• Washington DC
Ikut kami:

Berkenaan Thailand mengusir 40 orang Uyghur ke China.

Oleh Abdulhakim Idris.

Terima kasih kepada para penganjur untuk sidang media yang penting ini. Usaha anda untuk mendedahkan krisis Uyghur dan mempertahankan maruah manusia adalah mustahak. Hari ini, kita bersatu bukan sahaja dalam kesedihan tetapi untuk berdepan dengan akibat daripada pelecehan hak asasi manusia ini.

Kita berkumpul di sini hari ini untuk menyuarakan pendapat kita terhadap perkembangan yang amat membimbangkan, pengusiran (deportasi) 40 pelarian Uyghur dari Thailand ke China. Selepas menghabiskan lebih sedekad dalam tahanan dalam keadaan yang teruk di Thailand, orang-orang Uyghur ini kini telah dihantar ke dalam mimpi ngeri yang lain – ke dalam genggaman rejim yang mereka lari selamatkan diri daripadanya.

Mereka bukan sahaja diusir – mereka diserahkan ke genggaman rejim yang mana mereka pertaruhkan segala-galanya untuk melarikan diri daripadanya. Ini bukan semata-mata keputusan birokrasi; ia adalah persubahatan dalam penganiayaan yang dilakukan oleh kerajaan, dan pengkhianatan terhadap prinsip-prinsip tersuci dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Pengusiran ini bukanlah sebuah insiden terpencil dan terasing; ia adalah sebahagian daripada kempen yang lebih besar dan sistematik oleh kerajaan China untuk menindas, menghukum, dan menganiaya orang Uyghur. 40 individu ini kini berkemungkinan terperangkap dalam rangkaian pusat tahanan yang brutal, dipenjara di kem, atau berdepan nasib lebih teruk lagi. Ramai yang akan berdepan soalsiasat, penyeksaan, dan paksaan untuk meninggalkan akidah mereka. Sebahagiannya mungkin tidak pernah diketahui lagi selepas ini (yakni berdepan hukuman mati).

Tindakan kerajaan Thailand telah melanggar prinsip non-refoulement (tidak menghantar ke negara yang memudaratkan), kaedah utama dalam perlindungan pelarian antarabangsa. Tiada negara manapun yang patut menghantar seseorang ke tempat penyeksaan atau penganiayaan, namun Thailand telah melakukannya – sekali lagi – dan Thailand telah menjadi alat Parti Komunis China untuk menutup genosid Uyghur yang sedang berlaku.

Jangan kita lupakan kes preseden yang masih menghantui kita. Pada 2014, Thailand menghantar pulang 109 pelarian Uyghur ke China, dan kini sedekad kemudian, nasib mereka masih tidak diketahui. Mereka lenyap ke dalam sistem penahanan China – sistem yang direka untuk memadamkan identiti, budaya dan akidah orang Uyghur. Sehingga hari ini, kita tidak tahu di mana mereka berada atau apa yang telah berlaku kepada mereka.

Di tanah air saya, China telah mencipta sebuah negara yang dikuasai pengawasan digital yang belum pernah berlaku sebelum ini. Sistem kecerdasan buatan AI menjejaki warga Uyghur sepanjang 24/7, dengan kamera di rumah-rumah dan aplikasi-aplikasi pengintip pada telefon. Warga Uyghur ditangkap kerana memiliki Al-Quran, berdoa, atau menghubungi keluarga di luar negara. Keluarga mereka diganggu, ditahan, dan dihukum hanya kerana mempunyai saudara di luar negara. “Sistem kredit sosial” China mendiskriminasi dan mengkategorikan Uyghur, menghukum mereka yang dianggap “tidak boleh dipercayai” dengan sekatan-sekatan ke atas pergerakan, pekerjaan dan banyak lagi.

Saya juga menjadi mangsa kekejaman ini. Kerajaan China merampas keluarga saya, abang saya, adik-adik perempuan saya, suami mereka, dan anak-anak saudara saya. Ada yang dihantar ke kem tahanan, dan yang lain ke penjara. Saya tidak dapat menghubungi ibu saya selama lebih tujuh tahun. Beliau kini berusia lewat 70-an. Pada Ogos 2023, saya menerima berita kematian ayah saya, lapan bulan selepas beliau meninggal dunia. Saya tidak keseorangan dalam penderitaan ini. Kesemua diaspora Uyghur menghadapi nasib yang sama seperti saya. Ini bukan sekadar tragedi saya; ia adalah tragedi kesemua bangsa saya.

Dalam konteks ini, lawatan para pegawai kerajaan dan wartawan Thai baru-baru ini untuk memeriksa warga Uyghur yang dihantar menimbulkan kebimbangan. Lawatan itu sangat ditapis, dikawal ketat dan tidak mempunyai ketelusan. Hanya lima individu ditunjukkan di Yarkand, namun majoriti Uyghur yang dihantar pulang berasal dari Qarghiliq dan Hotan. Mengapa individu-individu ini tidak diziarahi? Apa yang pihak berkuasa perlu sembunyikan?

China mendakwa orang-orang Uyghur ini akan menjalani proses “pendidikan semula.” Kami tahu maksudnya: penahanan tanpa had tempoh, indoktrinasi politik, pengakuan paksa, dan, dalam banyak kes, penyeksaan dan penderaan. Ini bermakna memaksa orang untuk membuang akidah mereka, segala memori mereka, dan maruah mereka.

Kita harus ingat bahawa China tidak pernah menghormati perjanjian antarabangsa, tidak pernah menghormati janji diplomatik, dan tidak pernah bercakap benar dalam hal layanannya terhadap Uyghur.

Kini, kita mesti menuntut agar kerajaan China menyediakan bukti yang jelas, bebas dan disahkan benar berkenaan keselamatan dan kesejahteraan 40 orang Uyghur yang dihantar, serta 109 orang lagi yang dihantar sedekad lalu.

Kami menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan sebenar, bukan hanya membuat kenyataan, untuk meminta China bertanggungjawab. Thailand dan semua negara mesti menegakkan undang-undang antarabangsa, terutamanya prinsip non-refoulement dan memastikan tiada seorangpun pelarian menghadapi penganiayaan. Kami menuntut para kerajaan, NGO, wartawan dan rakyat di seluruh dunia untuk menolak pembohongan China dan mempertanggungjawabkan China.

Kami menyeru anda semua untuk terus melaporkan dan tanpa henti membongkar kebenaran di sebalik tragedi ini. Kami memerlukan lebih ramai wartawan yang bebas dan boleh dipercayai untuk bersuara, menulis, menyiasat dan menuntut kerajaan-kerajaan anda untuk mengambil tindakan.

Ini adalah ujian yang menentukan nilai generasi kita. Adakah kita akan menentang genosid, atau kita akan berpaling tadah sekali lagi? Kami menyeru setiap kerajaan untuk melindungi pelarian, menghentikan deportasi ke China, dan meminta Beijing bertanggungjawab atas jenayah kejamnya. Kami menggesa orang ramai untuk terus berwaspada, mengangkat suara mereka, dan menguatkan suara kelompok yang tidak lagi boleh bercakap untuk diri mereka sendiri.

Terima kasih atas perhatian anda.

*Ucapan ini telah disampaikan pada 26 Mac 2025, dalam forum Foreign Correspondents’ Club of Thailand (FCCT) mengenai lawatan para pegawai Thai akan pelarian Uyghur yang dihantar ke China. Forum itu tersedia untuk ditonton di sini. https://www.fccthai.com/events/487 dan sini.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara

This website uses cookies. By continuing to use this site, you accept our use of cookies.