• Washington DC
Ikut kami:

PBB telah mengesahkan kewujudan ‘Perang China terhadap Islam’ – sampai bila Dunia Islam akan diam membatu?

Ethnic Uyghur girls attend a protest against China, in Istanbul, Turkey August 31, 2022. REUTERS/Dilara Senkaya

Oleh: Abdulhakim Idris.

Laporan terbaru mengenai Genosid Uyghur oleh rejim Komunis China di Turkistan Timur telah diterbitkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Berita mengenai genosid terhadap orang Uyghur yang sedang berlaku, yang telah disiarkan di pelbagai platform sehingga kini, akhirnya telah disahkan oleh laporan itu. Dalam laporan tersebut menyebutkan tentang sekatan daripada kebebasan beragama, testimoni-testimoni yang diberikan menerangkan tentang sebuah situasi di mana ritual dan amalan Islam hampir mustahil diamalkan. Selepas laporan ini diterbitkan, kesemua pandangan dunia kini beralih kepada negara-negara Islam. Negara-negara Islam perlu mempertahankan hak-hak Uyghur, Kazakh, Kyrgyz dan masyarakat etnik lain yang telah mengalami genosid hanya atas sebab mereka ini Muslim, yang ingin mengekalkan identiti agama mereka dan menentang tindakan asimilasi oleh China.

Selepas daripada lawatan kontroversi Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Michele Bachelet ke Turkistan Timur, orang ramai menantikan penerbitan laporan Pesuruhjaya itu. Kenyataan Bachelet selepas lawatannya ke Turkistan Timur, apabila beliau mengatakan bahawa rejim Komunis China melaksanakan polisi-polisinya terhadap Uyghur untuk “melawan keganasan dan ekstremisme”, telah menimbulkan banyak kekeliruan. Maklumat bahawa Bachelet -yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan China- tidak mahu menyiarkan laporan itu, tetapi tidak menghalangnya, juga telah didedahkan kepada umum. Bagaimanapun, Bachelet, yang tidak mempunyai pengaruh dalam penyediaan laporan dari segi fungsi Suruhanjaya Tinggi, telah tersepit dalam situasi ini. Laporan yang diterbitkan pada penghujung Ogos itu dibuat melalui keterangan saksi bahawa rejim Komunis China telah melakukan semua jenayah yang dinafikannya setakat ini.

Isu-isu yang terkandung dalam laporan itu mendedahkan bahawa masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan. Kenyataan China bahawa ‘Turkistan Timur adalah urusan domestik kami’ dan ‘Kami memerangi keganasan, ekstremisme dan puak pemisah’ didapati tidak benar sama sekali. Laporan itu mengandungi penemuan yang mengejutkan, terutama yang berkaitan dengan dunia Islam. Menurut laporan ini, rejim Komunis China melarang keras pelaksanaan aktiviti keagamaan di institusi awam, sekolah, tempat awam dan kawasan lain. Kanak-kanak dilarang sama sekali menyertai aktiviti keagamaan.

Rejim Komunis China menggunakan label ‘ekstremisme’ secara longgar dan meluas, yang menyenaraikan amalan harian Islam sebagai ‘jenayah’. Bertudung, memanjangkan janggut, mencari produk halal, menutup restoran pada bulan Ramadan, menggunakan media sosial dan internet untuk tujuan keagamaan, mengajar agama, memberi nama Islam kepada kanak-kanak, serta banyak lagi aspek kehidupan dalam agama Islam, semuanya diharamkan atas alasan ekstremisme. Hukuman dikenakan kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti ini, dan, sebenarnya, dalam beberapa dokumen yang diterbitkan sebelum laporan PBB, hampir semua ‘jenayah’ ini dimasukkan sebagai justifikasi untuk orang dihantar ke kem tahanan. Dalam laporan lain, dinyatakan bahawa Uyghur yang ditahan di kem tahanan telah dibicarakan di mahkamah yang dipanggil dan dihantar ke penjara untuk apa yang dipanggil ‘jenayah’ ini.

Di antara jenayah yang dilakukan oleh rejim Komunis China untuk menghapuskan jejak-jejak Islam di Turkistan Timur ialah pemusnahan masjid, kuil dan tanah perkuburan orang Islam. Dalam laporan yang disediakan sebelum ini mengenai isu ini, telah dinyatakan yang 16,500 buah masjid dan makam-makam suci dimusnahkan di tanah air orang Uyghur. Dalam laporan yang disediakan oleh Pesuruhjaya Tinggi, situasi ini disahkan sekali lagi. Menurut maklumat yang disiarkan oleh rejim Komunis China, 20,000 daripada 30,000 buah masjid di seluruh negara terletak dalam sempadan Turkistan Timur. Namun, hari ini kebanyakan masjid-masjid ini telahpun dihancurkan. Laporan PBB turut memasukkan imej-imej satelit tapak masjid yang dimusnahkan itu. Laporan tersebut menyatakan:

     “Analisis imej satelit dalam domain umum menunjukkan bahawa kelihatan banyak tapak dan kawasan keagamaan telah dialihkan atau ciri-ciri karakteristiknya diubahsuai, contohnya menara-menara masjid dialihkan.”

Sebenarnya, dalam berita yang disiarkan kepada umum sebelum ini, telah juga dinyatakan yang beberapa buah masjid di pusat bandar telah ditukar menjadi restoran dan bar.

Penderaan di dalam kem tahanan diterangkan melalui testimoni para saksi

Kem-kem tahanan, yang (kewujudannya) telah dinafikan oleh pemerintahan Beijing buat sekian lama dengan menamakannya sebagai “Pusat Pendidikan Vokasional”, sekali lagi disahkan oleh laporan PBB. Walaupun rejim Komunis China mendakwa bahawa kem ini telah ditutup pada 2019, para pegawai PBB mendedahkan yang kem-kem baharu telah dibina dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Contohnya ialah peningkatan bilangan bangunan di kem tahanan Dabancheng daripada 40 buah kepada 92 buah antara tahun 2018 dan 2020, iaitu lebih daripada dua kali ganda (daripada jumlah asal bangunan). Ini juga dikesan oleh imej satelit melalui perbandingan dengan tahun-tahun sebelumnya. Walaupun rejim Komunis China mengatakan bahawa orang Uyghur secara sukarela dibawa ke kem, para saksi mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai alternatif selain pergi (ke kem tahanan itu), dan mereka tidak dibenarkan bertemu dengan mana-mana wakil pengamal undang-undang (untuk membela nasib mereka).

Satu lagi pembohongan rejim komunis yang sesiapa sahaja boleh meninggalkan apa yang dinamakannya sebagai ‘pusat pendidikan’ itu, juga didapati tidak benar; mereka yang memberikan testimoni dalam laporan itu berkata mereka tidak diberikan izin (untuk keluar dan meninggalkannya). Pemantauan berterusan di dalam ‘pusat pendidikan’ itu dengan kamera sekuriti, para pengawalnya tidak membenarkan tahanan melaksanakan tanggungjawab agama, memaksa tahanan untuk menghafal lagu-lagu Komunis dan doktrinnya juga disebutkan dalam laporan itu. Khususnya, keterangan saksi mengenai penderaan, gangguan seksual dan penggunaan dadah pemandul secara paksa turut disertakan dalam laporan para pegawai PBB itu. Hak privasi keluarga dan kehidupan peribadi, yang menjadi keutamaan keluarga Muslim dan bangsa Turk, juga dicabuli melalui program paksa-tinggal mereka yang dinamakan ‘saudara’ China di dalam rumah orang Uyghur—juga dinyatakan dalam laporan itu.

Butiran lain laporan itu akan dibincangkan dalam hari-hari mendatang. Antara perkara penting yang perlu ditekankan di sini ialah kesemua pertuduhan yang diulang-ulang di pelbagai media ini telah lama tidak diendahkan oleh masyarakat antarabangsa. Lebih-lebih lagi, apabila wakil-wakil Dunia Islam ditanya tentang isu-isu ini, mereka sama ada mengabaikan soalan-soalan itu atau secara spontan terus memuntahkan retorik yang disuapkan China. Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, tidak mengendahkan soalan para wartawan tentang orang Uyghur.

Rejim Komunis China yang telah memperdaya dunia Islam dengan manfaat-manfaat ekonomi telah berjaya menutup mulut para pemimpin Islam. Melangkah lebih jauh, pemerintahan Beijing membuat kenyataan memuji pencapaian China dalam isu hak asasi manusia di bawah naungan PBB. Realiti sebenar yang majoriti negara yang telah menandatangani kenyataan ini adalah negara-negara Islam adalah satu realiti bersejarah yang memalukan. Iran, yang telah memenjarakan wanita yang menanggalkan tudung mereka di jalan-jalan Tehran dan memaksa pendidikan agama untuk kanak-kanak, hanya berdiam diri apabila wanita dilarang memakai tudung di Turkistan Timur, kerana ia telahpun menandatangani perjanjian bernilai 400 bilion dolar dengan China.

Salah satu organisasi terpenting yang sepatutnya mengambil langkah untuk menghentikan genosid Uyghur ini ialah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Bagaimanapun, setakat ini, tiada sebarang penjelasan diterima daripadanya (berkenaan genosid Uyghur). Tambahan lagi, Menteri Luar China telah dijemput khas dan diberi penghormatan dalam mesyuarat OIC. Para pemimpin negara-negara Islam setakat ini memekakkan telinga terhadap seruan daripada rakyat mereka sendiri untuk melindungi warga Turkistan Timur. Pendek kata, hati nurani negara Islam di seluruh dunia terus dinodai dengan darah genosid Uyghur, tetapi pemimpinnya tetap tidak melihat wujudnya luka yang mendalam ini. Alasan-alasan mungkin boleh dikemukakan mengapa PBB atau pertubuhan bukan Islam yang berkaitan tidak mengambil langkah setakat ini -meskipun alasan itu tidak sah- tetapi bagaimana pemimpin dunia Islam boleh berdiam diri dan gagal untuk membantu sesama saudara mereka?

Jika pemimpin Islam dan pemerintah negara lain ini terus menuruti fiksyen rekayasa China meskipun walaupun laporan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB ini telah dikeluarkan, mereka akan dimasukkan dalam lipatan sejarah sebagai rakan subahat dalam genosid ini. Selepas terbitnya laporan ini, tiada siapa lagi boleh mengatakan mereka tidak tahu (mengenai isu genosid Uyghur). Kini tiba masanya untuk bangkit dan melawan peperangan China terhadap Islam.

Sumber: https://www.islam21c.com/politics/the-un-has-confirmed-chinas-war-on-islam-how-long-will-the-islamic-world-remain-silent/

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.