Islam diperkenalkan ke wilayah China pada abad ke-7. Dalam beberapa tempoh selepas pertembungan pertama dengan para pedagang muslim, mereka (para pedagang muslim) ini mengambil kedudukan yang penting dalam arus perdagangan China. Hubungan antara negara-negara Islam dan China berkembang melalui perdagangan sehingga abad ke-12. Sebilangan besar orang Islam menetap di China. Masyarakat Islam yang menjalankan tugas sebagai tentera upahan di bawah pemerintahan Dinasti Yuan-Mongol juga tidak mengalami tekanan atau masalah pada zaman Ming. Namun bermula dari zaman Manchu-Qing, apabila semangat “nasionalis” mereka mula memuncak, tekanan terhadap umat Islam pun mula meningkat pada abad ke-17. Percubaan pertama untuk melakukan asimiliasi -pencinaan- berlaku pada tahun-tahun ini. Kebebasan umat Islam disekat, dan pendatang muslim yang baru tiba terpaksa menetap di tanah jajahan Qing sepanjang sempadan barat negaranya. Pada tahun-tahun berikutnya, sebagai kesan daripada kempen penjajahan maharaja-maharaja Qing ke arah barat, tanah air kaum muslimin berubah menjadi jajahannya.
Hari ini, walaupun sikap anti-Islam Parti Komunis China (PKC) -yang telah mengakibatkan genosid ke atas Muslim Uyghur dan komuniti Turk lain di Turkistan Timur- dinilai memiliki kaitan langsung dengan doktrin Komunis, namun secara sejarahnya ia berdasarkan nasionalisme Han yang muncul pada zaman dinasti Manchu-Qing. Seperti yang dinyatakan oleh Haiyun Ma, penulis artikel “Anti-Islamic Movements in China” terbitan Institut Hudson, empayar (China) meluas ke arah barat dan orang Han China terpaksa berhijrah ke tanah air Muslim Hui. Dalam kesinambungan penghijrahan ini, ideologi nasionalisme berkembang di kalangan orang Han China, dan para intelek Han-Konfusius mula mengecam Islam dan umat Islam. Selari dengan kukuhnya reputasi bangsa Han China dalam empayar ini, pelaksanaan kewajipan agama umat Islam dalam kehidupan seharian cuba dipinggirkan. Keadaan ini dilihat sebagai reaksi anti-Hui oleh seorang pakar bahasa dan saintis geografi Konfusius Gu Yanwu, yang hidup pada tahun 1600-an. Gabenor Shandong Chen Shiguan, yang mempunyai pandangan yang sama dengan Gu dan juga hidup pada abad ke-17, melihat Islam sebagai “ancaman” dan menyerang para pemerintah Qing yang bertoleransi dengan umat Islam. Seorang lagi pakar Han-Konfusius, Wei Shu, mahu orang Islam diusir secara paksa dari China.
Abad ke-18 di China adalah zaman di mana percubaan-percubaan dibuat untuk mengawal kawasan yang didiami umat Islam dan penentangan terhadap percubaan ini boleh disaksikan. Wilayah Yunnan, salah satu wilayah yang didiami umat Islam, adalah salah satu titik paling jauh yang cuba dikuasai Dinasti Qing di barat dayanya. Kunming, bandar terbesar di kawasan ini, merupakan salah satu pusat komersial yang penting pada masa itu. Pentadbiran pusat tidak banyak campur tangan di sini sehinggalah pada waktu pemerintahan Maharaja Yongzheng dan wilayah ini ditadbir melalui gabenornya. Antara sebab lain mengapa rantau ini penting bagi maharaja China ialah lombong tembaga yang terdapat di kawasan ini. Daya hidup ekonominya menyebabkan sebilangan besar orang berhijrah ke situ. Tetapi dari masa ke masa, keseimbangan antara orang Han China dan masyarakat lain telah merosot. Ketegangan yang timbul daripada pemansuhan sistem gabenor am oleh maharaja telah bertukar menjadi peristiwa berdarah. Selepas berlakunya genosid di mana 8 ribu orang Islam terbunuh pada tahun 1856, wilayah itu berada dalam keadaan huru-hara. Kerajaan pusat pula lebih mengutamakan keselamatan lombong tembaga dan berusaha mengelakkan daripada wujudnya campur tangan negara-negara jiran terhadap isu ini. Selepas keruntuhan empayar pada tahun 1911, pada tahun-tahun terawal penubuhan republik (China), umat Islam dianggap sama seperti anggota masyarakat lain. Walaupun nasionalisme Han China terus meningkat sehinggalah Parti Komunis berkuasa, dalam tempoh ini hanya terdapat sedikit serangan terhadap umat Islam berbanding tempoh sebelumnya.
Pada zaman Revolusi Kebudayaan, beberapa tindakan paling memalukan yang dilakukan oleh Parti Komunis pimpinan Mao melibatkan penganiayaan terhadap umat Islam. Sepanjang revolusi budaya yang bermula pada tahun 1966, untuk memiliki identiti Muslim dianggap sebagai satu jenayah. Dalam tempoh ‘revolusi’ ini juga; Al-Quran dibakar, masjid dirosakkan, tempat ibadat dijadikan kandang babi, alim ulama dipaksa makan daging babi di hadapan masyarakat, dan segala jenis penghinaan, penganiayaan, dan penyeksaan dikenakan kepada orang awam (Muslim) dengan tujuan memaksa mereka untuk meninggalkan kepercayaan mereka. Akibat daripada pegangan Mao yang meyakini kepercayaan agama ini sebagai khurafat, masyarakat Islam telah mengalami penganiayaan yang dahsyat. Mereka yang ingin melindungi kepercayaan mereka terhadap Islam diseksa, dipenjarakan dan ada yang dibunuh. Ketika itu, apabila mempelajari agama dianggap jenayah besar, semua buku tentang Islam diharamkan, kecuali al-Quran. Oleh kerana revolusi budaya bertujuan untuk menukar manusia menjadi orang yang tak beriman dan memusnahkan nilai-nilai kerohanian mereka, maka budaya menghormati ibu dan bapa, salah satu ajaran Islam yang utama, berusaha untuk dihapuskan. Para pelajar diberi arahan untuk menghina dan mengaibkan ibu bapa mereka di hadapan semua orang.
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara