Tarikh: 8 Mei 2025
Pusat Kajian Uyghur (CUS), dengan kerjasama OIC Youth Indonesia, baru-baru ini menamatkan lawatan advokasi yang berjaya mengelilingi Indonesia, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang genosid yang berterusan dan penganiayaan agama terhadap warga Uyghur di Turkistan Timur. Lawatan itu, yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif Abdulhakim Idris, melibatkan pertemuan-pertemuan strategik dengan ahli parlimen Indonesia, pemimpin agama, ahli akademik, pemimpin belia dan para pelajar universiti di beberapa bandar utama.
Jakarta: Sidang Meja Bulat Bersama Belia dan Lawatan ke Parlimen
Gerak kerja advokasi bermula pada 28 April di Jakarta, di mana Pengarah Eksekutif menyertai perbincangan meja bulat di Jakarta, Indonesia, dengan para pemimpin belia dari pelbagai NGO dan pertubuhan belia Indonesia. Beliau berkongsi pandangan secara langsung tentang nasib umat Islam Uyghur dan menjawab soalan-soalan mengenai genosid kerajaan China dan penganiayaan agama terhadap Uyghur. Para pemimpin belia menyatakan solidariti yang kuat dan berikrar memberikan sokongan mereka untuk orang Uyghur.
Pada 30 April, delegasi dari Pusat Kajian Uyghur melawat Parlimen Indonesia bersama wakil Pemuda OIC Indonesia. Mereka disambut oleh Dr. H. Jazuli Juwaini, MP dan Ketua F-PKS DPR RI, bersama MP Habib Idrus Aljufri. Abdulhakim Idris memberikan taklimat kepada mereka mengenai situasi semasa umat Islam Uyghur dan menyeru mereka agar memberikan sokongan dan solidariti. Pertemuan itu termasuk sesi Soal Jawab yang memberi tumpuan kepada pencabulan hak asasi manusia China, penganiayaan agama, dan genosid terhadap orang Uyghur.

Kedua-dua ahli Parlimen ini menyuarakan keprihatinan mereka dan menyatakan solidariti yang jelas dengan perjuangan Uyghur.
Yogyakarta: Dialog Pelajar berkenaan Krisis Uyghur
Pada 2 Mei, Abdulhakim Idris melawat Yogyakarta, di mana beliau mengadakan dialog pelajar dengan lebih 50 pelajar Universiti Muhammadiyah, Universiti Islam Negeri, dan institusi pendidikan tempatan lain. Perbincangan interaktif itu menggarisbawahi krisis Uyghur, perang China terhadap Islam, dan peranan belia dalam solidariti antarabangsa. Pelajar bertanya soalan kritikal dan menyampaikan sokongan ikhlas mereka terhadap perjuangan Uyghur.

Medan: Seminar Antarabangsa berkenaan Krisis Uyghur dan Islamofobia
Salah satu sorotan utama lawatan ini ialah sebuah seminar antarabangsa yang dianjurkan bersama oleh CUS dan dihoskan di Universiti Muslim Nusantara Al Washliyah (UMN) di Medan, Sumatera Utara pada 5 Mei. Bertajuk “Kekejaman Manusia dan Pelanggaran Hak Asasi Manusia dalam Islamophobia: Krisis Uyghur,” seminar ini menarik lebih daripada 100 pelajar dan ahli fakulti. Ia dimulai dengan lagu kebangsaan Indonesia dan lagu rasmi universiti, bacaan Al-Quran, dan doa pembuka.
Prof. Dr. H. M. Jamil, M.A., Rektor UMN, mengalu-alukan peserta dengan seruan yang bersemangat kepada perpaduan umat Islam, mengaitkan penderitaan orang Uyghur dengan segala perjuangan global yang ada untuk keadilan.
Astrid Nadya Rizqita, Presiden OIC Youth Indonesia, kemudiannya menyusuli dengan ucapan perasmian yang menggalakkan solidariti yang dipimpin oleh para belia dengan warga Uyghur.
Panel forum ini menampilkan Pengarah Eksekutif Abdulhakim Idris, Prof Dr Hasan Asari pensyarah UIN Sumatera Utara, dan Dr Nelvitia Purba pensyarah UMN.
Dalam ucapannya, Abdulhakim Idris menggariskan situasi semasa di Turkistan Timur, menggambarkan kempen usaha China untuk menghapuskan identiti dan agama Uyghur, dan menggesa solidariti global umat Islam berkenaan isu ini.
Prof. Hasan Asari menyediakan analisis akademik mengenai akar ideologi Islamofobia dan mekanisme penindasan agama oleh China. Dr. Nelvitia Purba membincangkan dinamika Islamofobia yang lebih luas dan bagaimana ia bersilang dengan krisis Uyghur.
Seminar ini diakhiri dengan ucapan Dr. H. Masyhuril Khamis, S.H., M.M., Pengerusi Al Jam’iyatul Washliyah, yang menyatakan solidariti yang kuat dengan Uyghur dan menyeru para pelajar untuk menjadi advokat yang berpengetahuan dan cakna isu.

Jakarta: Pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Agama
Lawatan advokasi ini berakhir pada 6 Mei di Masjid Istiqlal di Jakarta, di mana Abdulhakim Idris bertemu dengan Imam Nasaruddin Umar, Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia dan Imam Besar Masjid Istiqlal. Abdulhakim mengucapkan tahniah atas pelantikannya baru-baru ini dan menyampaikan taklimat ringkas mengenai penganiayaan agama oleh China terhadap Uyghur.

Pusat Pengajian Uyghur mengucapkan terima kasih kepada semua rakan kongsi dan tuan rumahnya di Indonesia dan mengharapkan kerjasama selanjutnya demi memajukan hak asasi manusia dan kebebasan beragama.
Sejak 2022, Pusat Kajian Uyghur telah menjalankan kempen advokasi strategik di Indonesia untuk meningkatkan kesedaran tentang krisis Uyghur. Sebagai sebahagian daripada usaha ini, CUS telah menerbitkan dan mengedarkan materi pendidikan dalam bahasa Indonesia, termasuk buku kecil Turkistan Timur dan Uyghur, laporan mengenai Islamofobia di China, dan penerbitan baharu mengenai nasib penderitaan warga Uyghur, dan laporan terbaru mengenai sistem sekolah berasrama penuh China yang menyasarkan kanak-kanak Uyghur. CUS juga mengendalikan laman web khusus berbahasa Indonesia dan menjalankan kempen media sosial yang aktif untuk menjangkau khalayak yang lebih luas di Indonesia. Melalui jalinan kerjasama dengan organisasi tempatan, CUS telah memperkasakan sebuah rangkaian para pelajar universiti, pemimpin belia dan pemeran masyarakat sivil yang semakin berkembang di seluruh Indonesia, memupuk persefahaman dan solidariti yang lebih mendalam dengan warga Uyghur.
Navigasi kiriman
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara