• Washington DC
Ikut kami:

Cebisan memori Turkistan Timur di Malaysia: Tulisan Haji Ibrahim Ma (1900-1982)

Berdepan dengan propaganda CCP yang sentiasa cuba memadam dan mengalihkan sejarah dunia sesuai kemahuannya, senjata yang paling ampuh ialah fakta dan data sejarah yang dipercayai. Isu Uyghur dan kewujudan Turkistan Timur juga tidak terkecuali. CCP secara aktif berusaha untuk memadamkan identiti Uyghur secara keseluruhan, dan memadamkan Turkistan Timur -tanah air Uyghur- daripada peta dunia. Mereka dalam kenyataan rasmi tanpa segan silu mendakwa bahawa ‘tiada yang dinamakan Turkistan Timur’ dan mendakwa bahawa ia hanya slogan puak pemisah. Mereka tidak sedar bahawa warga dunia sedang memerhati penyelewengan yang mereka lakukan dan akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kebenaran sejarah Uyghur dan Turkistan Timur terpelihara1 2.

Salah satu dokumen bersejarah yang penting mengenai Turkistan Timur ialah tulisan Hj. Ibrahim Ma Tian Ying (1900-1982)3, berjudul ‘Muslims in China4. Beliau merupakan mantan Konsul Republik China (ROC) di Malaya sebelum kemunculan Republik Merah PRC pada 1949. Beliau kemudiannya terlibat dalam dakwah dan menjadi pengasas bersama PERKIM (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) bersama Tunku Abdul Rahman, perdana menteri Malaysia yang pertama.

Buku ‘Muslims in China’ ini merupakan buku terakhir yang ditulis dalam bahasa inggeris oleh beliau kira-kira 7 tahun sebelum kewafatannya. Ia diterbitkan sekitar 1973-1975 oleh PERKIM di Kuala Lumpur.

Buku ini cuba menyoroti sejarah perkembangan Islam di China semenjak zaman Tang hingga ke zaman ROC pada tahun 1949. Beliau kemudiannya mengkhususkan bab ketujuh daripada bukunya ini khusus berkenaan Turkistan Timur dan penubuhan Republik Islam Turkistan Timur oleh orang Uyghur yang berdaulat. Meskipun ia ditulis dari sudut pandang ROC, dokumen ini mengakui kewujudan Republik Islam Turkistan Timur sebelum ia dijajah oleh China dan dinamakan sebagai “Xinjiang (New Frontier/Jajahan Baharu).”

Republik Islam Turkistan Timur: Realiti Sejarah yang Dihapuskan

Republik Islam Turkistan Timur yang ditubuhkan pada tahun 1933 adalah sebuah negara berasaskan prinsip Islam. Buku Haji Ibrahim Ma ini mencatatkan struktur pemerintahan, perlembagaan, serta pelantikan menteri-menteri, membuktikan bahawa ia bukan sekadar pemberontakan bersifat sementara, tetapi sebuah negara berdaulat yang sah dan menzahirkan self-determination Uyghur untuk mendirikan sebuah negara merdeka. Namun, naratif rasmi Parti Komunis China (CCP) sering kali menafikan kewujudannya, mendakwa bahawa Turkistan Timur hanyalah sebahagian daripada “tanah warisan China.”

Di dalam mukasurat 148-149, Haji Ibrahim Ma menggariskan beberapa fakta yang menarik untuk difahami bersama.

1– Dinyatakan Hoja Niyaz ditandingi oleh Maula Zabitida. Hal ini tidak tepat kerana hakikatnya penubuhan Republik Islam Turkistan Timur ialah dengan Hoja Niyaz sebagai Presidennya dan Maula Zabitida, atau nama sebenarnya Sabit Damolla, sebagai Perdana Menteri Republik Islam ini.

2– Beliau menyebut beberapa artikel Perlembagaan Republik Islam Turkistan Timur:

Artikel 1: Republik Islam Turkistan Timur ini menjadikan ajaran Islam sebagai perlembagaannya dan mengikuti sepenuhnya ajaran alQuran alKarim.

Artikel 3: Republik ini dipimpin oleh Presiden yang memimpin negara ini sesuai ajaran Islam.

Artikel 5: Di bawah Presiden, akan ada sebuah Majlis Kebangsaan yang diketuai oleh Presiden dan dibantu oleh dua Timbalan Presiden.

Majlis Kebangsaan ini akan bertanggungjawab ke atas sembilan buah kementerian:
1- Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
2- Kementerian Luar Negeri.
3- Kementerian Hal Ehwal Ketenteraan (mirip Kementerian Pertahanan).
4- Kementerian Kewangan
5- Kementerian Pendidikan
6- Kementerian Undang-undang Syariah.
7- Kementerian Wakaf
8- Kementerian Perdagangan dan Pertanian
9- Kementerian Kesihatan

3– Republik ini ditubuhkan di Kashgar 12.11.1933. Pemilihan Kashgar sebagai ibukota Republik Islam ini memiliki makna yang besar dalam jatidiri Uyghur, kerana mereka berpendapat ia adalah ibukota mereka semenjak zaman Sultan Satuq Bughra Khan lagi pada kurun 10 Masihi.

4– Kedatangan Haji Ibrahim Ma ke Malaya ialah pada tahun 1938-1940, kira-kira 5 tahun selepas penubuhan Republik Islam Turkistan Timur. Dalam ertikata lain, beliau hidup di China ketika Republik Islam ini ditubuhkan dan kedudukannya yang tinggi dalam ROC memungkinkannya memiliki akses kepada maklumat hakiki Republik Islam ini.

Gambar ini merupakan bukti bersejarah mengiyakan apa yang disebut oleh Haji Ibrahim Ma tersebut. Sekiranya boleh dilihat, Sabit Damolla berada di tengah barisan ini (tiga dari kanan). Bendera di belakang mereka merupakan jata rasmi Republik Islam Turkistan Timur ini, dengan motonya: Islamiyet, Azadiyet, Adalet, Ukhuwwet (Islam, Kebebasan, Keadilan, dan Persaudaraan).

Penyelewengan Fakta oleh CCP

Dalam usaha menghapuskan sejarah dan identiti Uyghur dan Islam di wilayah itu, CCP kerap menyebarkan maklumat palsu mengenai sejarah Turkistan Timur. Contohnya, CCP sering menggambarkan bahawa “Xinjiang” telah menjadi sebahagian daripada China sejak zaman dahulu dan bahawa pergerakan kemerdekaan di wilayah itu hanyalah hasil radikalisasi agama pada moden. Namun, kewujudan penulisan buku Hj. Ibrahim Ma menyanggah dakwaan ini dengan menyebut tokoh-tokoh utama seperti Hoja Niyaz dan Sabit Damollam (Maula Zabitida) sebagai pemimpin Republik Islam Turkistan Timur, sesuatu yang bertentangan dengan naratif Beijing.

Buku ini berfungsi sebagai bukti penting dalam menentang usaha CCP menghapuskan sejarah Turkistan Timur. Dengan merekodkan fakta-fakta sejarah yang objektif dan tidak berpihak kepada propaganda Beijing, ia berfungsi:

Menguatkan bukti sejarah mengenai kewujudan Turkistan Timur sebagai entiti politik dan sejarah yang berdaulat.
• Menolak naratif palsu bahawa wilayah tersebut sentiasa menjadi sebahagian daripada China.

Kesimpulan

Kesimpulannya, buku ini bukan sahaja bernilai dalam kajian sejarah tetapi juga sebagai alat hakiki untuk melawan propaganda dan pemalsuan sejarah oleh CCP. Dalam era di mana maklumat semakin dikawal ketat dan diseleweng oleh pihak berkuasa China, sumber seperti ini amat penting dalam memastikan kebenaran sejarah tidak lenyap begitu sahaja.

Penerbitan buku ini di Malaysia juga membuktikan bahawa sejarah Turkistan Timur pernah dibahaskan dan ditulis untuk bacaan warga Malaysia khususnya dan umat Islam sedunia seawal 70an lalu. Meskipun ia ditulis melalui sudut pandang ROC, ia penting kerana telah mengesahkan kewujudan Turkistan Timur dan menggariskan perjuangan Uyghur ke arah penentuan nasib sendiri (self-determination) sebagai negara yang merdeka.

Disediakan oleh
Ketua Unit Kajian (Head of Researcher)
Pusat Kajian Uyghur – Malaysia
30.1.2025

Rujukan:

1- Olivier Guillard. 2024. Chinese toponymical tactics in Xinjiang: One more move to erase East Turkestan, Institut d’études de géopolitique appliquée, Paris, August 06, 2024. https://www.institut-ega.org/l/chinese-toponymical-tactics-in-xinjiang-one-more-move-to-erase-east-turkestan/ (akses terakhir: 29.1.2025)

2- IHH releases new report on East Turkestan, 08.07.2015. https://ihh.org.tr/en/news/ihh-releases-new-report-on-east-turkestan-2905 (akses terakhir: 29.1.2025)

3- Rosey Ma Wang. 2003. Chinese Muslims in Malaysia in Different Periods of History. Dalam Chinese Studies of the Malay World, A Comparative Approach. (eds.) Ding Choo Ming & Ooi Kee Beng. Eastern Universities Press, Singapore, ms163-166.

4- Ibrahim Ma T.Y. 1973-1975. Muslims in China. Kuala Lumpur: PERKIM. (Mukadimah dan Isi Kandungan boleh dibaca di sini: https://turkistanilibrary.com/content/muslims-china-1)

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.