Hari Raya Aidiladha 2026: Menegakkan Akidah, Kebebasan, dan Solidariti Bersama Umat Islam Uyghur – Pusat Kajian Uyghur
- Home
- Liputan Akhbar
- Hari Raya Aidiladha 2026: Menegakkan Akidah, Kebebasan, dan Solidariti Bersama Umat Islam Uyghur – Pusat Kajian Uyghur
Kenyataan Akhbar CUS
Untuk Siaran Segera
27 Mei 2026
Contact@Uyghurstudy.org
Uyghurstudy.org
Ketika umat Islam di seluruh dunia bersiap sedia untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, sebuah perayaan suci yang melambangkan pengorbanan, ketaatan, kasih sayang, dan perpaduan, Pusat Kajian Uyghur (CUS) mengucapkan selamat Hari Raya Aidil Adha kepada umat Islam di seluruh pelosok dunia. Di saat keluarga-keluarga berkumpul untuk beribadah dan meraikan perayaan yang penuh keberkatan ini, jutaan umat Islam Uyghur di Turkistan Timur (atau dikenali sebagai Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang) terus berdepan dengan perpisahan, penindasan, serta penafian hak asasi manusia dan kebebasan beragama yang paling asasi.
Selama berdekad-dekad, umat Islam Uyghur telah berhadapan dengan sekatan yang sistematik terhadap kehidupan beragama di bawah pemerintahan Parti Komunis China. Sejak tahun 2017, pihak berkuasa China telah menyekat hebat dan mengkriminalisasikan amalan keagamaan, perhimpunan, serta ekspresi akidah keimanan. Perayaan-perayaan agama yang penting, termasuk sambutan Aidiladha yang sepatutnya menjadi detik refleksi kerohanian dan penyatuan ahli keluarga, terus berlangsung dalam suasana yang penuh ketakutan dan pengawasan.
Perkembangan mutakhir ini sekali lagi menonjolkan percanggahan dalam dakwaan China mengenai kebebasan beragama. Laporan mengenai penahanan Abdushukur Rahmatulla, seorang imam yang diiktiraf oleh kerajaan—yang telah lama berkhidmat dalam sistem keagamaan yang diluluskan oleh pemerintah dan pernah dipromosikan sebagai contoh “tokoh agama etnik minoriti”—membuktikan bahawa hatta individu yang berkhidmat di dalam struktur yang diluluskan secara rasmi pun tidak terkecuali daripada penindasan.
Pada masa yang sama, menjelang ketibaan Aidiladha, pihak berkuasa China telah mengatur sebuah lawatan yang dirancang rapi untuk tokoh-tokoh agama dari beberapa buah negara majoriti Islam ke Turkistan Timur dari 17 Mei hingga 21 Mei. Dalam lawatan tersebut, para delegasi dibawa ke institusi dan tapak keagamaan yang telah dipilih terlebih dahulu, bertujuan untuk mempamerkan imej keharmonian dan kemakmuran beragama. Lawatan yang diatur sedemikian rupa merupakan sebahagian daripada usaha propaganda berterusan China untuk menggambarkan kononnya wujud kebebasan beragama, sedangkan umat Islam Uyghur terus berhadapan dengan pengawasan yang menyeluruh dan sekatan terhadap akidah mereka. Saling kaitan perkembangan ini mendedahkan jurang perbezaan yang amat ketara antara naratif antarabangsa China dengan realiti sebenar di lapangan.
Bagi kebanyakan umat Islam Uyghur yang hidup dalam diaspora, Aidiladha kekal menjadi peringatan yang perit tentang perpisahan keluarga. Ramai warga Uyghur tidak dapat menghubungi orang yang mereka sayangi selama bertahun-tahun kerana bimbang akan tindakan balas oleh pihak berkuasa China. Ramai yang terus hidup tanpa mengetahui nasib atau kebajikan ibu bapa, adik-beradik, anak-anak, dan saudara-mara di tanah air.
Pengarah Eksekutif Abdulhakim Idris berkata:
“Hari Raya Aidiladha mengajar kita tentang nilai pengorbanan, kasih sayang, dan kepentingan berdiri bersama mereka yang ditindas. Di saat umat Islam di seluruh dunia menyambut perayaan suci ini dalam kebebasan, umat Islam Uyghur terus dinafikan walaupun sekelumit ekspresi keimanan dan kehidupan berkeluarga yang paling asas. Amat menyedihkan apabila melihat negara-negara Islam dan tokoh-tokoh agama diheret ke dalam usaha propaganda China, malah digunakan untuk membantu menghalalkan naratif yang menyembunyikan penderitaan umat Islam Uyghur. Kami menyeru pihak kerajaan, negara-negara majoriti Islam, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dan organisasi masyarakat sivil untuk menggalas tanggungjawab moral mereka dan berdiri teguh dalam solidariti bersama umat Islam Uyghur.”
Pusat Kajian Uyghur (CUS) menegaskan semula komitmennya untuk meningkatkan kesedaran tentang kesengsaraan rakyat Uyghur dan memperjuangkan hak serta kebebasan asasi mereka. Pada Aidiladha kali ini, kami menggesa komuniti antarabangsa agar tidak melupakan mereka yang suaranya terus dibungkam, dan penderitaan mereka tidak boleh diabaikan sama sekali.
Navigasi kiriman
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara
