• Washington DC
Ikut kami:

Penggunaan AI dalam pencabulan hak asasi manusia – Kes Uyghur

Oleh: Abdulhakim Idris, Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Uyghur.

**

Bukan rahsia lagi bahawa AI (Kecerdasan buatan) mempunyai banyak potensi baik dan buruk dalam pelbagai aspek kehidupan. Namun, kesan buruknya terhadap kebebasan manusia kekal menjadi topik penting dan sangat berbahaya untuk masa depan kita.

Hari ini, apabila orang berfikir tentang AI, perkara pertama yang mungkin terlintas dalam fikirannya adalah aplikasi seperti ChatGPT. Aplikasi ini telah diluncurkan kira-kira setahun yang lalu pada November 2022. Aplikasi tersebut secara tiba-tiba menarik perhatian semua orang dan akhirnya minat terhadap AI membawa kepada pembangunan aplikasi-aplikasi lain.

Walau bagaimanapun, sememangnya menjadi fakta bahawa salah satu tempat di mana produk-produk teknologi canggih AI digunakan terbanyak di dunia ini ialah Turkistan Timur di bawah penjajahan China. Rejim Komunis China telah menggunakan aplikasi AI daripada syarikat teknologi China dan Barat untuk menindas Muslim Uyghur di Turkistan Timur selama bertahun-tahun lamanya sebelum kemunculan ChatGPT.

Dokumentari yang menunjukkan bahawa teknologi AI telah digunakan selama bertahun-tahun di Turkistan Timur diterbitkan pada 2020. Ia disiarkan ketika tak seorangpun tahu tentang ChatGPT. Telah dinyatakan bahawa pada masa penerbitan dokumentari itu, 1200 buah syarikat teknologi beroperasi di kawasan ini.

Syarikat teknologi ini pada awalnya menguji aplikasi mereka dengan mencabul hak asasi manusia di Turkistan Timur dan kemudian mengeksportnya ke negara lain. Turkistan Timur hari ini telah menjadi medan ujian gergasi untuk pembangunan AI. Rejim Komunis China telah pun mewujudkan sistem dystopia digital dalam negara polis ‘Turkistan Timur’ secara total. Orang Uyghur kini hidup di bawah sistem pengawasan yang ketat.

Sebuah lagi laporan yang diterbitkan oleh Human Rights Watch (HRW) pada 2021 yang mendokumentasikan jenayah terhadap kemanusiaan di Turkistan Timur juga menunjukkan bagaimana teknologi canggih digunakan sebagai alat genosid. Dalam laporan itu, ditegaskan bahawa di wilayah Aksu sahaja, 2000 orang telah ditangkap melalui Platform Operasi Integrasi Bersepadu (IJOP-Integrated Joint Operations Platform) -sebuah sistem digital yang disokong oleh Teknologi AI.

Dalam laporan yang sama, dinyatakan bahawa China menggunakan teknologi canggih bukan sahaja di Turkistan Timur tetapi juga untuk menjejaki Uyghur di diaspora dan telefon mereka digodam. Dengan cara ini, perbualan mereka, pertemuan dengan keluarga mereka dan setiap langkah diintip.

Seperti yang dinyatakan dalam laporan itu, diaspora Uyghur juga kini mengalami penindasan transnasional seperti ini yang secara konsisten dilakukan oleh rejim dystopia digital.

Ia terasa seperti tidak benar, namun inilah yang berlaku. Bagaimana lagi anda boleh menerangkan menggunakan “pengesan emosi” AI pada seorang lelaki Uyghur untuk menentukan sama ada dia adalah ancaman kepada rejim atau tidak? Tetapi ini kini menjadi sebahagian realiti harian bagi seorang Uyghur di Turkistan Timur.

Seperti yang dilaporkan oleh BBC pada tahun 2021, sistem AI digunakan untuk mengesan dan menganalisis perubahan meskipun sedikit dalam ekspresi muka, untuk menentukan sama ada subjek itu bersikap negatif, cemas atau mencurigakan. Kedutan yang sedikit, tidak pada tempatnya atau kelipan yang perlahan mungkin mencukupi untuk AI menyimpulkan yang anda sedang menyembunyikan sesuatu.

Ia melangkaui daripada pembacaan ekspresi mikro; corak kehidupan asas dianalisis dan dipecahkan kepada titik data yang digunakan. Sebarang perkara yang tersasar daripada corak ini menandakan anda sebagai ancaman kepada polis tempatan.

Jika seorang remaja Uyghur pulang ke rumah dan memilih untuk memasuki rumahnya melalui pintu belakang dan bukannya pintu depan seperti yang selalu dilakukannya, dia dinilai ‘menyimpang’ daripada coraknya dan kini dianggap tidak normal. Jika seorang datuk Uyghur memilih untuk minum kopi dan bukannya teh, dia menyimpang daripada coraknya dan kini dianggap tidak normal. Malah ciri-ciri asas etnik dianalisis dan ditanda-benderakan (flagged) kerana mencetuskan kebimbangan. Dan maklumat-maklumat seperti ini kemudiannya digunakan untuk mewujudkan sistem kredit sosial.

Di China, amalan penapisan tidak pernah semudah hari ini. Kandungan generatif AI, melalui ChatGPT dan DALL-E, juga telah digunakan untuk mengiklankan atau menyembunyikan maklumat. Penjana-penjana AI ini telah diubah suai untuk mempromosikan dan mengiklankan kandungan yang dikehendaki oleh PKC semata-mata. Algoritma AI meneliti melalui mesej atas talian dan siaran media sosial untuk kandungan “sensitif secara politiknya”.

Algoritma ini juga digunakan untuk menguatkan berita dan mesej rasmi tertentu daripada sesebuah negara kepada rakyatnya, mempengaruhi dan mengawal penduduknya dengan lebih baik. Orang ramai akhirnya terpaksa bergelut dan bersusahpayah untuk mengkritik perkara ini kerana algoritma menanda-benderakan dan mengalih keluar kandungan mereka jika mereka membincangkannya dalam talian. Jika mereka cuba mengatur untuk membantahnya secara peribadi, algoritma menanda-benderakannya dan memaklumkan kegiatan ini kepada polis. Sebagai contoh, anda tidak dapat mencari sebarang perkataan tentang ‘Genosid Uyghur’ menggunakan enjin carian China Baidu.

Satu lagi perkara yang perlu ditekankan ialah penggunaan AI sebagai alat disinformasi transnasional rejim komunis China. Sememangnya boleh untuk melihat kesan ini dalam serangan sistematik ke atas pelbagai platform media sosial milik aktivis atau mangsa yang berjuang untuk membongkar genosid di Turkistan Timur.

China juga menggunakan teknologi canggih untuk mengumpul DNA orang Uyghur dengan cara yang mengancam masa depan umat manusia. Dengan cara ini, mereka memasukkan semua saudara mara kepada orang yang mereka isytiharkan mencurigakan di dalam skop ‘ancaman kepada negara’.

Cara ini juga digunakan di dalam projek pencurian haram organ-organ badan orang Uyghur dan memasarkannya sebagai ‘organ halal’ ke negara-negara Islam. Rejim Komunis China, yang mempunyai sampel DNA di tangannya, telah mencipta sumber besar organ badan untuk dirinya sendiri dengan data ini.

Akhirnya, AI digunakan secara konsisten untuk menyasarkan bukan sahaja orang Uyghur, tetapi mana-mana kumpulan minoriti atau marginal dalam masyarakat di dunia. Pelbagai laporan telah menunjukkan bahawa India, Israel, Amerika Syarikat, Denmark, dan pelbagai negara lain juga telah menggunakan AI untuk memprofil dan menyasarkan kumpulan orang yang menjadi tumpuan. Penilaian risiko yang dilengkapkan oleh algoritma telah terbukti mempunyai sikap berat sebelah (bias) terhadap etnik minoriti, seperti yang dinyatakan oleh bekas Peguam Negara AS Eric Holder dan dilaporkan dalam saluran seperti ProPublica.

Tambahan pula, data biometrik –sering dikumpul dan dianalisis melalui algoritma AI– telah digunakan untuk menganiaya pelarian, seperti dalam kes penghantaran pulang Muslim Rohingya di India kembali ke Myanmar, di mana genosid sistemik masih diteruskan.

Ringkasnya, penggunaan AI sebagai alat untuk genosid, perkauman, Islamofobia, sistem kredit sosial dan pengumpulan data seperti di Turkistan Timur adalah realiti pahit yang menggambarkan masa depan yang gelap untuk seluruh umat manusia. Realiti menunjukkan kepada kita dengan jelas bahawa AI ialah alat yang berkuasa, yang boleh digunakan dengan mudah sebagai senjata. Adalah membimbangkan untuk melihat betapa sedikitnya tumpuan ditujukan kepadanya untuk menilai potensinya sebagai penindas, begitu juga betapa sedikitnya perhatian atau penilaian terhadap hak asasi manusia dan kebebasan.

Kenyataan asal dalam bahasa Inggeris: https://uyghurstudy.org/application-of-ai-in-human-rights-violations-the-uyghur-case/ disiarkan 27.1.2024. Diterjemahkan ke dalam bahasa melayu untuk Pusat Kajian Uyghur.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.