• Washington DC
Ikut kami:

Derita Uyghur: 2014-2024

Untuk sebaran

Pusat Kajian Uyghur

17.10.2024

Sejak 2014, Parti Komunis China (PKC) telah melancarkan dasar-dasar yang bertujuan untuk menghapuskan budaya, agama dan identiti etnik Uyghur di Turkistan Timur. Pada 2017, pihak berkuasa China melancarkan kempen “Strike Hard”, menahan berjuta-juta orang Uyghur dan orang Turk yang lain berlapikkan pelbagai alasan di kem tahanan di mana mereka terpaksa menanggalkan kepercayaan dan identiti budaya mereka, dan seterusnya menerima indoktrinasi politik PKC. Laporan daripada media antarabangsa dan testimoni mangsa yang terselamat telah mendokumentasikan bentuk manipulasi yang meluas, penyeksaan, penderaan seksual, dan bentuk eksploitasi lain yang direkacipta untuk memusnahkan kekuatan fizikal dan mental mereka. Pihak berkuasa China juga telah melaksanakan langkah kawalan kelahiran dan pemandulan paksa ke atas wanita Uyghur untuk menyekat pertumbuhan orang Uyghur. Ramai anak-anak muda Uyghur telah dipindahkan ke wilayah dalam China (Inner-China) untuk bekerja sebagai buruh paksa di kilang-kilangnya.

Lebih-lebih lagi, PKC telah menyasarkan untuk menghapuskan Islam daripada kehidupan orang Uyghur. China menjenayahkan semua amalan Islam dan menggunakannya sebagai alasan untuk menahan orang Uyghur. Terkini, laporan Human Rights Watch pada Januari 2024 menyatakan bahawa “peraturan semakan China di wilayah Xinjiang mengetatkan kawalan ke atas amalan agama Muslim Uyghur dan merupakan percubaan terbaru untuk menindas budaya dan ideologi Uyghur.” Melihat kepada skala penindasan China terhadap Islam, dapatlah disimpulkan dengan yakin dan pasti bahawa China sedang melancarkan perang terhadap Islam di Turkistan Timur.

Apabila laporan demi laporan mengenai tahanan beramai-ramai di Turkistan Timur disiarkan pada tahun 2017, warga Uyghur, para penyelidik, para wartawan dan pelbagai organisasi hak asasi manusia antarabangsa telah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menumpukan perhatian kepada kekejaman China terhadap Uyghur dan meminta China bertanggungjawab terhadapnya di pentas antarabangsa. Sejak beberapa tahun lalu, perjuangan untuk menghentikan penganiayaan besar-besaran China terhadap Uyghur telah membawa kepada hasil yang bermakna dan meningkatkan kesedaran yang ketara di seluruh dunia. Setakat ini, lebih daripada 10 buah negara Barat telah mengiktiraf kekejaman China terhadap Uyghur sebagai “genosid” dan/atau “jenayah terhadap kemanusiaan.”

Tahun ini, 2024, menandakan sepuluh tahun sejak China melancarkan dasar genosid rasmi terhadap orang Uyghur seawal 2014. Sepanjang dekad ini, orang Uyghur telah mengalami pencabulan hak asasi manusia yang paling teruk sejak Perang Dunia II; termasuk tetapi tidak terhad kepada – penahanan berjuta-juta orang Uyghur tanpa sebab munasabah, pemisahan ahli keluarga secara paksa, pemandulan paksa, perkahwinan paksa, buruh paksa, sekatan ke atas bahasa dan budaya Uyghur, penjenayahan amalan agama, dan pemusnahan rumah-rumah tradisional Uyghur, masjid, dan kawasan perkuburan Islam, dll. Buku ini menawarkan kepada pembaca gambaran ringkas mengenai pelbagai aspek Genosid Uyghur dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu.

Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Uyghur, Tn. Abdulhakim Idris berkata, “Dekad yang lalu telah menyaksikan peningkatan yang membimbangkan berkenaan penganiayaan terhadap orang Uyghur, yang ditandakan dengan penahanan beramai-ramai orang Uyghur, dan indoktrinasi politik terhadap jutaan Uyghur, pemandulan paksa wanita Uyghur, pemusnahan keluarga Uyghur, penindasan sistemik terhadap budaya mereka, dan bagaimana rejim ini telah melancarkan perang terhadap Islam. Organisasi kami komited untuk terus memberikan penerangan dan penjelasan mengenai genosid yang dilakukan China dan perang terhadap Islam di Turkistan Timur, dan memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasan beragama orang Uyghur. Kami berharap buku ini menjadi sebagai sumber penting dalam meningkatkan kesedaran dan dalam usaha mendapatkan sokongan untuk menghentikan genosid yang berterusan ini.”

Buku ini telah diterjemahkan dan diterbitkan ke dalam bahasa melayu dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Buku penuh boleh dibaca dan dimuat-turun di sini:

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.