• Washington DC
Ikut kami:

Apabila Lagu Dianggap Sebagai Jenayah: Penindasan China Yang Semakin Dahsyat Terhadap Budaya Uyghur

Oleh Abdulhakim Idris

Lagu bukanlah sekadar lagu.

Di serata dunia, muzik menghiburkan dan memberi ketenangan, dan ia juga mengandungi sejarah, kepercayaan akidah, dan identiti. Ia mengajarkan bahasa dan nilai kepada kanak-kanak. Dengannya, perkahwinan dan kehidupan baharu diraikan, ia juga menjadi tanda kepada pengebumian dan kehilangan, dan mengekalkan ikatan komuniti agar sentiasa hidup . Dalam masa sukar, muzik membantu orang ramai untuk bertahan. Ia mengawal perasaan, menguatkan ingatan, dan mengingatkan semula kita siapa diri kita.

Itulah sebabnya mengapa pengharaman dan sekatan lagu-lagu Uyghur oleh Komunis China di Turkistan Timur (aka Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang) yang dilaporkan menjadi sesuatu yang sangat membimbangkan. Apabila pihak berkuasa China melabelkan muzik Uyghur sebagai “bermasalah,” sasarannya bukan sekadar bunyi, tetapi juga budaya itu sendiri.

Laporan-laporan menunjukkan bahawa lagu-lagu Uyghur ditandakan/flagged kerana mempunyai makna keagamaan; kerana “menyelewengkan sejarah Uyghur”; kerana “menghasut pemisahan”; atau kerana menggalakkan “rasa tidak puas hati” dalam masyarakat. Tetapi kategori-kategori ini begitu luas sehingga, dalam praktiknya, hampir semua lagu Uyghur boleh menjadi sasaran. Jika sesebuah lagu menyebut tentang kepercayaan akidah, tanah air, nilai-nilai tradisional, atau ingatan kolektif, ia boleh ditafsirkan semula sebagai bersifat politik dan “bermasalah”.

Bagi orang Uyghur, muzik bukanlah sesuatu yang opsyenel. Ia adalah asas kehidupan budaya, yang dikekalkan selama berabad-abad. Lagu dan tradisi muzik Uyghur memelihara bahasa, puisi, penceritaan, humor, dan adat resam sosialnya. Ia bukan sahaja dipersembahkan di atas pentas; ia juga dihidupkan di dalam rumah, perhimpunan komuniti, dan dihidupkan juga dalam pendidikan. Muzik adalah salah satu cara terkuat bagi pewarisan budaya dari satu generasi ke generasi seterusnya, terutamanya apabila ruang-ruang pewarisan lain mengecil.

Ini mengingatkan semula tentang “Revolusi Budaya”, apabila banyak lagu Uyghur diharamkan atau diubah suai agar selaras dengan ideologi komunis China. Hari ini, hanya sedikit yang dapat membayangkan bahawa orang Uyghur sekali lagi menjalani salah satu tempoh paling gelap dalam sejarah manusia ini. Namun, orang Uyghur, Kazakh, dan orang Turk lain tinggal di rantau di mana realitinya menyerupai “Revolusi Budaya” yang diperbaharui, di mana tradisi mesti “diperbetulkan” atau akan dihilangkan. Kebimbangan hari ini ialah orang Uyghur, Kazakh, dan orang Turk yang lain sekali lagi dipaksa masuk ke dalam realiti budaya yang terkawal, di mana tradisi mesti dibentuk semula atau dipadamkan.

Ini adalah hasil daripada dasar rasmi China, termasuk kenyataan yang dilaporkan diumumkan pada 10 Ogos 2017: “Hancurkan keturunan mereka, putuskan akar mereka, putuskan hubungan mereka, dan putuskan asal usul mereka.” Singkirkan sepenuhnya akar umbi yang ‘bertalam dua muka,’ cabut mereka, dan bersumpah untuk melawan orang bermuka dua ini sehingga ke akhirnya.” Para penyelidik hak asasi manusia, para wartawan, dan kumpulan advokasi telah mendokumentasikan penahanan besar-besaran, pengawasan yang meluas, tekanan terhadap amalan agama, dan dasar-dasar yang menjangkau jauh ke dalam kehidupan keluarga dan pendidikan. Berpuluh-puluh kerajaan telah menggunakan istilah “genosid,” manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyuarakan kebimbangan bahawa skala dan sifat penganiayaan ini berkemungkinan sekali ke tahap jenayah terhadap kemanusiaan.

Ini bukan sahaja tentang politik. Ia adalah tentang hak sesebuah bangsa untuk wujud sebagai dirinya sendiri.

Sejak tahun 2017, para penulis, cendekiawan, guru, seniman, ahli komedi, penyanyi, tokoh agama, dan golongan profesional Uyghur telah ditahan atau dipenjarakan. Para pemimpin dalam arena budaya sering menjadi sasaran pertama kerana mereka melindungi memori ingatan bangsa. Apabila penyair, profesor, dan penghibur dibungkam, sesebuah komuniti kehilangan lebih daripada sekadar individu; ia kehilangan pewaris tradisinya.

Sebagai sebahagian daripada kempen tahanan besar-besarannya, pihak berkuasa China telah menghantar berjuta-juta orang Uyghur, Kazakh, dan Muslim Turk lain ke penjara, menempatkan lebih daripada 3 juta orang Uyghur, Kazakh, dan orang Turk lain di kem tahanan, dan memisahkan lebih daripada 1 juta kanak-kanak Uyghur daripada persekitaran asli bahasa mereka melalui sistem pendidikan di sekolah berasrama penuh yang mengutamakan asimilasi. Apabila bahasa dilemahkan, lagu dan muzik pun berubah. Apabila lagu berubah, memori juga akan berubah. Begitulah cara kemusnahan budaya berfungsi: perlahan-lahan, dan stabil.

Hari ini, perhatian dunia dipenuhi oleh krisis yang tidak berkesudahan: peperangan, pilihan raya, bencana, kejutan ekonomi. Tetapi sementara tajuk utama diset semula, sesuatu yang jauh lebih berkekalan sedang berlaku di depan mata kita. China secara sistematik meruntuhkan bahasa dan budaya Uyghur, menindas kepercayaan, dan memaksa orang yang berbeza ke arah identiti tunggal yang diluluskan oleh negara: menjadi Han, komunis, dan rakyat yang patuh. Ini bukan sejarah yang berlaku di masa lalu. Ia bahkan sedang berlaku sekarang, dalam pemerhatian kita. Dan penghapusan budaya jarang berlaku dalam tempoh sehari. Ia maju secara senyap melalui tekanan, pengawasan, hukuman, dan penyempitan perkara yang dibenarkan secara perlahan-lahan. Ia kelihatan: lagu yang dinyanyikan tanpa rasa takut menjadi lebih sedikit. Lebih sedikit perayaan yang disambut tanpa diawasi. Lebih sedikit kanak-kanak diajar kata-kata yang mengandungi sejarah kehidupan nenek moyang mereka. Sehingga, suatu hari nanti, sesuatu kaum masih boleh dihitung dengan nombor, tetapi tidak lagi boleh bersuara untuk menyatakan kami wujud.

Jika dunia hanya memberi perhatian kepada apa yang meletup, ia akan terlepas apa yang sedang dicekik. Muzik sering dipanggil bahasa universal. Itu benar, dan itulah sebabnya mengapa pengharaman lagu-lagu sesuatu kaum menjadi sesuatu yang mustahak. Apabila sesebuah negara memutuskan sejarah-sejarah mana yang boleh didendangkan dan emosi mana yang dibenarkan, ia bukan tentang mengawal selia seni, Ia adalah tentang mengawal selia identiti. Lagu boleh menjadi ‘tanah air mudah alih’, sesuatu yang dibawa oleh orang apabila segala-galanya diambil. Jika lagu-lagu Uyghur dijenayahkan, itu kerana ia memelihara rasa kekitaan (yang ingin dihapuskan China).

Dan tiada kerajaan yang sepatutnya mempunyai kuasa untuk mengharamkan rasa kekitaan.

Navigasi kiriman

Pusat Kajian Uyghur - Hak cipta terpelihara