• Washington DC
Ikut kami:

Kerjasama OIC–China Mengabaikan Genosid Berterusan dan Penganiayaan Agama terhadap Muslim Uyghur

Siaran Akhbar CUS
Untuk Siaran Segera
27 Januari 2025
Contact@Uyghurstudy.org
Uyghurstudy.org

Pada 26 Januari 2026, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan pertemuan di Beijing dengan barisan pegawai kanan China, termasuk Naib Presiden dan Menteri Luar Republik Rakyat China. Agensi Berita Xinhua rasmi kerajaan China melaporkan bahawa pertemuan dan mesyuarat itu tertumpu pada pengukuhan hubungan OIC – China dan meluaskan dialog dan kerjasama merentasi sektor politik, ekonomi, budaya, pendidikan dan kesihatan, dengan kedua-dua pihak menekankan aspek hubungan sejarah dan kepentingan bersama.

Pusat Kajian Uyghur (CUS) menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap kerjasama ini, yang berlaku ketikamana Parti Komunis China (PKC) masih terus melakukan genosid dan pencabulan sistematik kebebasan beragama terhadap Muslim Uyghur dan membanteras komuniti agama lain termasuk bangsa Tibet dan Kristian Cina, begitu juga pelecehan masjid, dan penjenayahan amalan agama secara total di Turkistan Timur (juga dikenali Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang).

CUS mengulangi bahawa penderaan ini bukan insiden terpencil tetapi sebahagian daripada kempen yang diketuai kerajaan untuk memadam identiti agama dan budaya Uyghur. Muslimin Uyghur masih terus dihalang daripada kebebasan beragama mereka. Sejak 2017, PKC masih berterusan menghukum orang Uyghur kerana amalan-amalan asas agama seperti sembahyang, berpuasa, memakai tudung, memberi nama Islam kepada kanak-kanak, atau melancong ke negara majoriti Muslim. Ramai yang sebelum ini ditahan di kem telah disalurkan ke dalam skim buruh paksa di seluruh China, mengekalkan jenayah terhadap kemanusiaan tetapi di bawah nama lain.

Pengarah Eksekutif Abdulhakim Idris berkata, “OIC diwujudkan untuk menjaga hak, maruah dan kepentingan masyarakat Islam di seluruh dunia. Oleh itu, kenyataan ‘sokongan tidak berbelah untuk China di Xinjiang’ adalah satu pengkhianatan terhadap prinsip penubuhannya. Ia bermakna menyokong penghapusan kepercayaan akidah Muslim Uyghur melalui pencinaan Islam. Melihat China sebagai rakan kepada dunia Islam adalah satu kemunafikan yang jelas.”

Percubaan China untuk menonjolkan imej mesra terhadap dunia Islam sangat berbeza dengan realiti di lapangan, di mana Islam dianggap sebagai ancaman untuk dineutralkan melalui penindasan dan asimilasi paksa. CUS menyeru OIC dan negara-negara anggotanya untuk menegakkan mandat penubuhan mereka dengan pendirian moral yang jelas dan tindakan berprinsip. Berdiam diri dan penglibatan yang tidak kritis dalam menghadapi isu genosid ini hanya akan memberanikan pelaku dan menambahkan lagi penderitaan umat Islam Uyghur.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara