Kerajaan-kerajaan liberal cuba menarik orang keluar dari agama melalui indoktrinasi halus; China pula menggunakan kaedah yang jauh lebih tidak berperikemanusiaan.
oleh Abdulhakim Idris.
Genosid Uyghur di Turkistan Timur — dipanggil Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang atau XUAR) — oleh Parti Komunis China (PKC) telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Salah satu kesan terbesar daripada proses genosid ini tidak diragukan lagi adalah penyah-agamaan (de-religionisation) umat Islam Uyghur.
Rejim itu telah menyumbat Muslim Uyghur dan Kazakh ke dalam kem tahanan, memandulkan wanita mereka secara paksa, mengasingkan kanak-kanak daripada keluarga mereka dan menempatkan mereka di rumah anak yatim kerajaan, memenjarakan ulama yang mengajar Islam, dan mengharamkan sumber-sumber rujukan Islam.
Ia juga telah memusnahkan bangunan keagamaan seperti makam dan tanah perkuburan, merobohkan masjid atau mengubahnya menjadi tempat hiburan seperti bar dan kafe, dan memecahkan keluarga Uyghur Muslim melalui hukuman demi hukuman.
Ini semua untuk satu tujuan: untuk memadamkan jejak-jejak agama di Tanah Air Uyghur.
Artikel ini akan mengkaji penyah-agamaan oleh PKC terhadap Muslim Uyghur dalam rangka pelbagai tindakan kerasnya yang kejam.
Kempen serangan rasmi kerajaan yang holistik sejak 2014
Pertama, perlu diingatkan bahawa sebuah kempen serangan yang meresahkan telah berlaku sejak 2014, yang menyasarkan penduduk Muslim Uyghur.
PKC telah mengatur dan menjalankan operasi besar-besaran yang telah mengakibatkan penahanan sewenang-wenangnya (arbitrary detention) dianggarkan lebih tiga juta orang Uyghur dan Kazakh.
Individu-individu ini telah dikurung dalam apa yang dilabelkan oleh pihak berkuasa China sebagai “pusat latihan vokasional”, tetapi pada hakikatnya ia adalah yang diiktiraf dunia sebagai kem tahanan. [1]
Skala penahanan ini sangat mengejutkan, dengan sehingga satu daripada enam orang dewasa Uyghur dipenjarakan pada satu masa.
Tempoh pemenjaraan ini selalunya berlaku tanpa tuduhan atau perbicaraan, kerana tingkah laku yang tidak berbahaya seperti memakai pakaian tradisional, menyimpan janggut, atau berkomunikasi dengan keluarga di luar negara.
Arahan kerajaan yang dibocorkan mendedahkan bahawa walaupun tindakan kecil, seperti “mempunyai lebih daripada tiga anak” adalah alasan yang mencukupi untuk penahanan ini.
Sistem tahanan beramai-ramai dan indoktrinasi paksaan ini adalah asas kepada strategi kerajaan China untuk mengasimilasikan orang Uyghur secara paksa dan menghapuskan identiti agama dan budaya mereka yang unik lagi tersendiri.
Dalam usaha untuk membentuk semula kepercayaan mereka, tahanan terpaksa berjanji setia kepada Parti, meninggalkan Islam, mempelajari ateisme, bahasa Mandarin, dan menyanyikan lagu-lagu yang mengagungkan komunisme.
Hukuman kerana bercakap dengan bahasa ibunda mereka, mendapatkan pendidikan agama, atau terlibat dalam amalan agama seperti solat, adalah berat.
Pemandulan paksa wanita Uyghur
Perkara kedua ialah pemandulan paksa wanita Uyghur.
Program kejam yang dicipta dan direka ini merupakan aspek penting yang dikenalpasti oleh ramai pemerhati antarabangsa seperti Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) dan organisasi hak asasi manusia lain sebagai jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid terhadap orang Uyghur, Kazakh dan Muslim Turk yang lain di Wilayah Uyghur tersebut. [2] [3]
Dan amalan itu adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas oleh PKC untuk mengawal dan mengurangkan pertumbuhan populasi Uyghur, yang kebanyakannya beragama Islam dan berbeza dari segi budaya daripada orang Cina Han.
Dengan menghalang wanita Uyghur daripada melahirkan anak, PKC dengan berkesan telah mencuba untuk memadamkan generasi Uyghur yang seterusnya. [4] [5]
Ini bukan sahaja memberi kesan kepada susunan demografi di rantau ini tetapi juga mengancam kesinambungan amalan budaya dan agama orang Uyghur, yang merupakan sebahagian daripada identiti mereka.
Testimoni mangsa yang terselamat di kem tahanan menggambarkan penderitaan yang tidak terkata yang disebabkan oleh pemandulan paksa.
Zumrat Dawut
Bagi Zumrat Dawut, mimpi ngeri itu bermula dengan ketukan di pintu.
Hatinya berdegup kencang apabila dia dipanggil ke klinik tempatan, fikirannya berpusing dengan khabar angin yang telah beredar seperti awan gelap ke atas komunitinya.
Di dalam dinding-dinding steril, dia telah dilucutkan daripada autonominya sendiri, badannya tertakluk kepada prosedur invasif kerajaan.
Kesakitan pembedahan itu tidak ada apa-apanya jika dibandingkan dengan keperitan apabila mengetahui dia tidak akan lagi membuai bayi yang baru lahir dalam pelukannya. [6]
Gulnar Omirzakh
Gulnar Omirzakh, ibu kepada tiga orang anak, merasakan beratnya keputusan rasmi kerajaan itu seperti tali gantung yang menjerut keluarganya. [7]
Para pegawai datang membawa segala ancaman, janji dari mereka bahawa dia akan ditahan jika dia tidak mematuhinya.
IUD yang mereka paksakan ke atasnya adalah lebih daripada alat; ia adalah mesej bahawa rahimnya bukan lagi miliknya.
Pemandulan paksa itu samalah seperti genosid yang dilakukan secara senyap, menghapuskan keupayaan orang Uyghur untuk mewariskan kepercayaan mereka, tradisi mereka, identiti mereka, secara sistematik. [8]
Pemisahan kanak-kanak Uyghur daripada ibubapanya
Strategi PKC juga melibatkan pengasingan paksa kanak-kanak Uyghur daripada ibu bapa mereka, yang kebanyakannya telah ditahan di kem tahanan atau dipaksa menjadi buruh paksa. [9]
Kanak-kanak ini ditempatkan di rumah anak yatim atau sekolah berasrama kerajaan, institusi yang direka bukan untuk mengasuh, tetapi untuk mengindoktrinasi.
Di sini, di bawah pengawasan pengendali mereka, mereka diajar untuk melupakan bahasa ibunda mereka, tradisi mereka, dan kepercayaan mereka, dan sebaliknya menerima identiti baharu yang dicipta oleh negara. [10]
PKC, dengan cengkaman besi dan cita-cita tanpa henti, telah menjadikan tanah ini diselubungi kegelapan, bukan sahaja untuk mengawal tetapi untuk mengubahnya sekaligus.
Sasaran mereka? Hati dan minda kanak-kanak Uyghur — masa depan orang yang kewujudannya berkait rapat dengan Islam dan tradisi berabad-abad lamanya.
Menurut pelbagai sumber, bilangan kanak-kanak Uyghur yang terjejas oleh dasar ini adalah besar.
Amnesty International telah mendokumentasikan pengalaman ibu bapa Uyghur dalam buangan yang telah dipisahkan daripada anak-anak mereka, menzahirkan kesan emosi dan psikologi daripaa perpisahan tersebut. [11]
Selain itu, laporan mencadangkan bahawa sehingga 900,000 kanak-kanak Uyghur telah ditempatkan di institusi ini, di mana mereka tertakluk kepada usaha asimilasi budaya oleh kerajaan China. [12]
Mihriban & Ablikim
Kisah Mihriban dan Ablikim berpegang pada harapan bahawa jarak akan melindungi anak-anak mereka. [13]
Melarikan diri ke Itali, mereka meninggalkan anak kecil mereka dengan datuk dan neneknya, mempercayai keselamatan keluarganya.
Tetapi apabila mereka sendiri ditahan, kanak-kanak itu telah diambil dan ditempatkan di rumah anak yatim milik kerajaan, sekolah di mana kepolosan dan kemurnian digantikan demi taat setia kepada Parti Komunis.
Terdesak, ibu bapa mereka cuba mendapatkan semula mereka, tetapi setiap percubaan telah digagalkan, kanak-kanak itu diragut oleh tangan yang dingin dan tidak berperasaan.
Mukerrem Mahmud
Mukerrem Mahmud terlalu mengetahui kuasa dan kemampuan negara itu. [14]
Selepas ibu bapanya diambil, adik-adiknya yang kecil dihantar ke sekolah berasrama penuh – tempat yang dipamerkan kononnya sebagai ‘peluang’ tetapi sebenarnya, adalah penjara kepada jiwa dan nurani.
Di sana, di bawah samaran ‘pendidikan’, kanak-kanak Uyghur, seperti adik-beradik Mukerrem, bukan sahaja diajar tetapi dibuat semula menjadi replika warga Komunis yang sempurna.
Agama adalah satu relik peninggalan, tradisi ialah satu penghalang (bagi komunis).
Menyasarkan ulama-ulama Islam
Satu lagi bahagian penyahagamaan Muslim Uyghur menyasarkan ulama Islam. [15]
China telah mengalihkan pandangannya ke arah para pemimpin agama dan ulama yang berdiri sebagai tonggak masyarakat mereka.
Pendekatan PKC dengan ulama melibatkan pemenjaraan tokoh-tokoh berpengaruh di bawah dalih pertuduhan seperti “ekstremisme” dan “aktiviti haram keagamaan”.
Sejak 2014, pelbagai laporan telah mendokumenkan sekurang-kurangnya 1,046 kes tokoh agama berbangsa Turk yang ditahan, kebanyakannya telah menerima hukuman penjara yang berat.
PKC telah menjenayahkan amalan agama yang biasa, seperti pengajaran agama dan sembahyang yang berlaku di luar masjid yang diluluskan kerajaan, melabelkannya sebagai “aktiviti ekstimis”.
Imam Oken Mahmet
Imam Oken Mahmet telah mendedikasikan hidupnya untuk ajaran Islam, mewariskan kebijaksanaan berzaman kepada generasi seterusnya. [16]
Tetapi apabila pelajarannya menyimpang dari naratif yang dibenarkan oleh kerajaan, dia menjadi seorang lelaki sasaran. Tak lama kemudian, dia diambil oleh pihak berkuasa, meninggalkan sebuah kekosongan yang tidak dapat diisi dengan mudah.
Para imam dan pemimpin agama telah lama menjadi penjaga kepercayaan Uyghur, mewariskan ilmu dari generasi ke generasi. Tetapi kini, mereka menjadi sasaran – ditahan, dibungkam, dipadamkan.
Ini telah mewujudkan sebuah iklim ketakutan, di mana walaupun yang paling alim dipaksa menyembunyikan iman mereka, dipaksa untuk membenamkan kepercayaan mereka jauh di dalam, tempat di mana tiada siapa yang dapat melihatnya.
Pemusnahan beribu-ribu tapak bersejarah Uyghur
Kempen serangan PKC tidak terhenti kepada para pemimpin ini sahaja.
Keluarga-keluarga juga telah diseret ke dalam jaringan penindasan ini. Dengan menyasarkan orang yang disayangi olehtokoh agama yang disebutkan di atas, Parti ini berusaha untuk mematahkan semangat mereka, untuk memadamkan sebarang usaha penentangan.
Dan ia berfungsi sebagai hukuman dan amaran — tiada siapa yang berada di luar jangkauan rejim.
Tindakan keras China bukan sahaja menyasarkan orang, tetapi juga tapak bersejarah dan keagamaan di Tanah Air Uyghur, yang menzahirkan agama Islam.
Sejak 2016, ia telah melancarkan serangan ke atas masjid, makam suci dan tanah perkuburan yang selama berabad-abad menjadi nadi kehidupan keagamaan dan budaya Uyghur.
Angka yang lebih tepat adalah mengejutkan — beberapa laporan mengandaikan lebih 16,000 masjid dan tempat suci Islam telah musnah atau rosak teruk. [17]
Masjid Besar Kargilik
Masjid ini, yang dibina sekitar 1540M/946H, lebih daripada sekadar tempat ibadat. Ia adalah simbol sebenar ketabahan orang Uyghur. [18]
Meskipun demikian, PKC tetap merobohkannya pula. Sejarah lebih 500 tahun lerai menjadi debu.
Masjid Keriya Id Kah
Dan masjid ini — lebih tua daripada Kargilik dengan pintu gerbang bersejarahnya sejak sekitar 1200M/596H — merupakan satu lagi mangsa kempen serangan tanpa henti PKC. [19]
Kehilangan masjid ini bukan hanya satu tamparan kepada orang Uyghur, tetapi kepada kemanusiaan secara keseluruhan – sebahagian daripada warisan budaya kita yang dikongsi, kini hilang selama-lamanya.
Abide Abbas berada jauh dari rumahnya apabila dia melihat imej-imej itu: masjid tempatannya, tempat dia pernah berlutut dalam solatnya, hancur kepada ketiadaan. [20]
Kini menetap di Turki, kesedihan Abide amat meruntun hati.
Ia bukan hanya sebuah bangunan yang dimusnahkan, tetapi cebisan masa lalunya, pautan kepada nenek moyangnya, hubungannya dengan kepercayaannya.
Kesakitan yang dirasakannya umpama sebuah mikrokosmos penderitaan Uyghur yang lebih luas.
Buku-buku dan bahasa Uyghur dipadamkan
Aspek genosid Uyghur ini berkaitan dengan pengharaman dan pemusnahan buku pendidikan agama. Hatta perkataan bertulis pun tidak lagi selamat. [21]
Kerajaan China telah mengharamkan pengajaran agama di semua peringkat pendidikan, menjadikan pemilikan bahan-bahan ilmu Islam terlarang.
Buku-buku yang pernah membimbing Uyghur dalam iman mereka, yang memberikan ketenangan dan kebijaksanaan, kini dirobek, dibakar, dan dibuang seperti sampah.
Dan penghapusan budaya dan agama ini melangkaui buku dan para pemimpin, bahasa Uyghur sendiri sedang terkepung.
Kesimpulan
Dengan semua pemacu pelbagai aspek untuk menghapuskan orang Uyghur, impak sosial dan psikologi daripada genosid budaya ini tidak dapat diukur (kerana terlalu dahsyat).
Orang Uyghur bukan sahaja kehilangan buku-buku mereka, para pemimpin mereka, atau tempat ibadat mereka — mereka kehilangan identiti mereka, dan yang paling pentingnya ialah kepercayaan mereka.
Kesimpulannya, kempen serangan Parti Komunis China menentang orang Uyghur adalah lebih daripada sekadar konflik politik; ia adalah perang terhadap esen sebuah agama.
Matlamat PKC adalah jelas: untuk membentuk generasi yang tidak tertambat dari masa lampaunya, tidak menyedari asal-usulnya, dan melupakan doa-doa yang satu masa dulu pernah membimbing nenek moyangnya.
Kita tidak sepatutnya membuat kesilapan, genosid budaya ini bukan sekadar jenayah terhadap Uyghur; ia adalah jenayah terhadap warisan kolektif dunia — tragedi yang menuntut perhatian dan tindakan segera daripada masyarakat global.
Ketika orang Uyghur berada di ambang pemadaman, dunia mesti memutuskan: adakah ia akan duduk diam saja apabila sesebuah budaya lenyap, atau adakah ia akan bangkit untuk mengekalkan memori, akidah, dan identiti orang yang kisahnya masih jauh dari garis penamat?
**
Diterjemahkan untuk Pusat Kajian Uyghur. Artikel asal dalam bahasa inggeris boleh dibaca di sini.
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara