• Washington DC
Ikut kami:

Undang-undang Perpaduan Etnik Baharu China: Rangka Tindakan Undang-undang untuk Penghapusan Budaya

Oleh Abdulhakim Idris

Hari ini, 1 Julai 2026, “Undang-undang Penggalakan Perpaduan dan Kemajuan Etnik” baharu China mula berkuat kuasa. Diluluskan oleh Kongres Rakyat Kebangsaan pada 12 Mac 2026, undang-undang ini dibentangkan oleh Beijing sebagai langkah untuk mengukuhkan perpaduan negara dan mempromosikan pembangunan dalam kalangan kumpulan etnik di China. Namun hakikatnya, ia menandakan sesuatu yang jauh lebih memberi kesan: pengekodan rasmi model tadbir urus asimilasi yang telah dibangunkan secara berterusan sepanjang dekad yang lalu. Daripada memperkenalkan dasar baharu sepenuhnya, ia mengubah apa yang sebelum ini dilaksanakan melalui kempen politik, arahan pentadbiran, dan eksperimen serantau menjadi rangka kerja undang-undang negara yang kekal. Dengan berbuat demikian, ia meluaskan prinsip-prinsip yang telah mentakrifkan dasar China terhadap masyarakat Uyghur, Tibet, Mongolia, dan komuniti bukan Han yang lain melangkaui Turkistan Timur (juga dipanggil Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang) dan Tibet, lantas membenamkan asimilasi budaya sebagai kewajipan undang-undang negara China.

Selama beberapa dekad, hubungan perundangan antara Republik Rakyat China (PRC) dan populasi etniknya ditadbir secara nominal oleh Undang-undang Autonomi Etnik Serantau 1984. Walaupun Parti Komunis China (PKC) dalam sejarahnya mengekalkan kawalan mutlak ke atas semua populasi etnik, undang-undang 1984 tersebut mengiktiraf hak etnik minoriti untuk menguruskan hal ehwal tempatan dan melindungi warisan budaya mereka, sekurang-kurangnya di atas kertas. Undang-undang perpaduan etnik 2026 yang baharu ini secara berkesan menamatkan era tersebut. Dengan beralih daripada “autonomi etnik serantau”, Beijing telah memberi isyarat bahawa “bangsa China” (Zhonghua minzu, 中华民族) bukan lagi sebuah kesatuan kumpulan etnik yang pelbagai, tetapi sebuah negara yang tegar berpusatkan bangsa Han.

Perundangan baharu ini adalah kemuncak evolusi dasar kerajaan China selama sedekad yang beralih daripada rangka kerja undang-undang pasca-1949, yang pada asalnya dimodelkan berpandukan pentadbiran etnik gaya Soviet. Pihak berkuasa China kini menerima sepenuhnya apa yang diistilahkan oleh ahli akademik sebagai “politik etnik generasi kedua,” satu pendekatan yang menekankan identiti kebangsaan tunggal dan besar berbanding kepelbagaian budaya.

Ahli akademik China yang berpengaruh seperti Ma Rong, Hu Angang, dan Hu Lianhe telah lama menyokong penerimaan dasar-dasar ini, dengan berhujah untuk “penyahpolitikan” etnik dan mempromosikan secara agresif tindakan pencairan dan pengubahan pelbagai identiti budaya secara sistematik agar menjadi satu keseluruhan kebangsaan. Para akademik China ini mencadangkan bahawa pengekalan perbezaan etnik, walaupun dalam erti kata simbolik, menimbulkan risiko eksistensial kepada perpaduan negara. Undang-undang baharu ini secara rasmi mengekodkan teori ini, memberikan mandat supaya ciri-ciri unik etnik ditinggalkan demi mengutamakan norma budaya yang berpusatkan Han berserta penguasaan linguistiknya.

Struktur undang-undang baharu ini mencerminkan rasional ideologi ini. Bahagian utama dalam perundangan 2026 tersebut mengelakkan kategori undang-undang yang berfungsi secara standard, sebaliknya memilih retorik ideologi seperti “Membina Rumah Spiritual Bersama“, yang diambil terus daripada ucapan Xi Jinping. Kekaburan sempadan antara arahan Parti dan undang-undang negara ini menggambarkan bagaimana ideologi asimilasi kerajaan China telah meresap ke dalam seni bina undang-undang negara, bagi memastikan seluruh jentera negara dan masyarakat digerakkan untuk mencapai matlamat asimilasi.

Pegawai China memperkenalkan Undang-undang Penggalakan Perpaduan dan Kemajuan Etnik semasa sidang akhbar yang diadakan oleh Pejabat Penerangan Majlis Negara di Beijing pada 24 Jun 2026. Sumber: Halaman Facebook CCTV Chinese.

Pempersenjataan Dasar Linguistik dan Budaya

Perkara 15 dalam Undang-undang tersebut mewajibkan penggalakan meluas bahasa Mandarin standard. Ia secara jelas menyatakan bahawa sekolah dan institusi pendidikan mesti menggunakan “bahasa kebangsaan” (Guoyu, 国语) sebagai “bahasa dan abjad utama untuk pendidikan dan latihan”. Peruntukan ini membatalkan perlindungan terdahulu, seperti di dalam Akta 1984, yang menyediakan ruang untuk pendidikan bahasa minoriti.

Mandat ini bertepatan dengan semakan Disember 2025 bagi Akta Bahasa Cina Lisan dan Bertulis Standard, yang memansuhkan baki peruntukan yang membenarkan bahasa minoriti digunakan sebagai bahasa pengantar utama. Bagi populasi seperti bangsa Uyghur, peralihan ini terus memutuskan generasi muda daripada sejarah dan kesusasteraan mereka, yang sememangnya telah pun tertakluk kepada pemisahan keluarga secara paksa. Dengan melarang sebarang tindakan yang “menghalang” pembelajaran bahasa Mandarin, undang-undang tersebut memberikan pihak berkuasa tempatan dalih yang luas untuk menghukum pendidik, peguam bela, atau ibu bapa yang mengutamakan pendidikan bahasa ibunda, dengan melabelkan tindakan mereka ini sebagai tindakan penentangan politik.

Menghalalkan Kawalan Sosial dan Pengawasan Keluarga

Undang-undang ini mengubah unit keluarga menjadi instrumen asimilasi negara. Perkara 20 mengenakan kewajipan yang ketat ke atas ibu bapa dan penjaga untuk menyemai nilai-nilai “pro-negara” dan melarang mereka daripada mengajar idea-idea yang dianggap “memudaratkan perpaduan dan kemajuan etnik”. Memandangkan undang-undang tidak mentakrifkan secara jelas maksud idea “memudaratkan”, biro keselamatan awam dan pegawai tempatan mempunyai budi bicara yang hampir tidak terbatas untuk menguatkuasakan peruntukan ini.

Berdasarkan duluan (precedents) sejarah mengenai penguatkuasaan dasar etnik oleh para pegawai China, kita dapat melihat bahawa kekaburan ini sengaja dibiarkan untuk tujuan strategik. Kekaburan dalam undang-undang ini memberikan pihak berkuasa alasan undang-undang untuk menghukum ibu bapa kerana sekadar mengamalkan tradisi budaya di dalam ruang peribadi kediaman mereka, atau kerana menyampaikan sejarah dan warisan budaya yang tidak selaras dengan naratif rasmi kerajaan China.

Tambahan pula, Perkara 54 menggalakkan langkah pengawasan bersifat kejam seperti membenarkan rakyat melaporkan tingkah laku yang “menjejaskan perpaduan etnik.” Peruntukan ini menggalakkan jiran, rakan sekerja, dan juga kanak-kanak untuk mengawasi ahli keluarga mereka serta orang di sekeliling. Dengan mengubah rakyat biasa menjadi pemberi maklumat, undang-undang ini memastikan bahawa sebarang cubaan bagi pemeliharaan budaya tidak lagi digalakkan dan akan dianggap sebagai usaha yang berbahaya. Mekanisme ini meniru dinamik “Revolusi Kebudayaan”, lantas membenamkan sifat syak wasangka dan pematuhan hingga ke lapisan paling dalam pada struktur komuniti dan keluarga.

Penindasan Transnasional

Perkara 63 dalam perundangan baharu ini sepatutnya membangkitkan isyarat bahaya serta-merta bagi komuniti antarabangsa, di mana ia menegaskan bidang kuasa undang-undang ke atas individu dan organisasi di luar China. Ia menuntut bidang kuasa untuk mendakwa sesiapa sahaja di luar negara yang dianggap “menjejaskan perpaduan etnik.”

Ini mengubah “Akta Perpaduan dan Kemajuan Etnik” menjadi alat penindasan transnasional. Beijing kini boleh secara sah menyasarkan ahli diaspora Uyghur, Tibet, organisasi hak asasi manusia antarabangsa, wartawan asing, dan ahli akademik yang menetap di negara-negara demokratik. Peruntukan ini menyifatkan sokongan antarabangsa terhadap hak asasi manusia bagi kumpulan etnik di China sebagai satu pelanggaran jenayah ke atas keselamatan negara China. Ia secara berkesan memaksa individu yang tinggal di luar China untuk membuktikan sokongan mereka terhadap definisi “perpaduan” Beijing atau terpaksa berdepan dengan potensi tindak balas terhadap ahli keluarga mereka yang berada di China.

Jangkauan di luar sempadan sebegini bukan semata-mata hal pentadbiran dalaman; ia merupakan satu cabaran kepada kedaulatan negara lain. Ia memaksa kerajaan asing untuk menguruskan kehadiran pengaruh negara China di dalam sempadan mereka sendiri dan menyediakan justifikasi perundangan untuk gangguan terhadap komuniti minoriti di seluruh dunia.

Eksploitasi Ekonomi dan Kejuruteraan Demografi

Undang-undang ini kerap menekankan “pembangunan,” “kerjasama antara wilayah,” dan “pengurangan kemiskinan.” Walau bagaimanapun, dalam konteks tanah air Uyghur, konsep-konsep ini sangat berkait rapat dengan pemindahan buruh yang dimandatkan oleh negara serta kejuruteraan demografi. Undang-undang 2026 ini memberikan perlindungan undang-undang yang kekal untuk sistem-sistem ini, yang digambarkan oleh pakar sebagai “buruh paksa berstruktur.”

Tanpa mempunyai sebarang hak atau kuasa yang bermakna untuk menolak tugasan daripada kerajaan, kumpulan sasaran dipantau oleh sistem pengawasan seperti Platform Operasi Bersama Bersepadu (Integrated Joint Operations Platform – IJOP). Menolak penugasan pemindahan kerja boleh mengakibatkan seseorang itu dilabel sebagai “tidak boleh dipercayai” atau “pelampau,” yang boleh membawa kepada penahanan. Selain itu, undang-undang tersebut menggalakkan penghijrahan penjajah Cina Han ke wilayah etnik minoriti, satu dasar yang mengubah keseimbangan demografi secara berkesan dan menjejaskan kepadatan budaya orang Uyghur, Tibet, dan kumpulan etnik yang lain.

Konteks Geopolitik: Ontologi Ketidakselamatan

Dasar asimilasi agresif kerajaan China boleh dianalisis melalui rangka kerja teori “Pencarian Ontologi untuk Keselamatan.” Teori hubungan antarabangsa mencadangkan bahawa sesebuah negara bukan sahaja mencari keselamatan fizikal dan wilayah, tetapi juga kestabilan identiti diri yang koheren. Bagi negara China, kewujudan berterusan identiti etnik yang unik dan mampu melawan arus, seperti identiti Muslim Turkik bagi bangsa Uyghur atau identiti Buddha bagi orang Tibet, dianggap sebagai ancaman eksistensial terhadap naratif masyarakat tunggal dan bersatu (Zhonghua minzu).

Pendekatan China terhadap tadbir urus etnik telah dikategorikan oleh sebahagian sarjana sebagai bentuk “penggenggaman diri” yang memusnahkan. Usaha gigih kerajaan China untuk memastikan wujudnya identiti yang koheren bukanlah fungsi tatanan politik stabil yang tidak dapat dielakkan; sebaliknya, ia adalah satu keperluan yang melahirkan ketidakpercayaan, paksaan, dan pergeseran. Dengan cuba mendapatkan satu identiti kebangsaan tunggal melalui pemusnahan kepelbagaian secara paksa, kerajaan China secara tidak sengaja menghasilkan ketidakselamatan ontologi yang mendalam. Pengenaan identiti berpusatkan Han yang diagresifkan secara “atas-ke-bawah” ini terus memburukkan lagi rintihan orang-orang yang telah dianiaya dalam sejarah seperti etnik Uyghur dan Tibet. Dinamik ini memerangkap wilayah-wilayah seperti Turkistan Timur (juga dikenali sebagai Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang) ke dalam kitaran pengetatan keselamatan yang berterusan.

Implikasi Geopolitik dan Tindak Balas Antarabangsa

Kerajaan China telah memasarkan model tadbir urusnya secara aktif. Para diplomat China telah membentangkan idea “kestabilan melalui asimilasi” kepada negara-negara lain yang turut bergelut dengan konflik hubungan etnik, memasarkan integrasi keselamatan sebagai sebuah alat yang berkesan untuk memerangi ekstremisme dan menguruskan permodenan ekonomi.

Pada April 2026, gabungan lapan Pelapor Khas PBB memberi amaran bahawa undang-undang tersebut mengekodkan pendekatan asimilasi bersifat atas-ke-bawah yang merangkumi seluruh negara yang mana hal ini melanggar perjanjian antarabangsa, termasuklah Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan serta Konvensyen Hak Kanak-Kanak. Pakar-pakar PBB menegaskan bahawa undang-undang tersebut memusatkan kuasa tafsiran terhadap ekspresi budaya dan mencampuri hak pendidikan keluarga, melanggar “hak populasi minoriti untuk mengejar pembangunan sosial, budaya, dan linguistik.”

Parlimen Eropah telah bertindak balas secara agresif dengan meluluskan satu resolusi pada 30 April 2026, yang mengutuk undang-undang tersebut. Penggubal-penggubal undang-undang menekankan bahawa skop luar sempadan akta tersebut merupakan bentuk tekanan transnasional yang serius di mana ia mengancam kedaulatan negara-negara anggota EU dan keselamatan komuniti diaspora. Resolusi tersebut menyeru Negara-negara Anggota EU untuk menggantung perjanjian ekstradisi dengan China dan menggesa pelaksanaan Rejim Sekatan Hak Asasi Manusia Global EU ke atas pihak berkuasa yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan undang-undang tersebut.

Akhir sekali, Undang-undang Penggalakan Perpaduan dan Kemajuan Etnik ini adalah merupakan rangka kerja arkitektur Parti Komunis China untuk membina sebuah negara monobudaya. Ia mewakili titik kemuncak strategi terancang untuk menyelesaikan “masalah etnik” yang dianggap wujud oleh kerajaan China, bukan melalui cara kompromi atau pluralisme, tetapi melalui penghapusan yang sistematik. Dengan mengekodkan dasar-dasar etnik “generasi kedua” ke dalam undang-undang negara, Beijing telah menjadikan badan perundangannya sebagai senjata untuk meruntuhkan asas-asas budaya, linguistik, dan agama komuniti Uyghur, Tibet, Mongolia, dan pelbagai kumpulan etnik yang lain.

Ini merupakan satu pengisytiharan rasmi mengenai penghapusan budaya yang membawa implikasi global yang mendalam. Masyarakat antarabangsa perlu sedar dan mengakui bahawa undang-undang ini adalah doktrin tadbir urus yang boleh dieksport. Tatkala Beijing galak memasarkan “model kestabilannya” kepada rejim-rejim autoritarian yang lain, undang-undang 2026 ini berfungsi sebagai satu isyarat amaran mengenai bagaimana mandat keselamatan dalam negeri boleh digunakan untuk membatalkan kedaulatan antarabangsa. Undang-undang 2026 ini bukanlah jambatan ke arah perpaduan sosial; ia sebaliknya adalah merupakan pelan tindakan yang menumpu kepada matlamat untuk meleraikan masyarakat sivil minoriti secara sah di sisi undang-undang.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara