• Washington DC
Ikut kami:

Pengajaran daripada Genosid Uyghur untuk Dunia

Tindakan-tindakan kerajaan China di Turkistan Timur (AKA Xinjiang) telah bertambah dahsyat menjadi salah satu krisis hak asasi manusia yang paling teruk pada zaman kita ini. Penindasan terhadap Uyghur dan Muslim Turk yang lain telah tersebar meluas, dengan menggunakan pelbagai taktik yang bermula daripada pengawasan (surveillance) besar-besaran hinggalah buruh paksa, penahanan sewenang-wenangnya (arbitrary detentions) , dan penghapusan budaya. Penderitaan orang Uyghur adalah bencana kemanusiaan yang tidak boleh diabaikan oleh dunia. Kerajaan China telah mengimplementasikan pengawasan yang meluas di Turkistan Timur, di mana Uyghur dan Muslim Turk lain tertakluk kepada pemantauan berterusan. Laporan menunjukkan bahawa sehingga 1-3 juta orang Uyghur telah ditahan di kawasan-kawasan yang pada dasarnya adalah kem-kem tahanan. Infrastruktur ini adalah tapak indoktrinasi paksa, penderaan, dan juga kehilangan, di mana tahanan dipaksa dan ditekan untuk meninggalkan identiti agama dan budaya mereka. Indoktrinasi selalunya termasuk memaksa orang Uyghur untuk meninggalkan bahasa, kepercayaan dan adat resam mereka, hal menyumbang kepada penghapusan sistematik identiti mereka.

Skala tindakan China ini melangkaui penahanan dan pengawasan. Laporan-laporan tentang pemandulan paksa, pemisahan keluarga, dan pemusnahan tapak budaya dan agama orang Uyghur yang disengajakan menunjukkan wujudnya sebuah usaha yang diselaraskan untuk menghapuskan identiti Uyghur. Selain itu, kemusnahan lebih 16,000 masjid dan pemenjaraan berjuta-juta orang kerana menjalankan ibadah, seperti membaca al-Quran, menunjukkan perang China yang begitu mendalam terhadap agama. Badan-badan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan beberapa organisasi hak asasi manusia, telah melabelkan tindakan ini sebagai genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan, yang semakin membuka pekung dan mendedahkan dasar-dasar agresif China. Pendekatan ekspansionis China di Turkistan Timur termasuklah penggantian strategik Uyghur dengan penjajah Cina Han. Kejuruteraan demografi ini direka untuk memastikan penduduk Uyghur dipindahkan secara sistematik, mengurangkan kehadiran mereka di tanah air nenek moyang mereka. Penciptaan daerah-daerah baharu, seperti di Hotan—bandar kelahiran saya—berfungsi sebagai peringatan yang jelas mengenai pencerobohan tajaan kerajaan ini, yang mengancam bukan sahaja budaya dan identiti Uyghur tetapi juga menimbulkan risiko kepada kestabilan serantau dan juga keselamatan nasional India.

Sementara itu, para aktivis Uyghur di luar negara menghadapi penganiayaan tanpa henti ketika China meluaskan penindasannya di luar sempadannya. Aktivis-aktivis diganggu, disenyapkan, dan dalam beberapa kes, keluarga mereka di China dijadikan tebusan sebagai hukuman atas advokasi mereka. Walaupun dengan pengiktirafan global terhadap genosid Uyghur, China terus melakukan kempen penyebaran maklumat palsunya, menggunakan pengaruhnya untuk memutihkan tindakannya dan mengelakkan akauntabiliti.

Masyarakat antarabangsa telah mula bertindak balas terhadap layanan kejam kerajaan China terhadap orang Uyghur. Amerika Syarikat, Kanada, dan beberapa buah negara Eropah telah mengenakan sekatan ke atas para pegawai dan syarikat-syarikat China yang dikaitkan dengan penindasan itu. A.S. juga telah meluluskan Akta Pencegahan Buruh Paksa Uyghur, yang melarang semua barangan import dari Xinjiang yang dipercayai memiliki kaitan dengan buruh paksa Uyghur. Langkah-langkah ini mencerminkan pengiktirafan global yang semakin meningkat tentang perlunya memastikan China bertanggungjawab atas pelanggaran hak asasi manusianya.

Walaupun terdapat pertalian agama dan sejarah yang mendalam yang dikongsi oleh kebanyakan negara majoriti Islam dengan orang Uyghur, respons daripada negara-negara ini sebahagian besarnya adalah berdiam diri membatu atau memberi sokongan senyap terhadap China. Kesunyian ini sering didorong oleh pergantungan ekonomi, pakatan politik dan penyertaan dalam Inisiatif Jalur dan Jalan China (BRI), sebuah program pembangunan global yang telah mengukuhkan lagi pengaruh China.

China telah memanfaatkan kuasa ekonominya untuk mempengaruhi organisasi-organisasi antarabangsa dan negara membangun, menghalang mereka daripada mengutuk dasarnya. Selain itu, pakatan China yang semakin meningkat dengan Rusia dalam menghadapi sekatan dan kritikan Barat telah menjadikannya lebih mencabar bagi kuasa global untuk meminta China bertanggungjawab atas pencabulan hak asasi manusianya.

Pendekatan China yang lebih licik ialah melalui penggunaan teknologi deepfake dan bot-bot tajaan kerajaan untuk menyebarkan maklumat palsu. Video dan imej yang dijana oleh AI boleh mencipta naratif palsu yang menyukarkan untuk membezakan berita sebenar daripada cerita rekaan. Di platform media sosial seperti Twitter dan TikTok, bot-bot yang dikuasakan AI membanjiri perbincangan dengan propaganda pro-China dan naratif anti-Uyghur. Bot ini membantu China menyekat perbezaan pendapat dan menghalang warga global daripada mengetahui tentang skala sebenar pencabulan hak asasi manusianya.

China telah menggunakan strategi penapisan (censorship) yang meluas, menggunakan teknologi dipacu AI untuk menyekat sebarang kandungan yang mengkritik kerajaan. Platform seperti DeepSeek, WeChat dan TikTok telah didakwa menyekat maklumat secara aktif yang boleh memberi penerangan tentang kezaliman di Turkistan Timur, menghalang para aktivis Uyghur daripada meningkatkan kesedaran tentang nasib dan kesengsaraan mereka.

Untuk memerangi penyebaran maklumat palsu di peringkat global dan memastikan bahawa krisis Uyghur kekal sebagai tumpuan perhatian antarabangsa, beberapa strategi mesti diteruskan. Penindasan orang Uyghur adalah krisis yang memerlukan perhatian global. Walaupun China terus menafikan dan meremehkan tindakannya, masyarakat antarabangsa mesti berdiri teguh dalam menyeru kepada kebertanggungjawaban. Dengan menyokong para aktivis Uyghur, mengukuhkan kecelikan media dan memerangi manipulasi digital China, kita boleh berusaha untuk mendedahkan kebenaran dan memperjuangkan hak orang Uyghur. Perjuangan untuk keadilan masih belum selesai, dan terpulang kepada kita semua untuk memastikan suara golongan yang tertindas tidak didiamkan.

*Ucapan ini disampaikan Pengarah Pusat Kajian Uyghur Abdulhakim Idris semasa Siang Dialog 2.0, anjuran Red Lantern Analytica, sebuah badan pemikir dasar luar bebas yang berpangkalan di India.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.