• Washington DC
Ikut kami:

Berdagang dengan China: Adakah Jerman akan menggadaikan janjinya ‘Never Again’ untuk kepentingan ekonomi?

Sekeping gambar di Auschwitz, sebuah peringatan kepada tanggungjawab moral untuk mengatakan ‘tidak’ kepada semua rejim-rejim yang mengamalkan genosid.. Kredit: Wikipedia.

Jerman meminta maaf bagi pihak syarikat-syarikat besarnya yang telah menyokong genosid Hitler. Tetapi, mengapakah ia mahu memateri perjanjian perdagangan eropah dengan pemerintahan CCP yang melakukan genosid?

Oleh: Abdulhakim Idris

Dalam komuniti antarabangsa dinihari, kesan trauma daripada Perang Dunia II masih kekal. Terutama sekali di Jerman, pentadbiran Nazi masih terus dipertanggungjawabkan. Walaupun keperihan ini masih berterusan, dunia sekali lagi berdepan dengan realiti genosid (pembunuhan beramai-ramai). Bukti baharu dan dokumen baharu muncul setiap hari mengenai genosid yang dilakukan oleh rejim Komunis China terhadap Muslim Uyghur[1], Kazakh, Kyrgyz, dan penduduk lain di Turkistan Timur. Di sebalik situasi yang tidak dapat dinafikan ini, sebuah imej di mana Kesatuan Eropah yang diketuai Jerman duduk semeja dengan China menunjukkan bahawa Barat telah melupakan perkataan “Never Again (tidak akan lagi)” selepas berhentinya Holocaust.

Apabila kita melihat sistem yang dilaksanakan oleh Nazi dalam Perang Dunia II, kita melihat sesuatu yang sangat serupa dengan apa yang dilakukan oleh Rejim Komunis China di Turkistan Timur hari ini. Untuk menyokong sistem yang mereka gagaskan untuk menguasai dunia, sudah menjadi amalan biasa bagi Nazi untuk menghantar buruh paksa ke kem tahanan, bekerja untuk syarikat-syarikat yang bekerjasama dengan mereka. Sebagai contoh, Hugo Boss, yang mengasaskan jenama pakaian terkenal, menyertai Parti Nazi 12 tahun selepas menubuhkan kilang tekstilnya pada tahun 1923. Menurut artikel yang diterbitkan New York Times[2], pakaian seragam Nazi mula dihasilkan selepas Boss menyertai parti Hitler itu. Orang dari Poland dan Perancis dibawa masuk dan dipaksa bekerja di kilang-kilangnya.

Masyarakat dunia sedang menghadapi krisis yang sama pada hari ini. Pengeluar kapas terbesar di dunia ialah China. Kerana kelebihan yang dimilikinya dalam kedua-dua hal ini: bahan mentah dan mutu kerja, jenama-jenama terkenal seperti Zara, Marks & Spencer, Nike, Adidas membuat produk mereka di zon perindustrian yang dibina bersebelahan dengan kem tahanan di Turkistan Timur, yang berada di bawah pemerintahan Beijing. Syarikat-syarikat Barat, yang biasanya menekankan kepatuhan mereka kepada nilai-nilai antarabangsa seperti tidak mencabul hak asasi manusia [3]dan alam sekitar, tapi sanggup menerima perkhidmatan daripada kilang-kilang yang memperlakukan Muslim Uyghur sebagai hamba. Syarikat-syarikat Barat ini tidak sesekali akan dapat memadamkan ‘noda’ ini di masa akan datang, sama seperti Hugo Boss tidak memadamkan ‘noda’ keputusannya untuk menghasilkan produk buat Nazi.

Satu lagi contoh pakatan sulit syarikat Jerman dengan Holocaust Nazi ialah syarikat Continental. Syarikat ini mengeluarkan alat ganti automotif. Semasa Perang Dunia Kedua, sepuluh ribu orang dari kem tahanan bekerja seperti hamba di kilang syarikat ini. Artikel yang diterbitkan dalam New York Times Ogos lalu [4]merujuk kepada sebuah kajian Paul Erker daripada Universiti Ludwig Maximilian. Menurut kajian ini, syarikat itu, yang diasaskan oleh jurubank Yahudi pada tahun 1871, dikendalikan oleh pentadbir Yahudi sehingga 1933, dan menjadi salah satu syarikat terbesar dan paling liberal. Walau bagaimanapun, selepas Nazi berkuasa, semua orang Yahudi dibuang daripada syarikat itu. Syarikat itu mengeluarkan tayar, tangki gas kalis peluru, dan topeng gas untuk kenderaan tentera Jerman semasa Perang Dunia Kedua. Syarikat itu merupakan salah satu kilang pertama di bawah Nazi yang mengambil buruh paksa dari Perancis dan Belgium. Pada waktu itu, syarikat itu mengeluarkan but tapak getah untuk para askar, di samping menghasilkan alat ganti automotif. But ini telah diuji ke atas para banduan di kem tahanan. Semasa ujian ini, para pegawai Nazi diarah menyanyikan lagu-lagu ketenteraan Jerman dengan kuat sekali di hadapan para tahanan.

Hampir 75 tahun kemudian, dunia sekali lagi menyaksikan penganiayaan melalui kerja paksa di kem tahanan yang menguntungkan syarikat automotif Jerman. Nama syarikat automotif Jerman Mercedes-Benz dan BMW telah disebut tergolong antara yang mendapat keuntungan daripada kerja buruh paksa Muslim Uyghur. Pemegang saham terbesar BMW, keluarga Quandt, telah menjadikan 50 ribu orang bekerja seperti buruh paksa dalam Perang Dunia II. Perlu ditekankan di sini bahawa BMW menghasilkan peralatan ketenteraan untuk tentera Jerman dan turut menggunakan buruh paksa untuk tujuan ini. “Sehingga kini, penderitaan yang ditimbulkan oleh tindakan ini dan nasib ramai buruh paksa tetap menjadi perkara yang disesali sedalam-dalamnya,” demikianlah isi mesej yang diterbitkan[5] bersempena ulangtahun ke-100 penubuhan syarikat itu. Bagaimanapun, syarikat yang sama mendapat keuntungan daripada jenayah genosid Parti Komunis China dengan memperlakukan orang Uyghur sebagai hamba. Syarikat-syarikat Jerman, yang namanya dikaitkan dengan genosid Nazi semasa Perang Dunia II, kini didapati bersalah atas jenis persubahatan yang sama, kerana hubungan mereka dengan genosid China yang berlaku pada waktu kini.

Dalam sebuah laporan yang disediakan oleh Australian Strategic Policies Institute (ASPI) [6]pada awal tahun 2020, ia mendokumentasikan penghambaan orang Uyghur sebagai buruh paksa, sebuah lagi gergasi automotif Jerman disebut. Apabila kilang-kilang terawalnya ditubuhkan, pegawai Nazi menganiaya orang Yahudi yang diperhambakan dan memaksa mereka untuk menyanyikan lagu-lagu kebangsaan. Hari ini, para pegawai rejim Komunis China memaksa aplikasi doktrin rejim itu ke atas para pekerja kilang di Turkistan Timur. Berpuluh-puluh syarikat disebut dalam laporan ASPI, sama seperti kajian Paul Erker, menjelaskan secara terperinci bahawa banyak syarikat Jerman tersebut juga pernah terlibat dalam genosid Yahudi dan mengeksploitasi perhambaan. Namun begitu, hal ini kurang mendapat perhatian daripada media dan masyarakat antarabangsa.

Walaupun lebih daripada 75 tahun telahpun berlalu (daripada Holocaust), boleh disaksikan sendiri melalui hasil kajian penyelidikan universiti dan laporan akhbar bahawa Jerman masih dalam proses untuk memahami masa lalunya. Pakar akademik Turki Dr. Gonca Kişmir memberi penerangan tentang isu ini. Satu langkah penting untuk memahaminya dalam pandangan Kişmir ialah Presiden Jerman Willy Brandt melutut di hadapan patung yang didirikan untuk mengenang mangsa Ghetto Yahudi Warsaw, salah satu simbol Perang Dunia Kedua, dan permohonan maafnya kepada semua umat manusia pada 7 Disember 1970. 15 tahun kemudian, Helmut Kohl, Canselor Jerman pada masa itu, melawat kubur pegawai SS6 di Bitburg bersama-sama dengan Presiden AS Ronald Reagan. Lawatan ini mendapat reaksi teruk kerana beberapa askar yang dikebumikan di sana telah membunuh orang awam Perancis semasa Perang Dunia II, dan dianggap sebagai langkah negatif dalam interaksi Jerman dengan genosid (Holocaust).

Helmut Kohl, sebaliknya, muncul hari ini sebagai salah seorang daripada dua orang bernama Helmut yang membuka pintu kepada China untuk bertindak ganas terhadap hak asasi manusia. Helmut yang lain, Helmut Schmidt, adalah salah seorang pemimpin yang menyokong usaha rejim Parti Komunis China untuk menguasai dunia. Schmidt memperkenalkan doktrin “integrasi ekonomi,” dan membayangkan dunia di mana China akan meninggalkan mentaliti Komunis dan autoritarian apabila ia menjadi kaya. Menurut sebuah penilaian majalah Politico[7], pengilang bahan kimia BASF telah memutuskan untuk melabur 10 bilion dollar di China pada Mei 2020. Perkembangan hubungan ekonomi yang terjalin sekian lama ini menyebabkan Jerman berdiam diri di hadapan dasar-dasar China yang memusnahkan nilai sejagat, terutamanya pelanggaran hak asasi manusia. Meskipun pada waktu wabak virus mengganas yang keluar dari China dan membawa dunia ke ambang bencana, oleh kerana pertumbuhan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara, Canselor Angela Merkel tetap berdiam diri ketika diseru untuk bertindak balas terhadap pelanggaran hak asasi manusia China di Hong Kong, Tibet, dan Turkistan Timur.

Kita dapat melihat daripada kenyataan “Kita tidak boleh menilai China dengan nilai budaya dan kemanusiaan kita” oleh Jürgen Heraeus[8], salah seorang ahli perniagaan bilionair negara itu, bahawa pemerintahan Jerman dan pemimpin industri Jerman hanya menilai isu-isu ini dari perspektif ekonomi. Mentaliti ini telah wujud sejak zaman dua orang Helmut lagi, dan mendedahkan struktur yang bertumpu kepada perniagaan yang mengulangi (bentuk) kerjasama dengan Hitler sebelum Perang Dunia II. Namun Jerman adalah salah satu negara yang terkemuka dalam kalangan masyarakat antarabangsa, dan salah satu daripada dua pengasas besar Kesatuan Eropah. Perlu diingati bahawa syarikat Jerman Topf & Sons, yang menghasilkan “relau khas” dengan teknologi canggih untuk membakar mayat orang Yahudi yang dibunuh oleh gas beracun, menitipkan nota “kami senang berniaga dengan anda” di dalam surat-menyuratnya dengan pegawai Nazi. Jacek Lepiarz, yang membuat liputan untuk DW News[9], menyatakan bahawa para eksekutif syarikat tahu bahawa genosid berlaku di sana, tetapi mereka hanya melihat isu itu sebagai “perniagaan” dan hanya menumpukan kepada bagaimana Nazi boleh membuat kerja-kerjanya dengan lebih mudah. Pengasas syarikat itu membunuh diri dengan meminum racun selepas Nazi dikalahkan dalam Perang Dunia II. Pandangan Topf & Sons tentang pembangunan teknologi yang mempercepatkan pembakaran beribu-ribu orang sebagai “perniagaan” telah mengambil tempatnya dalam buku sejarah sebagai ‘noda hitam’ dalam dunia industri dan dunia politik Jerman. Atas sebab ini, sikap berdiam diri Merkel mahupun pandangan para pemilik perniagaan tentang hubungan mereka dengan China sebagai “perniagaan” semata-mata akan menjadi bukti sikap bertolak ansur mereka dengan genosid untuk kali kedua pada masa hadapan.

Pendirian naif Kesatuan Eropah terhadap China dan terutamanya di Jerman, di mana demokrasi dan akauntabiliti sentiasa menjadi keutamaan, telah berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Terutamanya apabila Xi Jinping, pemimpin Parti Komunis China, mengisytiharkan dirinya sebagai presiden seumur hidup pada 2018, yang membawa kepada “pencerahan” dalam dunia perniagaan Jerman. Freidolin Strack, Ketua Jabatan Asia – Persekutuan Perindustrian Jerman (BDI) menyatakan dalam kertas kerja yang diterbitkan pada awal 2019 bahawa strategi “membuka China kepada dunia” telah gagal. Satu lagi perkara yang ditekankan dalam artikel Matthew Karnitschnig dalam Majalah Politico[10] ialah kejuruteraan Jerman masih lebih unggul, tetapi China mengejarnya dengan pantas. Ini adalah sebuah amaran yang keperluan Beijing untuk Berlin tidak akan kekal pada masa hadapan. Rejim Komunis China menceritakan sebuah kisah bahawa ia akan berintegrasi ke dalam dunia dengan “membuat perkara lebih besar,” dalam masa yang sama melakukan genosid di Turkistan Timur di hadapan tatapan seluruh dunia. Sesetengah pihak di Barat menonton ‘raksasa’ yang mereka besarkan dengan tangan mereka sendiri sedangkan ia memusnahkan semua nilai Barat dan menguasai dunia, dengan senyuman palsu di wajah mereka seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Kesatuan Eropah (EU) yang diketuai oleh pentadbiran Jerman, yang percaya kepada perdagangan dan transformasi, telah menandatangani perjanjian pelaburan bersama dengan China yang mencerminkan perspektif ini. Perjanjian tersebut menimbulkan kontroversi kerana ia dibuat dengan rejim Komunis China yang melanggar falsafah penggagasan Eropah. Walaupun pihak China dalam perjanjian itu mengatakan bahawa ia akan mengambil langkah yang dikehendaki EU dalam aspek jenayah harta intelek, akses kepada pasaran dua hala, masalah buruh paksa, dan penyalahgunaan subsidi negara, namun masalah terbesar bagi masyarakat antarabangsa masih kekal. Pemerintahan Beijing meneruskan dasar genosidnya di Turkistan Timur dan tidak berundur daripada penindasannya di Hong Kong. Jika perjanjian itu disahkan oleh semua negara dan mula berkuatkuasa, Eropah akan terikat dengan trajektori ekonomi pemerintahan kuku besi Xi Jinping. Sebaliknya, China, yang melanggar semua konvensyen antarabangsa yang telah ditandatanganinya sehingga sekarang, tidak menutup kem tahanan di Turkistan Timur mahupun menamatkan perhambaan Uyghur, tetapi sebaliknya mempercepatkan proses-proses kekejaman ini. Petunjuk jelas yang China tidak akan berhenti memaksa orang menjadi hamba adalah peningkatan bilangan kem tahanan dan zon perindustrian yang dibina di sebelah kem-kem itu.

 Ia mengingatkan sekali lagi bahawa jenayah genosid Nazi terhadap orang Yahudi, Gipsi, sektor masyarakat lain dan orang-orang sakit di Jerman -sebuah negara terkemuka Eropah- masih segar dalam ingatan warga dunia. Atas sebab ini, pemerintahan Jerman mempunyai tanggungjawab yang besar dalam sejarah (untuk tidak mengulangi genosid). Untuk menebus sepenuhnya jenayah yang dilakukan oleh Nazi, Jerman mesti memimpin Eropah dan menerajui kempen menghentikan genosid di Turkistan Timur. Tanggungjawab ini juga merupakan peluang bagi Jerman untuk menegakkan nilai sejagat masyarakat antarabangsa dan menebus kesalahan Nazi semasa Perang Dunia Kedua. Jika Jerman memenuhi janjinya untuk “Never Again” dan menuntut penghentian dasar genosid China dan Beijing, ia akan mempunyai peluang untuk menunjukkan bahawa ia benar-benar menegakkan dan memperjuangkan nilai moral yang diangkat Barat.


[1] https://bitterwinter.org/Vocabulary/uyghurs/

[2] https://www.nytimes.com/1997/08/15/business/hugo-boss-acknowledges-link-to-nazi-regime.html

[3] https://bitterwinter.org/Vocabulary/human-rights/

[4] https://www.nytimes.com/2020/08/27/business/german-auto-parts-continental-nazi.html

[5] https://www.jpost.com/international/bmw-expresses-profound-regret-for-nazi-ties-in-public-apology-447229

[6] https://www.aspi.org.au/report/uyghurs-sale

[7] https://www.politico.eu/article/germany-china-economy-business-technology-industry-trade-security/

[8] https://www.politico.eu/article/germany-china-economy-business-technology-industry-trade-security/

[9] https://www.dw.com/en/the-german-company-that-enabled-the-holocaust/a-52128223

[10] https://www.politico.eu/article/germany-china-economy-business-technology-industry-trade-security/

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.