• Washington DC
Ikut kami:

Panel PBB: Genosid Uyghur Adalah Mercu Tanda Islamofobia yang ‘Disokong’ Negara

Siaran Akhbar CUS

Untuk Siaran Segera

8 Julai 2024

Contact@uyghurstudy.org

Uyghurstudy.org

Pada 5 Julai 2024, Pusat Kajian Uyghur (CUS) menganjurkan secara bersama perbincangan panel bertajuk “Melawan Islamofobia di Asia: Daripada Kesedaran kepada Tindakan” sebagai sebahagian daripada Sesi ke-56 Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, bersama CAP Liberté de Conscience dan Campaign for Uyghurs. Perbincangan panel ini melibatkan pakar dan aktivis dari pelbagai negara, termasuk Ahli Parlimen Turki Ayyuce Turkes, Khairul Anwar Ismail, mantan Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Adlan Athori, Setiausaha Agung Belia OIC Indonesia, Thierry Valle, Presiden CAP Liberté de Conscience, Rushan Abbas, Pengarah Eksekutif Campaign for Uyghurs, dan Abdulhakim Idris, Pengarah Eksekutif CUS. Ahli-ahli panel membincangkan peningkatan ancaman Islamofobia di China daripada pelbagai perspektif.

Pengarah Eksekutif Abdulhakim Idris menekankan dasar konkrit Islamofobia PKC di Turkistan Timur, dengan menyatakan, “Dasar genosid rejim China di tanah air Uyghur adalah lambang Islamofobia yang ‘disokong’ oleh negara. Semua amalan Islam telah dijenayahkan, mengakibatkan berjuta-juta umat Islam Uyghur ditahan di kem tahanan dengan alasan ‘pendidikan semula.’ Sejak 2014, beribu-ribu masjid telah dirobohkan, ditutup, atau digunakan semula. Kerajaan China telah membakar al-Quran dan memusnahkan bahan-bahan keagamaan. Pada 2017, dokumen-dokumen kerajaan melabelkan Islam sebagai ‘penyakit mental’ yang perlu dihapuskan. Di bawah label ‘Pencinaan,’ adat istiadat Uyghur terpaksa mematuhi norma Cina. Malah unsur-unsur Islam dihapuskan daripada seni bina Uyghur. Secara ringkasnya, orang Uyghur dinafikan hak untuk mengamalkan agama mereka di bawah dasar Islamofobia China.”

Mohd Khairul Anwar Ismail, seorang peguam Malaysia dan mantan Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), menekankan berkenaan dasar-dasar Islamofobia China terhadap orang Uyghur. Beliau menyatakan, “Layanan kerajaan China terhadap Muslim Uyghur adalah salah satu contoh Islamofobia yang paling teruk. Orang Uyghur telah berdepan penahanan beramai-ramai dalam apa yang dinamakan kerajaan sebagai ‘kem pendidikan semula’, yang juga melibatkan buruh paksa, pensterilan/pemandulan paksa, dan kekejaman-kekejaman lain. Penganiayaan sistematik terhadap orang Uyghur ini telah diiktiraf sebagai genosid oleh pelbagai negara dan badan antarabangsa.”

Adlan Athori, Setiausaha Agung Belia OIC Indonesia, menekankan kepentingan negara-negara Islam bertindak balas terhadap Genosid Uyghur. “Sebagai negara Islam, Indonesia bertanggungjawab untuk bertindak balas terhadap krisis Uyghur menurut prinsip perpaduan dan persaudaraan. Kita mesti bersuara dan menentang pencabulan hak asasi manusia orang Uyghur dan menyeru kepada penyelesaian secara aman.”

Program ini memberikan peluang yang jarang berlaku untuk menjelaskan dasar Islamofobia kerajaan China di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, satu topik penting yang telah diabaikan selama ini. Seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Eksekutif Abdulhakim Idris, “Apabila Islamophobia disebut, China jarang terlintas di fikiran orang ramai. Sebabnya ialah China telah berjaya mengaburi dasar Islamofobianya dan penganiayaannya berasaskan agama terhadap umat Islam selama beberapa dekad.”

Tahun lepas, CUS menerbitkan laporan “Islamophobia in China and Attitudes of Muslim Countries” untuk menekankan perhatian kepada topik ini. Laporan itu meneliti dasar-dasar Islamofobia PKC yang sistemik dan bersejarah sejak 1949, yang bertujuan untuk “Mencinakan” Islam dan umat Islam. Ia memperincikan perang China terhadap Islam di Turkistan Timur sejak tujuh dekad yang lalu, terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan mendedahkan kempen dan propaganda penyebaran maklumat palsu China untuk mencegah kemarahan umat Islam global. Laporan itu ditutup dengan fasal yang mengetengahkan kegagalan OIC dalam menangani genosid Uyghur dan sikap negara-negara majoriti Islam terhadap isu itu. Ia tersedia dalam bahasa Arab, Inggeris, Turki, Rusia, Melayu dan Indonesia.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.