• Washington DC
Ikut kami:

Kemunafikan China terhadap Agama: Membongkar Kontradiksi dalam Dasar-dasar Agama oleh Republik Rakyat China

Dalam bidang hubungan antarabangsa dan hak asasi manusia yang begitu rumit, terdapat beberapa topik yang begitu membentuk polarisasi dan dalam masa yang sama menerangkan juga tentang hakikat sebenar, seperti pendekatan China terhadap kebebasan beragama, terutamanya mengenai penduduknya yang beragama Islam. Di pentas global, China menggambarkan dirinya sebagai pembela toleransi beragama dan rakan kongsi yang teguh kepada negara-negara majoriti Muslim. Namun, melihat dengan lebih dekat dasar domestiknya, khususnya di Turkistan Timur (dirujuk oleh Negara China sebagai Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang – XUAR), mendedahkan kontradiksi yang mendalam antara segala deklarasi luarannya dan realiti dalamannya sendiri. Analisis ini meneroka perbezaan antara dakwaan umum China tentang kebebasan beragama, pakatan strategiknya dengan negara-negara Islam, dan realiti pahit yang dialami oleh Muslim Uyghur di dalam sempadannya.

Manipulasi Kebebasan Beragama oleh China

Republik Rakyat China (RRC) secara konsisten mendakwa ia menegakkan hak kebebasan beragama untuk semua rakyatnya. Tuntutan ini disebut dalam Perkara 36 Perlembagaan China, yang menyatakan bahawa “rakyat Republik Rakyat China memiliki hak kebebasan beragama.” Kerajaan sering menyebut peruntukan perlembagaan ini sebagai bukti komitmennya terhadap kebebasan beragama. Dalam kenyataan rasmi dan penglibatan diplomatiknya, wakil China sering mendakwa negara itu menghormati agama yang pelbagai dan melindungi hak rakyat untuk mengamalkan agama mereka.

Sumber: SCMP.com

Dalam sebuah kertas putih yang diterbitkan pada 2018 bertajuk “Dasar-dasar dan Praktis-praktis China mengenai Melindungi Kebebasan Kepercayaan Beragama,” Pejabat Penerangan Majlis Negara berkata bahawa “kebebasan beragama dilindungi oleh Perlembagaan dan undang-undang, serta kerajaan menghormati dan melindungi hak rakyat untuk kebebasan beragama.”

Penyalahgunaan kebebasan beragama oleh China melangkaui daripada deklarasi dan pengumuman semata-mata. Negara ini secara aktif berusaha untuk meletakkan dirinya sebagai rakan dan sekutu kepada negara-negara majoriti Islam, terutamanya melalui inisiatif ekonomi dan diplomatik. Contoh utama strategi ini ialah penglibatan China dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), suara kolektif Dunia Islam yang terdiri daripada 57 negara anggota.

Pada Mac 2019, Ahli Majlis Negara China dan Menteri Luar Negeri Wang Yi menghadiri sesi ke-46 Majlis Menteri-menteri Luar OIC sebagai tetamu khas. Semasa ucapannya, Wang berkata China menghormati tamadun Islam dan komitmennya untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara Islam. Beliau menyatakan, “China dan negara-negara Islam sentiasa menjadi kawan dan rakan kongsi yang baik. Kita telah menyokong satu sama lain dalam isu-isu berkaitan kepentingan teras dan keprihatinan utama kita”.

Jangkauan diplomatik ini dilengkapkan dengan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China yang bercita-cita tinggi, sebuah program perangkap hutang untuk mengeksploitasi dan merosakkan negara majoriti Islam. Sehingga 2024, 40 daripada 57 negara anggota OIC telah menandatangani memorandum persefahaman dengan China di bawah rangka kerja BRI. Penglibatan ekonomi ini telah menjadi asas kepada strategi China untuk meletakkan negara-negara majoriti Islam di dalam orbitnya yang berpengaruh.

‘Sokongan’ untuk Perjuangan-perjuangan Muslim di Seluruh Dunia

China juga telah berusaha untuk meningkatkan imejnya sebagai penyokong isu-isu Islam di pentas antarabangsa. Salah satu contoh yang paling menonjol adalah advokasi vokal China untuk isu Palestin. Dalam pelbagai forum dan persidangan antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, diplomat China secara konsisten muncul sebagai sahabat kepada umat Islam.

China juga lantang mengkritik apa yang dianggapnya sebagai campur tangan Barat di negara-negara Islam. Berikutan pengunduran AS dari Afghanistan pada 2021, China dengan pantas menawarkan sokongan kepada kerajaan baharu Taliban, menekankan kepentingan penentuan nasib sendiri (self determination) Afghanistan dan mengkritik saki-baki legasi campur tangan tentera Barat. Tindakan ini, ditambah pula dengan perkongsian ekonomi dan pelaburan infrastruktur China di negara majoriti Muslim, telah menyumbang kepada naratif China sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dan menyokong kepentingan Muslim di pentas global.

Sumber: Pedro Pardo/AFP, via Getty Images

Realiti orang Uyghur: Sebuah Kontras Yang Nyata

Walaupun China mempamerkan imej toleransi agama dan sokongan terhadap isu-isu Islam di peringkat antarabangsa, situasi di dalam sempadannya sendiri, khususnya di wilayah Uyghur, menceritakan kisah yang secara dramatiknya berbeza. Layanan terhadap Muslim Uyghur di kawasan ini telah disifatkan oleh ramai pemerhati antarabangsa, pertubuhan hak asasi manusia, dan kerajaan sebagai sebuah kempen Jenayah terhadap kemanusiaan dan Genosid.

Skala penindasan terhadap Uyghur dan Muslim Kazakh adalah amat mengejutkan. Sejak 2017, dianggarkan lebih 3 juta orang Uyghur dan warga Muslim Turk yang lain telah ditahan dalam rangkaian kem tahanan yang luas. Kemudahan-kemudahan ini, yang secara eufemisme dipanggil “pusat pendidikan dan latihan vokasional” oleh kerajaan China, telah menjadi tempat pelanggaran hak asasi manusia yang dahsyat.

Penindasan ini menjangkau jauh di luar kem. Kerajaan China telah melaksanakan sistem pengawasan dan kawalan yang meluas ke atas penduduk Uyghur. Pengecaman muka melalui kamera, perisian pengintip mandatori pada telefon mudah alih dan pengumpulan data biometrik telah mencipta sesebuah institusi yang disifatkan ramai sebagai ‘penjara terbuka’. Malah ungkapan paling asas akidah Islam telah dijenayahkan. Berdoa, berpuasa pada bulan Ramadan, memakai pakaian tradisional Islam, atau memberi anak-anak nama Islam semuanya boleh membawa kepada penahanan atau gangguan (harassment).

Masjid Keriya Aitika, November 2018. Pintu gerbang dan kubahnya telah dimusnahkan, sebagai sebahagian daripada projek pemusnahan masjid oleh China di Turkistan Timur. Gambar: The Guardian/Planet Labs

Serangan terhadap identiti agama dan budaya Uyghur amat ketara melalui pemusnahan sistematik masjid-masjid dan tapak-tapak Islam yang lain. Laporan 2020 oleh Institut Dasar Strategik Australia (ASPI) mendapati bahawa kira-kira 16,000 masjid di Xinjiang (65% daripada jumlah keseluruhan) telah musnah atau rosak akibat dasar-dasar kerajaan ini, kebanyakannya sejak 2017. Beberapa masjid yang masih dibuka dikawal ketat, jemaah perlu mendaftar dan melalui pusat pemeriksaan keselamatan.

Usaha-usaha kerajaan China untuk menghapuskan budaya dan agama Uyghur menjangkau batas bahasa dan pendidikan. Pengajaran bahasa Uyghur telah diharamkan di sekolah dan digantikan dengan bahasa Cina Mandarin. Para intelek, penulis, dan ahli akademik Uyghur telah menjadi sasaran khusus untuk ditahan, dengan berkesan ‘memenggal’ kepimpinan budaya masyarakat.

Mungkin, salah satu aspek paling licik dan jahat dalam kempen China menentang orang Uyghur ialah pemisahan keluarga secara paksa. Bertopengkan “pembasmian kemiskinan” dan “pendidikan,” lebih 900 ribu kanak-kanak Uyghur telah dikeluarkan daripada jagaan keluarga mereka dan ditempatkan di sekolah berasrama penuh kerajaan. Sekolah-sekolah ini berfungsi sebagai tapak indoktrinasi yang hebat, di mana kanak-kanak ini diajar untuk menolak kepercayaan Islam dan identiti Uyghur mereka demi kesetiaan kepada Parti Komunis China.

Dasar kerajaan China di Turkistan Timur melangkaui penindasan budaya dan agama, ia turut melibatkan buruh paksa dan pencegahan kehamilan paksa. Banyak laporan telah mendokumentasikan pemindahan orang Uyghur ke kilang-kilang di seluruh China, di mana mereka terpaksa bekerja di bawah kondisi-kondisi persis perhambaan moden. Sementara itu, kempen pemandulan yang ditaja oleh kerajaan, pengguguran paksa dan pencegahan kehamilan tanpa rela telah menyebabkan penurunan mendadak dalam kadar kelahiran orang Uyghur, yang disifatkan oleh sesetengah pakar sebagai satu bentuk ‘genosid demografi’.

Respon Eropah kepada penindasan China terhadap minoriti Uyghur telah disekat.
Sumber: Politico. John MacDougall/AFP via Getty Image

Diamnya Negara-Negara Bermajoriti Islam

Melihatkan kepada skala dan kedahsyatan penindasan China terhadap Muslim Uyghur, seseorang mungkin menjangkakan kecaman meluas daripada negara-negara majoriti Muslim. Namun, realitinya berbeza. Kebanyakan negara Islam tetap sengaja berdiam diri mengenai Tragedi Uyghur, malah ada yang secara terbuka menyokong dasar-dasar China di Wilayah Uyghur.

Kesenyapan ini digambarkan dengan jelas pada Julai 2019 apabila 22 negara, kebanyakannya negara demokrasi Barat, menandatangani sebuah surat kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang mengecam layanan China terhadap Uyghur. Sebagai tindak balas, 37 buah negara, termasuk kebanyakan negara majoriti Islam seperti Arab Saudi, Pakistan, dan Mesir, menandatangani surat balas memuji rekod hak asasi manusia China dan menyokong dasar-dasarnya (kepada Uyghur) sebagai sebuah langkah counter-terrorism yang berjaya.

Menteri Luar China Wang Yi memberikan ucapan di sidang OIC di Islamabad, 22.3.2022. SumberL AFP/Middleeasteye.net

Sebab-sebab kepada kesenyapan ini adalah kompleks dan meliputi pelbagai aspek, tetapi pertimbangan ekonomi memainkan peranan penting. Inisiatif Jalur dan Jalan China telah menjadikannya sebagai pelabur dan rakan dagang utama bagi kebanyakan negara majoriti Islam. Sebagai contoh, Pakistan, yang berkongsi sempadan dengan Wilayah Uyghur, telah menerima berpuluh bilion dolar dalam pelaburan China di bawah Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC), salah sebuah projek utama BRI. Pakistan telah berada di bawah pengaruh China yang dahsyat.

Pengaruh pelaburan China tidak terhad kepada hubungan bilateral. China juga telah memanfaatkan kuasa ekonominya dalam organisasi-organisasi Islam antarabangsa. Pada 2019, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menerima pakai resolusi yang memuji China kerana “memelihara rakyatnya yang beragama Islam,” satu kenyataan yang sangat bertentangan dengan realiti di wilayah Uyghur. Ketakutan terhadap tindakan balas (retaliation) adalah satu lagi faktor yang menyumbang kepada kesenyapan negara Islam. China telah menunjukkan kesanggupannya untuk menggunakan paksaan ekonomi terhadap negara-negara yang mengkritik rekod hak asasi manusianya. Bagi kebanyakan negara membangun, prospek kehilangan pelaburan China atau menghadapi sekatan perdagangan adalah penghalang yang kuat daripada bersuara.

Lebih-lebih lagi, kebanyakan negara majoriti Islam ini mempunyai isu hak asasi manusia mereka sendiri dan mungkin takut mengkritik China boleh mengundang penelitian terhadap situasi domestik mereka. Terdapat juga tahap penjajaran ideologi, kerana sesetengah rejim autoritarian di dunia Islam mungkin bersimpati dengan emfasis China terhadap keselamatan negara berbanding hak individu.

Mendedahkan Kemunafikan: Retorik vs Realiti

Percanggahan antara pendirian umum China sebagai kawan kepada umat Islam di seluruh dunia dan layanannya terhadap Muslim Uyghur di dalam sempadannya adalah nyata dan tidak dapat dinafikan. Kemunafikan ini terbukti dalam beberapa isu utama:

1.Kebebasan Beragama: Walaupun China mendakwa melindungi kebebasan beragama, realiti sebenar di wilayah Uyghur melibatkan pemusnahan masjid, pengharaman amalan agama, dan penjenakan malah ungkapan asas akidah Islam. Laporan 2020 oleh Institut Dasar Strategik Australia (ASPI), yang mendokumentasikan kemusnahan beribu-ribu masjid, bercanggah langsung dengan tuntutan toleransi agama China.

Sumber: greekcitytimes.com

2.Pemeliharaan Budaya: China sering menampilkan dirinya sebagai pelindung kemajmukan budaya untuk memelihara ketamadunan, termasuk budaya Islam. Walau bagaimanapun, dasar-dasarnya di wilayah Uyghur menghapuskan budaya Uyghur secara sistematik. Pengajaran bahasa Mandarin secara paksa dengan mengorbankan bahasa Uyghur, pemusnahan tapak bersejarah Uyghur, dan penahanan intelektual Uyghur semuanya menghala ke arah dasar genosid budaya dan bukannya pemeliharaan.

3.Counter-terrorism: China menjustifikasikan tindakannya di wilayah Uyghur sebagai langkah memerangi keganasan yang perlu. Bagaimanapun, penahanan beramai-ramai orang awam, termasuk orang tua, wanita dan kanak-kanak, jauh melangkaui sebarang kebimbangan keselamatan yang sah. Jawatankuasa PBB Mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum telah menyatakan bahawa China telah mengubah Xinjiang menjadi “sesuatu yang menyerupai kem tahanan besar-besaran, diselubungi kerahsiaan, semacam zon tanpa hak.”

4.Pembangunan Ekonomi: China sering menggembar-gemburkan pelaburan ekonominya di negara-negara majoriti Islam sebagai bukti persahabatannya dengan Dunia Islam. Walau bagaimanapun, pembangunan ekonomi telah mengorbankan hak dan kebebasan Uyghur di wilayah Uyghur. Penggunaan buruh paksa dalam industri kapas di wilayah Uyghur, yang didokumentasikan oleh pelbagai organisasi hak asasi manusia, mendedahkan sifat eksploitatif dasar ekonomi China di rantau ini.

5.Undang-undang Antarabangsa: Walaupun China menzahirkan dirinya sebagai pembela undang-undang dan kedaulatan antarabangsa dalam urusannya dengan negara-negara Islam, tindakannya di rantau Uyghur melanggar banyak perjanjian hak asasi manusia antarabangsa yang mana China adalah salah sebuah negara penandatangan. Penahanan besar-besaran, pemandulan paksa, dan pemisahan keluarga, semuanya bertentangan dengan norma undang-undang antarabangsa.

6.Kepedulian isu Kemanusiaan: Ungkapan keprihatinan China terhadap umat Islam di arena antarabangsa, dan zon-zon konflik lain sangat bertentangan dengan layanannya terhadap Muslim Uyghur. Pemisahan kanak-kanak Uyghur daripada keluarga mereka dan trauma psikologi yang menimpa mereka di kem tahanan mendedahkan pengabaian terhadap prinsip asas kemanusiaan.

7.Ketelusan: Walaupun China menyeru ketelusan dan tidak campur tangan dalam hal ehwal negara Islam, ia secara konsisten menghalang pemerhati antarabangsa akses tanpa halangan ke wilayah Uyghur. Pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia telah menolak beberapa lawatan yang dirancang rapi yang dibenarkan (China) untuknya sebagai propaganda dan bukannya penyiasatan tulen.

Masyarakat antarabangsa semakin mengiktiraf hipokrisi ini. Pada Januari 2021, Jabatan Negara A.S. mengisytiharkan bahawa tindakan China di wilayah Uyghur merupakan genosid, satu penentuan yang telah didengari oleh beberapa negara lain. Perbezaan antara penilaian ini dan gambaran diri China sebagai pelindung hak-hak Muslim amatlah ketara.

Kolonialisme Penjajah: China memadam Identiti Uyghur

Tindakan kerajaan China di Turkistan Timur mempunyai ciri-ciri penjajahan kolonial, dengan usaha sistematik untuk memadamkan identiti Uyghur. Pemadaman ini dari pelbagai aspek, menyasarkan bahasa, agama, amalan budaya dan landskap fizikal. Salah satu aspek yang paling berbahaya dalam kempen China ialah penindasan bahasa Uyghur. Pada 2017, pihak berkuasa di Wilayah Hotan mengeluarkan arahan melarang penggunaan bahasa Uyghur di sekolah di semua peringkat, sebaliknya mewajibkan bahasa Mandarin. Dalam contoh penghapusan budaya yang sangat mengerikan, pihak berkuasa China telah secara sistematik menukar nama kampung-kampung Uyghur. Sekitar 630 kampung telah mengeluarkan unsur agama, sejarah dan budaya Uyghur daripada nama mereka. Sebagai contoh, “Imam Mazar (Makam Imam)” telah dinamakan semula sebagai “Kampung Kebahagiaan,” dan “Sultan Kirishi (Laluan Sultan)” menjadi “Jalan Harmoni”. Kempen penamaan semula ini berfungsi untuk memutuskan hubungan orang Uyghur daripada akar sejarah dan budaya mereka, menggantikan nama tempat yang bermakna dengan istilah umum yang mencerminkan ideologi Parti Komunis China.

Kanak-kanak Uyghur bermain-main di sebuah kawasan lapang, di mana poster propaganda dipasang menunjukkan tulisan China Han – ‘Perpaduan Bandar Hotan, Lapangan Perpaduan Kampung Baharu’. Sumber: abc. net (AP: Andy Wong)

Sistem pendidikan telah menjadi alat utama dalam usaha China untuk menghapuskan identiti Uyghur. Selain mengharamkan bahasa Uyghur, sekolah telah menjadi tapak indoktrinasi yang dahsyat. Kanak-kanak diajar untuk menolak kepercayaan Islam dan identiti Uyghur mereka demi kesetiaan kepada Parti Komunis China. Pemisahan kanak-kanak Uyghur daripada keluarga mereka dan penempatan di sekolah berasrama penuh kerajaan mempercepatkan lagi proses penghapusan budaya ini.

Pemadaman ini meluas ke landskap fizikal, dengan kemusnahan meluas masjid dan makam-makam, pusat kepada kehidupan agama dan budaya Uyghur. Walaupun China mendakwa melindungi warisan budaya, beribu-ribu masjid di wilayah Uyghur telah musnah atau rosak kerana dasar-dasar kerajaan. Kemusnahan ini secara langsung bercanggah dengan kemasukan unsur budaya Uyghur oleh China dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO dan senarai warisan kebangsaannya.

Satu lagi langkah yang diambil oleh kerajaan China untuk memadamkan identiti Uyghur ialah melaksanakan dasar sistematik penempatan Cina Han di wilayah Uyghur, dengan tumpuan khusus untuk membanyakkan lagi kewujudan Kor Pengeluaran dan Pembinaan Xinjiang (XPCC) dan mewujudkan bahagian pentadbiran baharu. Strategi ini bertujuan untuk mengubah komposisi demografi wilayah dan memadamkan populasi Uyghur.

Parti Komunis China (PKC) telah giat menggalakkan penghijrahan orang Cina Han ke wilayah Uyghur sejak tahun 1950-an. Dasar ini telah mengakibatkan peralihan demografi yang ketara, dengan populasi Han di Xinjiang meningkat daripada hanya 6% pada tahun 1949 kepada 41% menjelang 1990-an. Kerajaan telah menggunakan pelbagai kaedah untuk memberi insentif kepada penghijrahan ini, termasuk insentif ekonomi, pemindahan penduduk melalui tajaan kerajaan, dan apa yang dipanggil sebagai ‘program pembangunan’.

Foto dari 2018 menunjukkan Sekolah Menengah Rendah No. 4 Kashgar Dongcheng, yang merupakan sebahagian daripada kluster sekolah dengan slogan yang berbunyi, ‘Belajar bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian orang Cina untuk meremajakan negara China yang hebat,’ ‘Pembelajaran Baik, Fikiran Baik, Tindakan Baik,’ dan ‘Kejar Pengetahuan,’ di luar Kashgarkir. (Sumber: Independent.co.uk /AP)

Kor Pengeluaran dan Pembinaan Xinjiang (XPCC), juga dikenali sebagai Bingtuan, memainkan peranan penting dalam strategi penempatan ini. XPCC berfungsi sebagai perusahaan milik negara, kerajaan wilayah, dan organisasi separa tentera. Aktivitinya termasuk menguasai kawasan luas wilayah Uyghur untuk penempatan, membina bandar baharu, dan mengejar apa yang dipanggil pembangunan perindustrian.

Baru-baru ini, kerajaan China mengumumkan penubuhan dua daerah baharu di Wilayah Hotan: Daerah He’an dan Daerah Hekang. Langkah ini mempunyai implikasi yang ketara: Meningkatkan tekanan CCP di rantau ini. Berpotensi mengubah hala sumber ke kawasan dengan populasi Han yang lebih tinggi. Memudahkan penempatan lebih ramai orang Cina Han di kawasan tradisi majoriti Uyghur.

Kemunafikan itu lebih jelas dalam layanan China terhadap para intelektual Uyghur. Sambil mendakwa ia menghargai pendidikan dan kepelbagaian budaya, kerajaan China telah menyasarkan ahli akademik dan pemimpin budaya Uyghur. Justifikasi China terhadap tindakan ini sebagai perlu untuk ‘menentang keganasan dan ekstremisme’ adalah sangat munafik. Hukuman keras terhadap intelektual dan pemusnahan tapak budaya tidak mempunyai kaitan dengan kebimbangan keselamatan yang hakiki. Sebaliknya, tindakan ini mendedahkan matlamat sebenar China: untuk menghapuskan identiti budaya Uyghur di bawah samaran memerangi ekstremisme.

Kesimpulan

Perselisihan antara dakwaan umum China tentang kebebasan beragama dan layanannya terhadap Muslim Uyghur adalah salah satu contoh kemunafikan negara yang paling ketara dalam era moden. Percanggahan ini bukan sahaja menjejaskan kredibiliti China di pentas global tetapi juga menimbulkan cabaran besar kepada usaha hak asasi manusia antarabangsa dan solidariti dunia Islam.

Kesenyapan, bahkan keterlibatan kebanyakan negara majoriti Islam dalam menghadapi tindakan China di wilayah Uyghur adalah bukti kuasa paksaan ekonomi dan kerapuhan norma hak asasi manusia antarabangsa apabila berhadapan dengan kepentingan geopolitik dan ekonomi.

Rujukan:

– Human Rights Watch, “Religious Repression in China”, 1998 https://www.hrw.org/legacy/campaigns/china-98/religion.htm

-Arya, Tsewang G “China’s continued violations of religious freedom in China and the occupied regions is a threat to the world peace and stability” Tibet Policy Instite, 2024

https://tibetpolicy.net/chinas-continued-violations-of-religious-freedom-in-china-and-the-occupied-regions-is-a-threat-to-the-world-peace-and-stability

– Rhodes Aaron, Respinti Marco, “Betrayal of China’s Muslims Undermines the Organization of Islamic Cooperation’s Credibility” The Diplomat, 2023

– “Ambassador Ma Xinmin Publishes Article Titled China: Sincere and Close Partner of Islamic Countries on Brown Land” http://sd.china-embassy.gov.cn/eng/dshd/202207/t20220719_10723430.htm

– “Understanding Muslim Countries’ Support for China’s Actions in Xinjiang: A Qualitative-Comparative Analysis” Scielo Brasil, 2023, https://www.scielo.br/j/cint/a/pbksZbS9DgHcDYxmN3W3gpj/

Kashgar Kasım, “Palestinian Leader’s Endorsement of China’s Xinjiang Policy Sparks Backlash” VOA, June 2023

– “Chinese Persecution of the Uyghurs” USHMM, https://www.ushmm.org/genocide-prevention/countries/china/chinese-persecution-of-the-uyghurs

– Gibbon, Kate F. “China 2024: The Smothered Screams of Muslim Genocide” Cultural Property News, 2024 https://culturalpropertynews.org/china-2024-the-smothered-screams-of-muslim-genocide/

– Wani, Ayjaz “China’s Xinjiang Policy and the Silence of Islamic States” Observer Research Foundation, 20221 https://www.orfonline.org/research/chinas-xinjiang-policy-and-the-silence-of-islamic-states

-Latif Aamir, Sajid Islamuddin, “Beijing investing over $400B in 54 Muslim countries, says top Chinese diplomat” Anadolu Agency, 2022, https://www.aa.com.tr/en/asia-pacific/beijing-investing-over-400b-in-54-muslim-countries-says-top-chinese-diplomat/2542772

– Mishra, Abhinandan, “OIC hypocrisy comes to fore amid Uyghur genocide” Sunday Guardian, 2022 https://sundayguardianlive.com/world/oic-hypocrisy-comes-fore-amid-uyghur-genocide

-Abdeleli, Abdulhafidh, “Why Arab and African countries stand with China at the UN” Swissinfo.ch 2023 https://www.swissinfo.ch/eng/business/why-arab-and-african-countries-stand-with-china-at-the-un/47961448

– Aboudouh, Ahmed, “China is fixed on discrediting the US on Gaza War. But this policy lacks credibility and will likely fail.” https://www.atlanticcouncil.org/blogs/menasource/china-gaza-hamas-israel-war/

– Afterman, Gedaliah, Urhova, Dominika, “Is China Becoming a Political Player in the Middle East?” 2024 https://www.thecairoreview.com/essays/is-china-becoming-a-political-player-in-the-middle-east/?doing_wp_cron=1732382729.4896330833435058593750

– “China: Religious Regulations Tighten for Uyghurs” Human Rights Watch, 2024 https://www.hrw.org/news/2024/01/31/china-religious-regulations-tighten-uyghurs

– “Break Their Lineage, Break Their Roots” Human Rights Watch, 2021 https://www.hrw.org/report/2021/04/19/break-their-lineage-break-their-roots/chinas-crimes-against-humanity-targeting

– Sun, Yun “Forecasting China’s strategy in the Middle East over the next four years” Brookings Institute, 2024 https://www.brookings.edu/articles/forecasting-chinas-strategy-in-the-middle-east-over-the-next-four-years/

– “Decision to Ban Uyghur Language in Xinjiang Schools an Attack on the Minority Group’s Linguistic and Cultural Rights” Pen.org, 2017

– Yang, William, “China is erasing Uyghur culture by changing village names, rights group says” VOA, 2024 https://www.voanews.com/a/china-is-erasing-uyghur-culture-by-changing-village-names-rights-group-says/7661730.html

– Harris, Rachel, “Uyghur Religious Heritage under China’s “Anti-Religious Extremism” Campaigns” University of Notre Damme, 2021 https://contendingmodernities.nd.edu/global-currents/uyghur-religious-heritage/

– Kennedy, Helana “Until nothing is left” Sheffield  Hallam Universitly, 2022 https://www.shu.ac.uk/helena-kennedy-centre-international-justice/research-and-projects/all-projects/until-nothing-is-left

– “Two new counties established in Xinjiang” Xinhua, 2024 https://english.www.gov.cn/news/202412/28/content_WS676f56ebc6d0868f4e8ee55e.html

      Navigasi kiriman

      Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

      This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.