Siaran Akhbar CUS
Untuk Sebaran Segera
31 Ogos 2024
Contact@Uyghurstudy.org
Uyghurstudy.org
Washington, D.C. — Dua tahun telah berlalu sejak Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan sebuah laporan yang mendokumentasikan pelanggaran hak asasi manusia yang teruk dan potensi jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan oleh kerajaan China terhadap orang Uyghur dan orang Muslim Turk lain di Turkistan Timur. Di sebalik pendedahan yang membimbangkan ini, masyarakat antarabangsa gagal mengambil tindakan yang signifikan untuk menangani genosid yang sedang dan masih berlaku ini.
Dikeluarkan pada 31 Ogos 2022, laporan oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR), menyimpulkan bahawa tindakan kerajaan China terhadap Uyghur dan rakyat Turki yang lain “berkemungkinan membentuk jenayah antarabangsa, termasuk jenayah terhadap kemanusiaan.” Laporan itu menyerlahkan penahanan sewenang-wenangnya dan diskriminasi, dakwaan yang dipercayai tentang wujudnya penyeksaan, pemandulan paksa, keganasan bersifat seksual dan yang berasaskan jantina, dan penguatkuasaan dasar perancangan keluarga secara paksa. Laporan itu juga mengkritik penyalahgunaan undang-undang yang dinamakan “anti-keganasan” China untuk menghalalkan tindakan ini dan menyekat kebebasan asasi dengan dahsyat, termasuk kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan kebebasan pergerakan.
Meskipun dengan desakan demi desakan untuk campur tangan segera, Majlis Hak Asasi Manusia PBB gagal bertindak, apabila undian untuk membincangkan laporan itu disekat—sebahagian besarnya disebabkan oleh tentangan daripada beberapa negara majoriti Muslim. Kegagalan ini menzahirkan kesukaran masyarakat antarabangsa untuk mempertanggungjawabkan China (atas jenayah yang dilakukan), dan menzahirkan juga wujudnya penafian mengenai Genosid Uyghur dalam dunia Islam yang meresahkan.
Situasi orang Uyghur masih kekal dalam keadaan teruk. Berjuta-juta orang Uyghur ditahan di kem tahanan dan fasiliti buruh paksa, ditambah dengan bukti yang tersebar luar mengenai kanak-kanak dipisahkan secara paksa daripada keluarga mereka. Tindakan China juga telah melampaui kepada genosid budaya yang lebih luas, ketikamana bahasa, agama, dan identiti orang Uyghur terus ditindas secara agresif.
Pengarah Eksekutif Abdulhakim Idris menekankan keperluan untuk tindakan global: “Masyarakat antarabangsa mesti mengambil langkah segera dan konkrit untuk menangani kekejaman ini. Ini termasuk menyokong tindakan undang-undang untuk membawa para pegawai kerajaan China ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), mengenakan sekatan (sanction) yang berfokus, dan meningkatkan tekanan diplomatik terhadap mereka. Advokasi yang berterusan untuk hak asasi manusia dan kebebasan beragama adalah penting untuk memastikan isu penderitaan Uyghur kekal berada dalam agenda global.”
Dua tahun telah berlalu, dan sudah menjadi sebuah kepentingan bagi komuniti global bergerak melangkaui batas kata-kata saja dan mengambil tindakan tegas untuk menamatkan Genosid Uyghur. Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja menjejaskan norma hak asasi manusia antarabangsa tetapi juga menjadika pelaku jenayah tersebut semakin berani. Pusat Kajian Uyghur menyeru kerajaan-kerajaan, organisasi antarabangsa, dan masyarakat sivil untuk bersatu dalam menuntut keadilan dan pertanggungjawaban untuk orang Uyghur.
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara