
Artikel ini ditulis bersempena 11 tahun penahanan Prof. Ilham Tohti, suara moderat Uyghur yang dibungkam dan dipenjara seumur hidup atas dakwaan palsu ‘separatisme’.
Penahanan Ilham Tohti, seorang ahli ekonomi dan sarjana Uyghur, adalah bukti paling nyata bagaimana kerajaan China menggunakan kuasa negaranya untuk menindas suara intelektual yang sederhana dan moderat. Ilham, yang lantang menolak keganasan dan menekankan dialog aman, ditangkap pada Januari 2014 dan kemudian pada 23 September 2014 dihukum penjara seumur hidup atas tuduhan menghasut pemisahan. Hakikat bahawa seorang sarjana yang berjuang dengan pena dan wacana diperlakukan seolah-olah pengganas menunjukkan betapa Beijing lebih takut pada kebenaran akademik daripada senjata.
Kejadian ini bukan sekadar isu individu, tetapi merupakan sebuah gambaran jelas polisi sistematik China di Turkistan Timur/Xinjiang. Penahanan Ilham menandakan bahawa ruang akademik dan kebebasan berfikir telah dipadamkan dengan kekerasan. Ia memperlihatkan strategi autoritarian/kukubesi: mentafsirkan wacana kritikal sebagai “ancaman negara” dan menjadikan undang-undang sebagai alat menutup mulut. Dalam bahasa akademik, kes Ilham merupakan contoh klasik state securitization of dissent – di mana perdebatan yang sah ditafsirkan sebagai ancaman eksistensial demi menjustifikasi penindasan.
Kesan penahanan Ilham amat mendalam. Bagi masyarakat Uyghur, ia adalah isyarat bahawa tiada lagi ruang selamat untuk menyuarakan keresahan, meskipun melalui saluran intelektual yang sah. Suara sederhana dan moderat seperti Ilham Tohti yang cuba mencari jalan tengah dibungkam, sekali gus meninggalkan kekosongan yang hanya menguatkan jurang ketidakpercayaan antara rakyat dan negara. Secara teori, hal ini menunjukkan kegagalan negara-bangsa dalam menguruskan pluraliti dengan adil, sebaliknya memilih jalan hegemonik.
Masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri. Ilham Tohti telah dianugerahkan pelbagai pengiktirafan global – termasuk Anugerah Sakharov oleh Parlimen Eropah – kerana keberaniannya mempertahankan nilai universal hak asasi manusia. Namun, pengiktirafan moral tanpa tekanan politik adalah hampa. Komuniti antarabangsa perlu menuntut akauntabiliti konkrit: siasatan bebas di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tekanan diplomatik, dan sekatan yang menekan Beijing untuk menghentikan penindasan.
Ilham Tohti hari ini berdiri sebagai simbol bagaimana autoritarianisme moden beroperasi: ia tidak hanya menindas penentang bersenjata, tetapi juga cendekiawan yang bersuara dengan pena dan akal. Akademia tidak boleh berdiam diri, kerana penahanan Ilham adalah tamparan terhadap kebebasan ilmiah sejagat. China mesti dipertanggungjawabkan – bukan sahaja kerana kezaliman terhadap seorang sarjana, tetapi kerana ia melukai asas kemanusiaan dan maruah ilmu itu sendiri.
Ditulis dan disunting untuk : Pusat Kajian Uyghur.
Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara
