Oleh Abdulhakim Idris.
Puasa di bulan Ramadan bukan sekadar kewajipan agama bagi umat Islam, ia adalah tindakan keimanan, ketabahan, dan ketakwaan. Walaupun berjuta-juta manusia di seluruh dunia dengan bebas merayakan bulan suci ini, umat Islam Uyghur di Turkistan Timur (juga dikenali sebagai Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang) dinafikan daripada hak asasi ini; kepercayaan mereka dinilai sebagai jenayah, tradisi mereka hancur, dan identiti mereka secara sistematik dipadamkan.
Berabad-abad lamanya, berpuasa semasa Ramadan telah menjadi salah sebuah asas budaya Uyghur dan amalan rohani yang menyatukan keluarga dan masyarakat. Saya masih ingat lagi suasana harmoni zaman kanak-kanak saya di Hotan. Saya menyaksikan bagaimana jiran-jiran berkongsi sedikit makanan yang mereka miliki dan saling menjemput satu sama lain untuk menikmatinya. Semasa kecil, kami menziarahi dari rumah ke rumah pada waktu berbuka untuk mengumpul hadiah. Bulan Ramadan adalah masa untuk kita menikmati solidariti antara satu sama lain dan menghargai apa yang kita miliki. Ramadan adalah bulan untuk kita mengisi semula kekuatan untuk meneruskan hidup. Tetapi hari ini, dalam penindasan rasmi negara yang mengerikan, Parti Komunis China (PKC) telah melancarkan perang terhadap Islam di Wilayah Uyghur, mengenakan sekatan kejam yang menilai amalan yang ringkas seperti berpuasa sebagai sebuah tindakan penentangan yang berbahaya.
Pelbagai laporan daripada organisasi-organisasi hak asasi manusia, testimoni para saksi dan dokumen rasmi kerajaan PKC yang bocor mendedahkan sebuah realiti distopia . Warga Uyghur Muslim—terutamanya para penjawat awam, pelajar, dan guru—dipaksa untuk makan dan minum pada waktu siang pada bulan Ramadan, secara langsung melanggar kepercayaan agama mereka. Rejim China telah mengubah Turkistan Timur menjadi penjara terbuka, di mana pihak berkuasa memantau keluarga, perniagaan dan tempat ibadat Uyghur dengan ketat. Malah sebarang kecurigaan tentang amalan berpuasa boleh membawa kepada soalsiasat, gangguan, atau penangkapan. Pihak berkuasa China telah menganjurkan pesta-pesta minum alkohol di seluruh Turkistan Timur untuk memastikan orang Uyghur tidak menyambut Ramadan yang mulia ini.

Beberapa masjid yang berbaki di Turkistan Timur dikawal ketat, dan majlis-majlis berbuka/iftar sering diharamkan atau tidak digalakkan. Memakai pakaian keagamaan, mengajar agama Islam kepada kanak-kanak, atau sekadar menyatakan kepercayaan seseorang boleh dilabelkan sebagai memiliki “tanda ekstremisme” – tuduhan yang telah membawa kepada tahanan besar-besaran warga Uyghur di kem-kem konsentrasi di China.
Akibat daripada dasar-dasar yang menindas ini amat dahsyat. Generasi kanak-kanak Uyghur yang tidak tahu hala tujunya sedang diasimilasikan secara paksa, dipisahkan daripada keluarga mereka, dan dibesarkan tanpa identiti agama dan budaya mereka. Warga diaspora Uyghur dalam buangan hidup dalam penderitaan, mengetahui bahawa orang yang mereka sayangi di tanah air mereka tidak boleh mengamalkan kepercayaan mereka dengan bebas. Ramai yang terputus hubungan dengan keluarga mereka sepenuhnya, tidak pasti sama ada mereka masih hidup atau dipenjarakan dalam rangkaian “kem-kem konsentrasi” China yang luas. Bagi kebanyakan orang Uyghur, pilihannya jelas: meninggalkan kepercayaan agama mereka atau berisiko dianiaya, dipenjarakan, atau berdepan hukuman yang lebih teruk. Puasa – sebuah usaha penyucian rohani – telah menjadi protes senyap terhadap rejim autoritarian yang bertekad untuk memadamkan kepercayaan dan identiti seluruh warga Uyghur. Kerajaan China sengaja memutuskan hubungan mereka dengan Islam, menggantikan warisan mereka dengan ideologi komunis dan cauvinis yang dipaksakan oleh kerajaan.
Tindakan keras PKC terhadap puasa bukanlah dasar terpencil—ia adalah sebahagian daripada kempen genosid budaya yang lebih luas terhadap orang Uyghur dan didokumentasikan. Di samping asimilasi paksa kanak-kanak, pemenjaraan beramai-ramai, buruhpaksa, pemandulan paksa, dan perkahwinan paksa, serangan China terhadap kebebasan beragama warga Uyghur adalah satu usaha terancang untuk merobohkan keseluruhan identiti etnik dan agama mereka.
Masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri. Kerajaan-kerajaan, organisasi-organisasi hak asasi manusia dan para pemimpin agama mesti mengambil pendirian menentang pencabulan hak asasi manusia yang dahsyat ini. Khususnya, negara-negara majoriti Islam, institusi dan organisasi Islam, dan umat Islam mesti mengambil tindakan sebenar dan bermakna. Sekadar kata-kata kutukan dan kecaman tidak memadai; mesti diikuti tindakan-tindakan konkrit.
Pertama, sekatan/sanksi yang kebih kuat: kerajaan mesti mengenakan hukuman yang lebih keras ke atas para pegawai China yang bertanggungjawab atas pelanggaran hak asasi manusia.
Kedua, tekanan diplomatik: PBB dan para pemimpin global mesti menuntut akses tanpa had ke wilayah Uyghur untuk menyiasat jenayah ini.
Ketiga, sokongan untuk suara Uyghur: Para aktivis Uyghur dan komuniti diaspora dalam buangan memerlukan perpaduan global, perlindungan undang-undang dan platform untuk berkongsi kisah dan penderitaan mereka.
Kebebasan beragama bukanlah satu keistimewaan, ia adalah hak. Kemampuan untuk berpuasa, berdoa, dan berkepercayaan tidak boleh ditapis dan disekat oleh kerajaan. Dunia mestilah berdiri bersama orang Uyghur, bukan sahaja dengan kata-kata tetapi juga dengan tindakan. Perjuangan untuk keadilan, maruah dan kebebasan beragama di Turkistan Timur bukan sekadar perjuangan Uyghur – ia adalah perjuangan hak asasi manusia global yang melibatkan kita semua.
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara