
Bulan Ramadan sepatutnya menjadi waktu yang penuh ketenangan, ibadah dan keinsafan bagi umat Islam di seluruh dunia. Namun, bagi masyarakat Uyghur di Turkistan Timur/Xinjiang, Ramadan sering kali berubah menjadi simbol penderitaan dan penindasan yang berterusan. Di bawah pemerintahan Komunis China, kebebasan beragama masyarakat Uyghur semakin disekat, khususnya ketika bulan suci ini tiba.
Laporan pelbagai organisasi hak asasi manusia menunjukkan bahawa umat Islam Uyghur berdepan larangan berpuasa, pengawasan ketat di masjid, serta ancaman hukuman jika menzahirkan amalan keagamaan. Kakitangan kerajaan, pelajar dan penjawat awam dilaporkan dipaksa makan dan minum pada siang hari Ramadan sebagai “bukti kesetiaan” kepada negara. Tindakan ini bukan sahaja mencabul hak beragama, malah merendahkan maruah insan yang menjadikan puasa sebagai rukun penting dalam kehidupan beragama.
Penindasan ini berlaku dalam konteks yang lebih luas di Turkistan Timur atau dikenali dengan nama lain Xinjiang Uyghur Autonomous Region, di mana kem konsentrasi yang dijenamakan sebagai pusat “pendidikan semula” telah diwujudkan secara besar-besaran. Jutaan Uyghur didakwa pernah atau sedang ditahan tanpa proses perbicaraan yang adil. Di kem-kem ini, amalan Islam seperti solat, membaca al-Quran dan berpuasa dianggap sebagai tanda ekstremisme. Ramadan, yang sepatutnya menyuburkan nilai kesabaran dan ketakwaan, diperlakukan sebagai ancaman keselamatan negara.
Lebih menyedihkan, keluarga dipisahkan, kanak-kanak dipaksa mengikuti sistem pendidikan yang menafikan identiti agama dan budaya mereka, manakala masjid-masjid dirobohkan atau dipantau secara berterusan. Semua ini menggambarkan usaha sistematik untuk menghakis identiti Uyghur sebagai umat Islam dan sebagai satu bangsa. Dalam suasana sedemikian, berpuasa di bulan Ramadan menjadi satu bentuk “penentangan senyap” — ibadah yang dilakukan dengan penuh ketakutan, namun tetap berpegang pada iman.
Isu penindasan Uyghur bukan semata-mata isu dalaman China – sepertimana yang cuba dibingkaikan mereka atas dasar non-intervention, tetapi hakikatnya ia adalah isu kemanusiaan sejagat. Ramadan seharusnya mengingatkan umat Islam di seluruh dunia tentang nilai empati, keadilan dan pembelaan terhadap golongan tertindas. Kesedaran, doa yang tak pernah putus buat Uyghur dan tekanan antarabangsa yang berterusan amat penting agar penindasan ini dihentikan. Selagi Ramadan disambut dalam ketakutan oleh saudara seagama kita di Turkistan Timur, selagi itulah suara keadilan perlu terus bergema.
**
Disediakan oleh, Unit Kajian, Pusat Kajian Uyghur-Malaysia.
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara
