• Washington DC
Ikut kami:

Liku-liku menjadi seorang Bapa di Turkistan Timur

Menjadi seorang bapa di Turkistan Timur hari ini bermakna menanggung tekanan hebat di bawah sistem pengawasan ketat kerajaan CCP yang memerangkap kehidupan peribadi. Ramai bapa Uyghur melaporkan kunjungan mengejut oleh pegawai kerajaan yang melaksanakan dasar “Padanan Penjawat Awam–Keluarga (Civil Servant-Family Pair Up)”. Dalam dasar ini, penjawat awam berbangsa Han tinggal bersama keluarga Uyghur bagi memantau tingkah laku, amalan agama, dan budaya harian mereka. Ini bukan sahaja menceroboh privasi, malah menggugat peranan seorang bapa dalam mendidik anak-anak tentang warisan dan identiti mereka.

Setiap bentuk ekspresi budaya seperti bertutur dalam bahasa ibunda atau berdoa di rumah boleh dianggap sebagai “ketidakpatuhan” dan berisiko membawa kepada penahanan di kem “pendidikan semula”. Lebih membimbangkan, dasar kawalan populasi memaksa wanita—termasuk para ibu—menjalani pemeriksaan kehamilan, pemandulan dan pengguguran secara paksa. Bapa yang memiliki lebih anak daripada yang dibenarkan berdepan denda besar, pemenjaraan, atau kehilangan anak mereka kepada sistem dan polisi negara.

Kanak-kanak pula dibesarkan dalam sistem pendidikan yang sarat dengan propaganda dan asimilasi budaya secara paksa, menjauhkan mereka daripada akar identiti Uyghur. Ada yang dihantar ke sekolah berasrama atau rumah anak yatim jika ibu bapa didapati melanggar peraturan.

Kita tidak melupakan kisah Aysu dan Lutfullah Kuchar, dua adik beradik yang dipisahkan secara paksa oleh CCP daripada bapa mereka, dan menjalani program asimilasi paksa. “Itu adalah saat paling berat dalam hidup saya,” kata bapa mereka. “Berdiri di hadapan anak-anak saya sendiri, mendengar mereka bercakap hanya dalam bahasa Cina, saya rasa seperti saya telah mati.”

Kita tidak melupakan kisah Mihriban Kader, anak-anaknya diculik oleh CCP. Mereka dikembalikan secara paksa ke rumah anak yatim dan sekolah berasrama penuh. “Kini anak-anak saya berada di tangan kerajaan China, dan saya tidak tahu sama ada saya akan berjumpa mereka lagi atau tidak,” kata Mihriban. “Apa yang paling menyakitkan ialah mengetahui bahawa, bagi mereka, ia seolah-olah kita tidak lagi wujud- seolah-olah kita telah mati dan mereka telah menjadi yatim piatu.”

Namun, di sebalik semua tekanan ini, para bapa tetap berusaha mempertahankan nilai, bahasa dan akidah Islam mereka. Dalam diam, mereka terus menanam harapan dan ketabahan dalam jiwa anak-anak, meskipun masa depan tampak suram di bawah bayang penindasan.

Selamat Hari Bapa kepada bapa-bapa di Turkistan Timur, yang berdepan kekal tabah berdepan cabaran yang besar ini. Mereka adalah bapa-bapa yang hebat – yang perlu dihargai dan dikenang, serta dibantu dengan cara apa sekalipun, atas nama kemanusiaan.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara