Dunia Islam dengan pantas mengecam Islamofobia di Barat, tetapi secara nyata membisu terhadap serangan China terhadap Islam dan budaya Uyghur.
Oleh: Abdulhakim Idris.
Apabila seorang ekstrimis membakar senaskhah al-Quran di luar masjid Stockholm, ia mencetuskan reaksi keras daripada Dunia Islam. Tindakan ini menyebabkan Morocco memanggil balik konsulnya dari Sweden dan mengundang kutukan daripada negara-negara seperti Iran, Iraq dan Turkiye. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa mesyuarat untuk membincangkan dan mengutuk peristiwa itu. Reaksi ini menimbulkan persoalan tentang tindakbalas Dunia Islam terhadap provokasi yang berbeza, terutamanya apabila dibandingkan dengan kesunyian mengenai genosid China di Turkistan Timur (secara rasmi dikenali di China sebagai Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang).
Terutamanya, lebih 8,450 masjid telah dilaporkan musnah di kawasan ini, tanah air kepada orang Uyghur dan komuniti muslim lain. Walaupun terdapat bukti daripada Institut Dasar Strategik Australia (ASPI) yang menunjukkan kerosakan pada sejumlah 16,000 masjid di Turkistan Timur, negara majoriti Islam seperti Iran, Qatar, Morocco, dan Iraq tidak bersuara. Reaksi yang berbeza ini menjelaskan kegagalan yang sebegitu mendalam dalam Dunia Islam untuk menegakkan prinsipnya, terutamanya dalam menghadapi isu genosid umat Islam Uyghur yang masih berterusan.
Situasi itu mencerminkan penyimpangan daripada ajaran perpaduan di kalangan umat Islam seperti yang dizahirkan oleh hadis Nabi Muhammad yang terkenal, yang menekankan sokongan dan empati bersama: “Orang-orang mukmin, dalam cinta, belas kasihan, dan simpati sesama mereka adalah seperti satu tubuh; jika salah satu bahagian badannyanya sakit, seluruh tubuh akan bertindak balas kepadanya dengan tidak tidur dan demam.” Walau bagaimanapun, prinsip ini kelihatan diabaikan, terutamanya apabila kepentingan ekonomi dan diplomatik terlibat. Ini terbukti dalam tindak balas negara dan organisasi majoriti Islam berkait tindakan China terhadap orang Uyghur.
Sekarang ini, masyarakat antarabangsa, termasuk Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, mengiktiraf pencabulan hak asasi manusia yang dahsyat di Turkistan Timur sebagai jenayah terhadap kemanusiaan. Lebih 15 parlimen-parlimen di pelbagai negara telah melabelkan kekejaman ini sebagai genosid. Pertambahan kem tahanan sejak 2017 telah menyebabkan pemindahan paksa dan penindasan ke atas jutaan orang Uyghur. Di dalam kem-kem tahanan ini, orang Uyghur berdepan penyeksaan dan indoktrinasi yang teruk sekali, bertujuan untuk menghapuskan identiti agama, etnik dan budaya mereka. Kisah-kisah wanita Uyghur yang berdepan penahanan, rogol, dan perkahwinan paksa amat memerihkan.
Meskipun dengan bukti kekejaman yang telah didokumentasikan dengan baik ini, OIC tidak ambil peduli terhadap genosid Uyghur. Dalam mesyuarat 2019 di Abu Dhabi yang dianjurkan oleh OIC, menteri-menteri luar negara-negara Islam mengeluarkan kenyataan bersama untuk tidak menghiraukan genosid Uyghur, dengan hanya Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu yang mengambil langkah berkecuali daripada kenyataan ini. Pada tahun yang sama, 28 daripada 51 negara yang menyokong kredibiliti rekod hak asasi manusia China di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB adalah negara anggota OIC. OIC meneruskan sokongannya kepada China, seperti yang dilihat apabila Menteri Luar China Wang Yi menjadi penceramah jemputan pada mesyuarat 2022 di Islamabad, di mana genosid Uyghur tidak disebut sama sekali.
Sikap acuh tak acuh ini juga berlanjutan ke peringkat global. Pada Julai 2019, 22 negara anggota PBB menegaskan wujudnya pencabulan hak asasi manusia di Turkistan Timur, tetapi 37 negara majoriti Islam, termasuk Arab Saudi, Pakistan dan Syria, membalas dengan surat memuji kemajuan China dalam hal ehwal hak asasi manusia. Dalam undian Oktober 2022, 19 negara, termasuk negara majoriti Muslim, menyekat perdebatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB yang sepatutnya membincangkan jenayah China terhadap orang Uyghur.
Lawatan OIC ke Turkistan Timur baru-baru ini pada Ogos 2023, diketuai oleh Dya-Eddine Bamakhrama, mengelak daripada mengupas isu genosid, sebaliknya memuji rejim Komunis China. Ini mencerminkan pengutamaan hubungan ekonomi, politik dan diplomatik dengan China, sering didorong oleh keperluan kepada bantuan dan pengaruh China dalam pasaran tenaga dan projek seperti Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI). Peranan penting China dalam pasaran tenaga Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan jumlah besar yang datang dengan projek BRInya, hakikatnya telah memerangkap negara-negara Islam. Keadaan ini menzahirkan dilema moral yang ketara dalam Dunia Islam, kerana kepentingan ekonomi dan politik seolah-olah mendahului komitmen untuk membela saudara sesama Islam di Turkistan Timur.
Pengaruh Parti Komunis China ke atas negara-negara Arab, terutamanya melalui hubungan ekonomi, terbukti dalam lawatan Liga Negara Arab ke Turkistan Timur pada Jun 2023. Lebih 30 pegawai dari 16 negara Arab mengambil bahagian, dan media China menggambarkan lawatan itu secara positif sekaligus menyangkal wujud Genosid Uyghur. Mohammed Haj Ibrahim, ketua delegasi tersebut, memuji sumbangan China dalam memerangi keganasan dan ekstremisme.
Keselarian pelbagai NGO Islam dan cendekiawan Islam dengan China telah menyumbang kepada diamnya mereka terhadap Genosid Uyghur. Rejim China secara strategik menjemput kumpulan ini ke Turkistan Timur, menawarkan sokongan untuk mengiklankan naratif anti-keganasannya. Pada bulan Januari, Majlis Komuniti Islam Sedunia yang diketuai oleh Ali Rashid Al Nuaimi dan ulama dari pelbagai negara Muslim seperti Arab Saudi, Mesir, Bosnia, Serbia dan Tunisia melawat Turkistan Timur, menyokong pendirian China dan menafikan genosid Uyghur. Pusat Kajian Uyghur melaporkan bahawa ramai tokoh-tokoh besar Islam, termasuk Mufti Bosnia & Herzegovina dan Rektor Universiti Al-Azhar gagal mengecam tindakan China semasa lawatan tersebut.
Pengaruh China meluas ke saluran media di negara-negara Islam, menekan mereka untuk selaras dengan naratifnya. Insentif kewangan telah menjadikan rangkaian di Arab Saudi, Qatar dan UAE menjadi instrumen propaganda China. Kerjasama antara media China dan Timur Tengah, seperti kerjasama antara China Intercontinental Communication (CICC) dan Image Nation – UAE berterusan menyebarkan bahan media yang China-sentrik. Para pegawai China secara strategik menggunakan penampilan media untuk melawan semula sebarang kritikan, seperti yang dilihat dengan pembelaan Konsul Jeneral China Tan Banglin di Arab Saudi, temu bual Menteri Luar Wang Yi dalam akhbar kawalan kerajaan Saudi, dan kenyataan Konsul Jeneral Zhao Lying di Mesir.
Media Kuwait dan media Timur Tengah yang lain sering menggambarkan Turkistan Timur secara positif, menggambarkan kritikan Barat (berkenaan genosid Uyghur) sebagai muslihat mereka terhadap China. Wakil dari saluran media, seperti Kemal Gaballa daripada Al Ahram, dibawa ke Turkistan Timur dan telah menyumbang kepada naratif China (dalam isu genosid Uyghur), menafikan wujudnya situasi yang teruk di sana. Naratif serupa dikumandangkan dalam bahan-bahan penerbitan rasmi negara di Qatar dan Jordan.
Platform media sosial seperti Instagram, Facebook, X (dahulunya Twitter) dan TikTok adalah saluran komunikasi yang penting, dan rejim China menumpukan para pempengaruh di platform-platform ini untuk propaganda, terutamanya mengenai penafian genosid Uyghur di Turkistan Timur. Laporan Institut Dasar Strategik Australia (ASPI) menegaskan wujudnya penggunaan pengaruh media sosial Barat dalam menyebarkan propaganda PKC. Pengaruh ini, yang beroperasi di luar piawaian kewartawanan tradisional, mengambil bentuk dalam lawatan tajaan kerajaan ke Xinjiang dan menghasilkan kandungan yang diperkukuhkan oleh akaun-akaun media sosial di bawah kawalan negara China.
Kajian ASPI mendapati bahawa 156 akaun dikawal negara China pada platform media sosial yang berpangkalan di A.S. telah berkongsi lebih 546 siaran Facebook dan X/Twitter daripada sumber seperti CGTN dan Global Times. Kandungan ini, terutamanya video oleh pempengaruh asing, telah diolahsemula dan dipromosikan dalam talian oleh entiti-entiti negara China, dengan lebih 50 peratus aktiviti di Facebook.
Sebuah lagi laporan ASPI memfokuskan kepada penggunaan pempengaruh media sosial Uyghur dan Kazakhstan. Ia menganalisis kira-kira 1,700 video daripada 18 saluran YouTube popular, menunjukkan wanita-wanita muda etnik minoriti menggambarkan Xinjiang secara positif. Beberapa video menyerang pengkritik Barat, termasuk seorang pengaruh yang menafikan tuduhan genosid pada sidang akhbar anjuran PKC.
Kementerian Luar China menganjurkan pelbagai persidangan di negara-negara Islam untuk mempengaruhi pendapat awam mengenai isu Uyghur. Orang-orang Uyghur mengambil bahagian dalam acara-acara ini, mempamerkan penampilan palsu kebahagiaan. Persidangan ini, diperkuatkan melalui ucapan dan pameran gambar-gambar, menyasarkan negara Islam sebagai sebahagian daripada propaganda sistematik PKC melalui media sosial. Kempen ini menyebarkan kandungan dalam 38 bahasa ke 180 negara, menjangkau 68 juta pengguna media sosial. Dalam satu persidangan sedemikian, jurucakap rasmi kerajaan Pakistan Qassim Suri memuji pencapaian China dan mengkritik sumber-sumber maklumat Barat.
Genosid Uyghur di Turkistan Timur berterusan dengan sokongan daripada Dunia Islam, dipengaruhi oleh kepentingan strategik China dalam isu minyak dan Inisiatif Jalur dan Jalan. Sesungguhnya, perjuangan diaspora Uyghur menentang genosid sering digambarkan sebagai gerakan Barat untuk menghalang kemajuan China. Lawatan presiden China ke Turkistan Timur baru-baru ini, berikutan sidang kemuncak BRICS di Afrika Selatan, menunjukkan komitmen China untuk meneruskan penindasan terhadap umat Islam Uyghur, mengabaikan permintaan Barat untuk menghentikan genosid ini.
Untuk memperbaiki keadaan hak asasi manusia bagi orang Uyghur – dan mengelak daripada dilabelkan dalam sejarah sebagai rakan sejenayah kepada genosid Uyghur – negara-negara Islam mesti segera menjauhkan diri mereka daripada PKC dan berdiri bersama umat Islam Uyghur. Jika gagal, mereka berisiko mengkhianati prinsip yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad dengan menyerahkan saudara-saudara Islam mereka yang menderita kepada para penindas.
Sumber asal: https://thediplomat.com/2023/12/muslim-majority-countries-complicity-in-the-uyghur-genocide/ (diterjemahkan ke dalam bahasa melayu oleh Pusat Kajian Uyghur).
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara