• Washington DC
Ikut kami:

Hari Wanita Antarabangsa 8 Mac: Di Mana Wanita Uyghur?

Pada Hari Wanita Antarabangsa ini, kita diingatkan untuk merenung perjuangan dan penderitaan wanita di seluruh dunia, termasuk golongan minoriti yang sering terpinggir – wanita Uyghur di Turkistan Timur/Xinjiang. Dalam suasana yang kian mendesak, penderitaan mereka melalui penahanan paksa, kekerasan seksual, sterilisasi (pemandulan) paksa, penganiayaan agama dan keganasan transnasional telah mencemari prinsip keadilan serta kesamarataan hak asasi manusia.

Kisah Penahanan dan Penindasan

Di Turkistan Timur, pihak berkuasa China telah menubuhkan pusat-pusat tahanan yang direka untuk “mendidik semula” etnik minoriti. Wanita Uyghur terpaksa mengalami penahanan dan melalui proses ‘pendidikan semula’ untuk mencuci otak mereka. Laporan Pusat Kajian Uyghur mendokumentasikan bahawa sistem penahanan ini merupakan usaha sistematik untuk melemahkan identiti budaya dan keagamaan masyarakat Uyghur. Langkah ini dianggap sebagai usaha menghapuskan nilai-nilai tradisional yang telah diwarisi turun-temurun.

Kekerasan Seksual di Dalam Pusat Tahanan

Salah satu bentuk penindasan yang paling mengerikan ialah kekerasan seksual. Pelbagai sumber, termasuk Human Rights Watch dan Amnesty International, serta testimoni mereka yang terselamat daripada kem-kem tahanan ini, telah melaporkan insiden pencabulan yang dilakukan oleh pegawai tahanan dalam pusat-pusat tersebut. Taktik kekerasan ini digunakan untuk meruntuhkan kekuatan mental dan fizikal wanita, sekaligus menjadi senjata untuk menundukkan mereka. Trauma yang diakibatkan oleh kekerasan seksual ini meninggalkan kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan psikologi serta menyumbang kepada perpecahan dalam kalangan komuniti yang sudah pun tertekan.

Gulbahar Haitiwaji, salah seorang mangsa, berkongsi dalam kenyataannya dengan bantuan penterjemah pada sebuah sesi Kongres di Amerika Syarikat bahawa banduan-banduan yang ditangkap bercakap dalam bahasa Uyghur, bahasa yang dilarang, telah ditahan dengan alat yang dikenali sebagai “kerusi harimau” selama hampir 72 jam. Kerusi besi ini melumpuhkan pergerakan tahanan yang tidak dibebaskan sehingga mereka bersumpah untuk tidak bercakap dalam bahasa Uyghur lagi.

Haitiwaji juga menerangkan pada April 2017 bagaimana semua tahanan wanita diikat di katil untuk tempoh yang lama; dia sendiri dirantai selama 20 hari. Selain itu, para tahanan terpaksa menghadiri sesi harian 11 jam untuk mempelajari sejarah dan undang-undang Cina.

Qelbinur Sidik bersama seorang lagi mangsa yang terselamat dari kem konsentrasi China dan beberapa pakar memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pilihan Dewan AS mengenai Parti Komunis China. (YouTube/The Select Committee on the CCP)

Qelbinur Sidik, yang bercakap pada persidangan sama, menerangkan secara terperinci bagaimana dia dihantar ke kem konsentrasi pada Mac 2017, bagaimana pakaian seragam kelabu, kepala banduan yang dicukur dan jeritan yang meresahkan daripada mereka yang diseksa di bilik soal siasat. Dia menggariskan jenis-jenis penyeksaan yang digunakan oleh para pengawal Cina, termasuklah kencing, belantan elektrik, topi helmet, sarung tangan dan “kerusi harimau.” Dia menceritakan situasi yang menyeramkan tentang insiden rogol berkumpulan di mana pengawal menggunakan belantan elektrik untuk penderaan seksual. Selain itu, Qelbinur menyatakan bahawa banduan wanita berumur antara 18 dan 40 tahun disuntik dengan bahan yang tidak dikenali sekali seminggu, yang menyebabkan gangguan haid dan, dalam beberapa kes, penurunan keupayaan untuk menyusukan.

Tursunay Ziyawudun, seorang Uyghur yang menghabiskan masa di kem konsentrasi China, menangis mengimbau pengalamannya itu, di Sidang Kemuncak Kebebasan Beragama Antarabangsa di Washington. (YouTube/International Christian Concern)

Bercakap di Sidang Kemuncak Kebebasan Beragama Antarabangsa, seorang lagi mangsa, Tursunay Ziyawudun, menyatakan ketakutan berterusan yang mereka alami seperti berikut: “Bunyi jeritan dan tangisan sentiasa memenuhi udara; kami takut akan tibanya giliran kami.” Tursunay, bersama wanita Uyghur yang lain, telah mengalami penderaan seksual, sebuah amalan sistematik oleh para pengawal di kem-kem ini.

Tursunay turut menyatakan perkara berikut. “Pada satu ketika, tiga pegawai polis Han, bersama seorang lagi wanita muda, merogol saya di bawah pengawasan seorang lelaki yang memakai baju sut dan bertopeng. Kekejaman seperti itu adalah perkara biasa; wanita kadang-kadang pulang dalam keadaan hampir mati atau tidak pulang sama sekali. “

Sterilisasi Paksa sebagai Alat Pemusnah Identiti

Selain daripada kekerasan seksual, sterilisasi paksa yang dijalankan tanpa persetujuan merupakan satu lagi cara penindasan terhadap wanita Uyghur. Data daripada kajian yang dijalankan oleh Adrian Zenz mendapati bahawa amalan ini dilaksanakan sebagai strategi untuk mengurangkan pertumbuhan populasi Uyghur serta melemahkan kesinambungan budaya mereka. Tindakan ini jelas melanggar hak reproduktif dan merosakkan asas kemanusiaan yang sepatutnya dihormati di seluruh dunia. Dengan menghapuskan kemungkinan penambahan generasi baru, identiti etnik ini lama kelamaan akan musnah.

Penganiayaan Agama terhadap Wanita Uyghur

Selain daripada penindasan fizikal, wanita Uyghur juga menghadapi penganiayaan agama yang sistematik. Di bawah kawalan CCP, amalan keagamaan seperti solat, puasa, dan pemakaian simbol-simbol keagamaan telah dibataskan atau diawasi dengan ketat. Wanita yang tampil menonjolkan identiti keagamaan, contohnya melalui pemakaian hijab atau membawa lambang keagamaan, sering menjadi sasaran diskriminasi serta penahanan. Pengawasan ketat dan campur tangan dalam urusan keagamaan ini tidak hanya merosakkan keyakinan peribadi, tetapi turut mengikis warisan budaya dan identiti komuniti Uyghur. Laporan Pusat Kajian Uyghur, kajian Khaled Beydoun, Ali Caksu, Nawroos Shibli, Brown Journal, dan pelbagai lagi menegaskan bahawa penganiayaan agama terhadap wanita Uyghur merupakan realiti yang mencemaskan dan memerlukan perhatian segera dari masyarakat antarabangsa.

Kes Individu sebagai Simbol Perjuangan

Beberapa individu telah menjadi simbol keberanian dalam menghadapi penindasan ini. Wanita seperti Rahile Dawut, Gulshan Abbas, dan Kamile Kayit telah menjadi mangsa penahanan tanpa keadilan. Kehilangan mereka bukan sahaja merupakan kehilangan besar bagi komuniti, malah turut menjadi seruan kepada dunia untuk mendedahkan realiti gelap di sebalik sistem penahanan paksa di Turkistan Timur. Kes-kes ini adalah sebahagian daripada usaha sistematik untuk memecahbelahkan dan menindas suara perlawanan dalam kalangan wanita Uyghur.

Dokumentari ‘In Search of My Sister‘ mendokumentasikan usaha Rushan Abbas, aktivis Uyghur yang hidup di Amerika, untuk menjejak kakaknya Gulshan Abbas yang ditahan China tanpa alasan yang jelas.

Prof. Rahile Dawut, yang ditahan sejak 2017 oleh China, diberikan gelaran Profesor Kehormat oleh OSUN. Beliau seorang pakar dalam kajian folklore dan etnografi Uyghur, dan telah menerbitkan beberapa penulisan khusus berkenaan mazar/makam-makam suci dan amalan menziarahi makam-makam ini oleh komuniti Uyghur dan Turk lain di Asia Tengah. Beliau ditahan kerana kedudukannya sebagai ilmuan Uyghur yang memiliki pengetahuan yang jelas berkenaan sejarah dan identiti Uyghur yang cuba dihapuskan China.

Keganasan Transnasional dan Ancaman Global

Penindasan terhadap wanita Uyghur tidak terhad kepada sempadan Turkistan Timur sahaja. Wanita-wanita Uyghur yang berada di luar negara turut menghadapi tekanan dan intimidasi melalui rangkaian diplomatik serta keselamatan yang dikendalikan oleh CCP. Tindakan ini menunjukkan bahawa penindasan tidak semata-mata berlaku dalam sempadan fizikal, malah melibatkan pengawasan dan intimidasi berskala global. Ancaman transnasional ini mengingatkan kita bahawa perjuangan untuk keadilan dan hak asasi manusia mestilah menjadi agenda bersama di peringkat antarabangsa.

Salah satu daripada bentuk keganasan transnasional China kepada diaspora Uyghur ialah dengan memeras-ugut mereka, memaksa mereka menjadi mata-mata kepada komuniti diaspora Uyghur. Laporan Safeguard Defenders ini merupakan salah satu laporan komprehensif berkenaan isu ini, sementara pelbagai lagi testimoni persendirian di luar dokumentasi mengiyakan maklumat yang ada dalam laporan ini.

Panggilan untuk Tindakan pada Hari Wanita Antarabangsa

Pada Hari Wanita Antarabangsa ini, adalah amat penting bagi komuniti global untuk mengangkat suara wanita Uyghur dan menuntut keadilan. Penderitaan wanita Uyghur merupakan isu kemanusiaan yang mendesak kepada tindakan segera.

Komuniti antarabangsa perlu memberikan tekanan melalui penguatkuasaan sanksi dan intervensi diplomatik untuk menghentikan segala bentuk penindasan ini. Hari Wanita Antarabangsa sepatutnya menjadi momentum untuk mengingatkan kita bahawa hak asasi wanita adalah hak asasi manusia – tanpa mengira bangsa, etnik atau latar belakang. Dengan bersatu, kita boleh memastikan bahawa suara-suara yang terpinggir, seperti wanita Uyghur, tidak lagi disisihkan dan akhirnya memperoleh keadilan yang selayaknya mereka terima.

***

Disediakan oleh,

Unit Kajian, Pusat Kajian Uyghur – Malaysia.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.