• Washington DC
Ikut kami:

Surat Buat Ibunda: Dari seorang Aktivis Uyghur kepada Ibunya

-Surat Buat Ibunda: Dari seorang Aktivis Uyghur kepada Ibunya- Abdulhakim Idris

Abdulhakim Idris ialah seorang aktivis hak asasi manusia dan suami kepada pejuang advokasi terkenal hak-hak Uyghur, Rushan Abbas. Beliau tidak tahu di mana keberadaan ibunya.

oleh Abdulhakim Idris.

Puan Hebibehan Hajim, ibu kepada Abdulhakim Idris.

***

Ibuku yang tersayang,

Pada 25 April 2017, kali terakhir daku mendengar suaramu.

Hari ini, sudah 1095 hari berlalu. Sudah 3 tahun berlalu sejak perbualan telefon terakhir kita. Daku masih ingat suaramu yang menggeletar ketika dikau memberitahuku untuk tidak menghubungimu lagi.

Apabila kita bertemu di Jerman pada tahun 2001, dikau memberitahuku berkali-kali, “Anakku, kami telah melihat semua yang kami dapat lihat, dan kami ini semakin tua. Kami tidak takut kepada sesiapa melainkan kepada Allah. Dikau harus ikuti jalan yang telah dikau pilih untuk dirimu sendiri.” Daku kenali dirimu, wahai ibu. Daku tahu keberanianmu. Apa yang telah berlaku sehingga membuatkan dirimu ketakutan seperti hari itu? Apa yang boleh memaksa seorang ibu untuk memberitahu anaknya sendiri untuk tidak menelefonnya?

Sejak daku tiba di Amerika Syarikat pada tahun 2010, daku hubungi dikau setiap hari. Daku meninggalkan rumah pada tahun 1982, ketika daku masih terlalu muda untuk memahami kebanyakan perkara. Apabila daku pergi menghadiri sekolah agama ‘bawah tanah’ di Hotan, ini bermakna daku tidak dapat membantumu melakukan kerja-kerja rumah atau menunaikan tanggungjawabku kepada keluargaku sebagai seorang anak muda.

Apabila daku pergi untuk belajar di luar negara pada tahun 1986, dikau memberikanku kesemua simpanan sepanjang hidupmu untuk kubawa bersama. Tanpa disedari wahai ibuku, pada tahun 1989, semasa menunaikan haji di Arafat, kami telah berbincang dengan pelajar Uyghur lain yang sedang menuntut di luar negara tentang langkah seterusnya selepas tamat pengajian. Kami sedang mencari jawapan tentang perkara yang mungkin kami lakukan untuk tanah air kami: apakah yang paling bermanfaat? Keputusan dibuat untuk berhijrah ke negara-negara Barat yang mengamalkan demokrasi. Meskipun tanpa kebenaranmu, daku datang ke Jerman bersama rakan-rakanku pada 9 September 1990 dan menetap di sana. Daku mengambil langkah praktikal pertama dalam barisan “meninggalkan tanah air demi tanah air.” Walaupun daku secara fizikalnya semakin jauh darimu, secara rohani daku begitu dekat dengan, wahai ibu.

Daku masih hidup dengan kenangan yang memedihkan di hari di mana dikau katakan kepadaku untuk tidak lagi menelefonmu. Sudah lebih setahun hubunganku dengan adik-beradikku terputus demi melindungi keselamatan mereka. Dan sekarang daku telah terputus hubungan denganmu. Daku masih ingat, selepas dikau meletakkan telefon, daku diam terpaku. Kepalaku menunduk dan air mataku bergenang. Daku diselubungi oleh perasaan sedih yang aneh, apabila kesedihan dan perpisahan abadi bercampur lalu menguasai jiwaku.

Daku sudah tahu, bahawa akibat penindasan yang berterusan ini, saudara saya, Abdurehim, telah diperhambakan oleh keluarga Cina Han yang datang tidak diundang. Mereka adalah penipu terang-terangan yang telah masuk secara paksa ke rumahmu sebagai “saudara mara” di bawah program “saudara ganda” yang dipaksakan oleh pemerintah. Daku pernah bertanya kepadamu, “Adakah tetamu yang tidak tahu malu itu masih ada?” Dikau hanya akan mengeluh dalam dan tidak berkata apa-apa.

Sejak tanah air kita dijajah pada tahun 1949 oleh rejim Komunis, kerajaan China sentiasa cuba untuk memecahkan prestij dan kemuliaan keluarga kita. Mereka merampas kuda-kuda dan harta datukku, dan memusnahkan halaman kediaman kami dan memusnahkan taman kami yang indah. Dikau tidak bertindak balas dahulu seperti yang dikau lakukan kali ini. Sekarang, keganasan, rasa malu, dan hilang kehormatan ini telah memecah masuk ke dalam rumah kita, kubu terakhir kita. Adakah ini yang telah menghancurkanmu, ibu? Adakah dikau sengsara melihat bahawa bapaku yang satu masa dulu pernah bekerja keras dan sabar, kini tidak berdaya? Adakah penderaan yang dihadapi oleh adik-beradikku, dan seksaan seperti hamba terhadap saudara saya yang altruistik, yang dialami oleh Abdurehim membuat dikau putus asa? Adakah nasib cucu-cucumu yang tidak berdosa yang tidak diketahui hujung ceritanya itu begitu menakutkanmu sehingga dikau sanggup memutuskan hubungan denganku?

Daku tahu bahawa dikau sangat tahu bagaimana untuk tahan mendepani kesusahan dan musibah, ibu. Apakah jenis kekejaman yang menyebabkan dikau ibu -malaikatku- terpaksa menahan diri daripada menjerit menyuarakan? Turkistan Timur, tempat lahir sebuah tamadun, telah jatuh ke dalam kegelapan.

Sejak hari daku terputus hubungan denganmu, daku telah hancur dan terkesima dengan kepedihan ini. Tidak lama selepas itu, daku mula mendiamkan diri. Ketika daku berada di satu tempat, fikiranku menerawang ke tempat lain. Kadang-kadang, daku ditimpa kekecewaan dan kegusaran. Ada masanya daku kehilangan akalku. Semangatku mula jatuh.

Selepas lebih seratus hari, seorang saudara menghantar mesej kepada saya dan memaklumkan kepadaku bahawa saudaraku Abdurehim telah dijatuhi hukuman penjara 21 tahun dan bahawa semua adik beradik perempuanku telah disumbat ke kem tahanan. Mereka memberitahuku bahawa nasib ibu bapaku tidak diketahui. Di penghujung mesej itu, daku dimaklumkan bahawa pintu rumahku telah dikunci dan ditutup rapat. Apabila daku bertanya tentang cucu-cucumu, daku diberitahu bahawa tiada siapa yang tahu di mana mereka berada. Daku masih ingat perasaanku ketika itu. Seolah-olah diriku berada di ambang kematianku sendiri, dan berita ini terasa seolah-olah ia akan merampas nafas terakhirku. Daku diselubungi perasaan lemah dan tidak berdaya. Berita mula tersebar bahawa ramai saudara mara rakanku turut dibawa ke kem konsentrasi.

Daku masih ingat bahawa pernah dikau berkata kepadaku: “Anakku, jika suatu hari nanti, sempadan ditutup dan jika kita terputus hubungan, dikau harus yakin dengan keselamatan kami. Dikau jagalah keluargamu sendiri dan jangan risaukan kami.” Daku tidak faham mengapa dikau berkata begitu pada masa itu, tetapi sekarang daku telah memahami maksud kata-katamu, ibu. Betapa bijaknya dikau untuk meramalkan apa yang akan berlaku untuk tanah air kita.

Selama ini, satu-satunya perkara yang boleh daku lakukan setiap hari ialah memikirkan tentangmu: dikau sentiasa berada dalam fikiranku yang paling dalam dan di hatiku. Kenanganmu, suaramu dan wajahmu sentiasa bersamaku, tidak kira di mana daku berada atau apa saja yang daku lakukan. Kebimbangan dan keputusasaan menguasai hidupku. Perasaan tidak dapat mengetahui di mana dikau berada, perkara menakutkan yang mungkin dikau dan ayah alami, dan perasaan tidak berdaya… Semua ini membuatkanku mengalami tekanan emosi yang melampau.

Kerajaan China komunis yang jahat telah mencabul maruah manusia dan berjuta-juta saudara Uyghur kita yang tidak bersalah. Mereka mengorbankan jutaan nyawa di penjara dan kem tahanan. Kami telah mencuba sedaya upaya kami untuk memberitahu kepada seluruh dunia. Kami bekerjasama dengan Kongres Uyghur Sedunia, dan Kempen untuk Uyghur yang baru-baru ini ditubuhkan oleh kami, sebagai platform untuk menamatkan kejahatan ini.

Pada 5 September 2018, hampir 500 hari selepas perbualan telefon terakhir kita, menantumu mengambil bahagian dalam perbincangan panel di salah satu badan pemikir berprestij di Amerika. Dia bercakap tentang kehilangan keluarga kita sambil menunjukkan keadaan mengerikan di dalam kem dan situasi polis gaya Orwellian di Turkistan Timur. Dia menyeru kerajaan Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa untuk bertindak. Enam hari kemudian, kerajaan China menculik kakaknya Gulshan Abbas, yang merupakan seorang pesara doktor perubatan di Urumchi. Mereka juga menculik ibu saudaranya yang berusia 60 tahun di Artush untuk membalas dendam terhadap aktivisme Rushan.

Semasa masa yang sukar ini, isteriku Rushan yang setia dan berani telah berada di sisiku. Dia bukan sekadar pasangan jiwaku; dia juga telah menjadi sahabat dalam perjalanan aktivisme. Kami, sebagai suami isteri, telah terus meneroka jalan keselamatan untuk orang kita sambil cuba menjadi suara bagi mereka yang tidak bersuara dan advokat untuk Uyghur yang tidak berdaya dan tidak bersalah. Walau bagaimanapun, pada ketika daku terputus hubungan denganmu, berjuta-juta orang telah dihumban ke dalam penjara dan kem tahanan, dan masyarakat antarabangsa di dunia bebas ini membisu, sementara akhbar tidak melaporkannya. Ia seolah-olah semuanya umpama angin lalu sahaja.

Menantumu sibuk duduk di hadapan komputer siang dan malam menghantar mesej kepada para wartawan. Dia telah cuba untuk menarik perhatian dunia kepada kekejaman yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan telah membantumu dan berjuta-juta orang lain. Inisiatif wanita “One Voice, One Step” mencetuskan protes global serentak di keempat-empat penjuru dunia, yang berlangsung selama 22 jam.

Apabila daku memberitahu orang di sekelilingku yang bukan-Uyghur bahawa China tidak membenarkanku mendapatkan sebarang hubungan atau maklumat tentang ibubapaku dan keluargaku, amat sukar untuk mereka percaya. Bagaimanakah perkara sedemikian boleh berlaku dalam era teknologi maklumat abad ke-21 ini?

Ibu, jika dikau boleh melihat sendiri isteriku, dengan keperibadian yang kebanyakannya mirip sepertimu: kebencian dan cinta yang sama yang ditakrifkan dengan jelas. Dia tidak pernah menzalimi sesiapapun, dia tidak pernah takut apa-apa, dan dia tidak akan melepaskan haknya. Sekiranya dikau boleh tahu bagaimana dia sentiasa berhadapan dengan kerajaan China menggunakan setiap platform media sosial. Dia sentiasa memberikan temu bual dengan wartawan dan secara konsisten bertanya: “Di mana kakak saya? Mana mertua saya? Mana saudara mara saya? Di manakah berjuta-juta orang saya?” Daku boleh bayangkan betapa bangganya dikau, dan kasih sayang serta penghormatan dan pujian yang dikau miliki untuknya kerana dikau akan menggalakkannya untuk bekerja lebih keras dan menjadi lebih kuat.

Daku sangat rindu untuk mendengar suaramu dan mendengar kata-katamu, wahai ibu. Daku rindu bercakap denganmu. Daku ingin memberitahumu buah fikiranku dan berkongsi kegembiraanku denganmu. Daku ingin memberitahumu bahawa menantu perempuanmu telah diiktiraf atas kerja kerasnya membela orang Uyghur di atas pentas yang disediakan untuk Presiden A.S. Trump, dengan kehadiran Naib Presiden Pence, Speaker Pelosi, Setiausaha Negara Pompeo, dan ahli politik berpangkat tinggi lain, negarawan, diplomat asing, sidang akhbar, dan pakar ekonomi. Daku mahu melihat senyumanmu yang berpuas hati dan bangga apabila dikau akan mengangkat sedikit kepalamu dan menunjukkan senyuman yang baik apabila daku bercakap tentang pencapaiannya.

Rushan dan diriku, sebagai pasangan, akan menghabiskan seluruh hidup kami untuk membela dikau dan orang Uyghur. Dalam setiap peluang, dalam setiap masa, kami akan bekerja keras. Kami akan terus menjadi suara untuk dikau, Uyghur, dan semua rakyat Turkistan Timur di setiap tempat yang kami mampu—dalam forum, dalam organisasi-organisasi Islam, masjid-masjid dan universiti. Kami mesti menjangkau khalayak dan platform dari Jepun ke Australia, dari Turkiye ke Kanada, dari Eropah ke negeri-negeri yang berbeza di Amerika, dan kami mesti terus berusaha meningkatkan kesedaran tentang hal ini.

Kami mesti memperjuangkan, agar azan tidak terhenti di tanah air kita, bahawa negara mulia kita tidak akan pernah lenyap, bahawa penjara-penjara akan ditutup, tembok-tembok kem tahanan dirobohkan, dan rantaian penindasan akan diputuskan, dan seluruh kebebasan Turkistan Timur dikembalikan. Demi rakyat kami dan hak mereka untuk hidup dengan aman dan makmur, kami berjuang sebaik mungkin untuk menyumbang untuk mendapatkan semula kemerdekaan Turkistan Timur!

Ini adalah sebahagian daripada visi kami untuk berhijrah ke Barat ketika kami masih muda, dan daku bersyukur dengan situasi semasa dan untuk kewujudan masyarakat Uyghur di setiap sudut dunia, serta untuk pembentukan organisasi yang berbakti kepada perjuangan Uyghur.

Awal tahun ini, semasa perjalanan kami ke Kanada, kami bertemu dengan Encik Shawn Zhang, yang tinggal di Vancouver. Dia adalah orang pertama yang mengenal pasti dan membuktikan melalui imejan satelit bahawa kem di Turkistan Timur wujud, dan dia dikenali di peringkat antarabangsa sebagai pakar penyelidik kem ini. Dia menunjukkan kepadaku kejiranan Bostan dengan makam Beg Tugman di sebelahnya, dan kemudian rumah kita-rumah yang daku belum pernah jejaki lagi selama 34 tahun sejak kepergian saya. Terasa diriku ingin menembusi skrin di hadapanku. Daku merasakan jiwaku meninggalkanku -menentang kawalanku- dan membuka pintu-pintu itu untuk berlari ke dalam untuk melihat dikau, ibu! Jantungku berdegup kencang ketika daku mencari dirimu di sana, tetapi daku tidak dapat menemuimu.

Daku bertanya kepada Shawn, “Di manakah kem yang paling dekat dengan rumah ibu bapaku?” Dia segera membawa kami melihat melalui sebuah takungan di kawasan kejiranan kami, menunjuk ke kem berskala besar yang dibina di Gurun Awat Baru, yang terletak di Utara Khan Erik, Barat New Erik, dan bahagian barat laut Laskuy. Dia memberitahu kami bahawa kem sedang diperluaskan di kawasan itu. Kemudian, dia menunjukkan kepada kami bahagian kem yang telah ditambah pada 29 Disember 2019. Daku membayangkan bahawa kebanyakan adik-beradikku berada di kem ini. Daku mengelak daripada membayangkan jenis kengerian yang dialami oleh adik-beradikku, dari segi emosi dan fizikal, di dalam kem ini. Tetapi daku tidak tahu apa yang perlu dibayangkan tentang nasibmu dan ayah. Daku lekas bertanya tentang rumah anak yatim berhampiran rumah kami. Shawn menunjukkan kepada kami dan daku merasakan diriku terketar-ketar sehingga daku tidak tahan lagi untuk membayangkan anak-anak saudaraku berdepan proses cuci otak di sana, meninggalkan identiti etnik mereka, bahasa ibunda mereka, dan agama mereka.

Shawn juga menunjukkan kepada kami rumah isteriku di Urumchi, di seberang masjid Noghay, dalam bentuk 3D. Namun, adik kami yang baik hati Dr Gulshan Abbas tiada di rumah ini lagi. Kami tidak tahu di mana dia berada, wahai Ibu. Isteriku jelas patah hati. Dari skrin besar di hadapan kami, kami melihat bahawa tanah air kami dipenuhi dengan kem dan penjara yang tidak terkira banyaknya. Kami juga ditunjukkan bahawa kem di Dawanqing adalah lebih besar daripada seluruh bandar dan penjara di Urumchi mungkin salah satu yang terbesar di dunia.

Dikau sangat risau, ibu. Apakah yang dibawa oleh Coronavirus dari Wuhan ini kepada dikau? Apakah kesukaran tambahan yang telah dikau hadapi? Adakah terdapat cukup roti untuk dimakan dan air untuk diminum? Berapa ramai di antara adik-beradik perempuan dan ipar duaiku yang terpaksa pergi bekerja di kilang-kilang di China sebagai sebahagian daripada perhambaan ini? Di manakah anak-anak saudaraku yang dilayan sebagai anak yatim? Manakah antara adik-beradikku yang telah kehilangan nyawa kerana penuaian organ secara paksa? Adakah saudaraku Abdurehim telah dipindahkan ke salah satu penjara di China? Sejujurnya, ibuku, daku tidak tahu siapa di antara kamu yang masih hidup atau siapa yang telah hilang selamanya. Tetapi harapanku ialah dikau semua baik-baik saja. Daku berdoa kepada Tuhan, untukmu, untuk semua Uyghur, dan untuk alam semesta, agar Ramadan ini akan membawa rahmat, keampunan, rahmat, dan keselamatan buat semua.

Daku percaya bahawa Tuhan akan menjawab jutaan tangisan ibu semasa mereka berdoa setiap pagi sebelum subuh. Daku percaya rakyat kita mesti diselamatkan. Selepas kegelapan, cahaya pasti akan datang. Kebenaran mesti dijulang. Kita akan menang melawan kejahatan ini.

Kita akan bertemu lagi, ibu tercinta. Sama ada di dunia ini, atau di Akhirat!

Abdulhakim Idris

Washington

25 April 2020

***

Dan bapanya Abdulkerim Zikrullah Idris dimaklumkan telah meninggal dunia di Hotan pada awal tahun 2023. https://uyghurstudy.org/prominent-uyghur-activist-learns-about-fathers-death-in-xinjiang-months-after-demise/

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.