Oleh: Abdulhakim Idris.
-Bagaimana rampasan China terhadap kekayaan orang Uyghur telah menjerumuskan orang Uyghur ke dalam kancah kemiskinan?-
Dasar genosid yang dilaksanakan oleh Parti Komunis China (PKC) di Xinjiang/Turkistan Timur masih diteruskan dengan segala jenis keganasannya. Dasar genosid ini dirasai dalam setiap aspek kehidupan, bermula daripada pengurungan orang Uyghur di kem-kem tahanan, hinggalah ke pemandulan paksa, daripada merogol para wanitanya hinggalah pengasingan kanak-kanak daripada keluarga mereka.
Salah satu dimensi penting dalam genosid Uyghur ini ialah rampasan aset orang Uyghur dan kaitannya dengan kadar kemiskinan mereka. Rampasan sistematik kekayaan orang Uyghur di wilayah Uyghur bukan setakat sebuah strategi moden tetapi sebuah kaedah pengawalan dan penindasan yang telah lama wujud dengan akar yang mendalam dalam dasar-dasar China sejak pertengahan abad ke-20. Apa yang pernah bermula dengan ‘pembaharuan polisi tanah’ di kebun-kebun dan ladang-ladang orang Uyghur telah melarat menjadi sebuah kempen anjakan ekonomi yang menyeluruh, di mana aset perniagaan dan harta orang Uyghur kerap dirampas dan dilelong secara berselindung di bawah kedok ‘melawan keganasan’ atau ‘pemodenan’.
Di sebalik projek rampasan harta yang berterusan ini ialah rancangan yang lebih luas untuk melemahkan kewujudan orang Uyghur, menghakis asas ekonomi mereka, dan membentuk semula wilayah untuk penguasaan penjajah China Han. Tulisan ini akan meneroka asal usul sejarah, kaedah dan kesan daripada usaha tanpa henti daripada China untuk merenggut kekayaan daripada orang Uyghur’ daripada dusun nenek moyang hingga blok-blok lelongan pada hari ini.
***
Berikutan daripada penubuhan Republik Rakyat China pada tahun 1949, PKC memulakan dasar pembaharuan polisi tanah yang sangat keras dan dahsyat di wilayah-wilayah seperti Xinjiang (Turkistan Timur). Kerajaan mengklasifikasikan kebanyakan pemilik tanah ladang Uyghur sebagai “tuan tanah (landlords)” dan dengan itu, merampas tanah, rumah, dan harta benda mereka. Apa yang dipanggil dasar pembaharuan polisi tanah ini sangat dipolitikkan dan mengakibatkan rampasan harta benda tanpa berbelah bahagi daripada keluarga-keluarga Uyghur, terutamanya di kawasan pertanian seperti Kashgar.
Kekejaman yang dilakukan oleh PKC semasa pembaharuan polisi tanah ini telah mencapai kadar yang luar biasa. Dilaporkan bahawa jumlah mangsa yang terbunuh semasa pembaharuan polisi tanah di seluruh China, termasuklah tanah Uyghur, telah melebihi satu juta nyawa. Menurut satu kajian, keluarga yang memiliki walau seperiuk gula atau seekor kerbau untuk membajak sawah dilaporkan kepada pihak berkuasa agar harta-harta mereka ini boleh dirampas. Oleh itu, di beberapa bahagian di China, dasar pembaharuan tanah telah dilaksanakan sepenuhnya secara sewenang-wenangnya dan di luar kawalan, ke tahap di mana petani-petani yang tidak bersalah pun menjadi mangsa kepada mentaliti samseng (mob mentality) tanpa berbelah bahagi.
Sepanjang dekad-dekad berikutnya, dasar penindasan Parti Komunis China terus menghakis kesejahteraan ekonomi orang Uyghur. Revolusi Kebudayaan, yang bermula pada tahun 1966 dan berlangsung selama sedekad, menyaksikan serangan selanjutnya terhadap para pemilik harta dan para intelektual Uyghur. Manakala tahun 1980-an dan 1990-an membawa gelombang penghijrahan Cina Han yang mula mengubah landskap demografi dan ekonomi di kawasan itu.
Selepas Xi Jinping memegang tampuk pemerintahan China pada 2012, penindasan di tanah air Uyghur telah dipergiatkan. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya pada tahun 2014, dia melancarkan “Kempen Strike Hard.” Sejak ia diperkenalkan, rampasan aset-aset orang Uyghur telah naik secara mendadak. Sebaliknya, Xi Jinping mengumumkan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) pada 2013. Walaupun projek-projek yang melangkaui dari China ke Eropah dan Afrika berada dalam agenda, Parti Komunis China mendakwa bahawa ia bertujuan untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang sama rata di seluruh dunia. Xi memberi mesej bahawa China akan membasmi kemiskinan di seluruh dunia pada setiap peluang yang diberikan.
Walau bagaimanapun, apabila berkaitan dengan orang Uyghur, pembangunan yang dipanggil ‘sama rata’ ini tiba-tiba hilang begitu saja. Sebaliknya, kerajaan China telah melaksanakan dasar-dasar yang menindas dengan berselindung di sebalik usaha ‘memerangi apa yang dipanggilnya sebagai ‘ekstremisme’. Kerajaan Beijing menggunakan pelbagai kaedah untuk merampas aset-aset orang Uyghur dengan berselindung dalam usaha ‘memerangi keganasan, pembangunan ekonomi atau inisiatif pemodenan‘. Salah satu strategi yang paling biasa dilakukannya ialah rampasan tanah, di mana kawasan besar tanah pertanian diambil daripada petani Uyghur untuk pembangunan perindustrian, projek pengekstrakan sumber-sumber tanah, atau pengagihan semula kepada peneroka China Han. Pampasan yang diberikan kepada orang Uyghur yang asetnya telah dirampas selalunya jauh di bawah nilai pasaran, dan tidak mencukupi untuk orang Uyghur mengekalkan taraf hidup mereka seperti sebelumnya. Kehilangan tanah subur yang pernah menjadi milik orang Uyghur merupakan sebuah kejejasan sumber kewangan yang ketara dan memutuskan hubungan orang Uyghur dengan tanah leluhur mereka.
Melihatkan kepada kaedah rampasan Parti Komunis China; rampasan perniagaan, terutamanya dalam sektor seperti pertanian, tekstil, dan pelancongan, juga sudah menjadi satu kebiasaan. Perniagaan milik orang Uyghur dipindahmilikkan secara paksa kepada pemilikan negara atau pengurusan orang China Han. Rampasan-rampasan ini selalunya dilakukan dengan alasan -yang dipanggilnya- ‘siasatan antikeganasan’ atau ‘dakwaan penyelewengan kewangan’ sedangkan tiada sebarang bukti. Ramai pemilik perniagaan Uyghur telah ditahan di kem tahanan, dan aset-aset mereka telah dibekukan atau dirampas semasa ketiadaan mereka.
Satu lagi cara aset-aset orang Uyghur dialihkan adalah melalui apa yang dipanggil program pembaharuan bandar. Sebagai contoh, projek pembaharuan bandar telah mengakibatkan perobohan kawasan kejiranan tradisional Uyghur di bandar seperti Kashgar, Hotan dan Urumchi. Para penduduk sering dipindahkan ke blok pangsapuri moden yang terletak jauh daripada komuniti mereka dan sumber mata pencarian sebelumnya. Perpindahan ini mengganggu rangkaian sosial dan corak ekonomi yang telah mengekalkan komuniti Uyghur selama beberapa generasi lamanya.
Alat lain yang sering digunakan oleh pihak berkuasa ialah pembekuan aset. Akaun-akaun bank dan harta orang Uyghur yang dituduh melakukan apa yang dipanggilnya “ekstremisme” atau “separatisme” biasanya dibekukan, menyebabkan keluarga mereka hidup melarat. Malah orang Uyghur yang tidak dituduh melakukan jenayah sama sekalipun aset mereka dibekukan jika mereka mengesyaki ahli keluarganya terlibat dengan kegiatan demikian. Selain aset kewangan, benda-benda yang mempunyai kepentingan budaya dan sejarah, termasuk karya seni, manuskrip dan artifak keagamaan, telah dirampas daripada keluarga dan institusi Uyghur. Ini bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, tetapi juga penghapusan warisan budaya Uyghur.
Rampasan kekayaan orang Uyghur mempunyai pelbagai objektif untuk Parti Komunis China yang melakukan genosid ini. Pertama, kerajaan sedang melemahkan asas ekonomi masyarakat Uyghur, menjadikan mereka lebih bergantung kepada sokongan negara dan pekerjaan, dan dengan itu meningkatkan tekanan ke atas individu dan masyarakat. Rampasan aset orang Uyghur juga memudahkan pemindahan sumber-sumber ini kepada peneroka Cina Han dan syarikat-syarikat milik kerajaan, menyokong usaha kerajaan untuk mengubah keseimbangan demografi dan ekonomi wilayah itu.
Selain itu, pemindahan orang Uyghur daripada kawasan kejiranan tradisional kepada kompleks perumahan moden yang mudah dipantau mengakibatkan peningkatan kadar pengawasan dan kawalan ke atas komuniti Uyghur; tindakan yang melanggar hak asasi manusia. Dengan memisahkan Uyghur daripada aktiviti ekonomi tradisional dan ruang kediaman mereka, kerajaan berhasrat untuk menghapuskan asas materi budaya dan identiti Uyghur. Rampasan aset juga berfungsi sebagai alat yang berkuasa untuk menghukum mereka yang tidak menunjukkan kesetiaan mereka kepada Parti Komunis China dan untuk menghalang orang lain daripada menentang dasar kerajaan.
Rampasan sistematik aset Uyghur telah membawa kepada sesaran ekonomi (economic displacement) dan marginalisasi yang meluas. Ramai orang Uyghur telah dipaksa berpindah daripada cara hidup pertanian sara diri atau perniagaan kecil kepada cara hidup buruh bergaji rendah atau kepada pengangguran. Penindasan ekonomi ini berfungsi sebagai alat kawalan dan asimilasi yang berkuasa, menjadikannya semakin sukar bagi orang Uyghur untuk mengekalkan cara hidup tradisional mereka atau mencapai kemandirian ekonomi.
Kehilangan mata pencarian dalam sektor pertanian telah menjadi salah satu impak yang paling dahsyat daripada hal ini. Memandangkan tanah ladang telah ditukar untuk kegunaan industri atau dirampas untuk projek pertanian yang dikendalikan kerajaan, ramai petani Uyghur telah kehilangan sumber pendapatan utama mereka. Pembangunan ekonomi telah tertumpu di bandar-bandar, menyisihkan komuniti Uyghur di luar bandar. Projek pembaharuan bandar sering mendorong Uyghur ke pinggir bandar, jauh daripada peluang dan sumber ekonomi. Diskriminasi yang memihak kepada orang Cina Han dalam pengambilan pekerja juga berleluasa di wilayah Uyghur. Orang Uyghur menghadapi diskriminasi yang meluas dalam pengambilan pekerja, terutamanya untuk pekerjaan bergaji tinggi dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan yang semakin giat bergerak. Banyak iklanpekerjaan secara jelas menyatakan keutamaan untuk pemohon Cina Han atau memerlukan kefasihan dalam bahasa Mandarin, hal ini secara berkesan mengecualikan kebanyakan orang Uyghur daripada peluang pekerjaan itu.
**
-Hartanah “penentang” Uyghur dilelong di Taobao dan berakhir di tangan orang Cina Han.-
Proses kehakiman bagi lelongan hartanah orang Uyghur juga merupakan salah satu kesan pahit daripada Genosid Uyghur. Ia bermula dengan penangkapan dan pemenjaraan ahli perniagaan Uyghur, selalunya atas alasan yang dipanggil “keganasan” atau “ekstremisme”. Penangkapan ini biasanya dilakukan dengan proses yang singkat atau tanpa ketelusan sama sekali. Berikutan penahanan ini, pihak berkuasa China akan merampas aset-aset orang Uyghur yang dipenjarakan. Aset ini termasuk hartanah, perniagaan, saham syarikat dan harta peribadinya. Mahkamah China kemudian mengeluarkan perintah supaya aset-aset yang dirampas ini dilelong. Perintah mahkamah ini selalunya merupakan satu-satunya dokumentasi rasmi bagi penangkapan dan rampasan aset-aset ini.
Harta yang dirampas kemudiannya disenaraikan di bahagian lelongan rasmi kehakiman di Taobao, platform e-dagang yang dimiliki oleh Alibaba Group. Taobao telah digunakan oleh sistem kehakiman China sejak 2012 untuk melelong hartanah yang disita dalam kes jenayah dan melelong hartanah yang menjadi cagaran untuk pinjaman tertunggak. Apabila hartanah dilelong di Taobao, bakal pembeli boleh membida aset daripada peralatan rumah hingga hartanah yang bernilai jutaan dolar. Setelah lelongan selesai, harta itu dipindahkan kepada pembida tertinggi. Hasil daripada jualan ini selalunya disalurkan kepada Parti Komunis China dan bukannya kepada keluarga Uyghur yang dipenjarakan.
Satu contoh yang disebut dalam laporan mengenai isu ini ialah Abduljelil Helil, seorang pemaju hartanah Uyghur yang terkenal di Kashgar. Dia ditangkap pada 2017 kerana didakwa “membantu aktiviti pengganas.” Berikutan penahanannya, beberapa hartanah milik syarikatnya dilelong di Taobao. Salah satu daripada hartanah ini ialah bangunan 17 tingkat di Kashgar, yang dijual pada 2021 dengan harga 750 juta yuan (kira-kira $116 juta). Selain itu ialah kes Akbar Imin, seorang ahli perniagaan kaya dari Hotan yang ditahan pada 2018 kerana didakwa melakukan haji tanpa kebenaran kerajaan. Berikutan penahanannya, asetnya dirampas dan dilelong, termasuk harta berharga di Urumchi yang dijual di Taobao dengan harga 23 juta yuan (kira-kira $3.6 juta).
Begitu juga, seorang lagi ahli perniagaan Uyghur, Rozi Haji Hemdul, telah ditangkap dengan cara tidak benar pada 2017. Berikutan penahanannya, asetnya dirampas dan dilelong di Taobao; sebuah bangunan komersial yang besar di Urumchi telah dijual dengan harga lebih 100 juta yuan (kira-kira $15.5 juta). Laporan UHRP juga mendedahkan kes individu Uyghur yang tidak dilaporkan sebelum ini yang hartanya dilelong di Hotan. Penyenaraian lelongan di Taobao termasuk di bawah perintah mahkamah yang menyatakan bahawa individu itu telah dipenjarakan kerana “membantu aktiviti pengganas.” Hartanah yang dilelong ialah bangunan kediaman bernilai berjuta-juta yuan. Dalam kes lain, laporan itu menemui bukti lelongan hartanah yang dikaitkan dengan sebilangan ahli keluarga yang dalam keluarga sama. Tiga orang daripadanya, berumur 75 tahun ke atas, dituduh didakwa “membantu aktiviti pengganas.” Hartanah keluarga yang dikongsi, termasuk tanah ladang dan rumah-rumah kediaman, telah dilelong di Taobao.
Sejak 2019, mahkamah-mahkamah di wilayah Uyghur telah melelong sekurang-kurangnya 150 buah aset di tapak e-dagang, daripada peralatan dan kelengkapan rumah hingga hartanah dan saham syarikat, yang dimiliki sekurang-kurangnya 21 individu dan bernilai $84.8 juta. Di tengah-tengah kempen kerajaan berskala besar untuk mengasimilasikan masyarakat Uyghur dan masyarakat Islam Turk yang lain, aset berpuluh juta dolar milik pemilik perniagaan Uyghur yang dipenjarakan telah dirampas dan dilelong.
**
Peranan Kor Produksi dan Pembinaan Xinjiang (XPCC), atau Bingtuan seperti yang diketahui, dalam merampas aset orang Uyghur juga patut diketengahkan. Bingtuan telah terlibat dalam mengambil alih tanah orang Uyghur untuk projek pertanian dan perindustrian. Projek-projek ini sering mengutamakan peneroka dan pekerja Cina Han, meminggirkan kaum petani dan komuniti Uyghur. Bingtuan bukan sahaja terlibat dalam mengambil alih tanah-tanah orang Uyghur tetapi juga menguruskan sumber semula jadi yang kritikal di kawasan ini, termasuk air dan sumber mineral. Keuntungan daripada sumber-sumber ini memberi manfaat terutamanya kepada perusahaan milik kerajaan dan kepentingan Cina Han berbanding daripada komuniti Uyghur tempatan.
Bingtuan/XPCC telah terlibat dalam operasi pengawasan, menyumbang kepada sistem kawalan yang lebih luas ke atas penduduk Uyghur. Peranan dwinya sebagai entiti ekonomi dan pasukan paramiliter membolehkannya melaksanakan dasar kerajaan dengan berkesan. Struktur unik ini membolehkan XPCC berfungsi sebagai instrumen dominasi ekonomi dan pengawalan sosial, memainkan peranan penting dalam marginalisasi sistematik orang Uyghur. Aktiviti XPCC sejajar dengan strategi kerajaan yang lebih luas yang bertujuan untuk mengasimilasikan etnik minoriti dan menyatukan kawalan ke atas rantau ini. XPCC memastikan komuniti Uyghur kekal bergantung kepada kerajaan dari segi ekonomi dan ditindas secara politik melalui kawalannya ke atas tanah, sumber-sumber ekonomi dan aktiviti ekonomi.
**
Pemusnahan kekayaan orang Uyghur melalui aktiviti jenayah genosid oleh Parti Komunis China yang melanggar hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa dan nilai sejagat adalah satu usaha yang berkait rapat dengan dasar kawalan, asimilasi dan penguasaan ekonominya. Bermula dari reformasi dasar pada awal penjajahan yang merampas kebun dan ladang, kepada lelongan perniagaan dan hartanah Uyghur pada masa kini, proses ini telah menghakis asas kewangan dan budaya orang Uyghur secara bermetod.
Pewujudan organisasi seperti Kor Produksi dan Pembinaan Xinjiang (XPCC) meningkatkan lagi skala dan intensiti penindasan ekonomi ini, memastikan bahawa manfaat kekayaan kawasanini mengalir kepada penjajah Cina Han dan perusahaan-perusahaan milik kerajaan. Pada masa yang sama, orang Uyghur terpinggir dan tidak memiliki sebarang kekuatan ekonomi. Apa yang berlaku kepada orang Uyghur ini bukan sekadar siri insiden terpencil tetapi sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk melemahkan identiti Uyghur dengan menghapuskan kekayaan material dan budaya yang mengekalkan kewujudannya. Ketika dunia sedang memerhati, rampasan kejam aset-aset orang Uyghur terus membentuk semula kawasanini, meninggalkan sebuah legasi kehilangan, perpindahan paksa dan kemusnahan ekonomi.
**
Rujukan untuk bacaan lanjut:
1- History of Xinjiang: In the People’s Republic of China (1950s-1980s), Eurasian Crossroads:A History of Xinjiang, Columbia University Press, 2007 https://omnilogos.com/history-of-xinjiang-in-people-republic-of-china-1950s-1980s/
2- Dikötter, Frank. (2017) The Tragedy of Liberation: A History of the Chinese Revolution, 1945-57. London: Bloomsbury. – https://chinesehistoryforteachers.omeka.net/exhibits/show/chinese-land-reform/land-reform-overview
3- “Break Their Lineage, Break Their Roots,” Human Rights Watch, 2021. https://www.hrw.org/report/2021/04/19/break-their-lineage-break-their-roots/chinas-crimes-against-humanity-targeting
4- “Belt and Road Initiative (BRI),” European Bank, https://www.ebrd.com/what-we-do/belt-and-road/overview.html
5- “Under the Gavel: Evidence of Uyghur-owned Property Seized and Sold Online” UHRP, https://uhrp.org/report/under-the-gavel-evidence-of-uyghur-owned-property-seized-and-sold-online/, September 2021
6- Hoja, Gulchera, “Xinjiang Authorities Arrest Sibling Uyghur Real Estate Moguls, Jail One For Decades.” RFA, https://www.rfa.org/english/news/uyghur/moguls-arrests-09042019163052.html, September 2019.
7- Hoshur, Shohret, “Uyghur Who Appealed Jail Sentence Charged With Additional Crimes,” Radio Free Asia, March 2021 https://www.rfa.org/english/news/uyghur/appeal-03312021195653.html
8- Hoshur, Shohret, “Uyghur Real Estate Magnate Confirmed Jailed Along With Brothers, at Least 20 Employees” Radio Free Asia, January 2020, https://www.rfa.org/english/news/uyghur/magnate-01172020175553.html
9- Xiao, Eva and Cheng, Jonathan “China’s Xinjiang Crackdown Reaps Millions of Dollars in Assets for the State” Wall Street Journal, September 2021, https://www.wsj.com/articles/chinas-xinjiang-crackdown-reaps-millions-of-dollars-in-assets-for-the-state-1163249478
**
Artikel ini juga telah diterbitkan dalam bahasa inggeris, boleh dibaca di sini 1–2.
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara