• Washington DC
Ikut kami:

Sumbangan kajian dan terjemahan ilmuan Uyghur dalam pelestarian bahasa dan budaya Uyghur

Oleh Abdulhakim Idris.

Ucapan ini telah disampaikan pada 7 Jun 2024, pada perbincangan panel semasa Persidangan Tahunan 2024 Central Eurasian Studies Society (CESS) yang diadakan di Universiti Turan di Almaty, Kazakhstan.

Selama lebih tujuh dekad, orang Uyghur telah berdepan penganiayaan yang dahsyat di bawah pemerintahan China. Hari ini, banyak negara telah mengiktiraf bahawa orang Uyghur, Kazakh, Kyrgyz dan orang Turk lain di Turkistan Timur (dikenali juga sebagai Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang) sedang berdepan genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan. Laporan yang diterbitkan pada Ogos 2022 dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR) mengatakan bahawa “dasar PRC terhadap Uyghur berkemungkinan merupakan sebuah jenayah antarabangsa, termasuk jenayah terhadap kemanusiaan”. Bahagian yang menyedihkan dan penting dalam dasar ini ialah termasuk pemusnahan sistematik bahasa dan budaya Uyghur. Sejak 2017, bahasa Uyghur dan Kazakh telah diharamkan di sekolah. Teks dan buku agama termasuklah al-Quran dikumpulkan, dimusnahkan, dan dibakar.

Hari ini, saya ingin menjelaskan tentang sekatan bersejarah dan pemusnahan bahasa dan budaya Uyghur oleh kerajaan China, dan usaha orang Uyghur dalam memelihara bahasa dan budaya mereka di diaspora.

Selepas memeluk agama Islam, orang Uyghur menggunakan abjad Arab. Tulisan Chagatai, yang menggunakan huruf Arab dan tersebar luas di Asia Tengah selepas abad ke-14 telah diterima pakai oleh segenap lapisan masyarakat dan digunakan dengan cara ini selama berabad-abad. Di tanah air saya, penggunaan huruf Latin telah cuba digunakan pada tahun 1937, di bawah pengaruh negara-negara Soviet yang lain, semasa pemerintahan Sheng Shi-cai, seorang gabenor yang dilantik oleh kerajaan Kuomintang. Walaupun beberapa cendekiawan Uyghur menyokongnya, penggunaan huruf Arab secara meluas masih berterusan.

Pada tahun 1950-an, selepas kerajaan China membenarkan penduduk yang tinggal di wilayah autonomi untuk menerima pendidikan dalam bahasa ibunda mereka, orang Uyghur dibenarkan untuk terus menggunakan abjad Uyghur berasaskan Arab untuk sementara waktu. Pada tahun 1965, pihak berkuasa China menguatkuasakan penggunaan abjad Latin berdasarkan sistem Pin-Yin dengan sebutan Cina di seluruh wilayah Uyghur. Peralihan (sistem tulisan) ini adalah salah satu daripada pelbagai gerakan yang mempengaruhi seluruh generasi. Pada tahun 1983, pihak berkuasa China memulihkan semula penggunaan abjad Uyghur berasaskan Arab. Sejak itu, tulisan Uyghur berdasarkan abjad Arab telah digunakan. Perubahan abjad berulang kali selama hampir tiga generasi telah menjejaskan pendidikan dan pemerolehan pengetahuan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, adalah penting untuk diperhatikan bahawa penapisan kesusasteraan Uyghur telah berlaku sejak sekian lama. Seperti yang saya sebutkan tadi, bahasa dan budaya Uyghur banyak menjadi sasaran semasa Revolusi Kebudayaan. Pada awal pemerintahan Deng Xiaoping, yang memerintah selepas Mao, sebahagian tekanan terhadap kesusasteraan Uyghur telah dikurangkan. Walau bagaimanapun, tempoh pelepasan ini hanya bertahan selama kira-kira sepuluh tahun. Bermula pada tahun 1990-an, sekatan sebelumnya telah diwujudkan semula, dan penapisan berat mula digunakan semula untuk penerbitan yang bermotifkan perjuangan budaya Uyghur. Selepas tahun 1991, kesemua majalah, penerbit dan kedai buku telah dimaklumkan tentang beberapa siri peraturan penapisan yang perlu mereka patuhi. Sebagai contoh, novel Zordun Sabir “Ana Yurt” telah ditapis tiga kali dan diubah, dan pada peringkat terakhir ia diharamkan sepenuhnya. Karya-karya penulis Uyghur seperti Abdurrehim Öktür dan Turghun Almas telah diharamkan. Pengedaran kaset pada waktu itu yang mengandungi puisi yang sangat dihargai oleh orang Uyghur dilarang. Oleh itu, proses pembaharuan yang dibenarkan oleh dasar Deng telah terganggu tanpa mencapai kemajuan yang besar, dan sekatan seperti era Mao mula dilaksanakan semula.

Satu lagi isu penting yang perlu diketengahkan ialah pendidikan dwibahasa. Sistem pendidikan dwibahasa telah dilaksanakan di wilayah autonomi ini semasa era Kuomintang dan dalam tempoh awal pemerintahan Komunis China pada tahun 1950-an. Walau bagaimanapun, dari masa ke masa, pendidikan Uyghur telah dihadkan, bermula dari sekolah rendah hingga universiti. Semasa revolusi budaya, universiti tempat orang Uyghur belajar ditutup selama sepuluh tahun. Kedua-dua golongan – profesor dan kakitangan universiti dihantar ke kem-kem buruh. Walaupun kebebasan relatif diberikan untuk pendidikan bahasa Uyghur untuk satu tempoh pada 1980-an, selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, tekanan terhadap pendidikan bahasa Uyghur mula meningkat. Kerajaan China telah mengambil langkah pertama ke arah pendidikan ekabahasa (satu bahasa sahaja) pada tahun 2002 dan pendidikan dwibahasa telah dimansuhkan secara beransur-ansur dan hanya pendidikan Cina disediakan di sekolah-sekolah. Universiti Xinjiang telah memansuhkan pendidikan bahasa Uyghur di semua jabatan kecuali jabatan Kesusasteraan Uyghur.

Pada 2017, kerajaan China sekali lagi mula membanteras budaya dan bahasa Uyghur dan Kazakh. Perintah rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Autonomi Uyghur pada September 2017, telah mengharamkan bahasa Uyghur dan Kazakh sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah di seluruh wilayah Uyghur. Sekolah-sekolah itu diperintahkan untuk membangunkan kursus-kursus dalam bahasa Cina dengan cepat sebagai ganti kepada kursus-kursus yang diajar dalam bahasa Uyghur dan Kazakh sebelum ini. Sejak itu, larangan terhadap bahasa Uyghur dan Kazakh semakin meningkat untuk memadamkan jejak Uyghur dan orang Turk lain di tanah air mereka. Para penulis yang menulis karya dalam bahasa Uyghur dihapuskan. Kini, kanak-kanak di semua peringkat pendidikan bermula dari tadika tidak berpeluang untuk mempelajari bahasa ibunda mereka.

Tambahan pula, penulis, penyair dan artis adalah majoriti dalam kalangan kumpulan pertama orang Uyghur yang dihantar ke kem tahanan yang bermula seawal 2014. Sebagai contoh, pada tahun 2017, lebih daripada 400 intelektual Uyghur dan Kazakh telah dihantar ke kem tahanan dalam satu kempen penahanan. Antaranya, pelakon TV seperti Qeyum Muhammet; dan salah satu nama terpenting Kesusasteraan Uyghur kontemporari, Perhat Tursun; ahli antropologi terkenal dunia Rahile Dawut; pakar ekonomi Ilham Tohti; doktor perubatan Gulshen Abbas; penulis Yalkun Rozi; dan lain-lain lagi.

Di bawah penindasan yang berterusan, unsur terpenting yang menyatukan orang Uyghur ialah agama dan bahasa mereka. Dan halangan kritikal bagi Uyghur yang ingin mempelajari bahasa, budaya dan agama mereka pada masa kini adalah ketidakupayaan mereka untuk mempelajari bahasa Uyghur. Orang Uyghur dan Kazakh di wilayah Uyghur tidak dapat mempelajari bahasa mereka sendiri. Di diaspora, orang Uyghur perlu mempelajari bahasa tempatan bagi negara yang mereka duduki seperti bahasa Turki, Inggeris, Perancis, dan lain-lain untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat sekeliling mereka. Oleh itu, sukar bagi mereka untuk mempelajari bahasa Uyghur. Walau bagaimanapun, mengekalkan bahasa Uyghur hidup di diaspora adalah amat penting untuk mengekalkan tautan kritikal ini yang menyatukan orang Uyghur.

Oleh itu, ramai ilmuan dan cendekiawan yang terpaksa meninggalkan tanah air telah menterjemah dan menerbitkan banyak buku ke dalam bahasa Uyghur. Selepas tahun 2000-an, apabila tindakan keras kerajaan China terhadap aktiviti keagamaan di wilayah Uyghur meningkat, beberapa cendekiawan dan ulama Uyghur mula mengajar, menterjemah, menyelidik, dan menerbitkan di luar negara. Aliran ini semakin meningkat sejak kerajaan China mula memadamkan sepenuhnya identiti Islam orang Uyghur, Kazakh, dan orang Turk lain pada tahun 2014. Ramai cendekiawan dan ulama Uyghur yang belajar di Mesir, Arab Saudi, Turkiye dan negara-negara majoriti Muslim yang lain pada masa ini menjalankan kerja ini, kebanyakannya berpusat di Turkiye. Untuk mengekalkan identiti Islam orang Uyghur, banyak buku Islam termasuk tafsir al-Quran, kitab hadis, perundangan Islam, dan lain-lain, telah diterjemahkan dan diterbitkan dalam bahasa Uyghur. Di samping itu, karya mengenai budaya dan sejarah Uyghur telah diterjemahkan dan disediakan kepada orang Uyghur di diaspora.

Setakat ini, kira-kira 400 karya telah diterbitkan dalam bahasa Uyghur di diaspora. Pada masa ini, kerja-kerja seperti terjemahan, penyelidikan, penerbitan, koleksi buku Uyghur, dan penubuhan perpustakaan digital dan fizikal diteruskan. Projek penting dalam hal ini ialah projek yang dipanggil “100 Buku Luar Biasa”. Sehingga kini, 15 buku telah diterbitkan dalam skop projek ini.

Kedai-kedai buku Uyghur di Istanbul memainkan peranan penting dalam mengekalkan budaya dan buku Uyghur, dalam memberikan orang Uyghur -merentas negara dan benua- akses kepada bahasa dan sejarah mereka. Abdulcelil Turan menguruskan salah satu rumah penerbitan paling popular di diaspora, Rumah Penerbitan Teklimakan Uyghur. Baru-baru ini, Abdulcelil Turan menerbitkan ensiklopedia lapan jilid dalam bahasa Uyghur yang dipanggil “Ensiklopedia Uyghur”.

Satu lagi kedai buku yang terletak di Istanbul ialah Kutadgu Bilik, yang telah mencetak semula ratusan naskhah buku Uyghur yang diharamkan oleh kerajaan China. Tetapi kos untuk mencetak semula buku-buku ini adalah tinggi. Pemilik kedai buku Abdullah Turkistanli menganggarkan bahawa kira-kira 90% daripada buku di kedainya ditulis oleh orang yang telah disumbat ke dalam penjara dan kem tahanan.

Seorang pembangun perisian berbangsa Uyghur, Memeteli Niyaz, telah membina tapak web yang mempunyai kira-kira 3,000 e-buku percuma padanya. Tetapi Niyaz telah dipaksa untuk memindahkan tapak web tersebut ke hos baharu selepas hos yang digunakannnya menerima tuntutan hak cipta. Dia bimbang yang laman webnya pasti akan ditutup.

Di samping itu, beberapa institusi Uyghur diaspora seperti Akademi Uyghur, Kesatuan Penulis Uyghur dan Pena Uyghur (Uyghur Academy, Uyghur Writers Union, Uyghur Pen) sedang mengusahakan projek untuk memelihara dan menghidupkan semula budaya, bahasa dan kesusasteraan Uyghur di diaspora. Bulan lalu, Akademi Uyghur menerbitkan siri kurikulum Bahasa dan Kesusasteraan Uyghur untuk pelajar sekolah rendah. Siri yang sama untuk pelajar sekolah menengah sedang disediakan. Siri kurikulum Uyghur ini bertujuan untuk menyediakan kanak-kanak Uyghur di diaspora dengan bahan pembelajaran untuk bahasa ibunda mereka. Selain itu, terdapat sekolah bahasa Uyghur di bandar-bandar utama di seluruh dunia di mana terdapat populasi Uyghur yang cukup besar. Sekolah-sekolah bahasa ini berusaha untuk menyediakan kanak-kanak Uyghur peluang untuk mempelajari bahasa ibunda mereka selepas sekolah atau pada hujung minggu.

Akhir sekali, sarjana Islam Uyghur telah melakukan kerja yang terpuji dalam menyumbang kepada penulisan dan penerbitan dalam bahasa Uyghur. Contohnya, Muhammad Yusuf, seorang ulama Uyghur dan lulusan Universiti Al-Azhar di Mesir, telah menerbitkan berpuluh-puluh buku dalam bahasa Uyghur yang merangkumi pelbagai topik seperti teologi Islam, perundangan Islam, kekeluargaan dan etika dan lain-lain. Muhammad Yusuf juga menterjemah al-Quran ke dalam bahasa Uyghur. Terdapat ramai lagi alim ulama yang menterjemah dan menerbitkan buku-buku tentang pemikiran Islam dan isu-isu kontemporari.

Kesimpulannya, adalah penting untuk mencipta dan menerbitkan dalam bahasa Uyghur untuk mengekalkan bahasa dan budaya Uyghur. Sehingga kini, ramai ulama dan cendekiawan Uyghur di diaspora cuba mengisi kekosongan ini. Sebagai Pusat Kajian Uyghur, salah satu inisiatif kami adalah untuk menerbitkan karya-karya dalam bahasa Uyghur. Namun begitu, pemeliharaan bahasa dan budaya Uyghur memerlukan usaha yang luar biasa dan diaspora Uyghur tidak mempunyai sumber yang mencukupi dan tidak mampu melakukannya sendirian. Oleh itu, pemeliharaan bahasa dan budaya Uyghur memerlukan sokongan institusi dan ahli akademik antarabangsa.

Teks asal dalam bahasa inggeris di sini.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.