah pengawasan berterusan, maruah mereka dicabul, dan mereka terpaksa menafikan agama dan identiti kebangsaan mereka. Mereka dipenjarakan sebagai tersangka tanpa had tempoh penjara yang tertentu, tanpa perbicaraan, tanpa pendakwaan.
  • Hampir satu juta kanak-kanak diasingkan secara paksa daripada ibu bapa mereka dan dibesarkan seperti orang Cina, jauh daripada identiti agama dan kebangsaan mereka, di pusat tahanan yang dipanggil “taska”.
  • Mereka yang tinggal di luar kem konsentrasi ini pula tinggal di penjara terbuka, di bawah kawalan teknologi pengawasan terkini dalam semua aspek kehidupan mereka, kerana takut ditangkap atau dibunuh; mereka merasakan seperti pedang menghayun ke arah mereka sepanjang masa.

Sebenarnya, genosid yang dilakukan oleh China ini bukan dilakukan terhadap Turkistan Timur, tetapi terhadap seluruh dunia Islam dan dunia Turk. Kerana Negara Merah Pengganas ini menganggap Islam dan bangsa Turk sebagai penyakit mental yang perlu dirawat. Sungguhpun begitu, dunia Islam berdiam diri terhadap isu di Turkistan Timur. Tetapi kita adalah orang-orang yang beriman yang Allah jadikan kita saling bersaudara. Bukankah ini punca utama penderitaan yang dialami di seluruh pelusuk dunia Islam hari ini!? Jika kita meninggikan suara terhadap ular yang hanya mematuk diri kita sendiri seperti yang dilakukan oleh Imran Khan, dan jika kita menghamparkan permaidani merah kepada ular yang menggigit saudara kita dan pembunuh mereka, kita akan sentiasa berpecah-belah dan ditindas.

Ramadhan ini, jadikanlah ia Ramadhan yang benar memberi kesan…

Semoga suasana Ramadan yang penuh barakah ini menjadi hari di mana kita mula bersuara menentang genosid terhadap saudara kita di Turkistan Timur, untuk kita cuba mencegahnya, dan untuk kita mengumumkan kepada dunia tentang wujudnya genosid ini meskipun kita tidak mampu melakukan lebih dari itu. Agar pada Hari Penghakiman, apabila kita terserempak dengan wanita yang tinggal di kem konsentrasi dan penjara tersebut dan memohon “Bunuhlah saya!”; apabila kita bertemu dengan 25 juta ibu, bapa, anak-anak, dan orang tua yang sedih dan terluka, dan apabila mereka bertanya, “Apa yang telah kamu lakukan untuk kami?”, ada cara untuk melihat mereka dan mempunyai jawapan untuk diberikan kepada mereka …

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.