• Washington DC
Ikut kami:

Memperingati 30 Tahun Berlalunya Genosid Srebrenica dan Mendepani Genosid Uyghur yang Masih Berterusan

Siaran Akhbar CUS
Untuk Siaran Segera
4 September 2025
Contact@uyghurstudy.org
Uyghurstudy.org

Sarajevo, Bosnia & Herzegovina – 4 September 2025 – Bersempena ulang tahun ke-30 Genosid Srebrenica, Pusat Kajian Uyghur (CUS) dan Campaign for Uyghurs (CFU) telah mengadakan sebuah persidangan antarabangsa di Sarajevo untuk memberi penghormatan kepada mangsa genosid 1995 di Srebrenica dan untuk membangkitkan kesedaran tentang genosid yang masih berterusan di Turkistan Timur.

Dengan ucapan pembukaan yang disampaikan oleh Tn. Abdulhakim Idris, Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Uyghur, persidangan ini telah menghimpunkan para penggubal dasar, cendekiawan, profesor, pelajar, usahawan, dan penduduk masyarakat Turkiye di Sarajevo, para wartawan, korban mangsa yang terselamat, dan pejuang hak asasi manusia dari seluruh Eropah, Balkan, dan negara-negara lainnya. Dalam semangat solidariti, para peserta merenungkan legasi Srebrenica yang berkekalan dan mengambil pengajaran segera daripadanya untuk mencegah kekejaman serupa berlaku hari ini.

Ucaptama telah disampaikan oleh ahli parlimen terkemuka Bosnia Šemsuddin Mehmudović dan Adi Kalem, diikuti dengan testimoni yang mengharukan daripada Pn. Kalbinur Sidik, seorang saksi Uyghur di kem konsentrasi China, yang menceritakan penderitaan dahsyat yang disaksikannya sendiri di bawah sistem penindasan yang kejam ini. Panel forum itu dikendalikan oleh Pn. Rushan Abbas, Pengarah Eksekutif CFU. Para tokoh terkenal yang terlibat dalam forum ini ialah Marco Respinti (Itali), Gjergji Thanasi (Albania), Abdulhakim Idris (AS), Abdujelil Turan (Türkiye), dan Muhammed Emin Uygur (Türkiye).

Persidangan ini meneroka tiga buah tema penting:

1- Genosid, memori, dan keteguhan diri.
2- Persubahatan global dalam kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia.
3- Alatan dan cara penentangan, dan testimoni di bawah penindasan.

Para hadirin menyatakan solidariti mereka dan berjanji untuk mengambil tindakan konkrit untuk menjadi suara bagi orang Uyghur.

Delegasi melawat Pusat Memorial Srebrenica pada 3 September 2025.

Pada 3 September, para penganjur persidangan dan penceramah menziarahi Srebrenica untuk memberi penghormatan di kawasan perkuburan ribuan mangsa genosid yang dikebumikan di sana dan melawat Pusat Memorial Srebrenica. Di sana, mereka bertemu dengan ahli Pusat Memorial itu untuk memperdalamkan pemahaman mereka tentang genosid tersebut dan pemeliharaannya dalam lipatan memori sejarah.

“Memori Srebrenica ini menuntut kita untuk tidak berdiam diri dalam menghadapi kekejaman,” kata Abdulhakim Idris, Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Uyghur. “Orang Uyghur hari ini menghadapi sebuah jenayah yang tergelap dalam sejarah. Solidariti kita adalah satu kewajipan dan merupakan sebuah seruan untuk tindakan segera.”

Dengan menjelaskan hubungkait antara tragedi-tragedi Bosnia dan Uyghur, perhimpunan bersejarah di Sarajevo ini menegaskan semula tanggungjawab moral bersama: untuk mempertahankan kebenaran, menghormati mangsa, dan mendepani keganasan autoritarian di mana-mana sahaja ia muncul. Persidangan itu diakhiri dengan seruan bersatu untuk sebuah pertanggungjawaban global dan tindakan tegas untuk menamatkan genosid Uyghur yang berterusan.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara