• Washington DC
Ikut kami:

Ali Khan Tore Saguni – Siri 100 Tokoh Turkistan Timur

Siri 100 Tokoh Turkistan Timur di Zaman Moden – #05 – Ali Khan Tore Saguni.

Ali Khan Tore dilahirkan di Balasagun pada 21 Mac 1885, di dalam sebuah keluarga petani.

Bapa beliau, Shakir Khan Tore, mempunyai empat orang anak, dan beliau adalah anak kedua daripada mereka. Ayahnya adalah salah seorang yang memiliki pencerahan pemikiran pada zamannya. Beliau prihatin dan menyediakan pendidikan anak-anaknya, dengan menghantar Ali Khan Tore ke Hijaz (kini: Madinah, Mekkah dan Jeddah) untuk belajar bersama-sama dengan anak sulungnya, Alim Khan Tore.

Selepas menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah, beliau kembali ke tanah air dan melanjutkan pelajaran di madrasah-madrasah di Bukhara. Dia terpesona dan mendalami ilmu perubatan, lalu meneruskan pengajiannya di bawah didikan sarjana-sarjana perubatan yang paling terkemuka pada zamannya, dan membaca karya-karya para tabib terkenal, seperti Ibn Sina dan lain-lain, hinggalah akhirnya beliau menjadi seorang sarjana dan doktor yang terkenal.

Semasa pengajiannya di sana, Empayar Tsar Rusia telah menjajah Asia Tengah, dan rakyat meneruskan revolusi dan perlawanan mereka terhadap kerajaan Tsar tanpa hentinya. Pada tahun 1916, bangsa Kyrgyz dan kumpulan etnik lain di wilayah Tokmak bangkit memberontak terhadap kerajaan Rusia Tsar, dan Ali Khan Tore mengambil bahagian dalam pemberontakan ini. Walau bagaimanapun, pemberontakan itu gagal dalam menghadapi pasukan musuh yang hebat. Para revolusioner melarikan diri ke semua arah, dan Ali Khan mencari perlindungan di Kashgar sebagai ekspatriat lalu akhirnya kembali ke tanah airnya pada tahun 1918.

Pada akhir tahun 1920, beliau ingin pergi ke Hijaz untuk menunaikan haji, tetapi pada masa itu sangat sukar untuk pergi ke Mekah melalui Kesatuan Soviet. Oleh itu, beliau pergi ke kota Ghulja untuk mulai mengembara melalui Turkistan Timur. Namun, disebabkan keadaan yang tidak menentu yang berlaku pada ketika itu, beliau menghentikan perjalanannya dan akhirnya menetap di Ghulja. Sebagai seorang alim dan pengamal perubatan yang mahir, beliau cepat mendapat populariti dan mengeratkan hubungan dengan masyarakat. Kawasan kejiranannya ini kemudiannya dinamakan “Kampung Tore.”

Pada tahun 1937, Sheng Shi Cai yang dahagakan darah membunuh sejumlah besar ulama dan intelektual dengan pedangnya yang berlumuran, menangkap Ali Khan Tore dan merampas kesemua hartanya.

Beliau dibebaskan pada tahun 1941 dan kembali ke Ghulja dari Urumqi. Selepas kembali ke Ghulja, beliau meneruskan profesi perubatannya. Melihat sentimen popular yang semakin meningkat terhadap penindasan Kuomintang, beliau menyebarkan kempen semangat secara terang-terangan dan terselindung di dalam masjid-masjid, sekolah-sekolah agama, dan perkumpulan-perkumpulan awam untuk menentang dasar autoritarian kukubesi rejim Kuomintang. Orang-orang yang dahagakan pembebasan berbondong-bondong ke masjid-masjid tempat di mana beliau berkhutbah solat Jumaat untuk mendengar beliau. Sebuah persatuan rahsia yang dinamakan “Persatuan Pembebasan (Sinkiang Turkic People’s Liberation Committee (STPNLC)” telah diasaskan di Ghulja pada tahun 1944, beliau menyertai organisasi itu dan dilantik sebagai ketuanya.

Perlu diingatkan di sini bahawa pada awal tahun 1944, Josef, mantan Konsul Jeneral Soviet dari Urumqi, datang ke Ghulja dan berunding dengan tokoh tempatan seperti Salih Khan Bey dari Ghulja mengenai penubuhan sebuah organisasi. Dia memutuskan untuk menamakan organisasi itu sebagai “Persatuan Pembebasan.” Sejak penubuhan organisasi ini, pengarah hospital Soviet di Ghulja Hakim Jabbar Wujiyarullah Bekov, menjadi orang yang bertanggungjawab ke atas segala kegiatan dan aktiviti organisasi ini.

Para cendekiawan, ilmuan, tokoh-tokoh terkemuka, dan ramai pemimpin agama daripada semua etnik dan masyarakat menyertai persatuan ini, termasuklah Abdrehim Jan Sabir, Qasim Jan Qamari, Abdukarim Abbasov, Salih Janbai Babajan, Zunnun Tayyib, Muhammad Jan Makhdum, Abdul Rauf Makhdum, Jani Yoldashov, Mukhtar Khalifa, Nuruddin Bek, Omar Jan, and Muhyiddin Ahmed.

Kemudian, di dalam kalangan ahli persatuan itu, Ali Khan Tore menjadi Presiden Republik Turkistan Timur, Abdurrauf Makhdum menjadi Setiausaha Agung, Abdulkarim Abbasov sebagai Ketua Jabatan Propaganda, Qasim Jan Qamari sebagai Ketua Jabatan Staf, Habib Yunji sebagai Menteri Pendidikan (selepas kematiannya, beliau digantikan oleh Seyfuddin Azizi), Salih Janbai sebagai Menteri Pertanian, Muhammad Jan Makhdum sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, dan Zunnun Tayyib sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat.

Ali Khan Tore telah dilantik sebagai Presiden Republik Turkistan Timur, yang ditubuhkan pada 12 November 1944. Pada awal tahun 1945, beliau telah diberikan pangkat Marsyal. Apabila perjanjian antara Republik Turkistan Timur dan Kuomintang dimeterai dan kerajaan persekutuan dibentuk, Ali Khan Tore telah dimasukkan sebagai salah seorang pemimpin kerajaan. Walau bagaimanapun, tidak lama selepas itu, pada 13 Julai 1946, beliau secara senyap diculik dari Ghulja ke Kesatuan Soviet.

Selepas kehilangan misterinya, khabar angin tersebar di kalangan orang ramai. Ada yang mengatakan dia telah pergi ke Qorgas (sempadan antara Turkistan Timur dan Kesatuan Soviet) untuk menghadiri mesyuarat, manakala yang lain berkata dia telah pergi ke tempat lain. Hinggalah pengawal peribadinya, Aladdin Amir dan Sonur Munir melaporkan:

“Pada 13 Jun, kami pergi bersama Ali Khan Tore ke Bangunan No. 2 (Pejabat Tugas-tugas Khas kerajaan Soviet). Selepas beberapa ketika, seorang lelaki keluar dan berkata, ‘Presiden Republik mengarahkan kalian untuk kembali.’ Jadi kami pun pulang selepas itu, kami tidak melihatnya lagi dan tidak tahu ke mana dia telah pergi.”

Saya percaya Kolonel Ivan Ivanov, seorang pengintip Soviet yang bermastautin di bangunan yang ditubuhkan oleh bekas pemerintah Kesatuan Soviet di Ghulja pada 13 Julai 1946, datang ke Aqsu dari Osh pada awal 1930-an. Di sana, dia mempelajari al-Quran, menetap di sana, berkahwin, dan dikurniakan dua anak lelaki dan seorang anak perempuan. Kolonel Ali Hamidov, yang tiba di Ghulja semasa “Revolusi Tiga Daerah”, pada mulanya bekerja di bahagian pasukan berkuda, kemudian mengambil alih operasi khas, dan kemudian menerima latihan dalam pentadbiran keselamatan dalam negara Tiga Daerah ini. Zakhar Kuznetsov, seorang perisik Soviet yang menggunakan alias “Zakir Efendi,” tiga individu inilah yang membawa Ali Khan Tore ke Kesatuan Soviet dengan menaiki kereta ZIS, dengan menyatakan, “Usman Yusufov (Setiausaha Pertama Parti Komunis Uzbekistan) ingin bertemu dengan anda.”

Selepas perginya beliau ke Kesatuan Soviet, beliau menghabiskan tiga puluh tahun di bawah tahanan rumah di Tashkent di dalam sebuah istana yang disediakan khas untuknya. Walaupun pada mulanya hal ini dirahsiakan, beliau kemudiannya dibenarkan bertemu dengan pelawat dari luar. Semasa dipenjarakan selama 30 tahun ini, beliau menjalankan beberapa kajian ilmiah, menterjemahkan “Nawadir al-Waqai'” oleh Ahmad Donish, “Al-Risalah fi al-Musiqi,” dan “Nizam Timur” oleh Darvish Ahmad Jungin. Beliau juga menulis beberapa buku, termasuk “Tarikhi Muhammadiy/Sirah Muhammad” dan “Turkistan Qayghusi/Tragedi Turkistan” Beliau juga terkenal dengan koleksi puisinya, “Divan Saguni.”

Beliau mempunyai empat anak lelaki: Ghaffar Khan, Asar Khan, Ahmad Yar, dan Muhammad Yar. Keempat-empat mereka berkhidmat dalam Revolusi “Tiga Negara” dan berhijrah ke Kesatuan Soviet selepas 1950.

Ali Khan Tore meninggal dunia di Tashkent pada 1976 pada usia 91 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Zayn al-Din Baba di Tashkent, sesuai wasiatnya.

Oleh: AlHakim Abdul Jabbar

***

Diterjemahkan oleh Unit Kajian, Pusat Kajian Uyghur, Malaysia.

Berikut ialah kedua-dua buku tulisan beliau:

Makam beliau di Tashkent, Uzbekistan.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara