• Washington DC
Ikut kami:

Suara yang Dilupakan: Warga Uyghur Berdepan Deportasi dari Thailand ke China

Oleh Abdulhakim Idris, CEO Pusat Kajian Uyghur.
23 Januari 2025

***

Pelarian Uyghur, yang ditahan di penjara Thai selama lebih sedekad, kini berdepan ancaman deportasi ke China, sebuah negara yang terkenal melakukan genosid terhadap umat Islam Uyghur. Memandangkan ancaman deportasi semakin dahsyat, masyarakat antarabangsa kini mendapati dirinya berada di sebuah persimpangan. Nasib 48 lelaki ini telah menjadi ujian litmus untuk hak asasi manusia di Asia Tenggara, dengan implikasi yang meluas yang melangkaui sempadan Thailand dan China. Di tengah-tengah krisis ini terletak persoalan asas: Adakah dunia akan berdiam diri apabila individu ini dihantar untuk menghadapi penganiayaan yang hampir pasti berlaku, atau adakah ia akan bangkit untuk menegakkan prinsip maruah dan keadilan manusia?

Keadaan mendesak ini tidak boleh dipertikaikan. Perkembangan terkini telah sebuah ‘gelombang’ merentasi semua diaspora Uyghur dan pertubuhan-pertumbuhan hak asasi manusia di seluruh dunia. Pada 10 Januari 2025, warga Uyghur yang ditahan ini memulakan mogok lapar terdesak selepas diberikan borang “pemulangan sukarela” — sebuah mukadimah yang terselubung kepada penghantaran pulang secara paksa. Rayuan mereka, yang dirakam dalam surat yang diperolehi media antarabangsa, sangat menyayat hati: “Kami akan dipenjara, dan kami mungkin kehilangan nyawa kami (sekiranya dideportasi). Kami segera merayu kepada semua organisasi antarabangsa dan negara yang berkaitan dengan hak asasi manusia untuk campur tangan segera bagi menyelamatkan kami daripada nasib tragis ini sebelum terlambat.”

Krisis ini memberikan cabaran yang hebat bagi Malaysia, yang menyandang jawatan pengerusi ASEAN pada Januari 2025. Sebagai sebuah negara majoriti Islam dengan sejarah pembelaan masyarakat Islam yang tertindas di seluruh dunia, Malaysia mendapati dirinya berada dalam kedudukan unik untuk mengetuai tindak balas serantau terhadap darurat kemanusiaan ini. Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang telah lama terkenal dengan komitmennya terhadap keadilan dan hak asasi manusia, kini berdepan sebuah detik penentuan dalam kepimpinannya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, China telah melancarkan apa yang disifatkan oleh kebanyakan para pemerhati antarabangsa sebagai genosid terhadap Uyghur. Penindasannya menjangkau jauh melangkaui kem-kem tahanan. Orang Uyghur di tanah air mereka hidup di bawah pengawasan berterusan, setiap pergerakan mereka dipantau oleh rangkaian kamera yang ketat dan pusat pemeriksaan polis. Amalan-amalan agama, daripada memelihara janggut hingga memberi nama tertentu kepada kanak-kanak, telah diharamkan atau diterhadkan secara melampau. Bahasa Uyghur telah dipinggirkan di sekolah, dan tapak-tapak keagamaan telah dimusnahkan atau digunakan semula (untuk tujuan lain) secara sistematik. Kerana penganiayaan yang semakin teruk inilah orang membuat keputusan yang menyayat hati untuk meninggalkan tanah air mereka. Perjalanannya dipenuhi ranjau marabahaya, kerana pengaruh China melampaui sempadannya. Warga Uyghur yang cuba melarikan diri menghadapi ancaman berterusan untuk ‘dikembalikan’ di bawah tekanan dari Beijing.

Bagi 48 lelaki Uyghur yang ditahan di Thailand ini, usaha mereka untuk mendapatkan kebebasan terhenti secara tiba-tiba pada 2014. Pihak berkuasa Thai menahan mereka berhampiran sempadan Malaysia, sebahagian daripada kumpulan yang lebih besar daripada lebih 350 orang Uyghur yang cuba sampai ke Turkiye — sebuah negara yang mempunyai hubungan budaya yang kuat dengan orang Uyghur, dan memiliki dasar yang lebih mengalu-alukan terhadap Uyghur. Tahun-tahun yang berlalu sejak penahanan mereka telah ditandai dengan kesengsaraan yang tidak dapat dibayangkan. Terkurung di sel yang sesak di Pusat Tahanan Imigresen (IDC) yang terkenal di Bangkok, para lelaki ini telah mengharungi keadaan yang disifatkan oleh organisasi-organisasi hak asasi manusia sebagai “tidak berperikemanusiaan.” Kekurangan makanan yang mencukupi, sanitasi yang buruk, dan akses terhad kepada rawatan perubatan telah menjejaskan kesihatan fizikal dan mental mereka. Lima tahanan, termasuk dua kanak-kanak, telah meninggal dunia dalam tahanan ini sejak sedekad lalu.

Ancaman deportasi ini bukanlah sebuah ketakutan yang abstrak. Pada 2015, Thailand ‘memulangkan’ 109 orang Uyghur secara paksa ke China, satu tindakan yang mendapat kecaman antarabangsa. Nasib mereka yang diekstradisi ini masih tidak diketahui, walaupun laporan mengenai hukuman penjara dalam tempoh yang lama dan penghilangan telah diperolehi melalui tapisan rangkaian diaspora Uyghur. Sejarah deportasi ini memberi gambaran terhadap krisis semasanya. Tindakan kerajaan Thailand baru-baru ini — memberikan borang “pemulangan sukarela” dan dilaporkan mengambil gambar para tahanan — mencerminkan persis peristiwa yang berlaku sebelum deportasi 2015. Perkembangan ini telah menghidupkan semacam ‘loceng penggera’ dalam kalangan organisasi hak asasi manusia dan kumpulan advokasi Uyghur di seluruh dunia.

Potensi deportasi 48 lelaki ini bukan sahaja akan menjadi tragedi bagi individu terbabit dan keluarga mereka tetapi juga mewakili sebuah preseden berbahaya dalam undang-undang antarabangsa. Prinsip non-refoulement (tiada penghantaran pulang paksa), yang termaktub dalam Konvensyen Pelarian 1951, melarang sesebuah negara daripada memulangkan individu ke negara di mana mereka menghadapi risiko hakiki penganiayaan, penyeksaan, atau pelanggaran lain-lain hak asasi manusia yang serius. Walaupun Thailand bukanlah penandatangan Konvensyen Pelarian, tetapi ia terikat dengan undang-undang adat antarabangsa (customary international law) dan perjanjian hak asasi manusia lain yang merangkumi prinsip non-refoulement ini. Lebih-lebih lagi, Thailand mempunyai undang-undang domestiknya sendiri terhadap penyeksaan dan kehilangan secara paksa, yang dilanggar melalui pemulangan orang Uyghur ini ke China.

Peranan China dalam situasi yang sedang berlangsung ini tidak boleh diabaikan. Beijing secara konsisten menekan negara-negara di Asia Tenggara dan seterusnya untuk menghantar orang Uyghur, seringkali menggambarkan individu-individu (Uyghur) ini sebagai pelampau, tanpa memberikan bukti (kepada tuduhan itu). Tekanan ini adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk mengawal naratif berkenaan Turkistan Timur dan untuk menghalang orang Uyghur daripada berkongsi pengalaman mereka dengan dunia luar.

Dalam menghadapi krisis ini, semua mata beralih kepada Malaysia dan ASEAN. Sebagai pengerusi semasa blok serantau, Malaysia mempunyai kedudukan unik untuk mengetuai tindak balas terkoordinasi terhadap ancaman yang dihadapi tahanan Uyghur di Thailand. Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang telah lama memposisikan dirinya sebagai juara hak asasi manusia dan perpaduan umat Islam, kini berdepan ujian kritikal terhadap kepimpinannya. Pertaruhan yang didepani Malaysia adalah tinggi. Bagaimana ia bertindak balas terhadap krisis ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada kehidupan 48 lelaki Uyghur di Thailand tetapi juga akan menetapkan sebuah ‘nada’ untuk pengerusi ASEAN ini dan peranannya yang lebih luas di pentas antarabangsa. Pendirian yang kukuh dalam mempertahankan orang Uyghur akan mengesahkan komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia dan berpotensi dalam memberi inspirasi kepada negara lain untuk mengambil tindakan yang sama.

Identiti Muslim Malaysia menambah satu lagi lapisan tanggungjawab kepada peranannya dalam krisis ini. Sebagai salah satu negara majoriti Islam yang paling terkemuka di Asia Tenggara, Malaysia sering bersuara menentang penganiayaan masyarakat Islam di seluruh dunia. Nasib orang Uyghur — minoriti Islam yang menghadapi penindasan agama dan budaya — menunjukkan satu kewajiban moral yang jelas untuk kepimpinan Malaysia.

Walau bagaimanapun, laluan ke hadapan bukan tanpa cabarannya. Malaysia, seperti kebanyakan negara lain di rantau ini, mesti mengimbangi komitmen hak asasi manusia dengan hubungan ekonomi dan diplomatiknya dengan China. Pengaruh ekonomi Beijing di Asia Tenggara adalah besar, dan sebarang tindakan yang dianggap sebagai konfrontasi boleh membawa kesan yang ketara. Namun, pada saat-saat yang genting inilah kepimpinan yang sebenar terserlah. Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berpeluang untuk menunjukkan bahawa soal prinsip diutamakan berbanding kepentingan, bahawa pembelaan hak asasi manusia bukan sekadar retorik tetapi merupakan asas hakiki kepada dasar luar Malaysia.

Tindak balas terhadap krisis ini mestilah daripada pelbagai sisi. Pertama sekali, Malaysia perlu menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi ASEAN untuk mengadakan mesyuarat tergempar blok itu bagi menangani ancaman deportasi yang akan berlaku. Pertemuan ini sepatutnya menghasilkan kenyataan yang kukuh dan bersatu yang mengutuk sebarang pemulangan paksa Uyghur ke China dan menyeru Thailand untuk menegakkan kewajipan antarabangsanya. Malaysia dan ASEAN harus terlibat dalam diplomasi peringkat tinggi dengan Thailand, menawarkan sokongan dan sumber untuk mencari penyelesaian alternatif bagi warga Uyghur yang ditahan. Ini mungkin juga melibatkan kerjasama dengan organisasi antarabangsa seperti UNHCR untuk memudahkan penempatan semula ke negara ketiga yang bersedia menerima pelarian Uyghur ini.

Walaupun sudah bertahun-tahun bantahan antarabangsa dan cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Thailand untuk membebaskan dan menempatkan semula para tahanan ini, pihak berkuasa Thailand tetap saja gagal bertindak. Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), yang dipengaruhi oleh tekanan jahat China, juga teragak-agak untuk memberikan bantuan, enggan memberikan status ‘pelarian’ kepada Uyghur ini. Ketiadaan tindakan ini menjejaskan perlindungan antarabangsa yang bertujuan untuk melindungi individu yang terdedah kepada bahaya, seperti Konvensyen Menentang Penyeksaan (Convention Against Torture) dan rangka kerja undang-undang Akta Anti-Penyiksaan Thailand sendiri yang direka untuk mencegah kekejaman seperti ini. Namun, perlindungan ini telah diabaikan, menyebabkan tahanan Uyghur ditinggalkan kepada nasib yang tidak menentu dan berbahaya. Dunia mesti mengiktiraf ketidakadilan yang teruk ini dan bertindak tegas untuk memastikan penempatan semula mereka di negara ketiga di mana mereka boleh mencari keselamatan dan hidup bermaruah.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, mesti mengambil peranan yang lebih aktif dalam memantau keadaan dan memperjuangkan hak-hak Uyghur yang ditahan. Negara-negara yang mempunyai program penempatan semula pelarian yang hebat, termasuk Amerika Syarikat, Kanada, dan Australia, mesti mempercepatkan pemprosesan kes warga Uyghur untuk menawarkan mereka peluang pada masa depan yang selamat. Tambahan pula, pertubuhan masyarakat sivil dan media mesti menghebahkan dan menggembar-gemburkan isu ini, memastikan ia kekal di mata umum. Dengan menyediakan platform untuk suara Uyghur dan mendedahkan kezaliman yang mereka hadapi, tekanan orang awam boleh dijana untuk memaksa kerajaan dan badan antarabangsa mengambil tindakan yang bermakna. Hanya melalui usaha kolektif dan berterusan kita boleh mencegah pencabulan hak asasi selanjutnya dan memastikan keadilan bagi individu yang teraniaya ini.

Kami menzahirkan permintaan kami kepada masyarakat antarabangsa untuk menekan kerajaan Thai dan mengambil tindakan segera untuk menghentikan deportasi Muslim Uyghur ke China. Kerajaan Thailand mesti menghentikan rancangan deportasinya, memberikan UNHCR akses segera kepada para tahanan ini, dan melaksanakan undang-undang anti-penyeksaannya sendiri untuk menegakkan hak asasi manusia dan komitmen antarabangsa. UNHCR mesti mengutamakan krisis ini, terlibat secara aktif dengan pihak berkuasa Thailand, dan memanfaatkan mandatnya untuk memudahkan penempatan semula tahanan di negara ketiga. Tambahan pula, masyarakat antarabangsa mesti memberikan tekanan diplomatik ke atas Thailand, menawarkan laluan penempatan semula untuk pelarian Uyghur, dan meminta China bertanggungjawab atas penindasan transnasionalnya.

Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan Thai supaya tidak menghantar pulang pelarian Uyghur ke China, di mana mereka menghadapi bahaya besar, ini sahaja tidak mencukupi. Organisasi-organisasi hak asasi manusia di seluruh dunia sedang menangani krisis ini, tetapi usaha itu masih perlu dipertingkatkan. Masyarakat sivil Islam, khususnya di Malaysia, mempunyai kewajipan moral untuk mengambil tindakan. Pertubuhan dan komuniti Islam Malaysia mesti bersatu dan menyokong tanpa henti, menekan kerajaan mereka untuk campur tangan dan mencegah tragedi kemanusiaan ini. Ini bukan semata-mata mengenai nasib pelarian Uyghur—ia adalah tentang menegakkan keadilan, mempertahankan maruah manusia, dan menentang penindasan. Menggerakkan tekanan antarabangsa memerlukan perpaduan, tindakan tegas, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi masyarakat sivil untuk melindungi individu-individu yang terdedah ini daripada penganiayaan.

Pelbagai usaha global sedang dijalankan untuk meningkatkan kesedaran tentang pelarian Uyghur yang ditahan di Thailand dan untuk menekan organisasi antarabangsa untuk bertindak. Setiausaha Negara Amerika Syarikat yang baru dilantik, Tuan Marco Rubio, secara terbuka menggesa kerajaan Thailand untuk meninggalkan rancangan untuk menghantar pulang pelarian ini, menggarisbawahi realiti ngeri yang mereka hadapi di China, termasuk penyeksaan, pemenjaraan, kehilangan secara paksa, dan juga kematian. Para ahli parlimen dari seluruh dunia juga mengecam tindakan Thailand, menyeru negara itu untuk menegakkan tanggungjawab kemanusiaannya. Bantahan global semakin kuat, tetapi ia mesti diperkuatkan. Nasib orang Uyghur ini terletak di tangan kerajaan, organisasi, dan individu yang mesti bertindak dengan segera dan penuh kesungguhan. Kehidupan mereka bergantung pada tindakan bersatu kita, dan kegagalan pula bukanlah satu pilihan.

(Asal penerbitan dalam bahasa inggeris di The Diplomat. Diterjemahkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan diterbitkan dalam bahasa Malaysia oleh Pusat Kajian Uyghur).

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.