
Ramadan adalah masa untuk solat dan berdoa, berpuasa, dan muhasabah rohani bagi hampir dua bilion umat Islam di seluruh dunia. Keluarga berkumpul untuk iftar, masjid dipenuhi para jemaah, dan masyarakat meraikan iman serta amalan kebajikan.
Walaubagaimanapun, bagi Muslim Uyghur di Turkistan Timur (juga dikenali sebagai Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang), Ramadan sejak sekian lama ditandai dengan pengawasan, sekatan, dan ketakutan. Di bawah dasar Parti Komunis China yang menyasarkan ekspresi keagamaan, Muslim Uyghur tidak dapat menunaikan ibadah pada bulan suci ini secara bebas.

Pegawai polis berkawal di dataran di hadapan Masjid Id Kah di Kashgar, 3 Mei 2021. (Thomas Peter/Reuters)
Secara sejarahnya, pihak berkuasa tempatan telah melarang kakitangan kerajaan, guru, dan pelajar daripada berpuasa, manakala restoran sering diwajibkan untuk terus dibuka pada waktu siang. Masjid dipantau dengan ketat sepanjang bulan suci tersebut, dan pegawai tempatan sering menganjurkan kempen yang menggalakkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan.
Namun sejak 2017, sekatan ini telah meningkat secara dramatik. Sebagai sebahagian daripada kempen yang dipanggil “Strike Hard”, Parti Komunis China memperluaskan kawalannya terhadap kehidupan beragama dan secara efektif menjadikan setiap ekspresi keimanan sebagai suatu jenayah. Di bawah sistem ini, amalan agama yang lazim dan biasa seperti berpuasa pada bulan Ramadan, menghadiri masjid, memelihara janggut, memakai pakaian keagamaan, atau memiliki bahan-bahan keagamaan ditafsirkan sebagai tanda “ekstremisme”. Akibatnya, ratusan ribu Uyghur telah dihantar ke kem konsentrasi, pusat penahanan, penjara, atau dikenakan pelbagai bentuk hukuman lain hanya kerana menzahirkan aspek identiti keagamaan mereka yang paling asas. Penindasan sepanjang bulan Ramadan bahkan sampai ke tahap meminta Uyghur menghantar bukti video bahawa “mereka tidak berpuasa pada bulan Ramadan”, menurut laporan berita daripada RFA Uyghur pada Mac/Ramadan 2025.

Ramadan 2026: Sekatan Berterusan
Kiriman terbaru yang beredar di media sosial China juga menunjukkan bahawa sekatan terhadap amalan Ramadan berterusan pada tahun ini. Imej dan video yang dikongsi dalam talian menunjukkan kumpulan Uyghur berkumpul di pusat komuniti atau pusat kerajaan pada waktu siang sepanjang Ramadan, di mana mereka kelihatan makan bersama secara terbuka. Gambaran sedemikian sangat berbeza dengan amalan tradisional berpuasa yang biasanya diamalkan oleh Muslim Uyghur sepanjang bulan suci tersebut. Walaupun kiriman ini sering dipersembahkan sebagai aktiviti komuniti, ia mengukuhkan kebimbangan bahawa pihak berkuasa terus menghalang atau mencegah Uyghur daripada mengamalkan Ramadan dan tradisi keagamaan mereka secara bebas.

Rakaman video yang diambil daripada aplikasi media sosial China DouYin dan dikongsi di X menunjukkan Uyghur berkumpul di sebuah bangunan kerajaan untuk makan pada waktu siang Ramadan 2026, suatu gambaran yang bertentangan dengan tradisi sejarah Muslim Uyghur.
Diplomasi Ramadan China di Luar Negara vs. Sekatan Agama di Dalam Negara
Ketikamana China mengenakan sekatan berat terhadap kehidupan beragama di dalam negara dan menghalang Muslim Uyghur daripada mengamalkan Ramadan secara bebas, China pada masa yang sama berusaha membina imej positif dalam dunia Islam melalui diplomasi awam dan inisiatif kebajikan. Pada Ramadan tahun ini, contohnya, syarikat-syarikat China di Mesir telah menganjurkan kempen kebajikan bersama sebuah organisasi tempatan untuk mengagihkan bekalan makanan kepada keluarga yang memerlukan di seluruh Mesir.

Seorang wanita menerima sebuah kotak barangan sumbangan semasa acara sumbangan di Giza, Mesir, 9 Mac 2026. Dewan Perniagaan China di Mesir dan Persatuan Orman Mesir bersama-sama menganjurkan acara sumbangan di wilayah Giza pada hari Isnin untuk membantu keluarga Mesir yang memerlukan. (Xinhua/Xin Mengchen)
Pegawai-pegawai China sering mempersembahkan inisiatif sedemikian sebagai tanda persahabatan dan solidariti dengan komuniti Muslim. Namun, kempen propaganda ini berfungsi sebagai usaha untuk mengelirukan khalayak Muslim mengenai realiti penindasan terhadap Muslim Uyghur, dan untuk mengalihkan kritikan antarabangsa, khususnya daripada umat Islam, terhadap dasar-dasar China di Turkistan Timur, sementara Beijing terus mengenakan kawalan ketat terhadap amalan keagamaan masyarakat Uyghur.
Satu Persoalan untuk Dunia Islam
Ramadan sepatutnya melambangkan kebebasan rohani dan pengabdian kepada Tuhan, namun bagi Muslim Uyghur ia terus muncul sebagai kelangsungan kepada sekatan teruk yang dikenakan terhadap kehidupan beragama mereka. Walaupun Beijing berusaha menonjolkan imej menghormati komuniti Muslim di luar negara, namun penindasan yang berterusan di Turkistan Timur mendedahkan realiti yang sangat berbeza. Komuniti antarabangsa, khususnya dunia Islam, tidak boleh mengabaikan percanggahan antara kempen propaganda China dan penafian berterusan terhadap kebebasan beragama asasi kepada jutaan warga Uyghur.
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara