• Washington DC
Ikut kami:

Nama, Masjid dan Memori: Kempen China untuk Menghapuskan Budaya Uyghur

Oleh Abdulhakim Idris.

Angin berbisik melalui lorong-lorong purba Kota Bersejarah Kashgar, membawa bersamanya gema tamadun yang telah bertahan beribu tahun lamanya. Tetapi bagi Alim, seorang pekedai tempatan Uyghur, bisikan itu semakin reda dari hari ke hari. Dia berdiri di gerbang pintu kedai kecilnya, melihat jentolak demi jentolak berjalan menggegarkan jalan-jalan; rahang-rahang logamnya merobek bangunan purba berabad-abad dengan kecekapan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Kisah Alim hanyalah seutas benang dalam ‘permaidani’ penghapusan budaya yang ditenun di seluruh Turkistan Timur. Selama beberapa generasi, orang Uyghur telah memanggil tanah ini sebagai rumah, identiti mereka berakar dalam tanahnya, tradisi mereka kekal lama seperti Gurun Taklamakan itu sendiri. Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sebuah ribut telah berpusar di ufuk sini, mengancam untuk menyapu bersih semua orang dan setiap perkara yang mereka sayangi.

Pemusnahan sistematik budaya Uyghur semakin giat pada tahun 2017, samaran perang Xi Jinping terhadap Uyghur di bawah nama, “perang rakyat melawan keganasan” dan kempen “pencinaan“. Apa yang bermula dengan peningkatan pengawasan dan sekatan ke atas amalan agama tidak lama kemudian meningkat menjadi serangan besar-besaran terhadap identiti Uyghur. Masjid-masjid yang telah berdiri selama berabad-abad dihancurkan ke tanah; kubah dan menara mereka yang amat bersei digantikan dengan bangunan kerajaan yang kaku. Tanah perkuburan lama orang Uyghur, yang satu masa dahulu pernah menjadi tempat penghormatan dan tempat yang menghubungkan dengan nenek moyang, telah diratakan dan diturap.

Di Hotan, sebuah bandar yang mempunyai akar sejarah yang mendalam, landskap telah diubah tanpa boleh diundur semula. Institut Dasar Strategik Australia melaporkan bahawa antara 2017 dan 2020, kira-kira 16,000 masjid di seluruh Turkistan Timur – 65% daripada jumlah keseluruhan – musnah atau rosak. Antaranya ialah Masjid Jama, sebuah keajaiban seni bina berusia 1,000 tahun yang telah bertahan dari tangan banyak penguasa dan rejim. Kini, hanya kenangan dan gambar yang pudar yang berbaki daripadanya.

Serangan ke atas budaya Uyghur melangkaui serangan terhadap struktur-struktur fizikal. Dalam sebuah perkembangan yang menyedihkan, Human Rights Watch (HRW) mendedahkan bahawa pihak berkuasa China telah secara sistematik menukar nama ratusan kampung di seluruh tanah air Uyghur. Nama yang kaya dengan signifikasi agama, sejarah dan budaya bagi Uyghur digantikan dengan istilah generik yang mencerminkan ideologi Parti Komunis China. Kampung “Imam Mazar” (Makam Imam) diubah menjadi “Kampung Kebahagiaan.” “Sultan Kirishi” (Pintu Masuk Sultan) kini diubah menjadi “Lorong Harmoni.” Dengan setiap perubahan nama, secebis sejarah Uyghur dipadamkan, digantikan dengan versi realiti yang sudah dicuci bersih yang diluluskan oleh kerajaan.

Laporan HRW itu memperincikan sejauh mana perubahan ini. Penyelidikan itu mengenal pasti kira-kira 630 buah kampung, di mana nama-namanya telah diubah untuk menghapuskan sebarang rujukan agama atau budaya (terhadapnya). Majoriti perubahan ini berlaku semasa kemuncak serangan keras terhadap Uyghur, yang telah dilabelkan oleh beberapa kerajaan dan badan hak asasi manusia sebagai genosid. Nama baharu, tanpa rujukan agama, sejarah atau budaya, adalah sebahagian daripada beribu-ribu perubahan nama yang pada permukaannya kelihatan tidak berbahaya. Kedua-dua organisasi tersebut mengenal pasti tiga kategori utama pengubahsuaian nama (kampung) ini. Amalan agama dan budaya Uyghur telah dihapuskan, termasuk “Hoja“, gelaran untuk seorang guru agama beraliran sufi, yang dikeluarkan daripada sekurang-kurangnya 25 nama kampung; “Haniqa”, sejenis bangunan agama dalam aliran sufi, dihapuskan daripada 10 nama kampung; dan “Mazar”, bermaksud makam, yang telah dialih keluar daripada sekurang-kurangnya 41 nama kampung.

Selain itu, nama yang merujuk kepada kerajaan, republik atau pemimpin Uyghur sebelum 1949, yakni sebelum Republik Rakyat China ditubuhkan, telah dipadamkan. Tidak ada lagi kampung di Turkistan Timur dengan perkataan “Xelpe (baca: khelpe)” atau “Khalifa” (khalifah, pemerintah), atau “Mesjit” (masjid) dalam nama-namanya.

Amalan menamakan semula lokasi, seperti kebanyakan dasar yang diamalkan mereka di Turkistan Timur, pada awalnya dimulakan di Tibet. Sejak 2023, kerajaan China mula merujuk Tibet sebagai ‘Xizang’ pada dokumen rasmi. Sejak 2017, nama-nama rasmi China telah dikeluarkan untuk lokasi-lokasi di Arunachal Pradesh, wilayah Himalaya yang dipertikaikan, di mana China menuntutnya sebagai wilayahnya.

Bagi Gulnisa, seorang wanita Uyghur yang kini tinggal dalam buangan, kesakitan pemadaman (nama-nama asal Uyghur) ini dirasakan pada tahap yang amat peribadi. “Kampung nenek saya, di mana keluarga kami tinggal sejak turun-temurun, dipanggil ‘Orda Osteng’, yang bermaksud ‘Terusan Istana’. Sekarang saya dengar ia telah dinamakan semula sebagai ‘Jalan Sejahtera.’ Tetapi apakah kemakmuran yang ada apabila identiti kita dihapuskan?” dia bercerita, suaranya sarat dengan emosi.

Genosid budaya merebak hingga ke bahasa orang Uyghur. Bahasa Cina Mandarin telah menggantikan bahasa Uyghur sebagai bahasa utama di semua sekolah di seluruh Turkistan Timur. Kanak-kanak dilarang bercakap dengan bahasa ibunda mereka, walaupun pada waktu rehat. Buku-buku bahasa Uyghur telah dibakar. Para pengarang, ahli akademik, dan intelektual dipenjarakan kerana jenayah mengekalkan warisan budaya mereka.

Atas nama “latihan vokasional” dan “pembasmian kemiskinan”, ratusan ribu orang Uyghur telah dihantar ke kem tahanan. Mereka yang terselamat bercakap tentang indoktrinasi paksa, di mana tahanan dipaksa untuk meninggalkan kepercayaan mereka, menyanyikan lagu-lagu patriotik (China), dan berikrar taat setia kepada Parti Komunis China (PKC). Imejan satelit dan testimoni para saksi mendedahkan rangkaian luas kem-kem ini, tembok tinggi dan menara pemerhatinya sebagai peringatan yang jelas tentang korban manusia bagi projek penghapusan budaya (Uyghur).

Masyarakat antarabangsa tidak berdiam diri dalam menghadapi kekejaman ini. Pada Januari 2021, Jabatan Negara A.S. memutuskan bahawa kekejaman China terhadap Uyghur adalah genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan. Parlimen Eropah, Kanada, dan Belanda telah membuat pengisytiharan yang sama. Namun, kemusnahan budaya berterusan tanpa henti.

Sementara UNESCO pula, yang ditugaskan untuk melindungi warisan budaya di seluruh dunia dan yang lantang bersuara tentang pemusnahan tapak budaya bersejarah di Ukraine, responsnya terhadap situasi di Turkistan Timur adalah dengan berdiam diri. Ironi ini masih tidak disedari, dengan pengkritik berpendapat bahawa sikap berdiam diri UNESCO bererti wujudnya pengiktirafan tersembunyi terhadap tindakan (genosid budaya) China.

Apabila matahari terbenam di atas landskap Turkistan Timur yang berubah, tahap sepenuhnya genosid budaya menjadi jelas. Bukan hanya bangunan dan nama yang terpadam, tetapi jiwa manusia. Cara hidup orang Uyghur – adat resam mereka, kepercayaan mereka, hubungan mereka dengan tanah itu – sedang dihapuskan secara sistematik dan digantikan dengan versi budaya Cina yang diluluskan oleh kerajaan.

Bagi Alim, Gulnisa, dan jutaan Uyghur yang lain, masa depan tidak menyimpan sebarang kepastian. Perjuangan mereka bukan hanya untuk memelihara bangunan atau nama, tetapi tentang memerangi usaha penghapusan etnik rakyat mereka secara keseluruhan. Ketika seluruh dunia sedang memerhatikan, persoalannya masih kekal: adakah permaidani yang kaya dengan budaya Uyghur akan bertahan dari serangan ini, atau adakah ia akan menjadi tidak lebih daripada ingatan yang semakin pudar, berbisik pada angin yang bertiup melalui sebuah tanah yang berubah?

Implikasi daripada tindakan-tindakan (penghapusan budaya) ini adalah mendalam dan meluas. Di bawah undang-undang antarabangsa, penghapusan warisan budaya dan asimilasi paksa sesebuah kumpulan etnik dianggap sebagai tindakan genosid. Perkara 27 Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik, yang telah ditandatangani oleh China tetapi tidak diratifikasikannya, menyatakan bahawa, “Di negara-negara di mana wujudnya kumpulan minoriti etnik, agama atau bahasa, orang yang tergolong dalam minoriti tersebut tidak boleh dinafikan daripadanya haknya, dalam sebuah masyarakat dengan ahli kumpulan mereka yang lain, untuk menikmati budaya mereka sendiri, untuk menganut dan mengamalkan agama mereka sendiri, atau menggunakan bahasa mereka sendiri”.

Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), badan pakar bebas yang menafsirkan kovenan ini, telah menyatakan dalam sebuah Komen Umum bahawa, “Perlindungan hak-hak ini ditumpukan ke arah memastikan kelangsungan dan pembangunan berterusan sesebuah identiti budaya, agama dan sosial bagi kumpulan minoriti berkenaan, sekaligus memperkayakan struktur masyarakat secara keseluruhan…. Hak-hak ini mesti dilindungi seperti yang dimaksudkan di sini”.

Walaupun terdapat pencabulan yang jelas terhadap prinsip-prinsip ini, kerajaan China meneruskan kempennya tanpa menghiraukan kutukan antarabangsa. Penamaan semula kampung, pemusnahan masjid dan makam, dan dasar asimilasi paksa adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk memadamkan identiti Uyghur dan menggantikannya dengan versi budaya Cina yang dihomogenkan. Strategi ini bukan sahaja mengenai usaha mengawal situasi masa kini tetapi juga tentang menulis semula sejarah lama dan membentuk masa depan.

Masyarakat antarabangsa mesti terus menonjolkan dan berbicara mengenai kekejaman ini dan meminta kerajaan China bertanggungjawab atas tindakannya. Ini bermakna bukan sahaja dengan mengutuk dasar-dasarnya tetapi juga menyokong usaha untuk memelihara budaya Uyghur. Ini boleh melibatkan penyediaan platform untuk suara Uyghur, menyokong inisiatif pemeliharaan budayanya, dan memastikan dunia tidak melupakan warisan kaya orang Uyghur.

Ketika dunia sedang memerhati, orang Uyghur akan terus menentang. Dalam buangan, mereka bekerja tanpa jemu untuk mengekalkan bahasa, tradisi, dan identiti mereka. Di Istanbul, diaspora Uyghur yang semakin berkembang telah mendapat perlindungan dan hubungan semula dengan budaya mereka. Sekolah-sekolah yang mengajar bahasa Uyghur, dan adanya pusat-pusat komuniti menawarkan kelas dalam muzik dan tarian tradisional. Usaha-usaha ini adalah bukti ketabahan orang Uyghur dan keazaman mereka untuk mengekalkan budaya mereka, tidak kira apapun yang berlaku.

Kisah orang Uyghur adalah kisah perjuangan dan ketabahan, tentang orang yang berjuang untuk mengekalkan identiti mereka dalam menghadapi cabaran yang sukar. Ia adalah kisah yang mesti diceritakan dan diceritakan semula, untuk memastikan dunia tidak melupakan permadani budaya Uyghur yang kaya dan usaha berterusan (China) untuk menghapuskannya. Angin mungkin berbisik sahaja melalui lorong purba Kota Lama Kashgar, tetapi selagi adanya orang seperti Alim dan Gulnisa, bisikan itu tidak akan disenyapkan.

**

Tulisan asal dalam bahasa inggeris di sini.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.