• Washington DC
Ikut kami:

Melihat Genosid Uyghur menurut lensa kanak-kanak

Oleh: Rushan Abbas

Pemerintahan China dengan jelas telah melanggar Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) yang diratifikasinya. Oleh itu, masyarakat antarabangsa mempunyai kewajipan untuk bertindakbalas. Memisahkan antara ahli keluarga dan menempatkan kanak-kanak (Uyghur) di rumah anak yatim yang dikendalikan pemerintahan merupakan satu diskriminasi berdasarkan identiti, kerana ia hanya melibatkan orang Uyghur. Tambahan dengan pemisahan keluarga di luar negara tanpa membenarkan hubungan komunikasi (antara yang di dalam Turkistan dan di luar Turkistan), hal ini telah memposisikan kanak-kanak dengan nyata sekali di tengah-tengah genosid yang berterusan. Layanan sebegini terhadap mereka pada hakikatnya adalah pelanggaran aspek teknikal dan semangat perjanjian CRC.

Sebahagian masyarakat antarabangsa semakin sedar tentang krisis hak asasi manusia di tanah air orang Uyghur -yakni orang daripada rumpun Turk yang berasal dari Turkistan Timur, yang disebut oleh Parti Komunis China (PKC) sebagai Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang (XUAR). Berjuta-juta[1] orang Uyghur dan kumpulan etnik Turk dan/atau majoriti Islam yang lain ditahan di kem konsentrasi atas dasar identiti etnik dan agama mereka, dan ratusan ribu disahkan[2] menjadi mangsa buruh paksa di serata China. Walaupun masyarakat antarabangsa telah mengambil beberapa tindakan terhad untuk memerangi kekejaman ini, genosid ini masih belum ditangani secara menyeluruh, termasuk oleh beberapa badan antarabangsa yang paling bertanggungjawab untuk menentang tindakan China seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Beberapa bulan lalu, Amerika Syarikat melabelkan[3] jenayah Pemerintahan China (terhadap masyarakat Uyghur) sebagai genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan. Walaupun banyak perhatian diberikan kepada pertanggungjawaban ini dan segala implikasinya, adalah penting juga untuk kekejaman besar-besaran ini ditinjau dari luar cakupan Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid[4] dan prinsip Tanggungjawab untuk Melindungi (Responsibility to Protect). Selain daripada jelas melanggar Konvensyen Genosid, Tanggungjawab untuk Melindungi, dan Statut Rom, penganiayaan China terhadap Uyghur juga melanggar Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC)[5].

Konvensyen Genosid dan CRC saling berkaitrapat. Pemindahan paksa kanak-kanak mangsa (yakni kanak-kanak Uyghur) kepada kumpulan lain boleh dinilai sebagai salah satu tindakan genosid. Begitu juga hak ibu bapa, penjaga, dan masyarakat untuk menyediakan dan menjaga anak-anak mereka diiktiraf di bawah Perkara 5 CRC[6]. Kanak-kanak Uyghur yang ibu bapanya sama ada di kem atau di penjara dipisahkan secara paksa daripada keluarga mereka. Beratus-ratus ribu [7]kanak-kanak Uyghur telah dipindahkan secara paksa ke rumah anak yatim milik pemerintah di mana mereka didoktrinkan[8] untuk meninggalkan identiti etnik dan agama mereka dan memuji PKC.

Pencabulan Konvensyen Hak Kanak-kanak

Keputusan PKC untuk menubuhkan sekolah berasrama penuh milik pemerintahan adalah serampang dua mata. Kemudahan penjagaan kanak-kanak menjadi satu keperluan kerana ibu bapa dan penjaga mereka ditahan -tanpa pertimbangan undang-undang yang sah[9]– di kem konsentrasi dan menjadi buruh paksa. Sekurang-kurangnya setengah juta kanak-kanak Uyghur dilaporkan[10] tinggal di sekolah berasrama penuh ini. Penahanan berdasarkan identiti etnik ini mencabul hak kanak-kanak. Rumah anak yatim atau “sekolah berasrama penuh” yang dikendalikan oleh pemerintahan ini juga berfungsi untuk merekayasa (socially engineer) generasi muda Uyghur supaya taat dan setia kepada PKC. Proses ini berlaku misalnya dengan mengajar kanak-kanak Uyghur untuk mengucapkan terima kasih kepada “Datuk Xi[11]” dan memuji PKC dalam ucapan dan lagu nyanyian[12], dilakukan untuk tujuan yang lebih besar yakni “pencinaan[13]” yang berusaha memadamkan identiti Muslim (daripada kanak-kanak ini).

Artikel 2[14] Konvensyen (CRC) menyeru kesemua pihak yang terlibat “untuk memastikan bahawa kanak-kanak dilindungi daripada semua bentuk diskriminasi atau hukuman yang berdasarkan status, kegiatan, pendapat, atau kepercayaan ibu bapa, penjaga sah, atau ahli keluarga kanak-kanak itu.” Walaupun China akan mendakwa bahawa pemisahan ahli keluarga Uyghur secara paksa bukanlah satu hukuman, bentuk pemisahan ini menimbulkan kebimbangan terhadap bahayanya ia kepada perkembangan kanak-kanak. Hal ini kerana kanak-kanak yang dipisahkan secara paksa cenderung menghadapi keresahan dan ketidakstabilan emosi[15]. Ini menyumbang kepada trauma warisan (generational trauma), yang membawa kepada kemusnahan demografi generasi akan datang juga. Identiti Uyghur sedang dipadam pada kadar yang membimbangkan dalam kalangan belia Uyghur.

China mewajarkan penahanan paksa dan pengasingan kanak-kanak dan ibu-bapa orang Uyghur ini dengan mengumumkan bahawa kepercayaan agama (yang dianut ibubapa Uyghur) adalah “penyakit yang perlu disembuhkan[16].” Memandangkan hukuman ini secara langsung dan terang-terangan dikaitkan dengan kepercayaan ibu bapa kepada kanak-kanak ini, tindakan ini jelas melanggar CRC.

CRC juga menyatakan bahawa pihak-pihak berkaitan “hendaklah menghormati tanggungjawab, hak, dan kewajipan ibubapa” dan “hendaklah memastikan bahawa kanak-kanak tidak akan dipisahkan daripada ibu bapanya di luar kehendak mereka” kecuali apabila “perpisahan sedemikian diperlukan untuk yang terbaik demi kepentingan kanak-kanak itu.” Walaupun PKC menegaskan bahawa pendidikan yang disediakan oleh rumah anak yatim milik pemerintahan kepada kanak-kanak Uyghur adalah penting untuk perkembangan mereka menjadi warganegara China yang “baik”, Ibu bapa Uyghur ditahan di kem konsentrasi atas sebab yang tiada kaitan dengan kepentingan terbaik anak-anak. Konteks yang lebih luas mengenai genosid Uyghur menyinari tujuan sebenar untuk memisahkan ibu bapa daripada kanak-kanak—sangat sukar bagi dakwaan PKC bahawa kemudahan yang dikendalikan Pemerintahan adalah untuk faedah kanak-kanak Uyghur. Perkara 9[17] juga menuntut agar hubungan tetap dipelihara (antara kanak-kanak) dengan ibu bapa mereka, sebuah peruntukan yang jelas dinafikan pihak berkuasa China.

Polisi-polisi China menetapkan bahawa kanak-kanak tidak boleh dipisahkan daripada ibu bapa atau penjaga mereka melainkan para penjaga tidak dapat menjaga kanak-kanak itu. Dasar nominal ini bercanggah dengan laporan Human Rights Watch[18] mengenai “anak yatim” yang sedang berada di bawah jagaan keluarga besar mereka akhirnya dihantar ke institusi-institusi untuk mengisi kuotanya. Testimoni daripada orang Uyghur yang tinggal di luar negara dan daripada pegawai yang menyelia sekolah berasrama penuh ini menjelaskan situasi-situasi yang teruk, mengatakan yang kanak-kanak “dikurung seperti haiwan ternakan di dalam bangsal[19].” Pemerintahan China telah membina sekurang-kurangnya lapan belas rumah anak yatim di Kashgar, salah satu bandar utama Xinjiang.

Di luar rumah-rumah anak yatim ini, kanak-kanak (Uyghur) yang berada di luar negara sementara ibu bapa mereka ditahan di China terperangkap dalam keterbatasan, tidak dapat menghubungi ibu bapa mereka di China—yang, sebaliknya, mereka (ibubapa ini) tidak dapat pergi (keluar menemui anak-anak mereka). Sebagai contoh, Seyil Eldos dan adik-beradiknya[20] yang tinggal di Kazakhstan, tetapi kedua ibubapa mereka telah hilang selepas mereka masing-masing pulang secara berasingan ke Turkistan Timur. Seyil dan peguamnya bimbang yang China mungkin sedang memulakan permintaan pemindahan untuk memaksa Seyil dan adik-beradiknya pulang ke rumah mereka, yang di mana mereka kelak akan hilang dalam sistem kem konsentrasi dan rumah anak yatim yang besar itu.

Penggunaan rumah anak yatim sebagai alat merekayasa (social engineering) kanak-kanak Uyghur juga dikaitkan dengan pendekatan Kementerian Pendidikan China yang telah bergerak untuk menyekat pengaruh asing dalam pendidikan. Pemisahan sistematik kanak-kanak ini mencabul Perkara 9 CRC; perkara tersebut yang melarang wujudnya bentuk pemisahan antara kanak-kanak itu daripada ibu bapa mereka di luar kehendak mereka. Genosid ini juga mencabul Perkara 2, yang melindungi kanak-kanak daripada diskriminasi akibat kepercayaan ibu bapa mereka. Menempatkan kanak-kanak di rumah anak yatim manakala ibu bapa mereka dibawa ke kem akhirnya menyebabkan kanak-kanak tersebut menjad mangsa genosid dan diskriminasi.

Perkara 13 dan 14[21] memperuntukkan hak kebebasan bersuara, terutamanya berkaitan pendidikan kanak-kanak. Polisi-polisi yang menentukan bahasa (yang dipelajari), mengharamkan bahasa Uyghur diajar dan sebaliknya cuba mengasimilasikan penduduk secara paksa dengan bahasa tunggal ternyata mencabul prinsip ini juga.

Pencabulan hak ini akan memberi kesan ketara terhadap kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak Uyghur kerana mereka dilarang daripada sebarang ekspresi identiti budaya atau daripada mempunyai hubungan dengan keluarga dan komuniti mereka. Hal ini bermakna mereka tidak mempunyai keupayaan untuk memilih masa depan mereka.

Kesan Psikologi terhadap Kanak-kanak Uyghur

Jika China terus mencabul hak orang Uyghur untuk menggunakan bahasa mereka sendiri[22], perjalanan mereka memperjuangkan kebebasan bersuara akan menjadi lebih terhad. Ramai kanak-kanak telah diminta melaporkan[23] aktiviti ahli keluarga dan aktiviti keagamaan mereka di sekolah, menjadikan mereka pemberi maklumat yang tidak disengajakan.

Pelbagai video[24] telah muncul hasil rakaman dari rumah-rumah anak yatim ini, mendedahkan para pelajar Uyghur bercakap dalam bahasa Mandarin, sedangkan satu ketika dahulu bahasa Uyghur adalah bahasa yang dominan (bagi mereka). Malah ada yang mengecam ibu bapa mereka sendiri sebagai orang jahat[25]. Beberapa orang pelarian Uyghur yang dipisahkan secara paksa daripada keluarga mereka di China malah telah mengenal pasti anak mereka melalui video di media sosial. Mereka melaporkan yang anak-anak mereka diajar untuk menanggapi mereka sebagai “musuh[26]” kepada China.

Walaupun kanak-kanak ini mungkin masih tidak mengetahui secara spesifik penderitaan yang dialami oleh ahli keluarga mereka yang dewasa, mereka terlalu sedar tentang trauma yang mereka alami kerana dipisahkan daripada asal muasal mereka. Trauma yang disebabkan oleh tekanan dahsyat memberikan pelbagai kesan negatif kepada kesihatan, kualiti hidup dan jangka hayat[27] mereka. Walaupun mereka tidak memahami sepenuhnya nuansa keadaan semasa, kanak-kanak Uyghur ini sedar apa yang berlaku di sekeliling mereka dan apa yang sedang berlaku ke atas mereka. Pelbagai kajian[28] mengenai perpindahan kanak-kanak secara besar-besaran (mass displacement) akibat peperangan dan bencana alam sering mengutarakan ketidakupayaan mereka untuk menangani tekanan. Menurut International Review of Psychiatry[29], hal ini sebahagian besarnya disebabkan oleh hakikat yang kanak-kanak dalam situasi ini tidak dapat membangunkan mekanisme untuk mengatasi (tekanan), hal yang ditambah lagi dengan ketiadaan ahli keluarga mereka di sisi.

Bukti kesan jangka panjang perpindahan ini pada kanak-kanak boleh dilihat di seluruh Kanada dan Amerika Syarikat. Kedua-dua negara melaksanakan program “sekolah residen” yang secara paksa memisahkan kanak-kanak orang asal daripada keluarga mereka. Dalam program ini, kanak-kanak tersebut dihukum kerana mengamalkan budaya asal mereka dan bercakap dalam bahasa asal mereka. Pelbagai laporan telah dikeluarkan mengenai penderaan fizikal, psikologi, seksual dan pembunuhan (kanak-kanak di sekolah residen ini). Tujuan awal pembinaan sekolah ini adalah untuk mendidik kanak-kanak orang asal yang hidup miskin. Akan tetapi moto “Kill the Indian, Save the Man (bunuh orang Indian, selamatkan orang kita)[30]” menunjukkan bahawa tujuan sebenarnya adalah untuk mengasimilasikan kanak-kanak ini secara paksa dan memusnahkan budaya mereka. Kanak-kanak Uyghur kini menghadapi situasi yang sama—dan, malangnya, kesan yang mendalam dan berkekalan mungkin dihadapi serupa seperti mereka juga.

Kesimpulan

Pada masa ini, kebanyakan negara dan syarikat tidak terpengaruh[31] oleh kewujudan kem konsentrasi[32] dan perhambaan[33] oleh China. Syarikat-syarikat harus menilai serangan ke atas hak kanak-kanak Uyghur sebagai garis merah yang sewajarnya mendorong mereka untuk berpihak kepada kemanusiaan. Jika China tidak bertanggungjawab kerana melanggar CRC, akibat pelanggaran perjanjian ini tanpa sebarang hukuman akan menjadi semakin normal dan diperkukuh di peringkat antarabangsa. Suatu kesedaran bahawa tiada orang Uyghur—hatta kanak-kanak—selamat daripada dasar genosid China menjadi satu kemustahakan untuk memahami betapa teruknya situasi terkini di Turkistan Timur.

Taktik-taktik semasa seperti sekatan[34], memperkenalkan cukai, dan Withhold Release Orders (Perintah Pelepasan Penahanan[35]) untuk memberi tekanan kepada Pemerintahan China adalah satu perkara yang penting dilaksanakan. Di samping itu, penglibatan masyarakat sivil global dalam isu-isu ini tak kurang sama pentingnya. Mengakui wujudnya sebuah dasar moral bermakna pragmatisme pengecualian (isolationist pragmatism) ketika berinteraksi dengan China harus dihentikan serta-merta. Pentadbiran Biden mesti meninggalkan sebarang keinginan yang naif untuk mengelakkan daripada menimbulkan kemarahan rejim genosid ini. Kegagalan China untuk menegakkan komitmennya kepada CRC bermakna kekejaman ini harus dipaparkan secara bertumpu dalam sebarang dialog antara Amerika Syarikat dan China pada masa hadapan. Setakat ini, walaupun 140 negara menandatangani CRC[36], masyarakat antarabangsa gagal bertindak melindungi kanak-kanak Uyghur, walaupun mereka bertanggungjawab untuk berbuat demikian.

….

Rushan Abbas ialah Pengasas dan Pengarah Eksekutif Campaign For Uyghurs, sebuah organisasi advokasi yang berpangkalan di Washington D.C. Beliau kerap memberi taklimat kepada penggubal undang-undang dan pegawai kerajaan tentang situasi hak asasi manusia Uyghur, dan jenayah genosid Parti Komunis China. Beliau kerap muncul di saluran media untuk menyokong perjuangan Uyghur, dan memberikan ucapan dan syarahan untuk khalayak yang pelbagai, termasuk di muzium-muzium Holocaust, universiti-universiti, badan-badan pemikir, kedutaan-kedutaan A.S., kumpulan antara agama, organisasi akar umbi dan pelbagai lagi.

*Sumber: Georgetown Journal of International Affairs


[1] https://economictimes.indiatimes.com/news/international/world-news/three-million-uyghurs-detained-in-concentration-camps-by-beijing-activist/articleshow/78343963.cms

[2] https://cgpolicy.org/briefs/coercive-labor-in-xinjiang-labor-transfer-and-the-mobilization-of-ethnic-minorities-to-pick-cotton/

[3] https://2017-2021.state.gov/determination-of-the-secretary-of-state-on-atrocities-in-xinjiang/index.html

[4] https://www.un.org/en/genocideprevention/documents/atrocity-crimes/Doc.1_Convention%20on%20the%20Prevention%20and%20Punishment%20of%20the%20Crime%20of%20Genocide.pdf

[5] https://www.ohchr.org/en/professionalinterest/pages/crc.aspx

[6] https://archive.crin.org/en/home/rights/convention/articles/article-5-parental-guidance-and-childs-evolving-capacities.html

[7] https://www.nytimes.com/2019/12/28/world/asia/china-xinjiang-children-boarding-schools.html

[8] https://apnews.com/article/international-news-crime-china-clamps-down-china-ap-top-news-903a97b7c62a47b98553b6f422827dd7

[9] https://www.nytimes.com/interactive/2019/11/16/world/asia/china-xinjiang-documents.html

[10] https://www.taiwannews.com.tw/en/news/3846961

[11] https://www.theglobeandmail.com/world/article-former-detainees-recount-abuse-in-chinese-re-education-centres/

[12] https://www.csmonitor.com/World/Asia-Pacific/2018/1119/There-are-no-people-China-s-crackdown-in-the-Uyghur-heartland

[13] https://www.theatlantic.com/international/archive/2018/09/china-internment-camps-uighur-muslim-children/569062/

[14] https://www.ohchr.org/en/professionalinterest/pages/crc.aspx

[15] https://www.rfa.org/english/news/uyghur/children-03222021190834.html

[16] https://www.rfa.org/english/news/uyghur/infected-08082018173807.html

[17] https://www.ohchr.org/en/professionalinterest/pages/crc.aspx#:~:text=States%20Parties%20shall%20respect%20the%20right%20of%20the%20child%20who,to%20the%20child%27s%20best%20interests.

[18] https://www.hrw.org/news/2018/10/16/china-children-caught-xinjiang-crackdown

[19] https://www.theatlantic.com/international/archive/2018/09/china-internment-camps-uighur-muslim-children/569062/

[20] https://foreignpolicy.com/2019/10/06/xinjiang-china-uighur-camps-orphan-children-kazakhstan/

[21] https://www.ohchr.org/en/professionalinterest/pages/crc.aspx

[22] https://www.rfa.org/english/news/uyghur/language-07282017143037.html

[23] https://www.theatlantic.com/international/archive/2018/09/china-internment-camps-uighur-muslim-children/569062/

[24] https://www.youtube.com/watch?v=nU6lcXORf0c

[25] https://www.theatlantic.com/international/archive/2018/09/china-internment-camps-uighur-muslim-children/569062/

[26] https://www.hrw.org/news/2019/09/15/china-xinjiang-children-separated-families

[27] https://www.scientificamerican.com/article/childhood-adverse-event-life-expectancy-abuse-mortality/

[28] https://pediatrics.aappublications.org/content/142/6/e20182586

[29] https://www.tandfonline.com/doi/pdf/10.1080/09540269874763?needAccess=true

[30] http://carlisleindian.dickinson.edu/teach/kill-indian-and-save-man-capt-richard-h-pratt-education-native-americans

[31] https://www.washingtonpost.com/opinions/2020/09/10/my-mother-may-be-victim-chinas-concentration-camps-disneys-mulan-is-whitewash/

[32] https://www.bbc.com/news/world-asia-china-54277430

[33] https://www.abc.net.au/news/2020-03-02/aspi-uyghur-china-forced-labour-report/12017650

[34] https://www.nytimes.com/2020/07/09/world/asia/trump-china-sanctions-uighurs.html

[35] https://www.cbp.gov/newsroom/national-media-release/cbp-issues-detention-order-cotton-products-made-xinjiang-production

[36] https://www.un.org/en/genocideprevention/genocide-convention.shtml

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.