• Washington DC
Ikut kami:

Genosid Nuklear: China menggugurkan ‘200 Hiroshima’ ke atas Muslim Uyghur

Pada 2 Januari 1986, Associated Press (AP) menyiarkan bahawa 2,000 pelajar Uyghur telah mengadakan protes terhadap pemerintahan Beijing di Urumchi, ibu kota Turkistan Timur. Menurut akhbar, demonstrasi diadakan bukan sahaja di Urumchi, tetapi juga di Beijing dan Shanghai. Perkara utama yang mendorong pelajar Uyghur untuk keluar menuntut hak mereka ialah kerana ujian nuklear yang dijalankan oleh rejim komunis China di wilayah Lop Nor. (1) Menurut penemuan seorang saintis Jepun Takada, dianggarkan kira-kira 194,000 orang terkorban akibat daripada kesan ujian nuklear ini.(2)

Oleh: Abdulhakim Idris

Pemerintahan Beijing menjalankan sebanyak 45 ujian senjata nuklear dari 1964 hingga 1996, dengan 22 ujian di bawah tanah dan 23 ujian di lapangan. Enver Tohti yang bekerja bertahun-tahun lamanya sebagai seorang doktor di jabatan onkologi di Turkistan Timur mendedahkan kesan ujian nuklear ini -yang seringkali disifatkan sebagai genosid- dengan mengenal pasti hubungan antara sejenis kanser yang dipanggil ‘limfoma’ dengan ujian nuklear ini. Tohti berkata:

     “Limfoma adalah sejenis kanser di mana sel-sel sistem limfa menjadi tidak normal dan mula tumbuh berkembang tanpa kawalan. Oleh kerana tisu-tisu limfa ini wujud di kebanyakan anggota tubuh badan, limfoma boleh bermula di hampir kesemua organ badan. Saya merujuk buku teks saya untuk mencari persamaan antara kanser-kanser jenis ini. Saya mendapati kesemuanya boleh disebabkan oleh radiasi. Saya menemui kaitan antara masalah kesihatan pesakit saya dengan sinaran radiasi yang diakibatkan oleh ujian [nuklear] ini.” (3)

Melihat kepada latar belakang sejarah ujian nuklear rejim komunis China, nampaknya Pemerintahan Beijing sebenarnya turut menyertai perlumbaan tunjuk kuasa era Perang Dingin. Selepas Perang Korea pada pertengahan 1950-an, langkah-langkah pertamanya telah diambil dengan sokongan daripada Kesatuan Soviet. Reka bentuk senjata nuklear pertama dimulakan di Institut Fizik dan Tenaga Atom di Beijing, dan proses pengayaan uranium bermula di Lanzhou. Walau bagaimanapun, dalam masa yang singkat, hubungan antara Moscow dan Beijing semakin merosot. Selepas berlakunya ketegangan antara Khrushchev dan Mao, pemimpin Soviet itu menarik semula sokongannya (kepada projek nuklear China ini) sepenuhnya. Khrushchev juga membatalkan rancangan untuk menghantar prototaip-prototaipnya ke China pada tahun 1959. Mao, yang menutup pintu negaranya daripada dunia, mempercepatkan penyelidikan nuklearnya. Projek ujian nuklear pertama dipanggil 59-6, merujuk kepada tarikh ini. (4)

Rejim Komunis China memilih wilayah Lop Nor, sebuah kawasan dalam sempadan Turkistan Timur yang dijajah dan tanah air kepada Muslim Uyghur, untuk ujian nuklear mereka. Tiga tahun selepas ujian nuklear pertama diadakan, pada 17 Jun 1967, China menjalankan ujian bom hidrogen pertama kalinya sekali lagi di kawasan Lop Nor. Data sebenar tentang bagaimana ujian ini telah memberi kesan kepada kehidupan orang ramai di wilayah yang didiami 20 juta nyawa, yang majoritinya adalah Uyghur, Kazakh, Kyrgyz dan bangsa Turk yang lain, tidak dapat didedahkan kerana tadbir urus China yang tidak telus (non-transparent). (5) Rejim komunis China telah cuba menyembunyikan segala kegiatannya di rantau ini daripada pengetahuan dunia. Walau bagaimanapun, seorang akademik Jepun Jun Takada menyatakan bahawa ujian di Lop Nor mempunyai kesan negatif yang lebih besar daripada kerosakan yang disebabkan oleh kemalangan Chernobyl di Kesatuan Soviet pada tahun 1986. Pada tahun 1996, dua bulan sebelum Pemerintahan Beijing menandatangani Perjanjian Larangan Ujian Nuklear, ia mengumumkan bahawa ia telah menjalankan ujian nuklear terakhirnya pada 29 Jun 1996. (6)

Kesan daripada ujian nuklear yang dijalankan di Turkistan Timur ini muncul seraya perubahan waktu. Hampir kesemua ujian-ujian (nuklear) ini mempunyai kesan mirip gempa bumi, dan kerana ia sering dilakukan. sehingga apabila orang merasakan gegaran, mereka akan berkata ‘ini ujian nuklear, bukan gempa bumi’. Dr. Ilham Tohti adalah antara orang yang telah melihat kesan ujian nuklear sejak usia kecilnya. Dalam sebuah temu bual, beliau menerangkan tentang awan-awan (asap) radioaktif yang muncul akibat ujian nuklear rejim komunis China:

     “Selama tiga hari, seolah-olah langit telah menghujani bumi. Tiada matahari (kelihatan), tiada bulan. Apabila kanak-kanak bertanya kepada guru mereka, jawapan yang mereka terima ialah ia adalah daripada ribut di planet Zuhal.” (7)

Dr. Anwar Tohti melihat bencana impak ujian nuklear China dengan lebih dekat lagi daripada pesakit yang datang ke hospital apabila beliau mula bekerja sebagai pakar setelah menamatkan pengajian daripada sekolah perubatan. Hasil daripada pemeriksaannya terhadap para pesakit yang datang, beliau mula menyiasat mengapa terdapat begitu ramai pesakit kanser dan yang serupa dengannya di kawasan (Lop Nor) ini. Di situlah penyelidikannya membawanya mencari kaitan antara limfoma dan bahan radioaktif. Bagi menentang hal (ujian nuklear) ini, beliau menjadi aktivis pada tahun 1995.(8) Menurut dapatan Tohti, ujian nuklear di wilayah Lop Nor juga dipantau dengan teliti oleh ahli fizik nuklear yang memiliki kaitan dengan Kesatuan Soviet pada ketika itu di negara jirannya Kazakhstan. Hal ini kerana awan radioaktif yang muncul selepas setiap ujian nuklear dijalankan boleh mencapai ke Almaty di Kazakhstan.

Di sisi lain, memandangkan kepada lingkungan kawasan ujian nuklear Kesatuan Soviet di Kazakhstan berhampiran dengan Turkistan Timur, sudah tentu orang Kazakh di wilayah itu khususnya menderita dua kali ganda disebabkan daripada ujian nuklear China dan Soviet. (9) Tohti mengkaji tentang kesan kanser yang disebabkan oleh kerosakan-kerosakan radioaktif di Turkistan Timur pada Julai 1998 selama 6 minggu dan mengumpulkan banyak dokumen berkaitan. Antara 1990 dan 2000 sahaja, kes penyakit kanser di kawasan ini berganda sebanyak dua kali ganda. (10) Kajian data lanjut menunjukkan betapa bahayanya keadaan di Turkistan Timur -tanah air orang Uyghur- apabila dikaitkan dengan pusat rawatan kanser. Di wilayah Henan dengan penduduk seramai 100 juta orang, hanya terdapat kapasiti 500 buah katil sahaja untuk penghidap kanser pada tahun 1997, dan angka ini meningkat menjadi 800 pada 2008. Dan kapasiti katil yang dikhaskan untuk pesakit kanser di Turkistan Timur, dengan penduduk seramai 20 juta orang, ialah 2000 buah katil pada 2008. (11)

Menurut penemuan wartawan British Andrew Buncombe, kadar kanser dan penyakit-penyakit yang berpunca daripada kesan radioaktif di Turkistan Timur -tempat ujian nuklear dijalankan- adalah 39 peratus lebih tinggi berbanding di bahagian lain di China. Menurut laporan Campaign for Nuclear Disarmament (CND), eksperimen paling rahsia di kawasan ini telah dijalankan oleh China. Mengkaji kesan ujian di kawasan ini bersama CND dan setelah bercakap kepada ramai mangsa, Dr. Laura Watson berkata, “Jelas di sini bahawa radiasi adalah punca kepada kanser dan penyakit-penyakit lain yang serupa dengannya. Pada masa yang sama, terdapat peningkatan besar dalam kekerapan kemunculan penyakit-penyakit biasa. Ia bukan sahaja mengakibatkan penyakit hati atau paru-paru, tetapi ia juga boleh menyebabkan leukemia.” Kajian ini juga mendapati terdapat kanak-kanak yang mengalami kecacatan teruk sejak lahir dan menghidapi penyakit-penyakit kritikal. Kes-kes ketidakupayaan untuk berjalan akibat penyakit degeneratif -seperti yang dikaji pada seorang remaja berusia 18 tahun yang dinyatakan dalam laporan tersebut- sebenarnya sangat banyak. Sebilangan kanak-kanak juga terdedah kepada penyakit seperti ketidakstabilan tulang dan kehilangan otot. (12)

Takada, seorang saintis Jepun yang menerbitkan buku mengenai Ujian Nuklear China, mendapati bahawa bom-bom yang diletupkan di Lop Nor, sebahagian daripadanya adalah 3 megaton, menghasilkan kesan 200 kali lebih kuat daripada bom yang dijatuhkan di Hiroshima. Takada yang juga mula mengkaji ujian-ujian nuklear Amerika Syarikat, Perancis dan Kesatuan Soviet pada 1990-an, telah dijemput oleh para saintis Kazakhstan untuk menjalankan kajian di wilayahnya (Kazakhstan) yang berhampiran dengan sempadan Turkistan Timur. Takada menjalankan kajiannya di Kazakhstan kerana tidak dibenarkan untuk menyeberangi sempadan oleh sistem diktator rejim komunis. Beliau menggunakan model yang digunakannya untuk mengukur kesan ujian nuklear pada era Soviet ke atas Turkistan Timur, dan melakukan perkiraan bahawa dianggarkan 194,000 orang boleh mati akibat pendedahan radiasi akut. Bilangan orang yang menerima radiasi yang cukup tinggi untuk menyebabkan leukemia, kanser atau kerosakan janin dianggarkan sekitar 1.2 juta orang. Penegasan Takada ‘Angka saya adalah berdasarkan anggaran minimum’ juga perlu diambil perhatian. (13)

Timothy Mousseau, Penolong Pengarah Inisiatif Penyelidikan Chernobyl di Universiti Carolina Selatan, menyatakan bahawa kesan ujian nuklear China akan terus mampu dilihat dari masa ke masa. Oleh itu, mustahil kesimpulan penuh untuk dicapai. “Walau bagaimanapun, perlu diingatkan nampaknya terdapat kerosakan genetik yang serius pada orang yang tinggal di wilayah ini,” kata Mousseau menyimpulkan. (14) Satu lagi bukti genosid nuklear Pemerintahan Beijing terhadap Muslim Uyghur ialah rejim komunis mengabaikan penduduk di Turkistan Timur, dan membayar pampasan hanya kepada tentera China yang berkhidmat di sana. Dr. Tohti menegaskan bahawa sangat sukar bagi orang Uyghur untuk mengakses kemudahan kesihatan, dengan berkata, “Mereka tidak mampu membayar kos penjagaan kesihatan. Satu-satunya perkara yang boleh mereka lakukan ialah menunggu untuk mati.” (15)

Kerja-kerja rejim komunis China mengenai sumber tenaga alternatif seperti tenaga nuklear, yang menjadi keperluan paling penting, juga sedang dijalankan di Turkistan Timur. Hari ini, satu pertiga daripada uranium yang digunakan oleh China untuk tenaga nuklear diambil dari wilayah Yili di tanah air orang Uyghur. Rejim komunis telah menjadikan Turkistan Timur sebagai pusat tenaga nuklear. Walaupun industri nuklear berskala besar, tiada langkah telah diambil untuk melindungi kesihatan orang Uyghur. (16) Pemerintahan Beijing yang telah menjalankan kajian pengayaan uranium dengan lebih berkesan sejak 2008, kini mempunyai sejumlah 62 buah reaktor nuklear, 44 daripadanya aktif dan 18 daripadanya sedang dalam pembinaan. Ia menyasarkan untuk mendapatkan 20% tenaga daripada sumber nuklear pada tahun 2030.

Walaupun kebimbangan mengenai tenaga nuklear mula timbul di kalangan rakyat China, Pemerintahan Beijing membungkam mereka dengan cara kuku besi. (17) Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat juga tanda-tanda dalam masyarakat antarabangsa bahawa China memungkiri janjinya tentang kawalan senjata global. Laporan Jabatan Negara AS untuk tahun 2020 menyuarakan kebimbangan bahawa China telah memulakan ujian nuklear sekali lagi di wilayah Lop Nor.(18) Menurut Rod Lyon, pakar di Institut Dasar Strategik Australia (ASPI), China meningkatkan aktivitinya di tapak nuklear Lop Nor sepanjang 2019. China membina tapak ujian baharu dan bilik simpanan bahan letupan di sana. Dengan melakukan semua ini, ia juga sekali-sekala menutup saluran data yang sepatutnya dibuka di bawah Sistem Pemantauan Antarabangsa (IMS). Langkah-langkah ini, yang tidak mempunyai ketelusan, turut dipantau dengan prihatin sekali oleh negara-negara lain. (19)

Rujukan:

1- “Uighur Students Demonstrate In Xinjiang” – Associated Press – https://apnews.com/article/d87a3e6218023d90781231a7cb2ba90c

2- Merali, Zeeya “Did China’s Nuclear Tests Kill Thousands and Doom Future Generations?” https://www.scientificamerican.com/article/did-chinas-nuclear-tests/

3- Gelis, Ursula, “‘The Peoples Bomb’: China’s Nuclear Weapons Testing Program” – IKFF – https://www.ikff.no/the-peoples-bomb-chinas-nuclear-weapons-testing-program/

4- “16 October 1964 – First Chinese Nuclear Test” – CTBTO – https://www.ctbto.org/specials/testing-times/16-october-1964-first-chinese-nuclear-test

5- IBID

6- IBID

7- Merali, Zeeya “Did China’s Nuclear Tests Kill Thousands and Doom Future Generations?” https://www.scientificamerican.com/article/did-chinas-nuclear-tests/

8- Gelis, Ursula, “‘The Peoples Bomb’: China’s Nuclear Weapons Testing Program” – IKFF – https://www.ikff.no/the-peoples-bomb-chinas-nuclear-weapons-testing-program/

9- IBID

10- IBID

11- IBID

12- Buncome, Andrew, “China’s secret nuclear tests leave a legacy of cancer and deformity” – The Independent https://www.independent.co.uk/news/china-s-secret-nuclear-tests-leave-legacy-of-cancer-and-deformity-1176260.html

13- Merali, Zeeya “Did China’s Nuclear Tests Kill Thousands and Doom Future Generations?” https://www.scientificamerican.com/article/did-chinas-nuclear-tests/

14- IBID

15- IBID

16- Rao, Tara – “Nuclear Imperialism in China’s Xinjiang” – ORF – https://www.orfonline.org/expert-speak/nuclear-imperialism-china-xinjiang/

17- IBID

18- “2021 Adherence to and Compliance With Arms Control, Nonproliferation, and Disarmament Agreements and Commitments” – U.S Department of State – https://www.state.gov/2021-adherence-to-and-compliance-with-arms-control-nonproliferation-and-disarmament-agreements-and-commitments/

19- Lyon, Rod, “Is China in breach of its nuclear-testing commitments?” – ASPI – https://www.aspistrategist.org.au/is-china-in-breach-of-its-nuclear-testing-commitments/

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.