• Washington DC
Ikut kami:

Kanak-kanak Uyghur, Sekolah berasrama penuh, dan Akibat Buruk Membesar jauh dari rumah

Oleh Abdulhakim Idris.

Kali pertama Gulnisa ​​perasan sesuatu telah berubah, ia bukan pada wajah atau badan anaknya. Ia datang dalam keadaan jeda, suatu hal yang cukup kecil untuk terlepas pandang jika anda tidak mencarinya.

Dia menanyakan soalan mudah dalam bahasa Uyghur, jenis soalan yang anda tanyakan kepada seorang kanak-kanak tanpa perlu berfikir panjang: Sudah makan? Kamu letih? Anaknya memandangnya, kemudian menundukkan pandangan ke bawah, seolah-olah mencari sesuatu di atas lantai. Apabila dia menjawab, perkataan yang keluar justeru dalam bahasa Cina. Ayatnya betul. Nadanya sopan. Tetapi bahasa itu bukan bahasanya, bukan bahasa lagu dodoi, teguran dan jenaka keluarganya semenjak dia dilahirkan.

Gulnisa ​​cuba lagi bertanya dalam bahasa Uyghur, kali ini lebih perlahan, mengulangi soalan yang sama. Ekspresi anaknya menjadi tegang: keliru, kemudian malu, kemudian sedar dengan cepat. Dia menjawab lagi dalam bahasa Cina, sedikit lebih kuat, seakan-akan kelantangan suaranya dapat menyelesaikan masalah.

Kemudian, apabila Gulnisa menceritakan situasi itu kepada rakannya, dia tidak menggunakan bahasa politik. Dia tidak mengatakan ia asimilasi atau paksaan. Dia mengatakan sesuatu yang lebih intim, dan lebih dahsyat: “Rasanya seperti dia telah berpindah dunia. Dia menjadi orang asing, walaupun dia duduk betul-betul di hadapan saya.”

Sesetengah orang Uyghur telah menggambarkan detik-detik yang serupa dengan ini. Mereka yang telah melawat wilayah Uyghur dalam beberapa bulan kebelakangan ini memberitahu saya bahawa mereka bertemu dengan kanak-kanak yang hanya bertutur dalam bahasa Mandarin dan sukar untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga yang tidak bercakap dalam bahasa Mandarin. Corak ini mencerminkan kebimbangan utama yang ditimbulkan oleh ramai penyelidik dan kumpulan hak asasi manusia: bahawa generasi kanak-kanak Uyghur membesar dalam persekitaran di mana bahasa Cina adalah satu-satunya bahasa yang diizinkan untuk mereka bertutur dengannya.

Pihak berkuasa China mengharamkan bahasa Uyghur di sekolah pada September 2017. Sejak itu, kanak-kanak Uyghur, Kazakh, dan bangsa Turk lain telah kehilangan akses kepada pendidikan dalam bahasa ibunda mereka. Buku teks dan bahan pembelajaran bahasa Uyghur telah dimusnahkan. Ramai guru Uyghur ditahan di kem konsentrasi, manakala yang lain terpaksa mengajar kanak-kanak Uyghur secara eksklusif hanya dalam bahasa Cina.

Di Turkistan Timur (juga dikenali sebagai Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang), bahasa tidak pernah menjadi sekadar alat. Ia merupakan pintu masuk ke dalam sejarah, identiti, dan agama sesebuah keluarga; cerita dan peribahasa; kod yang melaluinya datuk nenek mewariskan pandang sarwadunia tanpa perlu menjelaskannya. Kehilangannya bukan sekadar melupakan perbendaharaan kata. Ia adalah kehilangan warisan yang dikongsi bersama, akar bangsa yang mendalam, dan rasa kekitaan yang tidak dapat digantikan dengan terjemahan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, para wartawan, cendekiawan, dan organisasi hak asasi manusia telah melaporkan tentang perkembangan sekolah berasrama penuh dan rumah anak yatim yang dikendalikan oleh kerajaan. Para pengkritik berpendapat bahawa apabila kanak-kanak membesar terpisah daripada kehidupan keluarga – selalunya selepas penahanan atau ketiadaan ibu bapa mereka secara paksa – dan diserap dalam sekolah berasrama penuh Cina, hasilnya boleh menjadi pembentukan semula identiti yang mendasar. Ini bukan sekadar perubahan budaya. Ia adalah perubahan dalaman etnik. Ia adalah pemusnahan identiti Uyghur yang disengajakan.

Oleh itu, isu yang dipersoalkan di sini bukanlah tentang sama ada kanak-kanak harus belajar bahasa Cina atau tidak. Ia mengenai kanak-kanak yang dipisahkan daripada keluarga mereka, dan sama ada sistem yang mendasari pendidikan mereka beroperasi secara bebas, atau berada di bawah tekanan yang menjadikan kesukarelaan/consent yang asli sukar dibayangkan. Apakah maksudnya bagi seorang kanak-kanak untuk membesar di tempat di mana bahasa ibunda mereka diharamkan dan menjadi sesuatu yang asing buatnya?

Sekolah berasrama penuh wujud di mana-mana. Di kebanyakan negara, ia merupakan satu keistimewaan yang mahal, menjadi pilihan oleh keluarga-keluarga kerana prestijnya. Di negara lain, ia merupakan penyelesaian praktikal di kawasan pedalaman. Apa yang menjadikan sekolah berasrama penuh di wilayah Uyghur ini begitu kontroversi ialah konteksnya: wujudnya laporan berulang tentang pengawasan yang berleluasa, sekatan terhadap ekspresi agama dan budaya, dan kempen politik yang bertujuan untuk membentuk semula kehidupan sosial dan mengubah satu bangsa menjadi bangsa lain.

Sesetengah keluarga menceritakan ‘keputusan’ yang sebenarnya bukanlah keputusan sama sekali. Tetapi kerana situasi menjadi rumit apabila ibu bapa hilang, perjalanan dihadkan, dan sebarangan hubungan dipantau (oleh China). Ia menjadi lebih rumit apabila sesebuah keluarga takut yang sebarang kecurigaan akan ditafsirkan sebagai ketidaksetiaan kepada China. Hari ini, lebih daripada sejuta kanak-kanak Uyghur telah dipaksa masuk dan ditahan di sekolah berasrama penuh yang dikendalikan oleh kerajaan untuk mengasimilasikan mereka dan memisahkan mereka daripada warisan dan identiti mereka.

Dalam laporan-laporan yang paling membimbangkan, kanak-kanak ditempatkan di pusat jagaan kerajaan atau sekolah berasrama penuh apabila selepas salah seorang atau kedua-dua ibu bapa ditahan, dipenjarakan, atau diasingkan daripada kehidupan seharian. Para pengkritik berpendapat bahawa persoalan yang lebih mendalam ialah apa yang berlaku kepada hak keluarga dan kesinambungan budaya apabila negara Komunis menjadi ‘penjaga’ utama. Saudara-mara mereka takut kalau berkeras untuk campur tangan dengan agak lantang akan mengakibatkan kepada penyiasatan mendalam kepada seluruh keluarga. Sekiranya ibu bapa tidak ada (kerana ditahan dsb), perpisahan yang singkat akan berlanjutan sehingga bertahun-tahun, dan penempatan “sementara” kanak-kanak itu membentuk zaman kanak-kanak mereka.

Sekolah berasrama penuh boleh menjadi “normal.” Setelah dinormalisasi, masa yang dihabiskan oleh kanak-kanak di rumah asalnya akan menjadi lebih pendek: minggu-minggu menjadi hujung minggu sahaja, hujung minggu menjadi cuti rasmi sahaja, dan rumah asalnya tidak lagi menjadi tempat pembentukan diri harian, berbanding tempat rehat sementara sahaja.

Sesetengah laporan menekankan kewujudan sesuatu yang lebih sukar untuk didokumentasikan: ketakutan. Ibu bapa mungkin menghantar anak mereka pergi ke sekolah berasrama bukan kerana mereka mahu, tetapi kerana mereka percaya pematuhan adalah lebih selamat daripada penentangan. Apabila sesebuah masyarakat distrukturkan di mana bersikap “bekerjasama” diberi ganjaran dan bersikap “degil” dinilai berisiko, orang ramai akan belajar untuk mematuhi sebelum mereka diminta untuk berbuat demikian. Inilah salah satu sebab perdebatan isu ini menjadi begitu sukar. Pegawai boleh menunjukkan prosedur dan borang yang ditandatangani (sebagai tanda sukarela). Keluarga boleh menunjukkan realiti hidup mereka: tandatangan yang dibuat dengan berjabat tangan, pilihan yang dibuat dalam ketakutan.

Transformasi pertama yang dilihat oleh kanak-kanak yang dikisahkan oleh kebanyakan keluarga adalah transformasi linguistik. Kanak-kanak mula menjawab dalam bahasa Cina secara lalai/default. Bahasa Uyghur menjadi sesuatu yang asing, atau sesuatu yang mereka gunakan dengan tidak sempurna. Akhirnya, sesetengah kanak-kanak mengelak bahasaUyghur sama sekali, bukan semestinya kerana mereka tidak menyukainya, tetapi kerana ia menandakan mereka berbeza, dalam persekitaran di mana sebarang perbezaan boleh berakibatkan hukuman.

Pihak berkuasa China telah mempercepatkan penghapusan bahasa Uyghur dan menggantikannya dengan bahasa Cina melalui reka bentuk institusi. Bahasa Uyghur boleh mula terasa seperti bahasa tanpa masa depan.

Dan bahasa bukanlah neutral. Bahasa yang dituturkan oleh seorang kanak-kanak membentuk jenis buku yang mereka baca, jenaka yang mereka fahami, sejarah yang mereka warisi, dan konsep agama yang berkait mereka secara emosi dan bukan hanya konsep abstrak. Seorang kanak-kanak mungkin masih “tahu” bahawa mereka adalah orang Uyghur, tetapi merasakan kehidupan Uyghur itu jauh, seperti sebuah muzium yang dimiliki orang lain. Seorang ibu bapa menggambarkannya seperti ini: “Dia tidak lupa siapa dirinya. Dia lupa bagaimana untuk menjadi dirinya.”

Dalam konteks di mana ekspresi budaya Uyghur dianggap sensitif secara politiknya, kelangsungan hidup mungkin memerlukan seorang kanak-kanak untuk memencilkan identiti mereka sehingga ia sesuai dengan sempadan yang diluluskan. Pemencilan itu tidak selalunya disedari. Lama-kelamaan, ia boleh terasa normal. Kanak-kanak itu mungkin berhenti menganggapnya sebagai bersembunyi dan mula menganggapnya sebagai sebuah kematangan.

Malah di luar politik, perpisahan yang berpanjangan daripada ibu bapa boleh memberi kesan yang berkekalan. Kanak-kanak memerlukan kestabilan: kewujudan para penjaga yang konsisten, sokongan emosi yang boleh diramal, dan sebuah rumah di mana mereka boleh melakukan kesilapan tanpa rasa takut. Apabila ibu bapa tidak hadir secara tiba-tiba atau untuk jangka masa yang lama, kanak-kanak boleh menyesuaikan diri secara luaran tetapi dalam masa yang sama menanggung tekanan dalaman.

Ada sebilangannya yang menjadi terlalu patuh. Ada pula yang emosinya menjadi tidak sensitif lagi. Ada pula yang cepat marah. Ramai daripada mereka menanam tabiat mengesan sebarang marabahaya, memerhatikan wajah, menyesuaikan bahasa, dan menjangka hukuman ke atas mereka. Ini adalah kemahiran bertahan hidup. Ia bukan kesejahteraan.

Sekarang tambahkan tekanan budaya. Apabila kanak-kanak belajar, secara langsung atau tidak langsung, yang bahasa ibunda atau adat resam mereka dinilai lebih rendah atau berisiko, kehilangan (bahasa dan budaya) itu semakin mendalam. Mereka bukan sahaja terpisah daripada ibu bapa mereka. Mereka terpisah daripada makna yang diwakili oleh ibu bapa mereka. Cinta menjadi rumit kerana ketakutan. Identiti menjadi rumit kerana pengawasan.

Dan apabila anak-anak ini pulang ke rumah, jurang yang dirasakan itu ke tahap boleh menyayat hati. Ibu bapa mungkin mahukan kehangatan kasih sayang, tetapi anak itu mungkin membawa formaliti. Ibu bapa mungkin mahukan cerita, tetapi anak itu mungkin memilih berdiam diri. Ibu bapa mungkin mahu bertutur dalam bahasa Uyghur, tetapi anak itu mungkin bicara bahasa Mandarin, Cina. Tautan kasih boleh menjadi sesuatu yang keras: bahasa apa, topik apa, memori apa yang masih selamat?

Bagi orang Uyghur, taruhannya melangkaui keperihan individu. Budaya dibawa melalui kehidupan seharian, kisah-kisah yang diceritakan semasa makan malam, doa dan sembahyang yang dipelajari melalui pengulangan, adat resam diserap dan bukannya diajar. Apabila kanak-kanak tinggal jauh dari rumah untuk jangka masa yang lama, transmisi harian itu menjadi lemah. Walaupun anak-anak kembali kemudian, rantaian kesinambungan budaya mungkin menjadi lebih nipis.

Inilah sebabnya ramai pemerhati menggambarkan isu ini sebagai lebih daripada sekadar dasar pendidikan. Jika sesebuah generasi membesar tanpa kefasihan bahasa Uyghur yang mendalam, tanpa keyakinan budayanya, dan tanpa keintiman keluarga dalam keadaan yang tidak dipantau kerajaan, masa depan komuniti ini akan berubah. Budaya boleh bertahan daripada penindasan, tetapi ia bergelut untuk mempertahankan tali warisannya daripada putus.

Dan putusnya tali warisan ini tidak selalu kelihatan ganas. Ia boleh kelihatan dalam bentuk seorang kanak-kanak yang menjawab ibunya yang Uyghur dalam Bahasa Cina.

Gulnisa ​​masih mempunyai buku nota itu. Label itu telah pudar di sudut-sudut jarinya. Dalam ingatannya, tulisan tangan lebih jelas daripada dakwat. Ia adalah bukti bahawa dia pernah hidup di dunia di mana menyediakan seorang kanak-kanak untuk sekolah adalah satu tindakan mudah: beg, berus gigi, nama di atas kertas.

Kini nama itu kekal, tetapi dunia di sekelilingnya telah berubah. Bahasa Cina anaknya sangat baik. Namun bahasa Uyghurnya hilang. Dia ada kalanya bergembira. Dia ketawa bersama rakan-rakan. Dia bercakap tentang masa depan. Dia telah mempelajari bahasa penindas dan melupakan bahasa ibundanya.

Tetapi apabila Gulnisa cuba menawarkan keselesaan dalam bahasa Uyghur, kata-kata itu sampai seperti duit asing, nyata, tetapi tidak berguna. Apabila dia bercakap tentang sejarah keluarga, anaknya mendengar dengan sopan dan tidak memahami sepatah perkataan pun.

Adalah mungkin bagi seorang kanak-kanak untuk belajar bahasa Cina, tanpa kehilangan bahasa Uyghur. Adalah mungkin bagi pendidikan untuk meluaskan peluang tanpa menghapuskan budaya warisan. Tetapi apabila pendidikan dipadankan dengan pemisahan dan persekitaran politik yang menganggap perbezaan budaya sebagai ancaman, garis antara peluang dan penghapusan budaya menjadi jelas.

Ketakutan paling mendalam yang diluahkan oleh ramai keluarga Uyghur bukanlah anak-anak mereka akan meninggal dunia. Ketakutannya ialah anak-anak mereka wujud di tempat lain, dari segi bahasa, budaya, emosi, tanpa sebarang alat untuk kembali. Dan dalam ketakutan itu terdapat sebuah persoalan manusiawi yang mudah, yang tidak dapat dijawab oleh mana-mana slogan: Apakah nilai sebuah pendidikan itu jika ia mengorbankan seorang anak itu daripada menguasai bahasa ibundanya?

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara