• Washington DC
Ikut kami:

Bagaimana Sekolah Berasrama China di Xinjiang (Turkistan Timur) Memadam Identiti Rakyat Asal: Pandangan Uyghur

Rejim China melakukan genosid budaya terhadap satu generasi penuh dengan menjadikan pendidikan sebagai senjatanya. Situasi sebenar selepas sepuluh tahun penganiayaan dan kezaliman.

oleh Abdulhakim Idris.

Sebuah sekolah berasrama penuh di Xinjiang (Turkistan Timur) dalam imejan propaganda Cina.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 genosid Uyghur yang aktif, yang terdiri daripada “Perang Rakyat Melawan Keganasan” oleh Presiden Xi Jinping, dan tiada sebarang tanda yang ia akan dihentikan dalam masa terdekat. Kerajaan China telah menahan lebih sejuta orang Uyghur (penilaian yang agak konservatif) di ‘kem pendidikan semula’, tetapi bahaya yang mengerikan turut menjangkaui luar kem-kem ini, kepada kanak-kanak yang ditinggalkan. Kanak-kanak ini diasimilasikan secara paksa ke dalam budaya Cina Han melalui rangkaian sekolah berasrama penuh yang dikendalikan oleh kerajaan. Esei ini menyelidiki bagaimana institusi ini berfungsi sebagai alat genosid budaya, menghapuskan bahasa, agama dan identiti kanak-kanak Uyghur.

Penderitaan orang Uyghur dan Kazakh ini bukanlah letusan yang mendadak tiba-tiba tetapi merupakan akibat dari sejarah penindasan dan peminggiran yang panjang. Orang Uyghur, majoritinya orang Turk yang beragama Islam, secara sejarahnya telah berdepan asimilasi sistematik dan genosid di tanah air mereka, Turkistan Timur, yang disebut oleh rejim China sebagai Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang (XUAR). Perjuangan mereka untuk autonomi budaya dan agama mereka telah disambut dengan penindasan tanpa henti oleh Parti Komunis China (PKC), sebuah parti yang bersifat rasis dan nasionalistik.

Pada tahun 2014, ketegangan yang membara ini berubah secara drastik. Bertopengkan memerangi “ekstremisme agama,” Republik Rakyat China (RRC) memulakan tindakan keras mereka yang dipergiatkan di Turkistan Timur. Wilayah ini, yang kaya dengan kepelbagaian budaya, tertakluk kepada sistem pengawasan yang semakin meluas dan mencabul hak peribadi. Serangan ini, yang kononnya menyasarkan keganasan, sebenarnya adalah percubaan terselubung untuk mengawal dan mengasimilasikan orang Uyghur.

Wilayah Uyghur bukan sahaja medan pertempuran budaya dan agama tetapi juga wilayah kepentingan ekonomi yang nyata. Ia kaya dengan sumber asli, termasuk minyak, gas dan mineral, menjadikannya aset strategik untuk “Inisiatif Jalur dan Jalan Raya” China. Beijing telah banyak melabur dalam projek infrastruktur di wilayah ini, tetapi perkembangan ini telah memberi manfaat yang tidak seimbang kepada penduduk Cina Han dan dalam masa yang sama terus meminggirkan orang Uyghur.

Dasar asimilasi

Eksploitasi ekonomi yang berlaku hingga ke tahap penggunaan buruh paksa. Ramai warga Uyghur yang tidak ditahan di kem dipaksa untuk melakukan kerja paksa (forced labour) di kilang-kilang di seluruh China. Kilang-kilang ini sering dikaitkan dengan rantaian bekalan global, yang justeru menjadikan pelbagai syarikat antarabangsa bersubahat dalam pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku di Turkistan Timur. Kerajaan China menghalalkan jenayah ini sebagai sebahagian daripada program “membasmi kemiskinan”, tetapi pada hakikatnya, ia adalah satu bentuk perhambaan zaman moden yang direka untuk mengawal dan mengasimilasikan penduduk Uyghur.

Dalam strategi genosid budaya ini, negara China telah mempersenjatai pendidikan. Proses asimilasi kerajaan China bermula dengan menahan ibu bapa di bawah dakwaan sewenang-wenangnya (arbitrary claims), meletakkan mereka di kem tahanan dan menyebabkan kanak-kanak di bawahnya tidak berdaya dan terdedah kepada penganiayaan. Kanak-kanak yang ibu bapanya ditahan di penjara, atau menjalani pendidikan semula atau “latihan”, diklasifikasikan ke dalam kategori keperluan khas, menjadikan mereka layak untuk berada di bawah penjagaan rasmi kerajaan, yang biasanya bermaksud penempatan di rumah anak yatim atau sekolah berasrama penuh.

Titik pusat penindasan kejam China terhadap orang Uyghur terletak pada sebuah taktik yang sangat berbahaya: pemisahan sistematik kanak-kanak Uyghur daripada keluarga mereka. Amalan menjijikkan ini berfungsi sebagai asas serangan China untuk memadamkan identiti budaya Uyghur dan menguatkuasakan ideologi Cina Han yang homogen.

Satu lagi imej propaganda sekolah berasrama penuh di Xinjiang (Turkistan Timur). Daripada Weibo.

Sejak 2017, PKC telah menggandakan serangan kerasnya terhadap orang Uyghur. Bertopengkan ‘memerangi ekstremisme’, kerajaan China telah melaksanakan beberapa siri langkah kejam draconian yang bertujuan untuk menghapuskan budaya Uyghur. Langkah-langkah ini termasuk penahanan besar-besaran, buruh paksa dan projek pemandulan. Amerika Syarikat dan beberapa negara lain telah melabelkan tindakan ini sebagai genosid, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengesahkan bahawa ia mencapai ke tahap jenayah terhadap kemanusiaan.

Seraya kerajaan China menahan kaum dewasa Uyghur, anak-anak mereka dihantar ke sekolah berasrama penuh kerajaan. Institusi ini ditubuh dan direka untuk memisahkan kanak-kanak daripada akar budaya mereka dan mengindoktrinasi mereka ke dalam budaya Cina Han. Menurut pelbagai laporan, lebih setengah juta kanak-kanak Uyghur telah ditempatkan di sekolah-sekolah ini, di mana mereka diajar berbahasa Mandarin secara eksklusif dan tertakluk kepada kurikulum yang memuliakan China sambil memburukkan budaya asal mereka.

Adik-beradik Kuchar

Aysu dan Lütfullah Kuchar, dua orang kanak-kanak Uyghur, terpaksa menghabiskan hampir dua puluh bulan di sekolah berasrama penuh kerajaan China. Mereka telah dipisahkan secara paksa daripada keluarga mereka dan mengalami penderaan fizikal dan emosi. Kepala mereka dicukur, dan mereka sering dipukul dan dikurung dalam bilik gelap sebagai hukuman. Apabila mereka pulang ke rumah, mereka telah lupa untuk berbicara dengan bahasa Uyghur, bahasa ibunda mereka. “Itulah saat paling berat dalam hidup saya. Berdiri di hadapan dua anak saya yang berbahasa Cina, saya rasa seolah-olah mereka telah membunuh saya,” keluh bapa mereka. Apabila mereka dapat kembali ke pangkuan ibu bapa mereka ke Türkiye pada Disember 2019, mereka berada dalam keadaan kekurangan zat makanan dan diselubungi trauma.

Seorang lagi mangsa, Mihrigul Tursun, seorang wanita Uyghur yang terselamat dari kem tahanan, dengan sebak menceritakan penyeksaan yang dialaminya. Anak-anaknya diambil daripadanya dan ditempatkan di sekolah berasrama penuh ini. Apabila dia akhirnya dibenarkan untuk berhubung semula dengan mereka, dia mendapati salah seorang anaknya telah meninggal dunia akibat pembedahan yang dilakukan tanpa kebenarannya.

NPR, atau National Public Radio di AS, menerbitkan cerita adik beradik Kuchar ini dan dapat mengenal pasti sekolah tempat Lütfullah dihantar. Ia sebelum ini dipanggil Sekolah Seni Rakyat Urumchi (Urumqi Folk Art School) dan ia terletak di kawasan yang padat penduduknya, majoriti Uyghur di Sandunbei, ibu kota wilayah Urumqi. Sekolah itu merupakan sebuah sekolah antara sekurang-kurangnya 1,300 sekolah berasrama penuh yang ditubuhkan di seluruh wilayah Uyghur, menurut dokumen rasmi Kementerian Pendidikan. Kerajaan tempatan XUAR telah membersihkan laman web mereka daripada semua jejak dan rujukan kepada sekolah-sekolah berasrama penuh ini. Akan tetapi laporan pendidikan rasmi dari 2017—tahun sebelum adik-beradik Kuchar dihantar ke sekolah itu—mengatakan hampir setengah juta kanak-kanak telah didaftarkan pada permulaan tahun tahun itu.

Adik beradik Kuchar selepas mereka disatukan semula dengan bapa mereka di Türkiye. Sumber: NPR, AS, foto oleh Nicole Tung.

Di sekolah berasrama ini, penggunaan bahasa Uyghur dilarang sama sekali. Pengajaran bilik darjah dijalankan hampir secara eksklusif dalam bahasa Mandarin, dan guru boleh dihukum sekiranya menggunakan bahasa Uyghur di luar kelas bahasa tertentu. Dasar ini bertujuan untuk menghakis kefasihan kanak-kanak dalam bahasa ibunda mereka, dengan itu memutuskan hubungan mereka dengan identiti budaya dan agama mereka.

Pelbagai laporan telah mendokumentasikan banyaknya kejadian penderaan fizikal dan emosi di sekolah-sekolah ini. Kanak-kanak sering dipukul, dikurung dalam bilik gelap, dan dipaksa untuk kekal dalam tekanan untuk tempoh yang lama. Langkah-langkah hukuman ini direka untuk mematahkan semangat kanak-kanak dan menjadikan mereka lebih lentur terhadap usaha asimilasi.

Pemisahan sistematik kanak-kanak Uyghur daripada keluarga mereka dan asimilasi paksa mereka ke dalam budaya Cina Han merupakan satu bentuk genosid budaya. Dengan menghapuskan bahasa, agama, dan adat Uyghur, Parti Komunis China berhasrat untuk menghapuskan sebarang bentuk identiti Uyghur. Dasar ini bukan sahaja memberi kesan kepada generasi sekarang tetapi juga memastikan generasi akan datang akan membesar tanpa warisan budaya mereka.

Impak buruk psikologi ke atas kanak-kanak ini sangat besar. Dipisahkan daripada keluarga mereka dan mengalami penderaan dan indoktrinasi yang berterusan, kebanyakan kanak-kanak ini mengalami trauma yang teruk. Mereka membesar dengan perasaan terasing daripada akar budaya mereka dan selalunya tidak dapat berkomunikasi dengan ibu bapa dan datuk nenek mereka, yang kekal fasih berbahasa Uyghur.

Sekolah-sekolah berasrama penuh di Turkistan Timur bukan sekadar institusi pendidikan; mereka adalah alat genosid budaya. Dengan secara paksa mengasimilasikan kanak-kanak Uyghur ke dalam budaya Cina Han, kerajaan China berhasrat untuk memadamkan identiti Uyghur dari muka bumi. Kisah-kisah Aysu, Lütfullah, dan Mihrigul adalah peringatan yang mengerikan tentang korban manusia dalam kempen genosid ini. Saat seluruh dunia sedang memerhati, menjadi kemustahakan untuk kita terus mendokumentasikan kekejaman ini dan memperjuangkan hak orang Uyghur.

Kempen serangan yang sistematik

Menurut pakar Adrian Zenz dan BBC, anak-anak kepada ibu bapa yang ditahan di sekolah berasrama penuh dihukum kerana gagal berbahasa Cina Mandarin dan dihalang daripada mengamalkan agama mereka. Dalam makalah yang diterbitkan dalam “Journal of Political Risk,” Zenz menyebut usaha itu sebagai “kempen serangan sistematik kejuruteraan semula sosial dan genosid budaya.” Human Rights Watch berkata bahawa kanak-kanak yang ditahan di fasiliti kebajikan kanak-kanak dan sekolah berasrama penuh ini ditahan tanpa kebenaran atau akses ibu bapa. “The New York Times” melaporkan bahawa kira-kira 497,800 pelajar sekolah rendah dan rendah telah mendaftar di sekolah berasrama penuh ini. Sumber-sumber ini juga melaporkan bahawa pelajar hanya dibenarkan berjumpa ahli keluarga dua minggu sekali dan mereka dilarang bercakap dalam bahasa Uyghur.

Dr. Adrian Zenz.

Tambahan pula, barisan pakar PBB menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap dakwaan perkembangan ketara sistem sekolah berasrama penuh yang dikendalikan kerajaan, yang gagal menyediakan pendidikan dalam bahasa ibunda kanak-kanak dan secara paksa memisahkan kanak-kanak Uyghur dan minoriti Islam lain daripada keluarga dan komuniti mereka, yang mengakibatkan asimilasi paksa. “Kami amat risau bahawa sekolah berasrama penuh di Xinjiang mengajar hampir secara eksklusif dalam bahasa rasmi (mandarin) dengan sedikit atau tiada langsung penggunaan bahasa Uyghur sebagai bahasa pengantar dan wujudnya pemisahan terutamanya Uyghur dan kanak-kanak minoriti lain daripada keluarga mereka yang membawa kepada asimilasi paksa mereka ke dalam majoriti yang berbahasa Mandarin dan mengamalkan budaya Han,” kata para pakar PBB ini. Mereka menekankan wujudnya sifat diskriminasi pada dasar-dasar ini, dan pencabulan kepada hak minoriti untuk pendidikan tanpa sebarang diskriminasi, kehidupan berkeluarga, dan hak budaya.

Para pakar menerima maklumat tentang pengalihan kanak-kanak secara besar-besaran, terutamanya berbangsa Uyghur, daripada keluarga mereka, termasuk kanak-kanak yang masih kecil yang ibu bapanya dalam buangan atau “dipenjara”/ditahan. Kanak-kanak ini dilayan sebagai “anak yatim” oleh pihak berkuasa kerajaan dan ditempatkan di sekolah berasrama penuh, prasekolah atau rumah anak yatim di mana bahasa yang digunakan hampir secara eksklusif Mandarin, bahasa Cina rasmi, atau “Putonghua.”

“Kanak-kanak Uyghur dan kanak-kanak minoriti lain di institusi asrama yang dikawal secara ketat ini mungkin mempunyai sedikit interaksi dengan ibu bapa, keluarga besar atau komuniti mereka dalam majoriti usia muda mereka,” kata para pakar ini. “Ini sudah pasti akan membawa kepada kehilangan hubungan dengan keluarga dan komuniti mereka dan menjejaskan hubungan mereka dengan identiti budaya, agama dan bahasa mereka,” tambah mereka.

Melentur kanak-kanak bawah umur

Pakar PBB juga dimaklumkan tentang peningkatan mendadak bilangan sekolah berasrama penuh untuk kanak-kanak Uyghur, Kazakh, dan kanak-kanak Muslim Turk yang lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan penutupan sekolah tempatan di mana pendidikan melalui bahasa Uyghur dan kumpulan etnik lain disediakan. “Skala besar laporan dakwaan itu menimbulkan kebimbangan yang sangat serius terhadap pencabulan hak asasi manusia,” kata mereka. Para pakar menyatakan ini adalah sebahagian daripada usaha pihak berkuasa China untuk membentuk kanak-kanak minoriti supaya bercakap dan bertindak seperti kumpulan etnik Han yang dominan di negara itu.

“Gerakan ideologi untuk cuba mengasimilasikan orang bukan Han ini sepadan dengan pendekatan menghukum menempatkan orang dewasa di kem-kem konsentrasi. Oleh itu banyak kanak-kanak kecil berakhir di tadika asrama dan sekolah berasrama atau rumah anak yatim,” kata James Millward, seorang profesor di Universiti Georgetown yang mengkaji sejarah Cina dan Asia Tengah. “Ia benar-benar satu usaha untuk menjadikan semua orang sebagai berbangsa Cina dan melihat diri mereka sebagai orang Cina dan mempunyai latar belakang budaya yang tunggal.”

China menolak tuduhan mengenai diskriminasi yang salah terhadap Uyghur dan minoriti lain di kawasanini—tetapi orang Uyghur, penyokong hak asasi dan wartawan telah mendokumentasikan laporan penderaan sistematik yang banyak.

China mendakwa ia memperbanyakkan bilangan sekolah berasrama penuh yang didakwa itu dengan tujuan untuk meningkatkan akses pendidikan, terutama di komuniti luar bandar terpencil. Tetapi keluarga-keluarga Uyghur berkata sekolah seperti itu juga merupakan institusi tempat di mana kanak-kanak dengan kedua-dua ibu bapanya ditahan atau dipenjarakan dihantar, bertentangan dengan kehendak keluarganya. “Saudara-mara saya lebih suka menjaga anak-anak sendiri, tetapi mereka terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah berasrama penuh,” kata Mukerrem Mahmud, seorang pelajar berbangsa Uyghur di Türkiye.

**

Diterjemahkan untuk laman rasmi Pusat Kajian Uyghur. Tulisan asal dalam bahasa inggeris boleh diikuti di sini.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.