• Washington DC
Ikut kami:

Abdul Qadir Damolla – Siri 100 Tokoh Turkistan Timur

Siri 100 Tokoh Turkistan Timur di Zaman Moden – #04 – Abdul Qadir Damolla.

Abdul Qadir Damolla bin Abdul Warith al-Kashgari dilahirkan pada tahun 1862 di Artush, Kashgar. Selepas menghabiskan masa kecilnya di kampungnya, beliau mengembara ke Kashgar, Bukhara, Samarkand, Ufa, dan tempat-tempat lain untuk mencari ilmu, melibatkan diri dalam aktiviti kesarjanaan, kesasteraan dan aktiviti sosial. Abdul Qadir Damolla menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk belajar dan mengajar, berusaha sepanjang hidupnya untuk membebaskan manusia daripada kejahilan dan khurafat.

Beliau memperbaharui pendekatan tradisional pendidikan agama dan melaksanakan beberapa siri pembaharuan dari segi kandungan pengajaran, kaedah, dan bahan pengajaran, dengan mengambil kira tuntutan zaman dan keperluan praktikal bangsanya.

Karya beliau termasuk “Bidayat alSorf (Permulaan Morfologi),” “Nahw (Tatabahasa Arab),” “Ilmu Tajwid,” “Matematik,” “العقائد الضرورية/alAqaid alDharuriyah (dalam akidah, soaljawab),” “alTa’lim li alSibyan (Pendidikan untuk anak-anak),” “Nasoih lil Atfal (Nasihat untuk Kanak-kanak),” dan “مفتاح الأدب لفهم كلام العرب/Miftahul Adab li Fahm Kalam alArab (dalam Balaghah/Seni Retorik Arab),” dan lain-lain lagi. Beliau memasukkan karya-karyanya ke dalam silibus sekolah-sekolah dengan tujuan memperbaharui dan memperkemas bahan pendidikan agar sesuai dengan era moden.

Di bawah pengaruh revolusi borjuasi-demokratik dan gerakan reformasi di Rusia, Asia Kecil, dan di tempat lain, Abdul Qadir Damolla dikenali sebagai pemimpin dan pemandu yang praktikal bagi sekelian kegiatan yang bertujuan untuk mencapai kebebasan, anti-perhambaan, kemakmuran, pencerahan (enlightenment), dan kebebasan bersuara.

Abdul Qadir Damolla menyeru manusia untuk menghapuskan kejahilan, bangun dari kelalaian, dan memperoleh ilmu dan pencerahan. Dalam pidato umumnya, “Nasihat Kepada Orang Ramai,” yang disampaikan di Kashgar, beliau berkata, “Apabila kita melupakan akhlak yang mulia dan amalan baik nenek moyang kita, kepercayaan karut mula tersebar, maruah kemuliaan kita hilang, dan orang asing mula menyerang negara kita.” Beliau dengan jelas mengingatkan orang ramai bahawa “kelekaan adalah permulaan kepada kematian, dan berterusan di dalamnya (kelekaan) membawa kepada kemusnahan.”

Pemikir dan ulama reformis terkenal Abdul Qadir Damolla bin Abdul Warith al-Kashgari telah syahid pada 24 Ogos 1924, di rumahnya di Kashgar, dalam plot yang didalangi oleh mereka yang mencari kezaliman. Seluruh Kashgar berkabung, dan ribuan pelajarnya meratapi kehilangan figura bapa tercinta, Abdul Qadir Damolla, yang meninggal dunia secara tidak adil di Kashgar.

Melalui pelbagai kegiatan dan gerakan sosialnya, beliau bukan sahaja menjadi perintis dalam sejarah pendidikan dan budaya Uyghur moden, tetapi juga mendapat tempat istimewa dalam sejarah kesusasteraan Uyghur.

Kasidahnya, “Jawahir al-Iqan,” telah dicetak dan diedarkan di Tashkent. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, karya tulisan tangannya, “Kulliyyat Mukhammas,” dan beberapa puisinya, “Munazarat al-Fawakih,” ditemui dan diterbitkan dalam majalah Bulaq keluaran 1989, disunting oleh Rajab Yusuf.

Oleh: Amin Ahmadi.

***

Diterjemahkan daripada bahasa Arab ke dalam bahasa Malaysia oleh Unit Kajian, Pusat Kajian Uyghur, Malaysia.

Berikut ialah beberapa buku tulisan beliau, diterbitkan dalam bahasa Chagatai:

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara