
Siaran Akhbar CUS
Untuk Siaran Segera
29.9.2025
Contact@Uyghurstudy.org
Uyghurstudy.org
Hari ini, Pusat Kajian Uyghur menerbitkan laporan baharunya bertajuk “Hancurkan Akarnya: Bagaimana China menggunakan Sekolah Berasrama sebagai Alat Genosid Muslim Uyghur” Laporan ini menjelaskan salah satu aspek yang paling membimbangkan namun kurang dilaporkan berkenaan dasar penindasan China terhadap orang Uyghur: sistem sekolah berasrama penuh kerajaan yang menyasarkan kanak-kanak Uyghur di Turkistan Timur (AKA Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang). Laporan ini mendokumenkan bagaimana sekolah-sekolah ini digunakan bukan sebagai pusat pembelajaran dan perkembangan, tetapi sebagai alat asimilasi paksa, yang direka untuk memadamkan identiti, bahasa dan budaya Uyghur sejak dari usia muda lagi.
Selama berabad-abad lamanya, orang Uyghur telah mengekalkan identiti budaya dan etnik yang khas buat mereka. Walau bagaimanapun, di bawah pemerintahan Parti Komunis China, kewujudan mereka terancam melalui dasar-dasar yang diselaraskan termasuklah penghijrahan beramai-ramai Han ke wilayah Uyghur, pembinaan kem tahanan, dan kini, penggunaan sekolah berasrama penuh paksaan secara meluas.
Laporan ini menyediakan penelitian mendalam tentang bagaimana sistem sekolah berasrama penuh di tanah air Uyghur berfungsi sebagai mekanisme genosid budaya:
1- Asal-usul Dasar ini – Menelusuri punca kempen asimilasi China terhadap Uyghur, termasuk bagaimana naratif “melawan keganasan” telah digunakan untuk mewajarkan dasar-dasar yang menindas selepas 9/11.
2-Pelaksanaan Sekolah Berasrama Penuh, memperincikan bagaimana kanak-kanak, ada yang seawal usia sekolah rendah, dipisahkan secara paksa daripada keluarga mereka dan ditempatkan di kemudahan yang dikendalikan kerajaan.
3-Indoktrinasi Pendidikan, menjelaskan kurikulum dan persekitaran dalam sekolah ini, di mana bahasa Uyghur diharamkan, hubungan kekeluargaan dicemarkan, dan kesetiaan kepada negara didoktrinkan.
4-Testimoni Saksi Mata, membentangkan testimoni daripada mangsa yang terselamat di sekolah ini, menawarkan sudut pandang yang boleh dipercayai tentang kerosakan jangka panjang bagi emosi, psikologi dan budaya yang dikenakan ke atas kanak-kanak Uyghur.
Tidak seperti sekolah berasrama biasa, ibu bapa Uyghur sering dinafikan sebarang hubungan atau maklumat tentang anak-anak mereka, yang kebanyakannya diasingkan kerana penahanan ibu bapa mereka di kem tahanan. Di sekolah berasrama ini, legasi tradisi, bahasa, dan akidah kepercayaan asal anak-anak ini secara sistematik dilupuskan.
Para pakar dan sarjana undang-undang antarabangsa telah mengenal pasti ini sebagai kes sebenar genosid budaya, sebuah usaha yang disengajakan untuk memadamkan identiti kumpulan etnik dengan menyasarkan ahlinya yang paling muda dan paling terdedah kepada bahaya.
Pengarah Eksekutif Abdulhakim Idris berkata, “Apa yang berlaku kepada kanak-kanak Uyghur dalam ‘sekolah berasrama’ ini bukanlah pendidikan, ia adalah asimilasi paksa, penghapusan budaya, dan trauma psikologi. Dengan memisahkan kanak-kanak ini daripada keluarga, bahasa dan identiti mereka, kerajaan China melakukan sebuah kezaliman dahsyat yang memenuhi kriteria definisi genosid ini. Masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri dalam menghadapi sistem genosid ini.”
Laporan ini diakhiri dengan seruan segera untuk bertindak agar masyarakat antarabangsa berdiri bersolidariti dengan orang Uyghur, mengiktiraf kedahsyatan jenayah ini, dan mendesak kebertanggungjawaban dan keadilan.
Nota: Terjemahan laporan ini ke bahasa Melayu diterbitkan bersama dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Global Peace Mission Malaysia (GPMM).
Laporan penuh tersedia untuk dibaca dan dimuat turun di sini:
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara
