Sempena Hari Hak Asasi Manusia: Seruan untuk Mengembalikan Maruah, Akidah, dan Kebebasan untuk bangsa Uyghur
- Home
- Liputan Akhbar
- Sempena Hari Hak Asasi Manusia: Seruan untuk Mengembalikan Maruah, Akidah, dan Kebebasan untuk bangsa Uyghur

Siaran Akhbar CUS
Untuk Siaran Segera
10 Disember 2025
Contact@Uyghurstudy.org
Uyghurstudy.org
10 Disember merupakan Hari Hak Asasi Manusia yang diasaskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memperingati penggunapakaian Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat pada tahun 1948. Ia merupakan hari yang bertujuan untuk mengingatkan dunia bahawa maruah manusia dan kebebasan asasi adalah milik semua. Setiap tahun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengetengahkan tema yang menggariskan hak sejagat yang harus dinikmati oleh semua orang. Tema tahun ini, “Human Rights: Our Everyday Essentials/Hak Asasi Manusia: Keperluan Harian Kita,” mengingatkan dunia bahawa keupayaan untuk bertutur secara bebas, beribadat secara terbuka, seseorang mempelajari bahasanya, dan hidup tanpa rasa takut, bukanlah keistimewaan, ia adalah asas kehidupan manusia.
Namun bagi orang Uyghur di Turkistan Timur, “keperluan harian” ini telah dinafikan secara sistematik. Bermula daripada kebebasan hinggalah ke maruah, orang Uyghur menghadapi kempen yang ditaja oleh negara, yang direka untuk menghapuskan identiti, membungkam akidah kepercayaan, dan merobohkan komuniti.
Bagi orang Uyghur, “kehidupan seharian” telah menjadi landskap pengawasan, penjenayahan, pemadaman, dan genosid. Aktiviti paling asas dalam kewujudan manusia: solat di masjid, bertutur dalam bahasa ibunda dengan anak-anak, atau berkomunikasi dengan saudara mara di luar negara, dihukum sebagai tindakan “ekstremisme.”
Hari Hak Asasi Manusia tahun ini membawa beban berat yang besar bagi komuniti Uyghur. Ia jatuh pada minggu peringatan dan penentangan: 9.12 menandakan Hari Pengiktirafan Genosif Uyghur, dan Jumaat ini, 12 Disember, menandakan ulang tahun ke-40 Protes Pelajar Uyghur 1985 di Urumchi. Empat puluh tahun yang lalu, pelajar Uyghur berarak untuk menuntut kesaksamaan dan kehormatan; hari ini, kita berarak pula semata-mata untuk menuntut hak untuk wujud di dunia ini.
Seperti yang diperincikan dalam laporan Oktober 2025 yang kami terbitkan, Parti Komunis China (PKC) telah melancarkan perang sistematik terhadap “keperluan” rohani orang Uyghur. Walaupun Beijing mengadakan lawatan-lawatan ala Potemkin untuk diplomat asing bagi mempamerkan versi Islam yang sudah di’bersih’kan dan ditapis oleh negara, realitinya di lapangan ialah kemusnahan ribuan masjid dan pemenjaraan para ulama cendekiawan agama.
Tambahan pula, laporan kami yang diterbitkan Ogos 2025, “Mendedahkan Kempen Propaganda China di MENA,” mendedahkan bagaimana PKC memanipulasi naratif media di seluruh dunia Islam untuk mengaburkan jenayah ini. Dengan membingkaikan genosid sebagai “anti-keganasan” dan “pembangunan,” China cuba memutuskan ikatan solidariti antara Uyghur dan dunia Islam.
Pada Hari Hak Asasi Manusia ini, Pusat Kajian Uyghur juga ingin menarik perhatian kepada penyasaran khusus wanita Uyghur. Serangan biologi terhadap badan wanita, melalui pemandulan paksa, langkah pencegahan kelahiran paksa, dan perkahwinan paksa dengan bangsa Han, merupakan jenayah terhadap kemanusiaan yang menuntut campur tangan antarabangsa dalam kadar segera.
Pengarah Eksekutif Abdulhakim Idris menyatakan, “Tema PBB tahun ini mengingatkan kita bahawa hak asasi manusia bukanlah konsep abstrak; ia adalah ‘keperluan harian’ dalam kehidupan. Namun, bagi jutaan orang Uyghur, keperluan ini telah digantikan dengan tembok kem tahanan dan kesunyian kilang buruh paksa. Pada Hari Hak Asasi Manusia ini, kami hanya menuntut pemulihan apa yang penting: maruah kami, akidah kepercayaan kami, dan masa depan kami. Dunia tidak boleh mendakwa ia menghormati hak asasi manusia dan dalam masa sama membiayai genosid yang memusnahkannya.”
Pusat Kajian Uyghur menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kerajaan-kerajaan demokratik, dan masyarakat sivil untuk:
1- Mencabar naratif: Secara aktif menentang kempen propaganda Beijing di Dunia Selatan dan negara-negara majoriti Muslim.
2- Mengakhiri persubahatan: Menguatkuasakan larangan ke atas produk yang dibuat dengan buruh paksa Uyghur, memastikan bahawa rantaian bekalan global tidak dibina atas kemusnahan sesuatu kaum.
3- Menuntut akses: Menekan China untuk membenarkan akses tanpa had ke Turkistan Timur bagi wartawan bebas untuk mendokumentasikan kemusnahan tapak keagamaan dan warisan budaya.
9 Disember 2025, dua puluh organisasi, yang terdiri daripada kumpulan-kumpulan Uyghur, rakan kongsi A.S., dan rakan kongsi antarabangsa, termasuk Pusat Kajian Uyghur, telah berkumpul di Washington, D.C., untuk memperingati Hari Pengiktirafan Genosid Uyghur di National Press Club. Organisasi-organisasi tersebut juga telah bersidang hari ini di Capitol A.S. untuk satu persidangan bertajuk “Uyghur Genocide Resistance,” yang mengesahkan semula komitmen bersatu terhadap kebenaran, keadilan, dan tindakan kolektif. Perhimpunan organisasi, pemimpin, aktivis, dan pejuang isu Uyghur ini menunjukkan keazaman berterusan bagi sebuah bangsa yang enggan dibungkam walaupun telah bertahun-tahun mengalami penindasan sistematik.
“Sebagai mangsa Komunisme, muafakat kami yang belum pernah terjadi sebelumnya yang terdiri daripada 20 organisasi di seluruh dunia meniupkan sebuah inspirasi, dan kami berterima kasih atas sokongan mereka. Ia menegaskan bahawa penderitaan rakyat Uyghur di bawah Parti Komunis China adalah perkara yang menjadi perhatian global,” kata Dr. Rishat Abbas, Presiden Uyghur Academy, dalam pembukaan persidangan ini.
Navigasi kiriman
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara