Oleh Abdulhakim Idris.
Turkistan Timur (juga dikenali sebagai Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang), ialah tanah air asal orang Uyghur dan bangsa Turk lain, yang kebanyakannya beragama Islam. Sejak tahun 1949, ia telah berada di bawah penjajahan Cina. Sejak penjajahannya, pihak berkuasa China telah cuba memadamkan identiti budaya dan agama Uyghur dan Muslim Turk yang lain. Kawasan ini penting kerana ia menghubungkan Asia dan Eropah serta mempunyai sumber semula jadi yang berharga seperti mineral dan tanah yang subur. China mahu menyerap Turkistan Timur ke dalam budayanya dan menghapuskan identiti Uyghur.
Sejak bertahun-tahun lamanya, para pemimpin China, seperti Mao Zedong, telah mencuba pelbagai cara untuk menjadikan Uyghur mirip seperti orang Cina Han. Mereka menggalakkan orang Cina Han untuk berpindah ke Turkistan Timur, mengubah bentuk demografi penduduk. Kerajaan juga mengawal pendidikan, mempromosikan idea komunis Cina dan mematikan bahasa dan adat resam Uyghur. Sejak 2017, pihak berkuasa China telah membina apa yang mereka panggil sebagai “pusat pendidikan semula”.
Banyak fasiliti sedemikian telah dibina di seluruh Turkistan Timur dan telah disifatkan secara rasmi oleh kerajaan China sebagai ‘pusat latihan vokasional’. Bagaimanapun, laporan daripada mereka yang terselamat dari kem ini memberi gambaran berbeza, menunjukkan bahawa niat di sebalik institusi ini adalah untuk menindas kepercayaan agama dan identiti etnik Uyghur secara paksa. Terutama sekali apabila golongan intelek dan pemimpin masyarakat adalah antara yang pertama ditahan.
Testimoni daripada mangsa yang terselamat, laporan media bebas dan dokumen pegawai kerajaan China yang bocor menunjukkan bahawa tahanan dipaksa untuk melepaskan identiti mereka dan berjanji setia kepada Parti Komunis China dan pemimpinnya, sekiranya menentang maka bakal menerima hukuman berat. Mangsa paling tragis di kem ini adalah wanita, dengan laporan penderaan seksual dan rogol oleh pengawal-pengawal kem ini. Selain itu, terdapat dakwaan yang membimbangkan mengenai penuaian organ daripada tahanan Uyghur.
Kehidupan di luar pusat adalah sama saja, tak lebih baik. Uyghur berdepan sekatan terhadap amalan agama mereka dan juga komunikasi asas dengan ahli keluarga. Para pegawai China juga cuba menjadikan Uyghur hidup seperti orang Cina Han. Mereka telah menempatkan orang Cina Han di rumah Uyghur untuk mengawasi mereka dan menghalang mereka daripada mengamalkan agama mereka. Ini telah menyukarkan hidup ramai orang Uyghur, yang sentiasa diawasi dan dikawal.
Sesetengah pula telah menjalani apa yang dipanggil sebagai ‘indoktrinasi’ di pusat-pusat ini, mereka telah berdepan perbicaraan dalam apa yang bangunan yang dipanggil sebagai ‘mahkamah’, yang membawa kepada pemenjaraan atau kerja paksa di kilang-kilang China.
Tuduhan pencabulan hak asasi manusia turut menyenaraikan pemandulan paksa wanita Uyghur bertujuan untuk mengurangkan pertumbuhan penduduk di Turkistan Timur. Penurunan kadar kelahiran yang dilaporkan sebanyak lebih 80 peratus pada tahun-tahun lepas adalah disebabkan oleh dasar dan amalan tersebut.
Satu pihak lagi yang menjadi mangsa Genosid Uyghur ialah kanak-kanak Uyghur yang telah dipisahkan daripada keluarga mereka. Dianggarkan hampir sejuta kanak-kanak Uyghur telah ditempatkan di rumah anak yatim dan sekolah berasrama penuh negeri. Matlamatnya, seperti yang dilaporkan, adalah untuk memutuskan hubungan mereka dengan identiti Uyghur mereka dan membesarkan mereka sebagai warganegara yang setia kepada PKC.
Tambahan pula, orang Uyghur di diaspora tidak dapat berkomunikasi dengan keluarga mereka di Turkistan Timur sejak 2017, kerana komunikasi dengan orang di luar negara digunakan sebagai sebab untuk menahan orang Uyghur.
Pemadaman budaya juga berlarutan ke peringkat pemusnahan masjid. Sejak 2017, kira-kira 16,000 masjid telah dirosakkan, dirobohkan sepenuhnya, atau ditukar menjadi restoran dan bar. Dengan menyasarkan tempat-tempat ibadat, PKC berhasrat untuk memadamkan jejak tamadun Islam di Turkistan Timur.
Merenungkan perkara ini, menimbulkan persoalan ‘Mengapa PKC melakukan ini kepada orang Uyghur?’ Motivasi di sebalik dasar genosid PKC boleh dipertimbangkan dari dua sudut: (1) ketamakan untuk mengintegrasikan Turkistan Timur ke dalam negara komunis China yang lebih luas, dan (2) mengejar kepentingan ekonomi dan diplomatik Parti Komunis China.
Dari segi ekonomi, Turkistan Timur penting kepada China kerana sumber dan lokasinya yang strategik. China mahu mengawal rantau itu untuk mengeksploitasi ekonominya. Dasar-dasar Presiden Xi Jinping, seperti Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), bertujuan untuk meningkatkan pengaruh China di peringkat global. Walau bagaimanapun, projek ini sering memberi lebih manfaat kepada China berbanding daripada negara yang sepatutnya dibantu mereka.
China mahu menguasai ekonomi global, dan Turkistan Timur adalah kunci kepada rancangan itu. Inilah sebabnya mereka cuba memadamkan budaya Uyghur. Banyak negara dan organisasi telah mengingatkan China tentang tindakannya dan dasarnya yang jahat, akan tetapi masih lebih banyak yang perlu dilakukan. Orang ramai boleh membantu dengan mempelajari situasi tersebut, menyebarkan kesedaran dan memboikot produk yang dibuat hasil daripada buruh paksa.
Xi Jinping memegang tampuk pemerintahan China menandakan tempoh yang penting dalam konteks ini. Kepimpinannya telah memperkenalkan projek kolonial, seperti Inisiatif Jalur dan Jalan yang dilancarkan pada 2013, yang sering dipersembahkan sebagai usaha memupuk pembangunan ekonomi dan sosial di seluruh dunia. Namun, faedah sebenar BRI masih boleh didebatkan. Walaupun inisiatif itu telah melibatkan banyak negara, penerima utama manfaatnya nampaknya adalah kepentingan negara China, memandangkan hanya syarikat-syarikat Chinalah yang sering menjalankan projek, menyediakan pembiayaan, dan membekalkan tenaga buruh.
Impak BRI meluas ke seluruh Afrika dan Timur Tengah, kawasan yang strategik untuk akses China kepada sumber dan peluang pelaburan. Skala besar projek ini dan pelaburan di Dunia Islam telah digarisbawahkan oleh para pegawai China, dengan menyebut angka dan bilangan wang secara terang-terangan. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai beban hutang yang boleh dikenakan oleh projek ini ke atas negara tuan rumah, seperti yang dibuktikan oleh beberapa situasi seperti Sri Lanka. Tambahan pula, operasi BRI dan implikasi jangka panjang sedang diteliti di serata negara-negara Afrika.
Turkistan Timur amat diperlukan untuk BRI, yang akan menjadikan China kuasa ekonomi terbesar di dunia. Hakikat bahawa tanah air orang Uyghur terletak dalam kedudukan yang menghubungkan China ke Asia Tengah dan Timur Tengah adalah salah satu sebab terpenting bagi kerajaan Beijing untuk mencinakan (sinicize) Turkistan Timur. Empat daripada enam koridor perdagangan utama di bawah BRI melalui Turkistan Timur dan bersambung ke wilayah lain. Kashgar, salah satu bandar bersejarah di Turkistan Timur, bersebelahan dengan Pakistan, di mana pelaburan terbesar dibuat dalam skop BRI. Zon komersial khas telah diwujudkan di situ. Perlu diperhatikan bahawa setahun selepas pengumuman BRI pada tahun 2013, kem tahanan dibina di Turkistan Timur. Sejak 2017, apabila projek BRI dipercepatkan, berjuta-juta orang Uyghur telah dihantar ke kem tahanan.
Jenayah yang dilakukan oleh rejim Komunis China terhadap kemanusiaan ini, bertentangan dengan demokrasi, hak asasi manusia dan nilai sejagat, mengundang tindakbalas pendapat umum warga antarabangsa. Setakat ini, 12 buah negara telah mengiktiraf dasar PKC di Turkistan Timur sebagai genosid dan atau jenayah terhadap kemanusiaan. Amerika Syarikat adalah kerajaan pertama di dunia yang mengiktiraf Genosid Uyghur, apabila Setiausaha Mike Pompeo mengisytiharkan jenayah China terhadap Uyghur sebagai Genosid pada Januari 2021. Dalam laporan Ogos 2022, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB mendedahkan bahawa “China berkemungkinan besar telah melakukan jenayah antarabangsa termasuk jenayah kemanusiaan terhadap Uyghur”. Tribunal Uyghur, sebuah tribunal rakyat yang bebas di London telah mengiktiraf bahawa China telah melakukan jenayah genosid pada tahun 2022.
Sehubungan itu, sikap berdiam diri banyak negara Islam dalam isu ini sebenarnya merunsingkan. Dunia Islam, yang berada di bawah pengaruh ekonomi, diplomatik dan politik China, dipengaruhi oleh maklumat palsu oleh kerajaan Beijing. Hasil daripada maklumat palsu ini dan pengaruh strategik dan ekonomi China ke atas Dunia Islam, kebanyakan negara majoriti Islam telah berdiam diri dan menyokong China dalam isu Genosid Uyghur.
Akhir sekali, perlu diingatkan bahawa keputusasaan bukanlah satu pilihan. Silakan layari Uyghurstudy.org, didik diri anda dan orang lain, bersuaralah untuk orang Uyghur, dan tingkatkanlah kesedaran tentang situasi sebenar mereka. Salah satu cara paling berkesan untuk menentang Genosid Uyghur adalah dengan memboikot produk yang tercemar dengan jenayah buruh paksa Uyghur.
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara