• Washington DC
Ikut kami:

Genosid Digital: Medan Pertempuran Baharu untuk Keselamatan dan Kelangsungan Budaya Uyghur

Oleh: Luca Alexander Pellegrini.

Penafian: Pandangan dan istilah yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan pengarang semata-mata dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Pusat Kajian Uyghur.

Konsep keselamatan yang sentiasa berevolusi kelihatan sangat jelas apabila diteliti melalui lensa sejarah dan teknologi. Baru-baru ini, sebagai seorang profesional keselamatan siber melawat Sarajevo dan Srebrenica bersama wakil dua organisasi Uyghur paling berpengaruh di dunia, Pusat Kajian Uyghur dan Campaign for Uyghurs, saya mendapati diri saya merenung tentang transformasi keselamatan yang bersifat seismik.

Legasi genosid Srebrenica dan genosid budaya Uyghur yang berterusan di China memperlihatkan cermin berganda yang menyedihkan: ketikamana masa lalu mengajar tentang natijah kegagalan perlindungan fizikal dan politik, masa kini pula mendedahkan lapangan-lapangan ancaman baharu: ancaman digital, ancaman maklumat dan ancaman sistemik.

Srebrenica, sebuah peringatan paling menyakitkan di Eropah tentang kekejaman akhir abad ke-20, mewujudkan sebuah imperatif global: lindungi populasi yang terdedah kepada serangan dengan membina sistem-sistem amaran, intervensi, remediasi dan ingatan yang kukuh teguh. Natijah daripada pengabaiannya pula: lebih 8,000 nyawa terkorban pada tahun 1995, mencetuskan perhatian baharu kepada keadilan antarabangsa, pencegahan kekejaman, dan dokumentasi jenayah untuk generasi akan datang. Keselamatan fizikal, akauntabiliti undang-undang, dan pendidikan menjadi tonggak kepada doktrin baharu.

Pemadaman Digital Uyghur

Hari ini, sebuah lagi genosid sedang berlaku di “Xinjiang, China”, menyasarkan orang Uyghur melalui penahanan di luar bidang kuasa undang-undang, kerja paksa, pemandulan besar-besaran dan program sistematik untuk menghapuskan identiti budaya, bahasa dan agama mereka. Namun, tidak sama seperti apapun kekejaman sebelumnya, orang Uyghur menghadapi bahaya berganda: pemusnahan sedang dilakukan secara fizikal dan digital. Laporan-laporan yang diterbitkan mengesahkan bukan sahaja perobohan masjid dan penamaan semula kampung-kampung, tetapi sebuah kempen menyeluruh untuk menghapuskan kehadiran Uyghur daripada internet itu sendiri.

Seperti yang dikatakan oleh pepatah lama, “apabila sesuatu berada di internet, ia akan ada selamanya.” Tetapi pengalaman Uyghur membuktikan sebaliknya. Tapak web, forum dan arkib yang dibuat oleh Uyghur sedang diharamkan, disekat dan dihapuskan sepenuhnya.

Pihak berkuasa China menggunakan taktik penapisan, penggodaman, penyekatan dan penyebaran maklumat palsu untuk memadamkan jejak digital Uyghur, mengharamkan bahasa mereka dalam talian, dan memantau aktiviti pembangkangnya melalui kecerdasan buatan/AI dan infrastruktur pengawasan massa. Dalam inversi yang menyeramkan pula, ketersambungan/connectivity menjadi vektor kelemahan dan bukannya perisai yang melindungi.

Pemadaman digital yang tidak pernah berlaku sebelum ini menandakan bermulanya sebuah era baharu: orang yang teraniaya kini disasarkan bukan sahaja oleh keganasan fizikal tetapi melalui manipulasi dan pemusnahan maklumat. Rejim moden dan kerajaan autoritarian kukubesi memahami bahawa tindakan memadamkan rekod, memutuskan komunikasi dan merekayasa semula naratif dalam talian adalah berkesan dalam menghapuskan legasi sesebuah bangsa, sama seperti kemusnahan fizikal. Memadamkan memori dalam talian orang Uyghur, sebuah repositori penting untuk bukti-bukti yang ada, hubungan kekeluargaan, dan daya tahan kolektif, akhirnya membentuk satu bentuk genosid budaya yang baharu.

Imperatif: Keselamatan Siber untuk Mereka yang Dianiaya

Apa yang boleh dilakukan? Para pembela tradisional seperti ilmuan, ahli politik dan pakar undang-undang tetaplah penting. Namun, seraya medan perang berkembang, begitu juga dengan sewajarnya berkembang alat penentangan dan pemeliharaannya.

Saya percaya para profesional IT dan pakar keselamatan digital menjadi sangat diperlukan untuk komuniti yang teraniaya, yang ditugaskan dengan: mendapatkan keterangan saksi digital dan mengarkibkan bukti jenayah, melindungi mangsa yang terselamat dan aktivis daripada pengawasan dalam talian, doxing dan gangguan, membangunkan alat pengelakan penapisan dan komunikasi yang encrypted, untuk memastikan daya tahan data budaya, sejarah dan bahasa hasil diaspora Uyghur, melalui penyimpanan data yang tidak berpusat/decentralised dan dipecah-pecahkan/distributed.

Kegagalan untuk mengadaptasi dengan risiko-risiko ini bukan sahaja akan membungkam individu tetapi memadamkan memori kolektif; sebuah matlamat yang dikongsi oleh banyak rejim penindasan. Hanya respons multidisiplin dan celik teknologi dapat memastikan bahawa bangsa Uyghur dan minoriti lain yang teraniaya akan mengekalkan suara mereka, sejarah mereka, dan bukti perjuangan mereka untuk keadilan.

Merenungkan Srebrenica, bersama mereka yang kehadirannya sendiri menjadi sebuah merupakan tindakan menentang penghapusan, jelaslah bahawa keselamatan pada abad ke-21 bermakna lebih daripada senjata, perjanjian dan keselamatan sempadan. Ia menuntut sebuah komitmen aktif terhadap pemeliharaan digital, keselamatan siber, dan pemerkasaan komuniti terpinggir dalam talian.

Genosid pada zaman AI dan media sosial memerlukan sebuah pakatan baharu, yang mana kepakaran pakar IT sama pentingnya dengan ahli sejarah dan peguam. Hanya dengan itu barulah masyarakat boleh menghormati ikrar mereka untuk “never again” di setiap medan perang di mana identiti, kebenaran, dan memori berdepan dengan ancaman.

Rujukan:

  1. https://nsarchive.gwu.edu/project/genocide-documentation-project  
  2. https://www.cfr.org/backgrounder/china-xinjiang-uyghurs-muslims-repression-genocide-human-rights
  3. https://www.unav.edu/web/global-affairs/detalle/-/blogs/uyghur-muslims-and-china-a-multifaceted-issue-beyond-its-humanitarian-implications-2
  4. https://www.atlanticcouncil.org/blogs/econographics/safeguarding-uyghur-human-rights-the-us-should-leverage-economic-statecraft-tools-to-end-uyghur-forced-labor/
  5. https://www.aspi.org.au/report/cultural-erasure/    
  6. https://www.bbc.com/news/articles/cxrrkl6ve39o 
  7. https://www.wired.com/story/uyghur-internet-erased-china/    
  8. https://www.aljazeera.com/news/2024/6/18/china-accused-of-erasing-religion-culture-from-uighur-village-names
  9. https://www.nationalgeographic.com/history/article/china-uyghurs-oppressed-exile-defiance-culture-preservation-istanbul-diaspora
  10. https://digital-science.pubmedia.id/index.php/pssh/article/view/402
  11. https://insights.uksg.org/articles/10.1629/uksg.647  
  12. https://www.gp-digital.org/wp-content/uploads/2016/05/Travel-Guide-to-the-Digital-World_Cybersecurity-Policy-for-HRD.pdf  
  13. https://uhrp.org/responses/
  14. https://en.wikipedia.org/wiki/World_Uyghur_Congress
  15. https://ishr.ch/latest-updates/despite-states-failure-uyghurs-and-rights-groups-wont-give-up-efforts-to-hold-china-accountable-at-the-un/
  16. https://www.ibanet.org/A-cohort-of-organisations-spotlight-the-forgotten-genocide-of-Uyghurs-by-China
  17. https://www.accessnow.org/gaza-genocide-big-tech/
  18. https://www.ohchr.org/sites/default/files/documents/countries/2022-08-31/22-08-31-final-assesment.pdf
  19. https://www.cpdpconferences.org/panels/technologies-at-war-the-role-of-tech-companies-and-the-eu-in-facilitating-war-crimes-and-genocide-in-gaza
  20. https://www.ned.org/confronting-atrocities-in-china-the-global-response-to-the-uyghur-crisis

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara