Oleh Dareen Khaled*
Di barat China, orang Uyghur berdiri sebagai bukti gelap kepada salah satu krisis hak asasi manusia yang paling mengerikan pada zaman kita. Di sini, kerajaan China, dengan berpura-pura menentang keganasan, telah mengatur kempen sistematik untuk menindas umat Islam Uyghur, melucutkan bukan sahaja hak mereka tetapi intipati ikatan budaya dan kekeluargaan mereka. Di tengah-tengah penghapusan etnik dan genosid ini terletak aspek yang sangat mengerikan: pemisahan kanak-kanak Uyghur daripada keluarga mereka secara paksa.
Praktik pemisahan ini bukan natijah sampingan daripada dasar-dasar mereka semata-mata akan tetapi strategi yang disengajakan dan dirancang untuk menghakis identiti Uyghur. Sejak 2014, situasi telah menjadi semakin teruk dan membimbangkan. Penindasan kerajaan China telah menyaksikan peningkatan dramatik, dengan laporan menunjukkan bahawa sejuta atau lebih orang Uyghur telah ditahan sewenang-wenangnya di pusat-pusat “transformasi-melalui-pendidikan”, terdedah kepada penyeksaan, indoktrinasi politik, dan kempen asimilasi paksa yang sistematik .
Dalam landskap keganasan ini, kanak-kanak Uyghur terlepas dari tangan ibu bapa mereka dan ditempatkan di institusi yang dikendalikan kerajaan; di mana bahasa, kepercayaan dan warisan budaya mereka dihapuskan secara sistematik. Artikel ini bertujuan untuk memberi penerangan tentang pencabulan hak asasi manusia yang kejam ini dan untuk mengangkat suara yang menyeru agar menentang kezaliman yang tidak terkata ini.
Konteks Sejarah dan Politik
Nasib orang Uyghur di Turkistan Timur (juga dirujuk sebagai Xinjiang oleh pihak berkuasa China, istilah yang ditolak oleh orang Uyghur) bukanlah tiba-tiba tercetus secara mendadak, akan tetapi ia merupakan natijah daripada sejarah penindasan dan peminggiran yang panjang. Orang Uyghur, majoriti Turk yang beragama Islam, secara historis menghadapi diskriminasi sistematik di China. Perjuangan mereka untuk autonomi budaya dan agama telah disambut dengan penindasan tanpa henti oleh kerajaan China.
Pada tahun 2014, ketegangan yang membara ini berubah secara drastik. Di bawah samaran memerangi “ekstrimisme agama” dan apa yang dipanggil “Perang Rakyat Melawan Keganasan,” China memulakan tindakan keras yang lebih intensif di Turkistan Timur. Wilayah ini, yang kaya dengan kepelbagaian budaya, berdepan dengan pengawasan yang semakin menceroboh dan mengganggu hidup. Kempen ini, yang kononnya menyasarkan keganasan, sebenarnya adalah percubaan terselubung untuk mengawal dan mengasimilasikan penduduk Uyghur.
Keadaan semakin teruk pada 2017, apabila dasar kejam kerajaan China berubah menjadi serangan langsung terhadap identiti Uyghur. Dianggarkan 1.8 juta Uyghur dan minoriti Islam lain telah dipenjarakan dalam rangkaian kem tahanan yang luas, secara eufemisme dilabelkan sebagai pusat “transformasi melalui pendidikan” atau kemudahan “latihan vokasional”. Di sini, para tahanan dikenakan penyeksaan sistematik, indoktrinasi politik, dan asimilasi budaya secara paksa. Tindakan negara China itu bukan sekadar tindakan keras terhadap perbezaan pendapat tetapi percubaan untuk memadamkan sebuah budaya secara total, untuk menulis semula landskap etnik dan budaya Turkistan Timur.
Mekanisme Pemisahan
Di pusat penindasan China yang kejam di Turkistan Timur, wujudnya sebuah taktik yang sangat berbahaya: pemisahan sistematik kanak-kanak Uyghur daripada keluarga mereka. Amalan menjijikkan ini berfungsi sebagai asas kempen China untuk memadamkan identiti budaya Uyghur dan menguatkuasakan ideologi Cina Han secara homogen.
Dalam strategi genosid budaya ini, negara China telah menjadikan pendidikan sebagai senjata. Proses asimilasi kerajaan China bermula dengan menahan ibu bapa secara sewenang-wenangnya yang disebutkan di atas, meletakkan mereka di kem tahanan dan menyebabkan kanak-kanak tidak berdaya dan terdedah kepada eksploitasi. Kanak-kanak yang ibu bapanya ditahan, di penjara, atau menjalani pendidikan semula atau “latihan” diklasifikasikan ke dalam kategori ‘keperluan khas’, menjadikan mereka layak untuk berada di bawah penjagaan negara, yang biasanya bermaksud penempatan di rumah anak yatim atau sekolah berasrama penuh ini. Kerajaan China menambah lagi penubuhan sekolah berasrama penuh kerajaan di seluruh Turkistan Timur, di mana kanak-kanak Uyghur didaftarkan secara paksa sama ada ibu bapa mereka telah ditahan atau tidak. Di sini mereka menjalani proses pencinaan tanpa henti. Kesemua arahan dan bahasa yang digunakan hampir secara eksklusif dalam bahasa Mandarin. Bahasa dan amalan budaya Uyghur diharamkan secara agresif dan secara langsung. Matlamatnya adalah jelas dan menyeramkan: untuk membentuk minda muda ini menjadi rakyat yang setia kepada negara, tanpa akar etnik dan budaya mereka.
Di sekolah-sekolah ini, kanak-kanak diasingkan daripada keluarga dan komuniti mereka, melucutkan ikatan kekeluargaan dan warisan budaya mereka. Para pakar PBB telah menzahirkan kebimbangan besar mengenai penyingkiran besar-besaran kanak-kanak daripada keluarga mereka, termasuk mereka yang ibu bapanya dibuang atau ditahan. Pemisahan ini dan asimilasi paksa seterusnya ke dalam budaya Han bukan sekadar pencabulan hak kehidupan berkeluarga tetapi serangan langsung terhadap identiti Uyghur.
Lebih memburukkan lagi tragedi ini ialah penutupan sekolah tempatan yang menyediakan pendidikan dalam bahasa Uyghur dan bahasa minoriti lain, seperti yang dilaporkan oleh para pengkaji dan organisasi hak asasi manusia. Tindakan yang disengajakan untuk menghapuskan institusi pendidikan yang memupuk identiti Uyghur ini hanya bahkan menonjolkan lagi sifat jahat dasar-dasar Beijing di Turkistan Timur.
Dunia tidak boleh menutup mata terhadap kekejaman ini. Pemisahan paksa kanak-kanak Uyghur daripada keluarga mereka dengan bertopengkan ‘pendidikan’ adalah pencabulan hak asasi manusia secara terang-terangan dan menjadi sebuah peringatan tentang sejauh mana rejim autoritarian akan menindas dan mengasimilasikan etnik minoriti. Ia adalah strategi mengerikan yang bertujuan untuk memadamkan keseluruhan budaya, pelanggaran hak asasi manusia untuk mengekalkan warisan budaya dan hubungan kekeluargaan seseorang. Ini bukan hanya isu serantau; ia adalah krisis kemanusiaan yang memerlukan warga global untuk mengutuknya dan tindakan segera.
Perspektif Undang-undang dan Hak Asasi Manusia
Pemisahan paksa kanak-kanak Uyghur daripada keluarga mereka di Turkistan Timur bukan sahaja merupakan tragedi kemanusiaan yang mendalam tetapi juga pencabulan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia secara terang-terangan. Kempen pembersihan etnik yang sistematik oleh kerajaan China ini bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak, yang diratifikasi oleh China pada tahun 1992. Konvensyen itu secara jelas menetapkan bahawa kanak-kanak tidak boleh dipisahkan daripada ibu bapa mereka di luar kehendak mereka, menekankan perlunya mengambil kira kepentingan terbaik kanak-kanak dalam semua tindakan yang berkaitan dengan kanak-kanak.
Lebih-lebih lagi, tindakan ini merupakan pencabulan hak pendidikan tanpa kecuali, seperti yang dinyatakan oleh pakar PBB. Peralihan kepada pendidikan yang didominasi bahasa Mandarin di sekolah berasrama penuh, ditambah pula dengan penutupan sekolah tempatan yang mengajar dalam bahasa Uyghur, secara terang-terangan mencabulkan hak pendidikan dalam bahasa ibunda seseorang, salah satu aspek utama daripada hak budaya.
Tambahan pula, dasar yang dilaksanakan oleh negara China di Turkistan Timur bercanggah dengan prinsip kebebasan bersuara dan privasi dalam kehidupan berkeluarga. Dengan meletakkan kanak-kanak secara paksa dalam institusi yang dikendalikan kerajaan dan menyekat komunikasi dengan keluarga mereka, kerajaan China melanggar hak asasi manusia yang membolehkan kanak-kanak mengekalkan hubungan peribadi yang tetap dan langsung dengan ibu bapa mereka.
Masyarakat antarabangsa, termasuk organisasi hak asasi manusia dan pakar undang-undang, telah berulang kali mengutuk tindakan ini. Pelucutan hak kanak-kanak Uyghur daripada identiti budaya mereka, kehidupan berkeluarga dan kebebasan bersuara adalah petunjuk jelas tentang pengabaian kerajaan China terhadap norma hak asasi manusia antarabangsa dan kewajipannya di bawah perjanjian hak asasi manusia global. Kedahsyatan dan skala pencabulan ini menuntut tindak balas segera dan teguh daripada komuniti global untuk meminta kerajaan China bertanggungjawab dan memastikan perlindungan hak asasi ini untuk penduduk Uyghur.
Tindakbalas dan Advokasi Antarabangsa
Bantahan antarabangsa terhadap pencabulan hak asasi manusia yang teruk oleh kerajaan China di Turkistan Timur semakin meningkat, namun masih tidak mencukupi dalam menghadapi krisis yang teruk ini. PBB, pelbagai pertubuhan hak asasi manusia, dan beberapa kerajaan telah mengutuk pengasingan sistematik kanak-kanak Uyghur daripada keluarga mereka. Pakar PBB telah menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap dasar asimilasi di sekolah berasrama penuh China dan penutupan sekolah tempatan yang menyediakan pendidikan di Uyghur.
Para aktivis hak asasi manusia telah mengkritik sekeras-kerasnya tindakan China, menggesa negara anggota PBB untuk mengiktiraf tindakan ini sebagai genosid dan menolak tawaran China untuk pemilihan semula ke Majlis Hak Asasi Manusia PBB. Selain itu, kerajaan Amerika Syarikat telah mengenal pasti situasi di Turkistan Timur sebagai kesinambungan daripada genosid dan jenayah kemanusiaan, yang membawa kepada penyenaraian hitam syarikat-syarikat yang terlibat dalam mengeksploitasi buruh paksa Uyghur.
Respons global ini, walaupun ketara, namun masih memerlukan tindakan yang lebih besar dan bersepadu. Komuniti antarabangsa bukan sahaja harus mengiktiraf tetapi juga bertindak balas secara aktif terhadap pencabulan hak asasi manusia ini dengan langkah-langkah yang nyata untuk memastikan kerajaan China bertanggungjawab dan untuk memberikan bantuan dan keadilan bagi orang Uyghur.
Adalah mustahak bagi masyarakat antarabangsa untuk mengutuk secara tegas tindakan China ini dan mengambil langkah tegas untuk mempertanggungjawabkan kerajaan China. Kerajaan, organisasi antarabangsa dan masyarakat awam di seluruh dunia mesti bersatu dalam usaha mereka untuk menamatkan pencabulan hak asasi manusia yang mengerikan ini. Kita semua mesti memperjuangkan hak kanak-kanak ini untuk bersatu semula dengan keluarga mereka, untuk mengekalkan identiti budaya mereka, dan untuk hidup bebas daripada ketakutan dan penindasan. Nasib keluarga Uyghur di Turkistan Timur adalah ujian keazaman moral kolektif kita – yang tidak boleh kita gagalkan.
*Dareen Khaled ialah penyelidik di Pusat Kajian Uyghur.
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara