• Washington DC
Ikut kami:

Genosid Uyghur: Kenapa rata-rata negara Muslim diam membisu?

Seperti yang telah disahkan pada mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam di Islamabad, mereka memerlukan kepada wang yang dimiliki China, perlindungannya dalam PBB, dan teknologi pengawasannya.

Oleh: Abdulhakim Idris

Menteri Luar China Wang Yi bertemu dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hussein Ibrahim Taha di Islamabad, Pakistan pada 22 Mac 2022. Sumber: Kementerian Luar Negeri Republik Rakyat China.

Kini, dunia berbicara mengenai penjajahan Ukraine oleh Rusia. Kesan daripada penjajahan itu yang berikutnya mencipta gegaran di arena antarabangsa akan menjadi agenda dan bicara utama dalam beberapa tahun akan datang. Negara yang paling mencuri perhatian berkenaan sikapnya terhadapa penjajahan ini ialah China. Atas nama prinsip berkecuali, China mengambil sikap berdiam diri terhadap penjajahan rejim Rusia. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku, ia meneruskan tekanan diplomatik dan ekonominya di wilayah yang disasarkannya untuk cita-cita penjajahannya sendiri.

Contoh paling ketara mengenai perkara ini telah muncul dalam mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diadakan minggu lalu di Islamabad, ibu negara Pakistan. Dalam mesyuarat yang dihadiri menteri-menteri luar daripada 57 buah negara Islam yang menganggotainya, satu-satunya menteri negeri yang dijemput daripada negara bukan Islam ialah Menteri Luar China Wang Yi. Luar biasa bagaimana Perdana Menteri Pakistan Imran Khan, yang menjadi tuan rumah mesyuarat itu telah memuji rejim China yang melakukan genosid ke atas umat Islam Uyghur.

Selesainya mesyuarat pertubuhan itu, sebuah kenyataan bersama dikeluarkan menegaskan wujudnya penganiayaan terhadap umat Islam di setiap kawasan; dari Afghanistan ke Kashmir, dari Yaman ke Syria, dari Palestin ke Myanmar. Kecuali Menteri Luar Turki Mevlüt Çavuşoğlu, orang Uyghur yang menjadi sasaran genosid oleh Parti Komunis China di Turkistan Timur diabaikan oleh yang lain. Apakah sebab utama Genosid Uyghur, yang telah ditakrifkan sedemikian oleh banyak negara dan pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, tidak diakui oleh negara-negara Islam?

Terdapat tiga elemen asas dalam penafian mereka terhadap penindasan kaum Uyghur oleh negara-negara Islam walaupun mereka umat seagama. Ini adalah ketergantungan ekonomi (kepada China), keperluan kepada kuasa diplomatik China di arena antarabangsa terutamanya dalam PBB, dan isu keselamatan. Dalam artikel ini, isu-isu ini akan dibahaskan secara ringkas.

Negara yang mempunyai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika ialah China. Sumbangan langsung dan tidak langsung negara-negara barat kepada pencapaian China menjadi kuasa ekonomi ini boleh dibahaskan secara tersendiri. Walau bagaimanapun, tidaklah mengejutkan sesiapapun sekiranya China dilihat mempunyai kuasa ekonomi setanding dengan Amerika pada masa hadapan. Walaupun China meningkatkan kuasa ekonominya sendiri, ia mahu mengawal sumber ekonominya. Mempunyai akses kepada sumber tenaga dan bahan mentah tanpa had adalah penting bagi China untuk mengekalkan kuasa ekonominya.

Apabila kita melihat formula ini, perhitungan berikut muncul dalam perkiraan. Adanya China yang memerlukan tenaga dan bahan mentah, dan ada negeri yang mempunyai sumber ini, kebanyakannya di Timur Tengah dan Afrika, termasuklah negara-negara Islam.

Pemerintahan Beijing telah mengemukakan satu inisiatif baharu pada tahun 2013 untuk mengekalkan kuasanya dalam mengawal neraca (ekonomi) ini. Format ini yang dikenali secara ringkas sebagai Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) diperkenalkan kepada dunia dengan janji pembangunan yang saksama. Tetapi apabila kita melihat kawasan-kawasan di mana BRI diadakan, ia dilihat merentasi dua buah laluan utama. Yang pertama ialah titik penting laluan perdagangan dunia. Sebagai contoh, Terusan Suez Mesir, Pelabuhan Gwadar Pakistan, dan laluan transit maritim di Asia Pasifik seperti Malaysia dan Indonesia. Kedua, kawasan di mana minyak dan sumber tenaga lain berada. Minyak yang dimiliki Iran dan Arab Saudi dan lombong-lombong di negara-negara Afrika sebagai contohnya.

Ketika China makin berkembang, ia meyakinkan pemerintah negara yang menjadi kliennya dengan projek pelaburan dalam pelbagai bidang untuk memenuhi permintaannya di sektor-sektor yang disebutkan di atas. Sebilangan besar projek ini kini berada dalam skop BRI. Angka yang dimasukkan dalam buku primer menunjukkan pelaburan China yang disediakan oleh Institut Perusahaan Amerika (yang banyak) menjelaskan mengapa menteri-menteri luar negara Islam mengejar Wang Yi pada mesyuarat di Islamabad yang tersebut. Sebagai contoh jumlah pelaburan yang diterima Pakistan, yang menjadi tuan rumah mesyuarat itu, daripada China, dari 2005 hingga 2021 adalah kira-kira 65.5 bilion dolar. Sebahagian besar pelaburan ini, sekitar $49 bilion adalah dalam bidang pembinaan.

Apabila kita melihat kepada Arab Saudi, salah sebuah negara Islam terkemuka dan menjadi tuan rumah sekretariat agung OIC, gambaran yang kita hadapi adalah seperti berikut: Ia adalah pelaburan sebanyak 43.3 bilion dolar, termasuk projek pembinaan sebanyak 36.2 bilion dolar. Situasi Iran yang melihat dirinya sebagai jurucakap dunia Islam tiada bezanya. Jumlah pelaburan pembinaan yang dibuat oleh orang Cina di Iran adalah kira-kira 21 bilion dolar. Fakta yang didedahkan oleh angka-angka tersebut ialah negara-negara dunia Islam hari ini telah menjadikan ekonomi mereka bergantung kepada China atas nama pelaburan. Oleh itu, bagi mereka, tiada maknanya dan tidak pentingpun muslim Uyghur berada di bawah genosid oleh rejim Komunis China.

Kecuali beberapa negara seperti Turkiye dan Bosnia dan Herzegovina, tidak banyak negeri yang mengamalkan demokrasi dalam dunia Islam. Apabila kita melihat kepada rejim-rejim ini dalam geografi dunia Islam, kita melihat wujudnya sistem-sistem yang samada pemerintahan beraja ataupun republik, tetapi dalam praktiknya, ia didominasi dasar-dasar yang menindas. Adalah tidak bermakna untuk mengharapkan hak asasi manusia dihargai dalam sistem pemerintahan di mana demokrasi dipinggirkan. Pada masa yang sama, ketua-ketua negara ini tidak dianggap bertanggungjawab ke atas semua dasar yang menindas ini serta sebarang langkah yang telah mereka ambil selaras dengan dasar-dasar (yang menindas) ini. Tiada siapa yang boleh mempertanggungjawabkan mereka di dalam sempadan negara mereka sendiri. Serta meskipun jenayah dilakukan dalam negara yang boleh menimbulkan reaksi masyarakat antarabangsa, masyarakat dunia tidak mungkin berbuat apa-apa.

Fakta yang negara-negara yang disebutkan di atas mengabaikan nilai sejagat antarabangsa, serta fakta bahawa rejim penindas seperti China menaungi mereka, juga mempunyai kesan (kepada isu ini). Apabila kita melihat peristiwa yang meruntuhkan dunia dalam sejarah baru-baru ini, contoh-contoh ini dapat dilihat dengan jelas. “Kuasa veto” China dalam Majlis Keselamatan PBB memberi tekanan kepada negara-negara Islam yang menindas. Rejim-rejim ini, yang tidak mahu bertanggungjawab di hadapan masyarakat antarabangsa, berasa selesa sekiranya isu hak asasi manusia dibawa ke PBB dan tiada apa tindakan yang akan berlaku. Oleh itu, amat menyedihkan bahawa hampir tiada negara Islam dalam deklarasi PBB menentang dasar-dasar China terhadap orang Uyghur. Sokongan negara Islam yang sama dalam deklarasi-deklarasi tersebut memuji China menunjukkan kelemahan mereka. Akibat kelemahan ini, Wang Yi mendapat perhatian besar pada mesyuarat OIC, mesyuarat di mana masalah umat Islam di dunia dibincangkan.

Bersekali dengan BRI -yang disebut dalam bahagian ekonomi artikel ini- rejim komunis China menyokong pemerintahan negara-negara Islam dalam dua peringkat. Yang pertama ialah pelaburan dalam bidang ketenteraan. Percubaan untuk membina fasiliti yang menghasilkan kapal tanpa pemandu di Arab Saudi, yang terlibat dalam serangan ketenteraan di Yaman, adalah contoh penting (berkait isu ini).

Walaupun ia tidak menarik perhatian masyarakat dunia sepenuhnya, sebuah sistem yang lebih berbahaya yang akan menjejaskan kehidupan manusia sedang dibina di negara-negara Islam di bawah pimpinan China. Ini adalah sistem pengawasan (surveillance system) berdasarkan teknologi canggih yang telah dicuba ke atas orang Uyghur di Turkistan Timur dan telah menjadikan hidup mereka penjara bawah tanah. Rejim-rejim kuku besi bercita-cita untuk memiliki teknologi pengawasan yang ditawarkan oleh syarikat yang memiliki hubungan dengan rejim Komunis China, dengan tujuan untuk memantau dan menindas hak para penentang mereka. Butiran dalam sebuah dokumentari mengenai subjek ini dalam saluran PBS adalah mengerikan; kini orang Uyghur tinggal di penjara maya. Kaedah pengawasan ini sedang dibina di negara-negara yang berkaitan, dengan nama ‘teknologi komunikasi baharu’. Apabila butiran perjanjian mengenai BRI diterbitkan, ternyata adanya peruntukan disertakan untuk pembinaan sistem (pengawasan) ini di negara-negara seperti Pakistan dan Iran. Lagipun, tidak menghairankan, rejim yang tidak menghargai hak asasi manusia di negara mereka sendiri dan yang didakwa mempertahankan hak orang Islam bercita-cita untuk menggunakan salah satu alat terpenting (yang mengawal orang ramai) dalam Genosid Uyghur.

Mengambil kira isu-isu yang disenaraikan di atas, sebuah gambaran sedih muncul. Pemerintah negara-negara Islam sedang mengikuti sebuah rejim yang melancarkan perang terhadap agama Islam yang mereka percayai. Memalukan, negara-negara Islam sekali lagi menjadi penyorak terbesar rejim pembunuh ini yang melihat agama sebagai candu, yang membakar al-Quran, yang memusnahkan masjid, yang memenjarakan wanita bertudung, dan yang membunuh bayi dalam kandungan. Para penguasa yang menutup mata terhadap kekejaman ini ditakdirkan untuk mengambil tempat mereka dalam lembaran sejarah sebagai penyokong kepada genosid ini.

Sumber: Bitterwinter.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.