
Pada 27 Februari 2025, pihak berkuasa Thailand telah melakukan deportasi secara paksa 40 lebih lelaki Muslim Uyghur ke China selepas mereka ditahan selama lebih sedekad di pusat tahanan imigresen di Bangkok. Lelaki-lelaki ini melarikan diri daripada penindasan sistematik di Turkistan Timur/Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur, namun ditahan di Thailand sejak 2014 ketika mereka cuba mencari suaka dan perlindungan antarabangsa.
Deportasi ini bukan sekadar keputusan pentadbiran, tetapi tindakan yang jelas tidak bermoral dan bercanggah dengan prinsip asas undang-undang antarabangsa, khususnya prinsip non-refoulement. Prinsip ini melarang pemulangan atau penghantaran seseorang ke tempat di mana terdapat risiko nyata penyeksaan, penahanan sewenang-wenangnya, atau layanan tidak berperikemanusiaan. Dalam kes Uyghur ini, risiko tersebut telah lama didokumentasikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pelbagai badan hak asasi manusia, menjadikan sebarang deportasi paksa sebagai satu pencabulan yang disengajakan, bukan kesilapan teknikal.
Pertubuhan hak asasi seperti Amnesty International mengecam tindakan Thailand sebagai “amat kejam dan tidak berperikemanusiaan”. Namun, kerajaan Thailand dan China tetap mempertahankan deportasi tersebut sebagai repatriasi biasa atau penyatuan keluarga, walaupun tiada bukti bebas dikemukakan untuk menyokong dakwaan tersebut. Dalih ini gagal menutup hakikat bahawa Thailand, sebagai negara transit, mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk melindungi mereka yang berisiko tinggi, bukan menyerahkan mereka kepada penindasan yang diketahui umum.
Sejurus selepas deportasi, beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Australia dan UK mengeluarkan pelbagai kenyataan berapi mengutuk tindakan tersebut. Namun, setahun kemudian, dunia masih tidak mengetahui nasib sebenar 40 lelaki itu. Tiada maklumat sah mengenai lokasi mereka, tiada pengesahan keadaan kesihatan, dan tiada akses pemantauan bebas, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius tentang kehilangan secara paksa.
Dalam kenyataan bertarikh 27 Februari 2026, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) memberi amaran bahawa kesenyapan berterusan China telah menambah dan mengukuhkan lagi kebimbangan terhadap nasib Uyghur yang dideportasi ini. PBB menegaskan bahawa kegagalan memberikan maklumat yang boleh dipercayai mencerminkan corak penindasan rentas negara (transnational repression) terhadap minoriti etnik dan penindasan berasaskan agama.
Kes “Empat Puluh yang Dilupakan” ini menuntut tindak balas berprinsip daripada masyarakat antarabangsa: Thailand mesti dipertanggungjawabkan atas tindakan tidak bermoral dan pencabulan prinsip non-refoulement; China mesti didesak membuka akses dan mendedahkan lokasi serta keadaan sebenar semua warga Uyghur yang dideportasi; dan komuniti global — termasuk kerajaan, institusi antarabangsa, serta masyarakat sivil — wajib memastikan prinsip perlindungan antarabangsa ditegakkan tanpa kompromi, agar tiada sebarang nyawa dikorbankan atas kepentingan politik dan diplomatik.
***
Disediakan oleh Unit Kajian, Pusat Kajian Uyghur-Malaysia.
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara
