• Washington DC
Ikut kami:

Seruan Muslim Uyghur kepada Umat Islam di bulan Ramadan

Oleh: Abdulhakim Idris.

Pengarah Eksekutif Abdulhakim Idris di UMN Al Washliyah, Medan, Indonesia, pada April 12, 2023.

Nota: Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Uyghur Abdulhakim Idris menyampaikan ucapan ini di UMN Al-Washliyah, Indonesia, pada 12 April 2023.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan yang diberkati. Semoga Allah mengurniakan ganjaran pahala dan keberkatan buat anda semua.

Saya memulakan ucapan saya ini dengan memberikan gambaran tentang sebuah Ramadan yang asing buat anda. Bayangkan bagaimanakah suasana hidup di dalam satu tempat di mana meraikan Ramadan diharamkan di sana. Bayangkan sebuah Ramadan, di mana ahli keluarga anda dilantik oleh rejim kuku besi untuk berpengkalan di rumah anda, dengan tujuan semata-mata untuk memastikan anda tidak berpuasa, dan mewajibkan anda untuk makan di siang hari bersama-sama mereka. Bayangkan di bulan yang diberkati ini, anda dihantar ke kem tahanan hanya kerana ada petugas kerajaan yang melaporkan anda berpuasa. Bayangkan sebuah bulan suci, di mana bukan saja perbuatan meraikan Ramadan, tetapi juga identiti anda sebagai Muslim cuba dihapuskan. Bayangkan bagaimana pengamalan agama Islam, yang di mana inilah masanya doa-doa kita semua akan dimakbulkan, anda dipenjara hanya kerana anda selalu melaksanakan solat dan melaksanakan amal ibadat Islam yang lain. Bayangkan sebuah tanah air umat Islam, di mana bertanyakan tentang halal haram ketika anda membeli barang keperluan dianggap sebagai satu jenayah.

Hari ini, saya berdiri di sini sebagai wakil kepada bangsa Muslim Uyghur di Turkistan Timur, bangsa yang menjadi sasaran genosid oleh rejim komunis China, dan bangsa yang berdepan dengan kesemua jenis penindasan yang baru saja saya sebutkan. Dengan memohon perlindungan dan rahmat Ilahi, saya ingin menerangkan tentang genosid yang menimpa bangsa Muslim Uyghur dan matlamat terakhir daripada (penindasan) rejim komunis China sepanjang hari-hari yang diberkati yang kita sama-sama alami kini (di bulan Ramadan).

Sepertimana yang anda ketahui, Turkistan Timur merupakan tanah air kepada bangsa Muslim Uyghur, Kazakh dan Kyrgyz yang telah berada di bawah jajahan komunis China semenjak tahun 1949. Sejak daripada awal penjajahan China ke atas tanah air kami, rejim komunis China berusaha secara sistematik untuk menghapuskan kami. Hal ini kerana Turkistan Timur merupakan sebuah kawasan yang penting, memiliki kedudukan geografi yang strategik, kaya dengan sumber galian, dan dipenuhi tanah yang subur. Tanah air bangsa Uyghur yang terletak di kawasan paling barat sempadan China merupakan titik terpenting bagi kuasa ekonomi dan diplomatik Beijing merentasi kawasan Asia ke Eropah. Oleh itu, pencinaan (sinizication) kawasan ini dan pengasingannya daripada identiti Muslimnya yang asali menjadi sebuah pergelutan eksistentasial bagi rejim China.

Sebelum dan selepas zaman Mao, para pemimpin rejim komunis China telah mencuba pelbagai taktik untuk mencinakan bangsa Uyghur. Ringkasnya, bangsa Han China pada awalnya dipindahkan daripada pelbagai kawasan di dalam China ke dalam kawasan Turkistan Timur dengan tujuan untuk mengubah demografik penduduknya. Dalam masa yang sama, perubahan-perubahan dilakukan kepada pendidikan anak-anak kecil agar bersesuaian dengan kemahuan rejim komunis yang bertujuan untuk mengasingkan generasi baru Uyghur daripada bahasa asal mereka, agama mereka, dan budaya mereka. Dalam konteks inilah, sekolah-sekolah Islam yang menyediakan pendidikan agama ditutup. Sepertimana yang saya bakal jelaskan secara terperinci sebentar lagi, sepanjang beberapa tahun ini, rejim China sentiasa berusaha keras untuk menghapuskan jejak-jejak kehidupan Islam daripada Turkistan Timur. Anda pasti tertanya-tanya, mengapakah rejim komunis China sanggup melakukan sedemikian.

Sebelum menjawab soalan ini, saya ingin berkongsikan dengan anda semua akan beberapa fakta dan kebenaran yang pahit berkenaan genosid Uyghur di Turkistan Timur.

2014 merupakan tahun di mana kem-kem tahanan mula didirikan di Turkistan Timur. Hari ini, terdapat ratusan kem tahanan dibina di serata tanah air Uyghur. Kem-kem tahanan ini dipamerkan kepada warga dunia sebagai ‘pusat pendidikan semula (re-education centres)’. Akan tetapi, tujuan sebenar daripada pembinaan ‘pusat-pusat pendidikan’ ini telahpun dibongkar oleh mereka yang berjaya menyelamatkan diri daripada tahanan ini. Pusat-pusat ini hakikatnya merupakan kem tahanan yang bertujuan untuk menghapuskan identiti agama dan kebangsaan Uyghur dan membuat mereka lupa yang mereka ialah orang Islam. Amat penting untuk ditekankan di sini, bahawa orang-orang yang terawal ditahan di kem-kem tahanan ini merupakan alim ulama dan para cendekiawan Uyghur.

Dahulu, mereka yang ditahan di kem tahanan ini hanya dipenjara buat seketika dan kemudiannya dihantar pulang. Akan tetapi, apabila kem-kem tahanan ini mula beroperasi dengan sistematik, jutaan warga Uyghur, termasuklah mereka yang pernah ditahan dan dihantar pulang, ditahan di kem-kem penindasan ini. Propaganda rejim komunis secara sistematik membasuh minda para tahanan. Muslim Uyghur dipaksa untuk beriman dengan rejim komunis China dan pemimpinnya sebagai ganti kepada beriman kepada Allah. Kepada yang melawan perkara ini, mereka akan berdepan dengan pelbagai jenis seksaan. Para penjaga dan sekuriti di kem-kem tahanan ini mengambil mana-mana saja perempuan Uyghur yang memikat hati mereka ke lokap-lokap tertutup dan merogol mereka. Jenayah dan pelecehan seksual melampau di dalam kem-kem ini telah didedahkan oleh mereka yang berjaya menyelamatkan diri daripadanya. Organ-organ badan orang Uyghur yang sengaja dijadikan sakit atau dibiarkan separuh mati dengan penyeksaan di dalam kem ini dicuri dan dijual kepada pembeli-pembeli luar negara, termasuklah pembeli muslim yang mencari ‘organ halal’.

Hidup di luar kem tahanan ini tidaklah begitu berbeza. Sebahagian orang Uyghur yang telahpun diindoktrinasi di dalam kem-kem penindasan ini berdepan dengan penghakiman di ‘mahkamah’ dan dihantar ke penjara hakiki, ataupun dipaksa untuk bekerja di kilang-kilang umpama hamba abdi. Mereka ditanya di ‘mahkamah’ ini tentang mengapakah mereka bercerita tentang soal agama dengan anak-anak mereka, atau mengapakah mereka mengajar alQuran kepada anak-anak mereka. Mereka yang selalu melakukan rukun Islam dengan ikhlas hati dituduh sebagai penjenayah. Mereka dihukum di dalam penjara dengan hukuman yang berat. Mereka yang dipaksa untuk bekerja umpama hamba abdi di kilang-kilang turut berdepan dengan tekanan yang sama seperti mereka yang ditahan di dalam penjara, dan mereka dipaksa untuk kekal di situ meskipun ia bertentangan dengan kehendak mereka.

Wanita Uyghur dimandulkan secara paksa, hak asasi manusia mereka dicabul, dengan tujuan untuk menghapuskan generasi muslim di Turkistan Timur. Kadar kelahiran turun mendadak melebihi 80% pada tahun-tahun kebelakangan ini. Ubat-ubat pemandulan diberikan secara sistematik di kem-kem tahanan, dan kaum wanita disekat daripada hak mereka untuk menjadi ibu. Wanita yang tidak ditahan dalam kem tahanan pula dipaksa untuk memasukkan alat pemandulan ke dalam tubuh mereka.

Kanak-kanak kepada mereka yang ditahan di dalam kem tahanan diambil (oleh pemerintah). Hari ini, dianggarkan hampir sejuta kanak-kanak Uyghur ditempatkan di asrama yang didirikan rejim komunis ataupun ditempatkan dalam keluarga-keluarga cina. Propaganda rejim komunis dipaksakan ke atas kanak-kanak ini, termasuklah membuat mereka melupakan nama asal mereka. Mereka dipaksa untuk menyembah Parti Komunis China dan para pemimpin parti itu sebagai ganti kepada Islam yang sedia ada mereka anuti. Sebagai contoh, seorang lelaki Uyghur yang anaknya dirampas daripada dirinya melihat sebuah rakaman video beberapa tahun kemudian dan berdepan dengan rasa takut melihat anak lelakinya diasingkan dan dibasuh daripada identitinya sebagai seorang Uyghur.

Samalah juga halnya, keluarga yang memiliki anak-anaknya di luar negara dihalang daripada menghubungi anak-anak mereka. Memiliki hubungan dan komunikasi dengan kaum keluarga di luar negara dianggap sebagai sebuah jenayah, dan ramai orang telahpun dipenjara kerananya. Atas sebab ini, ibu saya sendiri memberitahu saya untuk tidak lagi menghubunginya setelah saya bercakap dengannya pada April 2017. Bermula dari 25 April 2017, saya tidak mendengar satu apapun khabar berita daripada ayah dan ibu saya. Saya, bersama ribuan lagi diaspora Uyghur tidak tahu samada ibubapa kami masih hidup ataupun tidak.

Sepertimana yang anda ketahui, petanda yang paling signifikan menandakan sesebuah kawasan itu sebagai sebuah tanah Islam ialah binaan masjid, menara azan yang menghiasi rumah ibadat ini, dan suara azan yang didengari berkumandang daripadanya. Ciri-ciri ini di Turkistan Timur telahpun dihapuskan oleh rejim komunis China. Menurut sebuah kajian bebas, kira-kira 16 ribu buah masjid di Turkistan Timur telah menjadi sasaran rejim China. Kesemua masjid-masjid ini telah dirosakkan, dan sebahagian daripadanya dirobohkan sepenuhnya. Kawasan perkuburan dimusnahkan. Beberapa masjid bersejarah di pusat-pusat bandar terkemuka ditukar menjadi pusat hiburan dan bar. Hatta ada beberapa masjid yang dibenarkan terbuka sekadar sebagai pameran semata-mata, azan tidak lagi kedengaran daripadanya.

Hal ini kerana rejim komunis China berpendapat bahawa beriman dengan agama Islam merupakan satu jenayah, dan mereka melihatnya (agama Islam) sebagai musuh. Oleh itu, mereka telah mengumumkan sebuah peperangan melawan Islam dan ingin memenangi peperangan ini pertama-tama sekali di Turkistan Timur. Penghapusan ayat-ayat alQuran daripada masjid-masjid di tanah air Uyghur dan penggantiannya dengan ayat-ayat propaganda komunis, pemusnahan menara-menara azan masjid, dan pembakaran alQuran merupakan kerosakan-kerosakan yang telah dilakukan ekoran perang melawan Islam yang diumumkan rejim Beijing itu.

Melihatkan kepada pengisahan genosid yang meremukkan hati seperti ini, satu soalan yang wajar terbit dalam minda anda ialah ‘kenapa’. Ada dua jawapan yang boleh diutarakan: pertama ialah matlamat pencinaan total Turkistan Timur yang berada di bawah jajahan rejim komunis, dan kedua ialah kepentingan diplomatik dan ekonomi (rejim komunis).

Bila kita meninjau aspek pertama, kita akan melihat gambarannya seperti ini. Saya telah jelaskan sebelum ini yang rejim komunis China secara sistematik ingin menghapuskan identiti agama dan budaya Muslim Uyghur sejak 1949 lagi. Untuk tujuan ini, kesemua sekolah pengajian Islam ditutup. Tiada langsung subjek pengajian agama diajarkan di sekolah-sekolah. Warga Turkistan Timur menyedari yang sebaik-baik benteng untuk melindungi identiti mereka ialah dengan memelihara agama mereka dan mengajarkannya kepada anak-anak mereka. Oleh kerana itu, apabila madrasah ditutup, sebilangan besar orang Uyghur mula memberikan pendidikan agama di rumah. Hingga ke tahap di mana pengajian alQuran serta Tafsir diajarkan secara rahsia (underground) di kawasan kejiranan. Meskipun berdepan dengan propaganda sistematik dan pengubahsuaian kehidupan sosial oleh rejim komunis, penjagaan identiti Islam oleh warga Turkistan Timur dilihat sebagai ancaman kepada rejim komunis. Atas sebab itu, sejak 2014, orang-orang yang dikenali sebagai ‘ahli keluarga’ (yang berbangsa Han) ditempatkan di dalam rumah-rumah Muslim Uyghur. Tujuan mereka ditempatkan di situ ialah kononnya untuk menggabungkan bangsa Han China dan Muslim. Akan tetapi tujuan sebenar mereka ialah untuk mengawasi kehidupan muslim di dalam rumah mereka sendiri. ‘Ahli keluarga’ (daripada bangsa Han) yang dilantik ini datang dan tinggal di dalam rumah orang Islam (yakni di Turkistan Timur) dalam tempoh tertentu dan mengawasi mereka sepanjang waktu. Demikian, peluang untuk warga Uyghur mengajar ilmu agama kepada anak-anak mereka di rumah telah disekat sepenuhnya. Di sisi lain, keadaan menjadi lebih teruk apabila wanita muslim Uyghur dipaksa untuk berkongsi katil dengan ‘ahli keluarga’ komunis ini. Kehidupan muslim Uyghur -di siang hari berdepan dengan tekanan daripada pengawasan rejim, dan di malam hari dengan ‘ahli keluarga’ ini- tidak larat lagi untuk ditanggung mereka.

Apabila kita melihat daripada perspektif kedua, peranan kepentingan ekonomi dan diplomatik menjadi tumpuan utama. Turkistan Timur merupakan salah satu daripada kawasan China yang kaya (dengan sumber semulajadi). Gas asli, minyak, uranium, emas, dan pelbagai mineral lain di kawasan ini telah memainkan peranan penting dalam ekonomi China. Tambahan lagi, Turkistan Timur merupakan transit yang penting bagi Inisiatif Jalur dan Jalan (Belt and Road Initiative-BRI) China. Oleh itu, rejim komunis China mahu mengawal kawasan ini sepenuhnya. Majoriti muslim Uyghur dan identiti Islam di kawasan tersebut dilihat sebagai ancaman kepada rejim kerana ia boleh menggadaikan kepentingan ekonomi dan diplomatik ini. Atas sebab ini, rejim secara sistematik menindas muslim Uyghur di kawasan ini untuk memelihara kepentingan ekonomi dan diplomatik mereka.

Di sini, kita harus menegaskan bahawa pelantikan Xi Jinping sebagai pemimpin Parti Komunis China telah menjadi titik mula yang mengubah nasib Turkistan Timur menjadi lebih buruk. Melihat dirinya sebagai pemimpin terbaik bagi negara China, Xi mencipta dan memperkenalkan beberapa polisi baharu untuk menundukkan dunia di bawah hegemoni Beijing. Antara polisi yang terkedepan sekali dalam isu ini ialah Inisiatif Jalur dan Jalan, disingkatkan BRI, yang diumumkan pada tahun 2013. Semenjak pengumumannya, BRI dipromosikan sebagai sebuah projek yang akan membawa kemakmuran ekonomi dan sosial kepada seluruh dunia.

Kira-kira 140 buah negara, termasuklah 17 daripada negara-negara Timur Tengah telah menyertai BRI. Dua kawasan geografi menjadi tumpuan BRI ini, yang namanya sendiri sebenarnya telah mengambil inspirasi daripada Laluan Sutera (Silk Road) bersejarah itu yang merentasi China hingga ke Eropah. Afrika dan Timur Tengah merupakan kawasan-kawasan yang menjadi sasaran China kerana kekayaan sumbernya dan (keuntungan) pelaburannya. Negara-negara di rantau Asia-Pasifik, seperti Indonesia dan Malaysia, juga memiliki kedudukan yang strategik bagi hegemoni China. Wang Yi yang telah menghadiri Mesyuarat Urusan Luar Negeri bagi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) 2022 telah mengumumkan yang kira-kira 400 bilion dollar dilaburkan dalam 600 projek BRI di dalam Dunia Islam. Nilai projek yang diterima oleh negara-negara Afrika dan Timur Tengah di dalam kawasan BRI ini telah meningkat daripada 8% kepada 38% pada tahun 2020. Bilangan sanksi yang dikenakan China ke atas Dunia Islam-Arab telah meningkat sebanyak tiga kali ganda, dan kadar ini juga telah naik sebanyak dua kali ganda pada projek-projek pembinaan. Sumbangan ekonomi yang didakwa telah dicipta dan diberikan kepada negara-negara di mana projek-projek ini dilaksanakan masih menjadi tanda tanya. Hal ini kerana apabila syarikat-syarikat yang melaksanakan projek-projek ini datang daripada China, syarikat yang memberikan pinjaman kepada negara hos juga daripada China, dan para pekerja dalam projek itu juga datang daripada China, sudah tentu yang mendapat kelebihan dalam situasi ini ialah pihak Beijing. Negara-negara yang menerima pelaburan seperti ini, contohnya Sri Lanka, telah berdepan dengan beban hutang yang dahsyat. Kini, perlu kita ketahui juga bahawa pelbagai negara di Afrika turut mula membincangkan tentang projek-projek BRI ini.

Turkistan Timur memiliki kepentingan yang mustahak buat BRI, yang bakal menjadikan China sebagai kuasa ekonomi terbesar dunia. Kedudukan tanah air Uyghur yang menghubungkan China dengan Asia Tengah serta Timur Tengah merupakan salah satu sebab yang mendorong Beijing untuk mencinakan Turkistan Timur. Empat daripada enam koridor perniagaan di dalam BRI akan melalui kawasan Turkistan Timur untuk sampai ke kawasan-kawasan lain. Bandar bersejarah Kashgar di Timur terletak bersebelahan dengan Pakistan, di mana pelaburan terbesar BRI dilakukan di situ. Kawasan perniagaan khas juga telah dibina di kawasan ini. Kita harus mengambil tahu yang pembinaan kem tahanan di Turkistan Timur bermula setahun selepas pengumuman berkenaan BRI dibuat pada tahun 2013. Sejak 2017, bilamana projek-projek BRI dipercepatkan, jutaan Uyghur dihantar ke kem-kem tahanan ini. Ketikamana rejim komunis berusaha untuk menguasai ekonomi dunia, mereka telah memusnahkan Uyghur demi keserakahan nafsu kolonial mereka.

Jenayah yang tidak berperikemanusiaan yang dilakukan rejim komunis China, yang bertentangan dengan demokrasi, hak asasi manusia dan nilai-nilai universal, telahpun mengundang suara warga dunia. 14 buah negara telah mengakui bahawa kegiatan-kegiatan yang dilakukan (rejim komunis) di Turkistan Timur sebagai genosid. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia UN di dalam laporannya yang telah diterbitkan membongkar fakta yang China telah melakukan jenayah kemanusiaan terhadap muslim Uyghur sebagai sasarannya. Sebuah Tribunal Bebas di London telah mengakui yang China bersalah atas jenayah genosid. Akan tetapi, dengan rasa kecewa saya tetap perlu menyuarakan, sayang sekali Dunia Islam menjadi bahagian dunia yang paling senyap berkenaan pembantaian komuniti muslim ini. Dunia Islam, di bawah pengaruh ekonomi, diplomatik dan politik daripada China telah terdedah kepada penyaluran maklumat-maklumat palsu oleh pemerintahan Beijing. Salah satu kesan penyebaran maklumat palsu ini ialah Dunia Islam telah terhalang daripada mengetahui tentang situasi sebenar di Turkistan Timur. Oleh itu, sambutan yang anda sediakan dan sokongan yang anda berikan kepada Uyghur amat bermakna bagi kami warga Uyghur.

Saya tidak ingin memenatkan anda semua dengan memberikan berita secara lebih terperinci. Ringkasnya, Turkistan Timur merupakan salah satu pelindung kepada Dunia Islam, sama seperti anda, di Timur. Sepertimana yang saya telah jelaskan panjang lebar sebelum ini, kejadian-kejadian yang berlaku di Turkistan Timur bukan saja ditumpukan kepada sesebuah komuniti. Akan tetapi, yang menjadi matlamat utama mereka ialah untuk menghapuskan Islam sama sekali daripada Turkistan Timur, kerana Beijing melihat Islam sebagai ancaman kepada dirinya. Sebagai Muslim Uyghur, kami mengharapkan anda semua untuk mengambil tindakan pantas untuk menghentikan pembantaian yang bertentangan dengan demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan beragama dan nilai kemanusiaan ini. Sekiranya Dunia Islam tidak bangkit mempertahankan saudara segamanya, siapa lagi? Siapa yang akan bersuara bagi pihak Muslim Uyghur di dunia ini?

Saya ingin menyimpulkan ucapan saya dengan sebuah hadis daripada Nabi Muhammad sallAllah alaihi wa sallam, “Sesiapa yang melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (yakni kuasanya). Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lisannya. Sekiranya dia tidak mampu juga, maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya.” (HR Muslim). Hari ini, warga Muslim Uyghur menantikan sokongan anda yang berterusan seperti yang anda pamerkan hari ini agar mereka diselamatkan daripada genosid. Di dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat ini, kami dengan rendah hati memohon agar anda bersolidariti bersama warga Uyghur di dalam doa-doa anda semua.

Nota: Ia telah diterbitkan oleh ABIM Press dalam bentuk ebuku. Jemput layari di pautan ini: http://e-maktabah.com/books/vzyl

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.