
Pada tahun 1988, warga Uyghur memutuskan bahawa ini sudah cukup. 15 Jun bukan sekadar tarikh—ia melambangkan maruah, keberanian, dan penentangan. Ini adalah sebuah memori peribadi.
Ditulis oleh Dolkun Isa.
Setiap tahun semenjak 1988, 15 Jun telah diperingati sebagai hari penting bagi warga Uyghur dan setiap orang yang menghargai kebebasan dan keadilan—ulang tahun Demonstrasi Pelajar, salah satu tindakan penentangan yang paling tidak dapat dilupakan dalam sejarah bangsa Uyghur. Ulangtahunnya yang ke-37 pada 2025 sekali lagi mengingatkan dunia bahawa apa yang berlaku pada hari itu bukanlah sekadar sebuah episod protes yang diketuai oleh golongan muda, tetapi menjadi titik perubahan dalam perjuangan rakyat Uyghur untuk menuntut demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan di Xinjiang/Turkistan Timur.

Dolkun Isa (di tengah) dan rakan-rakan sekelasnya pada masa mereka dibuang daripada Universiti Xinjiang pada September 1988.
Pada masa itu, saya hanya seorang pelajar universiti pada usia awal dua puluhan. Mengetuai gerakan ini bukan sahaja menjadi satu kewajipan—ia adalah satu maruah dan kehormatan. Sekarang pun, saya masih ingat lagi keseronokan dan keperihan hari-hari itu seakan-akan ia baru berlaku semalam. Melalui mesej yang dituliskan sini, saya ingin menghargai semangat hari itu, memberi penghormatan kepada rakan-rakan aktivis saya, para pemimpin yang telah kita kehilangan, dan demi sifat pemberani warga Uyghur.
15 Jun 1988: Hari di mana Para Pelajar Bangkit Memecah Sunyi

Surat sokongan pentadbiran universiti akan aktiviti Persatuan Sains dan Kebudayaan Pelajar.
Percikan api yang mencetuskan protes itu berlaku muncul selepas bertahun-tahun lamanya diskriminasi sistematik dan penghinaan pelajar-pelajar Uyghur. Pada 5 Mei 1988, grafiti-grafiti berunsur perkauman dan merendahkan martabat telah diconteng di tandas Jabatan Fizik di Universiti Xinjiang di Urumchi. Kata-kata itu termasuklah slogan-slogan keji seperti: “Mari kita jadikan para lelaki Uyghur sebagai hamba, dan jadikan anak-anak gadis mereka menjadi pelacur.”
Di sebalik kejadian yang menghina dan memalukan ini, pihak pentadbiran dan pihak berkuasa universiti tetap berdiam diri. Para pelajar Uyghur cuba menyuarakan kebimbangan mereka melalui saluran perundangan dan rasmi, mengemukakan petisyen dan berusaha membuka pintu dialog. Namun, kesemua usaha ini sama ada ditolak atau diabaikan. Ia menjadi jelas—berdiam diri bukan lagi pilihan.
Pada pagi 15 Jun, ribuan pelajar berkumpul di Universiti Xinjiang untuk mengadakan “Perhimpunan Menentang Diskriminasi Etnik.” Mereka kemudiannya membanjiri jalanan dengan sepanduk di tangan dan slogan di bibir mereka: “Kami membantah diskriminasi etnik!”, “Hidup hak asasi manusia!”, “Kami mahu demokrasi“, “Kami mahu hak yang samarata“, “Katakan Tidak kepada dasar perhambaan China!”
Jalanan dipenuhi bukan sahaja dengan kemarahan golongan belia tetapi juga dengan sokongan rakyat. Sebahagian simpatisan ada yang menangis sambil memeluk para demonstran belia. Ini lebih daripada sekadar protes—ia adalah perjuangan demi menegakkan maruah.
Pembentukan Persatuan Sains dan Kebudayaan Pelajar
Pergerakan ini tidaklah spontan. Pada tahun 1987, para pelajar Uyghur di Universiti Xinjiang telah pun menubuhkan struktur yang teratur: Persatuan Sains dan Kebudayaan Pelajar. Saya berkhidmat sebagai presidennya. Timbalan saya ialah Rushan Abbas dan mendiang Ablimit Memet. Setiausaha Agung kami ialah Waris Ababekri, yang meninggal dunia secara tragis di kem tahanan Cina pada November 2019.

Kad keahlian Persatuan Sains dan Kebudayaan Pelajar.
Usaha-usaha yang digembleng kesatuan kami bukan sahaja bersifat ideologi tetapi juga praktikal. Kami menghantar guru-guru sukarelawan ke kawasan yang kurang mendapat perhatian, menganjurkan kursus-kursus literasi budaya dan undang-undang, mengadakan pameran foto, dan mempromosikan pendidikan patriotik melalui persembahan drama, syarahan dan acara-acara kesenian. Kami memulakan gerakan untuk memupuk kesedaran dan semangat orang Uyghur.
Penindasan China: Diam yang Dipaksa
Protes 15 Jun ini menggegarkan pihak berkuasa China. Walaupun ia sebuah protes yang ditindas, impaknya masih kekal bertahan. Peristiwa itu dilabelkan sebagai “Insiden 15 Jun.” Sebagai pemimpin pelajar, kami menjadi sasaran untuk disiasat. Beratus-ratus pegawai peringkat tinggi dan pegawai polis turun memantau, menyoal siasat, dan mengganggu kami. Setiap langkah yang kami ambil terletak di bawah pengawasan. Saya diletakkan di bawah tahanan rumah.
Selepas empat bulan disoal siasat, saya dan Waris Ababekri dibuang universiti. Sementara yang lain dipindahkan ke kawasan luar bandar selepas tamat pengajian dan dihalang daripada hak pekerjaan. Ramai yang terlibat dalam demonstrasi itu masih berada di bawah pengawasan negara hingga ke hari ini. Waris Ababekri kehilangan nyawanya di dalam kem tahanan. Saya berjaya melarikan diri ke luar negara pada tahun 1994 dan memperolehi kebebasan saya.


Dokumen merah yang menyatakan sebab pembuangan penulis dari universiti
(salinan dokumen asal dalam bahasa Uyghur dan Cina).
Hari Ini: Berdepan sebuah Genosid yang masih Berterusan
Apa yang bermula sebagai sebuah diskriminasi pada tahun 1980-an kini telah melarat dan mewabak menjadi genosid berskala penuh. Jutaan orang Uyghur dan orang Turk lain dipenjarakan di kem-kem tahanan China, pusat buruh paksa, dan bandar-bandar yang telah bertukar menjadi penjara-penjara terbuka (open-air prisons). Masjid-masjid dirobohkan, sekolah-sekolah tahfiz al-Quran diharamkan, dan keluarga dipecahbelahkan. Budaya dan identiti kami sedang dipadamkan secara sistematik.
Ini bukan sekadar asimilasi—ia adalah genosid.
Sama seperti kita bangkit bersuara pada tahun 1988, kita mesti bangkit semula bersuara pada hari ini. Dunia yang berdiam diri hanyalah akan menambahkan lagi penindasan. Berdiam diri bererti bersubahat dalam jenayah ini.
Pengajaran untuk Hari Ini dan Esok
15 Jun 1988, bukan sekadar kenangan tetapi sebuah peta jalan untuk hari ini dan masa depan. Pada hari itu, para pemuda Uyghur berdiri untuk kebebasan, menentang penghinaan dan enggan tunduk kepada penindasan. Semangat itu masih hidup dalam diri orang kita pada hari ini. Kebebasan bukanlah satu keistimewaan; ia adalah hak asasi manusia. Menuntutnya pula bukanlah satu jenayah tetapi merupakan kewajipan moral.
Demonstrasi ini adalah salah satu kebangkitan demokratik yang paling ketara dalam sejarah Uyghur. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mewariskan legasi penentangan ini kepada generasi mendatang. Untuk mengingatinya bererti untuk melawan. Jika kita lupa, kita akan ulangi sejarah yang sama. Jika kita ingatinya, kita akan bangkit semula.
15 Jun bukan sekadar tarikh—ia melambangkan maruah, keberanian, dan penentangan. Saya masih ingat dengan rasa hormat yang mendalam kepada semua yang menyertainya, menyokong, dan mengorbankan nyawa mereka dalam perjuangan ini. Obor kebebasan yang mereka nyalakan ini suatu hari nanti akan menerangi langit Turkistan Timur.
***
Diterbitkan dalam bahasa inggeris oleh Bitterwinter. Diterjemahkan dan diterbitkan ke dalam bahasa Malaysia oleh Unit Kajian, Pusat Kajian Uyghur, Malaysia.
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara